Wednesday, 8 May 2019

Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Psikologi

Penulis: Nazlinda binti Ismail

Bulan Ramadan Al Mubarak bakal menjengah tidak lama lagi dan tentunya bakal memberikan semangat kepada kita untuk meneruskan ibadah. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya maka amatlah patut untuk kita memahami dan mengetahui tentang kelebihan di bulan Ramadan. 
          
           “Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana  yang  diwajibkan  atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. Semua perintah Allah S.W.T  yang disyariatkan, pasti mengandungi faedah  dan  manfaat yang tersendiri. Di dalam  agama  lain pun ada disuruh  penganutnya  agar berpuasa, cuma caranya  sahaja yang berlainan  dengan apa yang disyariatkan di dalam Islam.

Terdapat beberapa kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa.

Pada 1994, Kongres Antarabangsa berhubung Kesihatan dan Puasa yang diadakan di Casablanca, telah membentangkan kertas kerja daripada penyelidik-penyelidik Islam dan bukan Islam. Kajian mendapati amalan berpuasa pada bulan Ramadan mempunyai kesan fisiologi dan psikologi secara tidak langsung. Kesan fisiologi ini termasuklah, merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah sistolik.



Puasa juga dapat memberi kesan dan kelebihan dari sudut psikologi. Dengan berpuasa, ianya dapat memberi ketenangan dan kedamaian pada minda, dipercayai ia berkaitan dengan paras gula dalam darah yang semakin stabil. Semasa berpuasa kita juga digalakkan memperbanyakkan amalan membaca Al-Quran, amalan ini bukan sahaja memberi ketenangan kepada minda dan jiwa, malah dapat meningkatkan keupayaan memori. Dr. Alan Cott, seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah

1

kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Hasil keputusan menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa. Ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Ketika berpuasa, perut akan mengeluarkan bahan-bahan buangan berbahaya yang disingkirkan melalui proses detoksifikasi. Amalan makan secara berlebihan, diet yang tidak seimbang dengan kuantiti karbohidrat yang tinggi dan makanan berlemak, semasa berbuka boleh menyumbang banyak masalah kesihatan. Ini termasuklah hiperglisemia, pertambahan berat badan dan rasa tidak selesa pada perut. Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik serta racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Beliau berjaya mengubati pesakit-pesakitnya dengan meminta mereka berpuasa sebagai alternative kepada ubatan moden.

Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen itu, puasa di bulan Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi ke arah kebaikan dituntut Islam. Ramadan juga mendidik diri menghayati konsep hablun min Allah (hubungan dengan Allah) dan konsep hablun minannas (hubungan sesama manusia). Hubungan itu terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan diharap diteruskan selepas Ramadan.

2


Selain meningkatkan ibadat kepada Allah SWT, puasa juga mendidik jiwa insan untuk berkongsi nikmat dikurniakan dengan memperbanyakkan amalan sedekah yang
mampu membersihkan jiwa daripada perasaan sombong. Puasa mampu menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong dan hasad dengki. Apabila
seseorang itu berpuasa, ia mampu membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung menerapkan sifat rendah diri terhadap orang lain dalam diri. Puasa juga mendidik jiwa dengan sifat belas ihsan terhadap orang lain yang hidup susah dan

kurang bernasib baik. Dengan itu, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang hidup serba kekurangan.

Perintah berpuasa bagi umat Islam adalah pengendalian diri atau self control. Aspek pengendalian ini penting kerana pengendalian diri merupakan salah satu komponen utama bagi mewujudkan dan psikologi dan jiwa yang sihat. Dari perspektif ilmu psikologi dan kesihatan mental, kemampuan mengendalikan diri adalah merupakan indikasi utama sihat atau tidaknya kehidupan rohaniah seseorang. Seseorang yang sihat psikologi dan jiwanya akan memiliki tingkat kemampuan mengendali diri yang baik, sehingga terhindar dari berbagai gangguan psikologi. Sekiranya pengendalian diri seseorang terganggu, maka akan timbul berbagai reaksi pathologi dalam pikiran (cognition), perasaan (affection) dan perilaku (psikomotor). Apabila hal ini terjadi maka akan terjadi hubungan yang tidak harmoni antara diri individu dengan dirinya sendiri dan juga dengan orang lain di sekitarnya. Oleh yang demikian, orang yang jiwanya tidak sihat keadaannya akan sangat mengganggu dirinya sendiri, juga menggangu orang lain. “Puasa itu bukanlah sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah mencegah diri dari segala perbuatan yang sia-sia serta menjauhi perbuatan-perbuatan yang kotor dan keji.” (Hadis Riwayat Buhari).



Di samping itu ibadat puasa juga mendidik manusia supaya bersifat sabar kerana dengan sifat sabarlah kebiasaannya seseorang itu dapat membentuk karakter
dan peribadi yang bermutu tinggi dan mampu membentuk sebagai pemimpin yang terkenal yang membawa dirinya ke peringkat yang dimuliakan, dihormati serta dikasihi.


3

         Sifat sabar adalah seiring dengan sifat tawakal, sebab orang yang bertawakal mestilah sabar dalam menghadapi tanggungjawabnya dan meneruskan perjuangannya, juga tenang dalam menjalankan urusannya hingga sampai kepada matlamatnya. Dengan

berpuasa, emosi kita akan terdidik dan berubah kepada yang lebih stabil dan rasional. Orang yang berpuasa perlu bersabar menunggu waktu berbuka dan menjauhi perkara-
perkara yang membatalkan puasa. Sifat pemarah akan berkurang, lebih bersimpati dan memahami perasaan orang lain, hati jadi lembut dan berbagai-bagai lagi perkara positif berkaitan emosi

          Sebenarnya banyak lagi kelebihan berpuasa dari aspek kesihatan, emosi dan psikologi. Di bulan yang mulia ini, bersamalah kita perbaiki diri ke arah yang lebih positif. Moga Ramadan kali ini, ada manfaatnya yang berterusan.



Rujukan:


1) Cott. A., (2004) Fasting The Ultimate Diet. Hastings House.

2) Lovett, R. (2003) Fasting Away Disease? Psychology Today.

3) Kesan Psikologi dan Fisiologi Semasa Berpuasa Utusan Malaysia, 7 Nov 2004.






Monday, 6 May 2019

Keunikan Negara Islam Menyambut Ramadan

1. Arab Saudi
  Arab Saudi memiliki sebuah “Meriam Ramadan” di Mekkah Al-Mukarramah yang digunakan sebagai tanda masuknya bulan suci ramadan. Meriam itu juga difungsikan sebagai tanda masuknya waktu berbuka puasa, tanda waktu sahur, tanda tibanya waktu Imsak dan masuknya tanggal 1 Syawal. Meriam ini senantiasa menggelegar di setiap harinya di bulan puasa.
Di Arab Saudi tidak ada istilah waktu imsak. Penanda dimulainya puasa adalah azan subuh, bahkan ada yang baru berhenti makan pada detik-detik azan subuh berkumandang
Selama ramadan, pelaksanaan hukuman mati pun ditangguhkan dan seluruh restoran di seluruh penjuru Arab Saudi, tutup. Mereka yang tidak berpuasa pun, dilarang makan di sembarang tempat. Selama 30 hari bulan ramadan, segala hal yang bersifat keduniawian dihentikan.



2. Turki
Di Turki, umat muslim merayakan datangnya bulan ramadan dengan memasang Mahya (lampu khas Turki). Selama bulan ramadan, akan banyak dijumpai mahya yang menggantung menerangi hampir di setiap sudut jalan di Istambul.
Satu jam sebelum waktu sahur tiba, pemuda Turki akan berpakaian rapi dan berkeliling kota sambil mengetuk gendang tanpa henti. Tujuannya adalah untuk membangunkan penduduk agar tidak melewatkan waktu sahur. Masyarakat Turki menyebut tradisi ini sebagai El-Mesaharaty.
Masyarakat Turki memiliki tiga peringkat berbuka. Pertama, makan sup dan roti. Kedua, makan besar, seperti kebab. Iftar ditutup dengan manisan baklava atau pasta.
Masyarakat Turki pada malam ke-27 Ramadhan tentu memperbanyak ibadahnya. Mereka solat tasbih, bertadarus, dan diteruskan dengan saling bersalaman dan berpelukan sebagai tanda saling memaafkan.

3. Palestin
Meski dikenal sebagai negara yang berada di tanah peperangan, namun kegiatan di Palestin dalam menyambut bulan ramadan terbilang cukup unik. Umat muslim di Palestin akan memasang lampu-lampu ramadan di depan rumah dan sepanjang kota.
Tradisi Iftar Atar merupakan salah satu kegiatan di bulan Ramadan yang kerap dilakukan warga Palestin. Iftar Atar ini adalah acara berbuka bersama ala penduduk Palestin. Biasanya dalam acara ini para penduduk Palestin akan menjamah hidangan khas Timur Tengah seperti salah satunya yakni falafel.
Di bulan Ramadhan seluruh umat Muslim di Palestin mendapat tempoh waktu bekerja lebih pendek dari hari biasa. Waktu bekerja dipendekkan selama 1-2 jam.
Orang palestin memiliki sebuah tradisi unik ketika Ramadhan iaitu menjamah makanan penutup iaitu kudapan khas timur tengah bernama Katayef. Katayef adalah sebuah makanan seperti pastri yang diisi dengan kayu manis dan keju putih yang disajikan dengan sirap gula diatasnya. Katayef adalah kudapan khas di bulan Ramadhan.


4. Mesir
Mesir adalah sebuah negara yang memiliki cara unik dalam menyambut bulan suci Ramadan. Bagi negara jiran Palestin ini, budaya seperti Fanous (lampu), Kunafa, dan Qatayef (makanan pencuci mulut khas Mesir, khusus di bulan Ramadhan), adalah hal yang tidak boleh dipisahkan dengan bulan suci tersebut. 
Cara unik ini sudah berlangsung sejak dinasti Fattamiyah lho. Tujuan dari pemasangan lampu ini adalah untuk menyambut kedatangan pasukan Rada yang berkunjung ketika bulan puasa. Hingga akhirnya tradisi tersebut masih dilakukan hingga sekarang.
Orang Mesir berbuka puasa dengan membuat minuman khusus, iaitu “Qamar El-Din” (jenis minuman yang dicampur buah aprikot, kacang dan kelapa)
Tradisi lain adalah Maldah Rahman, atau ‘Hidangan Kasih Sayang’. Maldah Rahmah ini adalah tradisi memberi makanan untuk orang-orang yang berbuka puasa.


5. China
Warga muslim China memiliki tradisi yang dinamakan Muqam. Muqam adalah sebuah tradisi unik menyambut datangnya puasa berupa tari-tarian dan nyanyian. Biasanya ini dilakukan oleh umat muslim Kashgar di China.
Selama bulan Ramadan, negeri Panda ini juga memiliki tradisi unik. Penduduk Muslim China banyak datang dari suku Hui dan Uighur dan mereka saling memberikan makanan kepada sesama penduduk Muslim. Walaupun kabarnya China adalah negara makmur, namun kegiatan ini tetap dilakukan untuk mempererat persaudaraan sesama Muslim.


6. India

Masyarakat muslim di India memiliki tradisi unik menyambut ramadan, khususnya bagi kaum lelaki. Kaum lelaki muslim India akan menghiasi mata mereka menggunakan celak atau di India lebih dikenal dengan sebutan Kohl.

Umumnya, masyarakat India berbuka puasa di masjid atau surau kecil. Hal ini salah satu cara untuk membangun kekeluargaan. Biasanya, muslim India akan berbuka di depan masjid bersama dengan masyarakat lainnya.
Untuk hidangan, biasanya dimasak di rumah para penderma. Bahkan, di India terdapat makanan khusus untuk berbuka puasa iaitu bihun yang dimakan bersama dengan buah-buahan manis. Selama bulan Ramadhan penjualan bihun akan meningkat
Selain itu saat Ramadhan tiba di setiap masjid biasanya juga menyediakan ganghui. Ganghui adalah sejenis sup yang di buat dari terigu, beras, dan potongan daging. Makanan ini biasanya menu wajib yang di sediakan di masjid untuk berbuka puasa.
Masing-masing wilayah di India memiliki juadah yang berbeza untuk berbuka puasa. Di India Selatan, seperti di Tamil Nadu dan Kerala, kerap menikmati nombu kanji.  Nombu kanji merupakan bubur nasi yang dimasak bersama daging sapi atau domba dilengkapi dengan kacang hijau, bawang bombai dan rempah-rempah. Seperti kunyit, kayu manis, jintan, dan cengkih.
Umumnya, makanan ini disajikan bersama bonda, bajji dan vada. Makanan tersebut adalah gorengan khas India.  Sementara itu, haleem menjadi makanan yang kerap dimakan di perbatasan India Utara dan India Selatan, Hyderabadi. Meskipun ini termasuk hidangan Arab, namun setelah diubahsuai dengan aneka macam rempah khas India, makanan ini menjadi hyderabadi haleem.
Hyderabadi merupakan bubur yang terbuat dari gandum, daging lembu atau kambing, bawang bombai, garam masala, ketumbar, dan ghee. Kabarnya, makanan ini sangat istimewa dan menjadi sajian yang cukup sering dikirim kepada umat muslim India yang berada di luar negeri.


Rujukan:

1. Koran Sindo
4. Somia
5. Agus Yulianto
6. Nurdiani Latifah




Tuesday, 23 April 2019

Dadah & Peperangan

Dadah dan peperangan tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Dalam sesetengah tamadun atau organisasi, selain digunakan untuk tujuan perubatan, ada juga yang digunakan untuk menambah keberanian pahlawan atau tentera bila melawan pihak musuh. Mungkin ada yang mengatakan ia satu pembohongan tetapi ia digunakan ramai pihak dari Yunani hinggalah pengganas Daish yang mencetuskan situasi kacau-bilau di Timur Tengah.
Dadah dan dunia purba
Keberanian merupakan antara ciri penting seorang perwira dan bagi setiap tamadun dari timur dan barat, pahlawan sebegini menjadi kebanggaan masyarakat ketika itu. Maharaja-maharaja Parsi misalnya memperkenalkan diri mereka sebagai pemerintah yang adil dan berani. Sementara di China pula, Mengzi menerapkan falsafah keberanian seharusnya menjadi sebahagian daripada tujuan utama kehidupan. Keberanian dan kekuatan sebegini berpunca daripada diberi kurniaan Tuhan atau mempunyai asal-usul kayangan seperti kes Hercules dan Achilles.
Ada juga yang bergantung kepada herba atau dadah tertentu bagi membolehkan mereka menjadi pahlawan yang disegani. Dalam kisah Odyssey yang menampilkan Odysseus, pada satu ketika mereka tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah si pemakan bunga teratai’, satu wilayah yang dihuni penduduknya yang menghasilkan makanan dari bunga berkenaan. Apabila peninjau-peninjau Odysseus merasa sedikit ‘madu’ yang dihasilkan mereka, mereka merasa tidak bermaya dan khayal sehingga tidak mahu pulang ke kem mereka. Sebarang fikiran untuk kembali ke tanah air hilang sepenuhnya selepas mereka merasa makanan yang dihasilkan penduduk wilayah berkenaan.
Ubat atau dadah sebegini bukanlah asing bagi penduduk di sebelah timur lebih-lebih lagi untuk jenis tanaman yang mempunyai khasiat tertentu. Pokok kayu manis misalnya diminati oleh tamadun China, Parsi dan Mediterranean Timur kerana mempunyai khasiat merawat penyakit seperti sakit perut, sakit kepala dan penyakit jantung. Bahkan, pakar perubatan Yunani terkenal Dioscorides memberi preskripsi kayu manis kepada wanita yang mengalami masalah kitaran haid. Sementara satu buku farmasi dari Sepanyol mendedahkan minyak buah pala boleh merawat muntah-muntah dan cirit-birit manakala minyak buah pelaga pula melegakan usus dan membantu mengurangkan kentut. Semasa era pemerintahan Charlemagne, baginda mengarahkan rakyat memetik bunga mallow (sejenis tumbuhan liar di mana batang dan daunnya berbulu) kerana mempunyai khasiat merawat luka peperangan yang dialami tentera.
Selain sebagai penawar penyakit, orang-orang terdahulu juga tahu bagaimana hendak merangsang diri mereka terutama di ranjang. Satu catatan Arab menceritakan individu yang mengalami masalah saiz alat sulit perlu menyapu campuran madu dan halia pada bahagian alat sulit mereka. Tambah catatan tersebut, campuran tersebut mampu memberi kesan hebat kepada pasangan suami isteri dan sekaligus mengembalikan keharmonian rumahtangga yang terganggu akibat masalah ini.
Sementara kitab Veda pula menceritakan khasiat kanabis atau ganja sebagai sumber kegembiraan, penghapus kerisauan dan pemberi kegembiraan sehinggakan penjaga tanaman itu tidak mahu berjauhan dari tanaman mereka. Sumber-sumber China tidak mendedahkan kesan kanabis/ganja sehinggalah teks yang ditulis Pen Tsao Ching yang mendedahkan sekiranya ia diambil secara berlebihan, ia akan mengakibatkan halusinasi. Jika ia diambil secara jangka panjang, si pengambil boleh berhubung dengan roh-roh dan merasa dirinya tidak terbeban. Peranannya sebagai intoksikan sudah diketahui sejauh India, Parsi dan Timur Tengah sehinggakan ada yang menasihatkan supaya ia tidak diambil secara berlebihan dan jangka masa panjang.
Tetapi ada yang memilih untuk tidak mengendahkan lebih-lebih lagi bila direkrut oleh Hassan as-Sabah, seorang pendukung Syiah Ismailiyah dan pengasas kumpulan Hashashin. Menurut pengembara-pengembara dari Venice, beliau dikatakan menggunakan ganja dan perempuan untuk mengumpan mana-mana individu yang mudah termakan menyertai organisasinya Sebagai tukaran kepada dua perkara berkenaan, mereka menjadi pembunuh atau pengacau kepada mana-mana organisasi di Timur Tengah ketika itu sama ada Dinasti Ayubiyah yang diperintah Salahuddin al-Ayubi atau tentera Salib. Tetapi itu tidak bermakna pula ia menyumbang kepada punca kejayaan mereka dalam sesetengah operasi pembunuhan atau sabotaj.
Dadah sebegini hanyalah ganjaran bagi setiap kejayaan yang diraih dan percayalah, jika Hashashin cuba mengambilnya semasa beroperasi, mereka tidak akan mampu menjayakannya. Mungkin atas sebab itu juga, pada abad ke-14, seorang pemerintah Syria mengarahkan semua pokok ganja dimusnahkan. Jika ada yang masih mengambil hashish semasa operasi pembanterasan ganja dilakukan, gigi hadapan mereka akan dicabut sebagai amaran kepada sesiapa yang masih melakukannya. Ini kerana baginda merasakan ganja menyebabkan orangnya tidak berkemampuan untuk melawan lebih-lebih lagi bila wilayahnya diserang pihak musuh.
Dadah dan peperangan moden
Pada abad ke-19, perdagangan membabitkan dadah masih lagi dibenarkan dan salah satu tempat yang menjadi tumpuan eksport Britain ketika itu ialah candu. Dan apa yang dibimbangkan ramai sejak beribu-ribu tahun lalu berkenaan ganja menjadi kenyataan di China. Terima kasih kepada lambakan candu di pasaran, China yang merupakan antara kuasa ekonomi dunia ketika itu terjejas teruk akibat lambakan candu di pasaran dan mengakibatkan 4.12 juta penduduknya menjadi penagih. Isu sebegini yang akhirnya mencetuskan siri Perang Opium antara China dengan kuasa-kuasa Barat dan secara tidak langsung, benih permulaan kepada kejatuhan Dinasti Manchu.
Jika dadah mampu memusnahkan negara dalam konteks perang ekonomi, lihat pula dari konteks peperangan moden. Pada Perang Dunia Kedua, kita menyaksikan jentera perang Nazi melancarkan kempen perang kilat mereka pada tahun 1939 dan 1940 sehingga mampu menguasai sebahagian besar benua Eropah dari Oslo hingga ke Paris. Kempen Blitzkrieg mereka ini dijana oleh sejenis dadah yang dipanggil pervitin. Pervitin dihasilkan oleh syarikat farmasi Temmler dalam skala perindustrian yang besar menjadi kegilaan ramai di Jerman tanpa mengira sama ada orang awam atau tentera Wehrmacht. Penggunaan pervitin ini seolah-olah mengesahkan teori Ubermen yang diagung-agungkan rejim Nazi Jerman yang melihat orang Jerman sebagai orang Aryan atau bangsa super.
Pervitin menjadikan tentera di perbatasan seperti Superman dan mampu melakukan perkara yang dianggap mustahil seperti penawanan Kubu Eben Emael pada Mei 1940. Apa yang menjadikan peristiwa ini luar biasa ialah kemampuan tentera Wehrmacht seramai lebih 400 orang menawan kubu yang dikawal lebih seribu orang dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Kejayaan ini membentuk imej tentera Wehrmacht sebagai jentera perang yang harus dihormati dan digeruni. Pervitin dikatakan menambah kesedaran tentera, mampu berfungsi dalam keadaan kurang tidur, sebagai perangsang prestasi dan menambah konsentrasi mereka di perbatasan.
Satu kajian yang dibentangkan oleh penulis Jerman Norman Ohler mendedahkan pervitin membantu tentera yang berjuang di Medan Timur. Bila mereka tidak diberi dos pervitin, moral tentera amat lemah kerana dibantai suhu sejuk sebanyak -30 darjah Celsius dan tentangan sengit tentera Soviet. Bila mereka diberi pervitin, ia menambah keyakinan, kesedaran dan moral mereka. Pervitin juga menjadi kegilaan kepimpinan tertinggi Nazi Jerman terutama dalam kalangan pihak tentera. Field Marshal Erwin Rommel misalnya sentiasa mengambil pervitin sehingga menggelarnya roti harian. Pada tahun 1944 dan 1945, Nazi Jerman turut menghasilkan dadah D-IX, satu gabungan koktel kokain, morfin dan pervitin untuk kegunaan tentera mereka. Dadah sebegini diuji pada tahanan-tahanan kem di Sachenhausen di mana mereka dipaksa berjalan di atas satu laluan khas yang direka bukan saja untuk menguji kasut baru pihak tentera tetapi menguji keberkesanan D-IX di luar makmal.
Namun, bukan Nazi Jerman saja yang menggunakan dadah untuk kegunaan tentera mereka. Jepun pula menggunakan amphetamina untuk kegunaan tentera mereka semasa kempen Pasifik dalam WWII. Sementara Britain atau lebih tepat Jeneral Bernard Montgomery membekalkan tenteranya dengan Benzedrine sebelum Pertempuran El Alamein menentang Rommel dan unit Afrika Korpnya. Apa yang digunakan oleh unit Montgomery merupakan sebahagian daripada program sama yang membekalkan 72 juta Benzedrine kepada tentera British yang bertempur semasa WWII.
Jika ada merasakan kegilaan sebegini berakhir pasca-WWII, anda salah. Selepas perang, percayalah kuasa-kuasa besar sentiasa akan menguji dadah perangsang untuk kegunaan tentera mereka sendiri dari tahun 1950-an hingga sekarang. Misalnya, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) membekalkan varian amphetamina yang dipanggil dextroamphetamina kepada juruterbang-juruterbang mereka yang akan menjalani misi dengan durasi panjang. Dadah yang dibekalkan USAF ini bertujuan menjadikan mereka lebih awas semasa berada di udara dan mengurangkan keletihan. Ia turut digunakan semasa Perang Teluk di mana 65% daripadanya melaporkan ia amat berguna atau penting kepada misi mereka.
Tetapi semua ini ada harganya. Ada satu insiden di kem latihan Tarnak Farms, Afghanistan pada tahun 2002 yang mengorbankan empat tentera Kanada dan lapan lagi cedera. Insiden ini berlaku disebabkan kesilapan seorang juruterbang USAF yang tersalah tembak ketika di bawah pengaruh Dexedrine. Dan ada satu insiden di mana dua tentera Amerika mati selepas diberi dimetilamina, sejenis dadah perangsang prestasi yang diharamkan oleh Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA).
Pihak Amerika tidak keseorangan dalam bab ini. Daish juga tidak teragak-agak menggunakan Captagon dan membekalkannya kepada pejuang-pejuang mereka untuk membantu mereka merasa senang, menambah tenaga dan meningkatkan kesedaran. Secara tidak langsung, keganasan yang berlaku di Syria terutama semasa Perang Saudara Syria yang berlaku pada tahun 2014 berpunca daripada penyalahgunaan dadah yang berleluasa ketika itu membabitkan bukan saja pihak Daish tetapi juga pihak pemberontak.
SUMBER
2. Joe, Robert dan Willis, Sam. (2016). Nazi World War Weird. Episod 3: Hitler’s Meth Heads. https://www.dailymotion.com/video/x56mw17