Madrasah Ribath, Muar diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Muhammad Lip pada tahun 1934. Proses pengajian dan pembelajaran di Madrasah Ribath diwarisi oleh Hj. Muhammad Lip daripada tuan gurunya dari Melaka dan Kelantan. Beliau diwasiatkan supaya memanjangkan ilmu yang dipelajarinya melalui kitab-kitab muktabar daripada ulama salaf, khalaf dan mutaakhirin dengan sistem pondok.
Tuan Guru Hj. Muhammad Lip mendapat didikan agama daripada ibu bapanya sejak kecil. Beliau belajar di sebuah madrasah di Parit Raja hingga berusia 24 tahun. Pada usia 25 tahun, beliau berhijrah ke Melaka untuk meneruskan dan mendalami ilmu agama. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di Mekah selama enam tahun pada 1925 hingga 1930. Sekembalinya dari Mekah, beliau belajar dengan Tuan Guru Hj. Abdul Lathif Nuruddin di Tengkerang, Melaka.
Setelah tamat pengajian selama enam tahun di Melaka, beliau berhijrah ke Kelantan dan menuntut ilmu dengan Tuan Guru Tok Kenali selama dua tahun lapan bulan serta mendalami ilmu tasawwuf. Apabila Tok Kenali meninggal dunia pada akhir 1933, Tuan Guru Hj. Muhammad Lip kembali ke kampungnya Bangunan batu Madrasah Ribath siap dibina pada 1963. Beliau seorang yang sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya pembangunan insan bagi memperbetulkan akidah, ilmu dan amal soleh dalam kehidupan. Sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ogos 1989, beliau mewasiatkan pondok Madrasah Ribath kepada murid tertuanya, Tuan Guru Hj. Muhammad Saman Hj. Muhammad Salleh. Antara kitab yang dihasilkan ialah Tanbihul Ghafilin, Tashilul Musarrifin, Jumaat dan Risalah Nazariah.
No comments:
Post a Comment