Wednesday, 10 April 2019

Kisah Keluarga Imran Dalam Al-Quran

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Surah A’li Imran, ayat 33)
     Keluarga Imran ialah keluarga yang dimuliakan oleh Allah s.w.t setaraf dengan kemuliaan keluarga Nabi Ibrahim a.s., Nabi Nuh a.s. dan Nabi Adam a.s. kerana keimanan mereka mengatasi segala yang ada di dunia pada zaman mereka. Keluarga Imran dalam Al-Quran ialah sebuah keluarga yang wujud pada zaman dinasti Herod memerintah Kerajaan Judah di Palestin, yang menjadi sebahagian daripada Wilayah Rom.
    Dalam keagungan Dinasti Herod Yang Agung, Kerajaan Judah telah menjadi wilayah yang sangat kaya kerana menjadi pintu masuk perdagangan daripada Timur Tengah ke Laut Mediterranean. Justeru itu, Raja Herod Yang Agung telah membina Haikal Kedua (Haikal Herod) bagi menggantikan Haikal Kedua iaitu Haikal Zerubbabel yang telah usang dan sangat kecil.
     Kaum Yahudi merupakan kaum yang diturunkan sangat ramai Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka. Hal ini kerana kedegilan mereka untuk kembali kufur kepada Allah s.w.t. selepas kewafatan nabi tersebut. Bermula dengan keingkaran mereka pada Zaman Nabi Musa a.s. dan disesatkan di Padang Tih, kaum Yahudi kembali bangkit dengan kejayaan mereka menubuhkan Negara Yahudi di bawah kepimpinan Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. dan menduduki tanah Palestin bersama-sama dengan Kaum-kaum asal di Palestin seperti Edom, Philistine dan Pheonician.
     Selepas kewafatan Nabi Sulaiman a.s., mereka kembali berpecah belah dan mendustakan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. (Kitab Taurat atau Torah), Nabi Daud a.s. (Kitab Zabur atau Psalms) dan pelbagai Suhuf yang diturunkan kepada Nabi-nabi selepasnya. Oleh sebab keingkaran mereka, kaum yahudi terbuang ke Babylon pada zaman Raja Nebuchannezar II (634 – 562 SM) dan kembali menjadi hamba seperti zaman Firaun.
     Seterusnya, Kaum Yahudi kembali ke Baitul Maqdis di bawah Penguasaan Zerubbabel, Gabenor Parsi yang ditugaskan ke Judah beserta Nabi Jeshua sebagai pendita Agung, telah membina kembali Haikal yang dirobohkan oleh Raja Nebuchadnezzar II. Selama lebih 500 tahun, pelbagai Nabi-nabi diturunkan ke Judah, namun mereka tetap mendustakan keterangan-keterangan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Kebangkitan Hasmonean juga tidak mengubah kehidupan yahudi, malahan mereka mewujudkan pelbagai aliran keagamaan untuk kepentingan mereka.
     Pada zaman Hasmonean, Yahudi terbahagi kepada tiga akidah iaitu aliran Pharisee, Sadducee dan Essene. Golongan Pharisee yang menjadi aliran utama keagamaan Yahudi telah menyeleweng daripada ajaran Nabi Musa a.s. yang asal. Sadducee pula bercampur aduk dengan kepercayaan pagan dari Rom, manakala Essene sahaja yang dikatakan masih mengikuti aliran keagamaan yang benar.
     Ali Imran (Keluarga Imran) dalam Al-Quran ialah keluarga yang berkisarkan dalam zaman Dinasti Herod memerintah Judah. Semasa isterinya mengandung, isterinya bernazar agar anak yang dikandunginya bebas. Bebas yang dimaksudkan ialah bebas daripada segala urusan dunia dan hanya berkhidmat untuk Allah semata-mata.
     Namun begitu, setelah cukup usia kandungan, lahirlah seorang anak perempuan, sedangkan mereka berhajatkan seorang anak lelaki. Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan segala sesuatu dan daripada perempuan ini, akan lahirlah seorang Rasul yang akan menyelamatkan Kaum Yahudi daripada kesesatan yang berpanjangan. Anak perempuan itu dinamakan sebagai Maryam. Kisah ini dirakamkan oleh Allah swt dalam Surah Ali Imran ayat 35 dan 36:
     (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
     Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.
     Semasa usia Maryam 3 tahun, kedua-dua ibu bapanya dihukum bunuh oleh Raja Herod Yang Agung. Maryam dipelihara oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria a.s. yang menjadi Pendita rumah ibadat Abiyah. Daripada remajanya, Siti Maryam diletakkan di atas mihrab yang tinggi dan tidak dapat dicapai oleh sesiapapun selain daripada Nabi Zakaria a.s. Menurut riwayat, terdapat 27 pintu antara Siti Maryam a.s. dengan dewan rumah ibadat tersebut. Siti Maryam a.s. dibesarkan dengan penuh keimanan hanya kepada Allah s.w.t. dan bebas daripada segala urusan dunia yang fana ini.
     Disebabkan keimanannya, Siti Maryam a.s. sering mendapat buah-buahan yang lazat tanpa diketahui siapa yang memberinya, bahkan Allah merakamkan peristiwa tersebut dalam Surah Ali Imran, ayat 37: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”
     Ada pendapat turut mengatakan bahawa kisah keluarga Imran ini juga termasuklah kisah Nabi Zakaria a.s. dan anaknya Nabi Yahya a.s.. Pada usianya yang telah lanjut dan isterinya yang mandul, Nabi Zakaria memohon agar Allah s.w.t.  mengurniakan kepadanya seorang anak. Hajat baginda dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dengan perkhabaran yang dibawa oleh Malaikat Jibril a.s. bahawa akan lahirlah seorang anak yang tidak pernah dikurniakan sepertinya sebelum ini. Anak tersebut bernama Yahya. Baginda meminta petunjuk akan kelahiran bayinya itu, maka Allah menjadikan baginda Nabi Zakaria a.s. tidak boleh berkata-kata selama tiga hari.
     Daripada peristiwa tersebut, isteri Nabi Zakaria a.s., Elizabeth selamat mengandungkan dan melahirkan Nabi Yahya a.s. dan Nabi Yahya a.s. merupakan seorang Nabi dan Rasul yang sangat cerdas. Baginda berjaya menarik ramai orang Yahudi untuk kembali ke jalan yang benar dan pengaruhnya menggerunkan Raja Herod Antipas semasa menduduki Kota Machareus sebagai ibukotanya.
     Begitu juga dengan Siti Maryam, yang mana Malaikat menyampaikan berita bahawa beliau adalah wanita yang terbaik seluruh alam, yang dipilih dan disucikan oleh Allah s.w.t.. Allah menyuruh Maryam a.s. untuk rukuk dan sujud seperti orang-orang yang rukuk. Lalu, malaikat Jibril a.s. menyampaikan berita bahawa Siti Maryam akan melahirkan seorang penyelamat (Al-Masih), yang bernama Isa bin Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, di samping baginda ialah orang yang didampingkan (dimuliakan oleh Allah sw.t).
     Maryam a.s. terkejut dengan berita tersebut dan menjelaskan bagaimana dia boleh mengandung, sedangkan dia tidak pernah disentuh oleh sesiapa pun. Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu, mengatakan bahawa jika Allah berkata jadi, maka jadilah ia. Maka, Allah s.w.t. meniupkan ruh ke dalam rahim Maryam, lalu mengandunglah Maryam a.s. dengan kuasa Allah. Maryam a.s. yang mengandung itu pun menyisihkan dirinya ke tempat yang sunyi.
     Dalam kesakitan mahu melahirkan Nabi Isa a.s., Maryam bersandar di sebatang pohon tamar dan mengeluh akan kesakitannya itu. Allah s.w.t. berfirman kepada Maryam agar jangan berdukacita. Dari tempat dia bersandar, wujudlah sebatang sungai dan Allah memerintahkannya untuk menggegar batang pohon tamar itu. Buah-buah tamar yang sangat masak dan sangat sedap berguguran serta anak sungai yang wujud menjadi makanan dan minuman Maryam a.s.
     Setelah selamat melahirkan Nabi Isa a.s., Maryam a.s. kembali ke kaumnya dan dia ditempelak kerana dituduh melakukan dosa yang besar. Kaumnya berkata,
     ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (Surah Maryam, ayat 28)
     Maryam a.s. bernazar untuk tidak berkata-kata dan hanya menunjukkan ke arah anaknya itu. Nabi Isa a.s. yang masih kecil itu tiba-tiba berkata,
     Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”. (Surah Maryam, ayat 30 -33)
     Kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan kuasa Allah s.w.t. yang maha agung dan ditunjukkan kepada kaum Yahudi supaya mereka berubah. Mereka tidak berubah, malah berselisih faham tentang kewujudan anak Tuhan, seperti dalam mitologi Greek.
     Semasa diangkat menjadi Rasul, Nabi Isa a.s. yang berasal daripada wilayah Nazareth telah berdakwah kepada kaumnya dengan pelbagai mukjizat agar kaumnya kembali beriman kepada Allah s.w.t.
     Baginda diberikan kelebihan untuk menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah liat, menyembuhkan buta dan sopak, menghidupkan orang yang mati (dengan izin Allah s.w.t), dan boleh mengetahui apa yang dimakan dan disimpan dalam rumah seseorang. Di rambutnya, sentiasa nampak basah dan peribadi Nabi Isa a.s. berjaya menarik ramai orang untuk mengikutinya kembali ke jalan yang benar. Baginda turut dibantu oleh 12 orang golongan hawariyyun.
     Namun begitu, dakwah Nabi Isa a.s. yang membersihkan Haikal Kedua daripada tipudaya golongan Pharisee dan Sanhedrin (yang dikuasai oleh golongan Sadducee) tidak disenangi oleh para rabbi. Mereka merancang untuk menangkap Nabi Isa a.s. dan menghantar kepada Pontius Polate, procurator Rom di Judah untuk dihukum bunuh. Nabi Isa a.s. berjaya ditangkap dan dihangtar kepada Pontius Pilate, di mana Pontius Pilate menghantar Nabi Isa a.s. kepada Herod Antipas kerana baginda berasal daripada wilayah Antipas.
     Antipas yang tidak mahu menangung risiko pemberontakan kerana baginda baru sahaja menghukum bunuh Nabi Yahya a.s.. Herod Antipas menghantar semula kepada Pontius Pilate dan akhirnya Nabi Isa a.s. dihukum dengan disalib setelah majoriti kaum yahudi di Baitul Maqdis yang dikuasai oleh Pharisee dan Sadducee mahu Nabi Isa a.s. dihukum bunuh.
     Allah membalas tipudaya golongan tersebut dan menukarkan baginda Nabi Isa a.s. dengan Judas Iskariot, golongan Hawariyyun yang membelot. Ajaran Nabi Isa a.s. diteruskan oleh golongan Hawariyyun ini selama lebih kurang 500 tahun sebelum diutuskan Nabi Muhammad s.a.w., Nabi dan Rasul terakhir.
     Allah s.w.t. mengangkat darjat keluarga Imran ini setaraf dengan keluarga Nabi Ibrahim a.s. disebabkan keimanan mereka dalam menjalankan perintah Allah di muka bumi. Kisah bagaimana isteri Imran bernazar kepada Allah s.w.t akan anak yang akan dilahirkan ini bebas daripada segala kemanisan dunia didengari oleh Allah s.w.t. dan diperkenankan anak yang sangat taat kepada agamanya, walaupun anak yang lahir itu seorang perempuan.
     Maryam yang sangat taat itu pula dikurniakan anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki menunjukkan betapa agungnya kuasa Allah s.w.t. dalam merencanakan kehidupan kita. Kisah kehebatan iman keluarga Imran ini patut dicontohi oleh semua umat Islam dalam menempuhi kehidupan yang dipenuhi dengan kemanisan dunia yang fana ini.

Sumber : Nizam GTZ

     

Wednesday, 3 April 2019

Imam Ghazali – Hujjatul Islam


Penulis: Ibrahim Jauhari
Semua mengenali Imam al-Ghazali sebagai seorang ulama bukan saja dalam bidang tasawuf tetapi juga dalam bidang fiqh dan falsafah. Berikutan jasanya yang besar kepada umat Islam, beliau diberi gelaran Mujaddid dan Hujjatul Islam. Antara karyanya yang paling ulung ialah kitab Ihya Ulumuddin yang terus menjadi rujukan umat Islam hari ini. Namun, siapa sebenarnya Imam al-Ghazali pada pandangan sejarah?
    Imam al-Ghazali atau nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad al-Ghazali dilahirkan di Tabaran/Ghazalah, Tus, Iran pada tahun 1056 (pandangan sejarawan moden) atau 1058 (pandangan Ibnu Jauzi rahimahullah). Beliau diberi gelaran al-Ghazali kerana pertama, ia merujuk kepada tempat kelahirannya di Ghazalah atau merujuk kepada pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun dan penjual kain tenun. Imam al-Ghazali turut dikenali dengan nama Abu Hamid kerana pernah mempunyai seorang anak lelaki bernama Hamid yang meninggal dunia semasa kecil.
    Beliau datang dari sebuah keluarga yang miskin dari segi material tetapi kaya dari segi kasih sayang. Bapanya yang merupakan seorang ulama sufi yang warak berharap putera-puteranya iaitu Muhammad dan Ahmad menjadi seorang ulama yang arif dan soleh. Dan melihat kepada senarai guru yang didampingi Imam al-Ghazali, nyatalah tahap ilmu beliau bukan calang-calang. Beliau pernah berdamping dengan Dhiauddin Abdul Malik al-Juwaini semasa berada di Naysabur sehinggalah gurunya meninggal dunia pada 20 Ogos 1085. Selepas pemergian gurunya, Imam al-Ghazali dijemput oleh Nizam al-Mulk, seorang wazir terkemuka dari kerajaan Saljuk ke Baghdad dan dilantik menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar Madrasah Nizamiyyah yang diasaskan oleh wazir berkenaan.
    Pada satu ketika dalam kehidupannya, Imam al-Ghazali berhadapan dengan isu keyakinan sehingga memaksa beliau meletak jawatan dari Madrasah Nizamiyyah dan meninggalkan Baghdad atas alasan mahu mengerjakan haji. Menurut penulis Duncan B. Macdonald, beliau berbuat demikian kerana mahu mendapatkan pengalaman rohani dan menginginkan pemahaman lebih mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Semasa pengembaraan ini, beliau pernah singgah di Baitulmaqdis, Damsyik, Makkah dan Madinah pada tahun 1096. Sekembalinya Imam al-Ghazali dari pengembaraannya, beliau kembali ke kampung halamannya di Tus untuk beruzlah selama beberapa tahun. Walaupun beliau menolak sebarang jemputan sebagai pengajar atau pensyarah, itu tidak menghalangnya memberi syarahan, menerima kehadiran orang ramai sebagai tamu dan mengajar di institusi-institusi tertentu.
    Selepas Nizam al-Mulk meninggal dunia akibat dibunuh kumpulan Hashashin pada tahun 1092, peranan wazir digalas oleh Fakhr al-Mulk dan perkara pertama yang diingininya ialah kembalinya al-Ghazali ke Nizamiyyah di Naysabur. Bimbang akan gangguan dan kontroversi yang tercetus sekiranya beliau menolak,  al-Ghazali kembali ke Naysabur pada tahun 1106 dan menolak tawaran Dinasti Saljuk untuk kembali ke Baghdad atas jemputan wazir Sultan Muhammad I dari dinasti berkenaan pada tahun 1110. Beliau meninggal dunia pada 1111 di Tus.S
    Imam al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu hendaklah  mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana  Allah s.w.t. Dan jasanya terhadap umat Islam terlalu banyak di mana ia diterjemahkan dalam pelbagai bentuk karya. Tahafut al-Falasifah ialah sebuah kitab yang dihasilkan pada abad ke-10 Masihi sebagai satu bentuk kritikan terhadap pendukung falsafah Aristotle yang wujud dalam kalangan pemikir dan cendekiawan Islam ketika itu termasuk Ibnu Sina.
    Tetapi itu tidak boleh mengatasi karya ulungnya, Ihya Ulumuddin. Ia meliputi semua bidang yang menjadi teras agama iaitu teologi, fiqh dan sufisme. Kitab yang dihasilkan Imam al-Ghazali ini merupakan antara kitab yang paling banyak dipetik teksnya selepas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Ia dianggap karya ulung kerana berupaya menyatukan elemen sufisme dan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah dalam bentuk satu panduan yang bersifat menyeluruh dan berguna dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Ia juga menjadi rujukan ramai cendekiawan termasuk Imam Nawawi rahimahullah yang berpandangan, “Sekiranya semua kitab berkenaan Islam itu hilang kecuali kitab Ihya, maka itu sudah cukup untuk menggantikan semuanya.”
    Menerusi karya-karyanya termasuk Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli falsafah dan ahli kalam. Beliau menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung kepada  hipotesis-hipotesis yang tidak rasional tetapi mesti bersandarkan  kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata. Beliau juga memberikan tafsiran yang bersifat rasional tentang kepercayaan asas Islam sehingga kesahihannya atas dasar rasionalisme tidak dapat dipersoalkan lagi sepanjang zaman. Selain itu, beliau menerangkan hikmah setiap suruhan syariat dan memberikan konsep yang jelas mengenai Islam sekaligus dapat menghilangkan segala keraguan mereka
    Imam al-Ghazali juga turut meneliti kepercayaan semua kumpulan agama pada zaman itu dan perbezaan antara mereka. Beliau menjelaskan had-had antara Islam dan kufur dan had-had kebebasan pentafsiran. Usaha sebegini bukan saja mengurangkan pertelingkahan antara kumpulan mazhab atau fahaman yang bertentangan, malah ia turut membantu meluaskan pandangan alam rakyat pada sesebuah fahaman dan kumpulan. Beliau juga menolak perbuatan taklid membabi-buta, menentang gejala kejumudan dan menarik masyarakat kembali kepada Kitabullah da sunnah Rasul-Nya. Imam al-Ghazali juga dilihat berjaya menghidupkan semula semangat ijtihad dan mengkritik kumpulan-kumpulan yang membawa unsur yang bertentangan prinsip akidah tauhid.
    Beliau mengkritik sistem pendidikan yang sedang merosot ketika itu dan mencadangkan sebuah sistem yang baru sebagai ganti.  Kurikulum yang wujud ketika itu mempunyai beberapa kelemahan seperti memisahkan elemen agama dari ilmu bersifat duniawi dan memasukkan perkara-perkara yang dianggap bertentangan dengan syariat menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan. Cadangan sistem sebegini pada awalnya ditentang oleh ulama kontemporari ketika itu tetapi akhirnya menjadi antara legasi terhebat Imam al-Ghazali dalam dunia pendidikan umat Islam hari ini.
    Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap keadaan moral dan agama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untukmembuat pembaharuan. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya seperti Ihya Ulumuddin mengkritik keadaan moral masyarakat ketika itu dan menjelaskan setiap hal itu berkait dengan sebab-sebab sosial, seterusnya memberi kriteria moral Islam yang sebenarnya. Beliau juga tidak teragak-agak mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud ketika itu dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk  menahan dan mengkritik penindasan. Usaha–usaha pengislahan ini tidak  terhad  kepada pembaharuan moral masyarakat Islam semata-mata. Sebaliknya, kebanyakan falsafah dan idea yang dibawa beliau ini menjadi teras sebuah dinasti Islam di Andalusia iaitu kerajaan al-Muwahidun.
Rujukan:
Haji Yussof, Abdul Salam. (2005). Pujian dan kritikan terhadap Imam al-Ghazali. Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_06_2005/abdul_salam_2005.pdf

Wednesday, 27 March 2019

Kenali Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)


HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906. 
   Ayahnya adalah Syekh Abdul Karim bin Amrullah, yang dikenal sebagai Haji Rasul, yang merupakan pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.  
     HAMKA lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik, sama ada Islam ataupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-'Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee, Jean Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. HAMKA juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fakrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang pemidato yang handal.
      HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam melalui pertubuhan Muhammadiyah. Beliau menyertai pertubuhan itu mulai tahu 1925 bagi menentang khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cawangan Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makasar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S. Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke31 di Jogjakarta pada tahun 1950. Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Julai 1957, Menteri Agama Indonesia iaitu Mukti Ali melantik HAMKA sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 kerana nasihatnya diketepikan oleh kerajaan Indonesia.
      Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.
       Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).
         Hamka dikenal sebagai seorang petualang. Ayahnya bahkan menyebutnya “Si Bujang Jauh”. Pada 1924, dalam usia 16 tahun, ia pergi ke Jawa untuk mempelajari seluk-beluk gerakan Islam modern dari H. Oemar Said Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo (ketua Muhammadiyah 1944-1952), RM. Soerjopranoto (1871-1959), dan KH. Fakhfuddin (ayah KH. Abdur Rozzaq Fakhruddin). Kursus-kursus pergerakan itu diadakan di Gedung Abdi Dharmo, Pakualaman, Yogyakarta. Setelah beberapa lama di sana, ia berangkat ke Pekalongan dan menemui kakak ipamya, AR. Sutan Mansur, yang waktu itu menjadi ketua Muhammadiyah cabang Pekalongan. Di kota ini ia berkenalan dengan tokoh-tokoh ulama setempat. Pada bulan Juli 1925, ia kembali ke rumah ayahnya di Gatangan, Padangpanjang. Sejak itulah ia mulai berkiprah dalam organisasi Muhammadiyah.
          Pada Februari 1927, Hamka berangkat ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan bermukim lebih kurang 6 bulan. Selama di Makkah, ia bekerja di sebuah percetakan. Pada bulan Juli, Hamka kembali ke tanah air dengan tujuan Medan. Di Medan ia menjadi guru agama pada sebuah perkebunan selama beberapa bulan. Pada akhir 1927, ia kembali ke kampung halamannya.
             Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.
            Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke31 di Yogyakarta pada tahun 1950.
             Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.
            Pada 1928, Hamka menjadi peserta Muktamar Muhammadiyah di Solo, dan sejak itu hampir tidak pernah absen dalam Muktamar Muhammadiyah hingga akhir hayatnya. Sepulang dari Solo, ia mulai memangku beberapa jabatan, mulai dari ketua bagian Taman Pustaka, ketua Tabligh, sampai menjadi ketua Muhammadiyah Cabang Padangpanjang. Pada 1930, ia diutus oleh Pengurus Cabang Padangpanjang untuk mendirikan Muhammadiyah di Bengkalis. Pada 1931, ia diutus oleh Pengurus Pusat Muhammadiyah ke Ujungpandang untuk menjadi mubaligh Muhammadiyah dalam rangka menggerakkan semangat menyambut Muktamar Muhammadiyah ke-21 (Mei 1932) di Ujungpandang.
          Hamka pindah ke Jakarta pada tahun 1950, dan memulai karirnya sebagai pegawai negeri golongan F di Kementerian Agama yang dipimpin KH. Abdul Wahid Hasyim.
        Tahun 1950 itu juga HAMKA mengadakan lawatan ke beberapa negara Arab sesudah menunaikan ibadah haji untuk kedua kalinya. Sepulang dari lawatan ini ia mengarang apa buku roman, yaitu Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Sungai Nil, dan Di Tepi Sungai Dajah. Sebelumnya Hamka menulis Di Bawah Naungan Ka’bah (1938), Tenggelamrrya Kapal van der Wljk (1939), Merantau ke Deli (1940), Di Dalam Lembah Kehidupan (1940), dan biografi orang tuanya berjudul Ayahku (1949).
           Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh proMalaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.
            Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
            HAMKA juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.
             Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.
                Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Juli 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.


Monday, 18 March 2019

Kemunculan Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah & Pengaruhnya

Sambungan Sejarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Bahagian 2


Bagi mengelakkan ummah terus terjerumus ke lembah kesesatan, maka lahirlah ulama’ yang mengumpulkan manhaj asli Salafussoleh dan bertegas melawan penyelewengan aqidah dan pemikiran.
Imam Abu Hasan ‘Ali Al-Asy’ari lahir di Basrah tahun 260 Hijrah dan wafat dalam tahun 324 Hijrah. Imam Abu Mansur Muhammad al-Maturidi pula lahir di Basrah sekitar tahun 238 Hijrah dan wafat tahun 333 Hijrah. Kedua-dua imam Ahli Sunnah ini termasuk dalam kalangan Salafussoleh.
Imam Al-Asya’ari pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali al-Jubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy’ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Abu Hasan al-Asy’ari memperkemaskan aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut.
Syekh Dr. Sa’id Ramadhan Al-Buthi berkata, “Sesungguhnya Imam Asya’ari tidak memulakan pendapat bida’ah, tidak mencipta mazhab, dan sebenarnya yang dilakukan ialah menyusun mazhab Salafussoleh, berjuang untuk kebenaran yang diwariskan oleh Rasulullah dan sahabatnya, ia diiktiraf oleh semua imam-imam tafsir, hadis dan feqh pada zamannya.”
Pengaruh
Al-Mutawakkil ialah khalifah yang memainkan peranan penting dalam kejayaan golongan Ahli Sunnah mendominasi dunia Islam. Semasa awal pertabalan al-Mutawakkil menjadi khalifah, aliran Muktazilah memegang kekuasaan dalam hampir kesemua bidang sama ada pemerintahan dan pentadbiran negara, institusi- institusi pendidikan, pusat-pusat perubatan, perdagangan. Aliran ini juga turut mendominasi akidah golongan berpendidikan tinggi, intelek-intelek dan kelas-kelas masyarakat yang mempunyai pengaruh.
Aliran Ahli Sunnah menguasai masyarakat bawahan dan kebanyakannya terdiri daripada kadi, pendakwah, ulama fiqh dan orang-orang yang mengikuti mereka. Al- Mutawakkil bersekutu dengan Ahli Sunnah kerana mendapati faedah dan keuntungan daripada tindakannya itu. Perintah telah dikeluarkannya untuk menyingkirkan Muktazilah dari kerajaan.
Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’irah.
Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Semakin berkembang lagi pada masa keemasan Madrasah An-Nizhamiyah di Baghdad dan didukung oleh Al-Mahdi bin Tumirat. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Sultan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Khilafah Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Sultan Muhammad al-Fateh juga beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia menyebar luas pada zaman Wazir Nizhamul Muluk di zaman Bani Saljuk. Aqidah ini juga didokong oleh ulama’-ulama’ di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.
Al-Firqoh An-Najiyah
Rasulullah bersabda, “Yahudi telah berpecah-belah menjadi 71 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh di Neraka, dan Nashara telah berpecah belah menjadi 72 golongan, maka satu di Syurga dan tujuh puluh satu di Neraka, dan demi yang jiwaku di tangan-Nya sungguh ummatku akan berpecah belah menjadi 73 golongan, maka satu di Surga dan tujuh puluh dua di Neraka, dikatakan “Wahai Rasulullah siapa mereka itu?”, beliau berkata: “Mereka adalah al-Jama’ah.” (HR AHMAD)
Rasulullah bersabda, “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah.” (HR IMAM MALIK)
Rasulullah bersabda, “Senantiasa terdapat kelompok dari ummatku yang mengibarkan (menampakkan) kebenaran, tidak merugikan mereka orang-orang yang menghinakannya sampai datang keputusan Allah, sedangkan mereka tetap dalam keadaan demikian.” (HR MUSLIM DARI TSAUBAN)
Firqah al-Nâjiyah merupakan nama lain dari Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Jamâ’ah al-Muslimin, Thaifah Manshûrah, al-Ghuraba’, dan Ahl al-Hadîts atau Ahl al-Atsar. Semuanya merupakan kesatuan makna dan tidak terpisah-pisah. Adapun nama-nama yang disebutkan itu menunjukkan karakteristiknya yang beragam.
Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu istilah yang jelas untuk menunjukkan ke atas seseorang yang bermanhajkan Al-Salaf As-Soleh dengan berpegangkan Al-Qur’an dan Sunnah dan peninggalan-peninggalan yang diriwayatkan daripada Rasulullah serta daripada para sahabat, bagi membezakan daripada mazhab-mazhab Bid’aah dan pengikut hawa nafsu semata.
Dan sekiranya disebutkan istilah ini (Ahli Sunnah Wal Jama’ah) di dalam kitab-kitab Ulama’, maka yang dimaksudkan dengannya ialah Al-Asyã’irah, dan Al-Mãthuridi dan Ashabul Hadis. Ini kerana, merekalah yang lebih mendalami hal keadaan Rasulullah dan mereka tidak menggantikan apa-apa atau mengubahnya sepertimana perbuatan dari selain mereka yang cenderung kepada kesesatan dan berlebih-lebihan.
Rasulullah telahpun menyifatkan Al-Firqoh An-Najiyah sebagai satu golongan yang terbesar (majoriti) daripada kalangan ummah. Dan penyifatan ini bersesuaian ke atas Asya’irah dan Mathuridi serta Ashabul Hadis. Maka sesungguhnya mereka adalah sebanyak-banyak ummat Islam.
Imam Jalal Al-Dawani berkata, “Al-Firqoh An-Najiyah adalah Asya’irah, iaitu mereka mengikuti pada dasar-dasar yang dibawa oleh Syeikh Abu Hasan Asya’ari.
Jikalau aku berkata: Bagaimana dihukumkan bahawasanya Firqoh An-Najiyah ini adalah Asya’irah? Dan tiap-tiap firqoh mendakwa bahawa ia adalah Najiyah?
Aku katakan, bersesuaian dengan hadis,yang mengatakan bahawa sesungguhnya mereka itu – yakni Firqoh An-Najiyah – mereka beriktikad dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi dan para sahabat Baginda.
Dan iktikad itu adalah suatu perkara yang batin,ia tidak dapat diketahui kaifiat caranya melainkan dengan pemberitahuan daripada tuan empunya diri.
Dan Nabi telah mengkhabarkan mengenai iktikad baginda melalui hadis-hadis qouliah dan kemudiannya diambil oleh para sahabat baginda, dan mereka mengkhabarkan pula kepada sekalian ummah dan seterusnya, Asya’irah mengambil hadis-hadis soheh tersebut. Dan mereka beriktikad dengan maksud pengertian yang sebenar tanpa mengubahnya dari makna murod yang dikehendaki oleh Nabi. Oleh demikian itulah mereka dikatakan sebagai Asya’irah.
Maka sesungguhnya mereka berpegang dalam akidah mereka dengan hadis-hadis Soheh yang diambil daripada Rasulullah dan daripada para sahabat baginda. Dan mereka tidak membolehkan memandang sekadar sisi luar hadis melainkan pada hal keadaan dhoruri. Dan mereka tidaklah mengikuti akal semata sedang meninggalkan dalil nas sebagaimana Muktazilah.”

bersambung...

Wednesday, 6 March 2019

Sejarah Islam Abad Pertama Hingga Ketiga Hijrah

Sambungan Sejarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Bahagian 1 
(Sebelum Kemunculan Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah)
Ketika Rasulullah masih hidup, umat Islam tidak mengalami polemik iktikad yang serius kerana sebarang permasalahan dapat terus diajukan kepada baginda dan diselesaikan segera. Kesepaduan ummah terjamin melalui kesepakatan di hadapan Rasulullah. Akan tetapi, keadaan berubah apabila Nabi Muhammad wafat. Kaum munafiq, gerakan murtad dan nabi palsu mula berani menampakkan taring setelah ketiadaan baginda.
Seawal-awal salah faham di kalangan ummah ialah tentang siapakah yang paling layak menjadi khalifah menggantikan Rasulullah. Segelintir pihak mendakwa bahawa Saidina Ali yang paling layak. Setelah bermesyuarah, para sahabat memutuskan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Ketegasan Saidina Abu Bakar meredakan beberapa konflik yang melanda.
Di zaman Saidina Uthman, berlaku pembunuhan khalifah ke-3 itu yang didalangi oleh orang munafiq. Peristiwa ini mencetuskan kontroversi apabila ummah menuntut agar pembunuh sebenar dihukum mati. Ketika Saidina Ali menjadi khalifah ke-4, fitnah semakin marak apabila gerakan dari Syam menekan pembelaan Saidina Uthman. Salah faham yang ditiup oleh kaum munafiq akhirnya mencetuskan Perang Siffin & Perang Jamal.
Di zaman ini munculnya firqah Syiah, Khawarij & Murjiah.
Syiah ialah firqah yang melampau dalam memuja Saidina Ali. Mereka menolak kepemimpinan Saidina Abu Bakar, Umar & Uthman. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Saba’.
Khawarij ialah firqah yang melampau dalam membenci Saidina Ali. Mereka mulanya menyokong Saidina Ali tetapi kemudian menolak kepimpinannya selepas majlis Tahkim dalam Perang Siffin. Golongan ini mula terbentuk pada akhir abad ketujuh Masehi di selatan Iraq. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Wahab Ar-Rashidi.
Murjiah ialah firqah yang beriktikad bahawa perbuatan maksiat tidak memberi mudarat kalau sudah beriman, sepertimana membuat kebaikan tidak bermanfaat kalau kafir. Pemimpinnya ialah Hasan bin Bilal Muzni, Abu Sallat Samman, dan Diror bin ‘Umar.
Selepas ketiadaan Khulafa’ Rasyidin ke-4, Saidina Hasan yang menggantikan ayahnya Saidina Ali, telah menyerahkan takhta khilafah kepada Saidina Muawiyah bagi mencegah perpecahan ummah yang lebih parah. Maka bermulalah Khilafah Umayyah yang membuka wilayah Islam dengan lebih luas.
Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman asing. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Jajahan baru membawa bersama pelbagai fahaman luar yang memasuki negeri Islam. Bangsa arab kini menempuh cabaran baru iaitu serangan pemikiran. Falsafah greek tanpa disaring telah mencetuskan kerancuan pemikiran. Ditambah lagi dengan beberapa sarjana yang telah terpesong akibat membelakangi sanad keilmuan.
Munculnya perpecahan tersebut akibat penafsiran yang berbeda pada apa yang telah disampaikan Rasulullah. Mereka mengambil satu nas dari al-Quran atau Hadits dan meninggalkan nas yang lain, sehingga apa yang mereka faham tidak sama dengan apa yang para Sahabat faham daripada Rasulullah. Oleh kerana ini, sanad talaqqi begitu penting.
Di zaman ini munculnya firqah Muktazilah, Qadariah, Jabbariyah, Najariah dan Musyabbibah Mujassimah.
Muktazilah ialah firqah yang berfahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahawa manusia membuat pekerjaannya sendiri, bahawa Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata dalam syurga, bahawa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara syurga dan neraka, dan mikraj Nabi hanya dengan roh sahaja dan lain-lain. Pemimpinnya ialah Wasil bin ‘Ata dan ‘Umar bin ‘Ubaid.
Qadariah ialah firqah yang beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa Allah. Pemimpinnya ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi.
Jabariyah ialah firqah yang beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh Allah, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan Allah dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin. Segala buruk dan baik itu Allah yang melakukannya ke atas manusia. Pemimpinnya ialah Jaham ibn Safuan dari Khurasan.
Najariah ialah firqah yang beriktikad kuasa perbuatan yang dinamakan makhluk boleh memberi bekas, menafikan rukyah Allah dengan nyata di hari akhirat, menganggap al-Quran itu baharu dan mendakwa iman cukup dengan pengakuan sahaja. Pemimpinnya ialah Abil Khusein bin Muhammad al Najar.
Musyabbibah Mujassimah ialah firqah yang beriktikad Tuhan juga bersifat seperti manusia, ada tangan, mata, kaki, duduk di atas kerusi dan sering turun naik di antara langit dan bumi secara fizikal. Mengatakan bahwa Tuhan itu bertempat dan menyerupai sifat-sifat makhluk-Nya. Pemimpinnya ialah Abu Abdillah al-Hasan bin Hamid bin Ali al-Baghdadi al-Warraq, Muhammad bin al Husain bin Muhammad bin Khalaf bin Ahmad al-Baghdadi al-Hanbali dan Abu al-Hasan Ali bin Abdullah bin Nashr az-Zaghuni al-Hanbali.
Di zaman Khalifah al-Ma’mun, al-Mu`tasim dan al-Wathiq, kerajaan memayungi firqah Muktazilah. Mereka memaksa rakyat mengakui al-Quran sebagai makhluk dan memenjarakan sesiapa yang ingkar.
bersambung...