Thursday, 3 October 2019

e-Wallet Patuh Syariah?

Ledakan revolusi industri 4.0 menyaksikan pelbagai teknologi terkini menggantikan urusan tradisional. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, bahkan menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi, kewangan serta politik.
    Istilah ‘fintech’ merujuk kepada teknologi kewangan terkini dengan blok rantai (blockchain), teknologi lejar teragih, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IOT), analisis data raya adalah sebahagian teknologi sedang mengadaptasi kewangan konvensional dan tradisional. Industri kewangan dan perbankan tidak lagi dilihat eksklusif dalam menyediakan produk kewangan komprehensif.
    Apabila konsep pembayaran elektronik (e-payment) diperkenalkan, ia mempercepatkan banyak transaksi tradisional. Pengguna tidak perlu beratur panjang untuk tujuan pembayaran bil, yuran dan pemindahan, sebaliknya cukup melayari aplikasi atau web pembayaran bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
    Namun inovasi itu tidak terhenti begitu sahaja. Penggunaan e-payment masih ada kekangan kerana belum cukup pantas dan prosesnya memiliki birokrasi tersendiri kerana masih dipegang sektor perbankan. Pemain teknologi belum berpuas hati dengan sistem itu, sebaliknya mahu lebih cepat dan terus kepada pengguna.
    E-dompet (E-wallet) diperkenalkan pemain teknologi yang menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri dan pemindahan kepada pihak lain hanya menggunakan kod. Pengguna dan pedagang hanya perlu satu imbasan untuk memindahkan wang, sekali gus berperanan seperti dompet tradisional. Apabila pengguna membeli barang di kedai, pengguna memindahkan wang daripada dompet mereka ke dompet pekedai dalam bentuk maya.
    Kecanggihan teknologi e-wallet memungkinkan inovasi masa hadapan. Tidak mustahil, kita tidak lagi memerlukan aplikasi dalam telefon bimbit, tetapi cukup cap jari atau retina mata untuk pemindahan wang. Teknologi blockchain menggunakan retina mata sebagai identiti sudah digunakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikannya telus, selamat dan sampai kepada pihak sepatutnya.
Namun, sejauh manakah teknologi e-wallet mematuhi prinsip syariah?
Islam tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baharu, bahkan mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal pada tahap maksimum untuk kemaslahatan manusia. Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Apapun jenis teknologi dicipta, ia mesti bertujuan kebaikan kehidupan manusia, bukannya mencabar kekuasaan Tuhan.
    Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden hari ini ialah halal selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar (penipuan), judi, haram dan zalim. Ia tidak semestinya terikat akad seperti zaman dahulu. Evolosi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai zamannya. Imam Malik RA menyatakan: “Setiap perkara yang dianggap jual beli oleh manusia adalah dikira jual beli.”
Apakah transaksi melalui e-wallet memiliki unsur boleh membawa kepada pengharamannya?
Sebelum membahaskan unsur itu, kita wajar meletakkan beberapa prinsip sebagai panduan. Pertama, setiap aplikasi e-wallet unik dan memiliki ciri tersendiri. Sudah pasti tahap sekuriti, kaedah pemindahan dan pengeluaran serta had berbeza.
    Kedua, sejarah dan objektif kewujudannya juga berbeza. Tidak dinafikan asal penggunaan aplikasi terhad tetapi semakin berkembang dan keluar daripada maksud asal. Contohnya, Touch n Go asalnya terhad kepada pembayaran tol tetapi kini kaedah pembayaran meluas. Lazada asalnya platform jual-beli tetapi berkembang kepada e-wallet yang bukan sahaja untuk pembelian di platform terbabit.
    Ketiga, e-wallet sejenis penyedia perkhidmatan prabayar. Untuk menggunakan e-wallet, kita perlu mengisinya dengan sejumlah wang dan akan terbit dengan nilai untuk membuat pembayaran. Umum mengetahui model perniagaan prabayar bukan baharu di negara ini, sebaliknya bermula lebih 30 tahun lalu.
    Keempat, e-wallet tidak sama dengan deposit perbankan, meskipun masih menggunakan perkhidmatan perbankan bagi tujuan perekodan dan pembayaran. Bank Negara Malaysia (BNM) juga membezakan senarai bank dan syarikat dibenarkan untuk pengoperasian e-money (termasuk e-wallet).
    Syarikat penyedia e-wallet tidak dibenarkan menggunakan wang deposit e-wallet untuk apa jenis tujuan melainkan transaksi dilakukan pengguna sahaja. Contohnya, A mendepositkan RM100 ke e-wallet tetapi tidak berbuat apa-apa, jumlah itu tidak boleh digunakan syarikat penyedia e-wallet untuk apa-apa tujuan. Ia perlu kekal dalam akaun khas milik pelanggan.
    Sekiranya A melakukan transaksi pemindahan kepada B sebanyak RM100, barulah syarikat penyedia melakukan pemindahan deposit itu. Di situ mungkin syarikat penyedia e-wallet akan mengenakan caj pemindahan sebagai upah perkhidmatan transaksi.
    Umumnya, perkhidmatan e-wallet tidak dilihat mempunyai unsur bercanggah dengan prinsip syariah selagi barangan dan perkhidmatan dibeli patuh syariah. Adaptasi Fiqh (takyif fiqhi) mungkin menimbulkan persoalan namun ia masih tidak terkeluar daripada prinsip dibenarkan syariah. Ia boleh dikira akad moden yang diterima syariah.
    Bagaimanapun, ada beberapa isu dibangkitkan sebagai peringatan kepada syarikat penyedia e-wallet. Pertama, promosi bonus isi semula. Ada syarikat menawarkan bonus bagi setiap isian semula sebagai promosi menggunakan e-wallet mereka, contohnya isi RM100 dan dapat bonus tambahan RM5. Apakah itu termasuk riba?
    Ia perlu diperhalusi, iaitu apakah RM100 isian semula adalah bentuk pinjaman pelanggan kepada syarikat penyedia e-wallet? Sekiranya ya, maka bonus dikira faedah ke atas pinjaman dan sudah pasti menjadi riba yang diharamkan.
    Bagaimanapun, e-wallet tidak dilihat sebagai satu bentuk pinjaman kerana syarikat penyedia e-wallet tidak mempunyai apa-apa hak penggunaan terhadap isian semula. Ia tidak sama seperti bank yang mempunyai hak melakukan pelaburan dan aktiviti dibenarkan.
    Kebanyakan syarikat penyedia e-wallet mensyaratkan pembelian bagi menggunakan bonus itu. Ini kerana biasanya mereka menggunakan keuntungan caj transaksi pembelian bagi membayar bonus itu kepada pelanggan. Dengan kata lain, bonus itu diambil daripada keuntungan caj pembelian, bukan wang pelanggan.
    Kedua, syarikat penyedia e-wallet menyediakan peruntukan khas bagi memasarkan e-wallet mereka untuk menarik ramai pelanggan. Maka, kebarangkalian ia akad pinjaman agak jauh.
    Namun, jika syarikat penyedia e-wallet menggunakan wang milik pelanggan bagi aktiviti selain yang dibenarkan dan memberi bonus kepada pelanggan, ia termasuk bentuk pinjaman dan terdedah kepada riba. Sekiranya berlaku, mereka melanggar peraturan sebagai penyedia e-wallet dan boleh ditarik ‘lesen’.
    Kedua, promosi yang bercanggah syariat. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang menggunakan e-wallet mereka yang bertujuan menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan itu.
    Contohnya, mereka perlu membayar RM1 dari e-wallet untuk menyertai cabutan bertuah yang sekiranya menang, mereka akan menerima hadiah berupa gajet bernilai ribuan ringgit. Mereka yang tidak berjaya akan dipulangkan kembali wang masing-masing.
    Komitmen RM1 itu adalah satu bentuk perjudian walaupun dipulangkan kembali jika tidak berjaya kerana ia sama seperti menyertai perjudian tetapi tidak mengeluarkan duit sendiri.
    Kesimpulannya, perkhidmatan e-wallet tidak melanggar prinsip syariah, apatah lagi ia membantu manusia memudahkan urusan harian. Bagaimanapun, terdapat proses teknikal dan kaedah promosi perlu diteliti sekiranya syarikat penyedia e-wallet ingin memastikan perkhidmatan patuh syariah.

Sumber:

Berita Harian, Slot Agama Julai 2019
Penulis :Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tuesday, 10 September 2019

Legasi ilmu Tuan Hussain Kedah


MENERUSKAN legasi keilmuan yang diwarisi keluarga, Tuan Hussain Kedah atau nama sebenarnya Hussain bin Muhammad Taib bin Mas’ud adalah antara ulama dan pendakwah terkemuka Nusantara.
Dalam sejarah perjuangannya, tokoh dari negeri Kedah itu adalah antara penulis kitab agama terkenal di Nusantara kerana sumbangannya dalam menghasilkan kitab-kitab termasuk ilmu fikah, tauhid, dan tasawuf. Minatnya yang mendalam untuk menyebarkan ilmu mendorong beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usaha mengukuhkan pendidikan Islam. Antaranya ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Seberang Perai.
Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterap serta dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya. Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau dan rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun. Untuk mereka yang berkeluarga, dibina pondok dalam kawasan sekolah, manakala untuk pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.
Para pelajar Tuan Hussain terdiri daripada remaja belasan tahun hingga berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan, namun ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain yang begitu meluas.
Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar disebabkan institusi pendidikan masih kurang didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan lagi semangat Tuan Hussain. Beliau menetapkan jadual belajar yang anjal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga ke petang, manakala pembantunya akan mengajar pada waktu malam. Jadual yang disediakan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Justeru, waktu tengah hari dan malam boleh digunakan untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Sambutan Luar Biasa

Pondok Tuan Hussain mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pernah satu ketika, terdapat lebih 50 pondok didirikan di satu-satu lokasi. Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenal asrama (rumah panjang) yang mampu didiami ramai pelajar. Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih daripada 400 pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1,000 pelajar. Demikianlah bukti kejayaan dan hasil kegigihan Tuan Hussain menyebarkan ilmu, yang sukar bagi sesiapa untuk menafikannya. Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain, pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh beliau sendiri. Mereka juga turut merujuk nota-nota yang disalin oleh pelajar terdahulu.
Terdapat 18 buah kitab yang dihasilkan oleh Tuan Hussain dan turut digunakan di seluruh Nusantara pada masa itu. Antaranya:
* al-Nur al-Mustafid fi Aqaid Ahi al-Tauhid (1887)
* Tamrin al-Sibyan (1809)
* Hidayat al-Sibyan (1911)
* Hidayat al-Mutafakkirin (1918)
* Kasr al-Iksir (1920)
* Hidayat al-Talibin (1924)
* Tadrih al-Sibyan (1926)
      
Berdasarkan keampuhan ilmu agama yang dimiliki dalam bidang fikah, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian dari pihak Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Selain itu, beliau juga telah menterjemah kumpulan hadis Jawahir al-Bukhari. Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tokoh ini juga arif dalam ilmu al-Quran dan hadis, iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.
Sewaktu kecil, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuknya sendiri iaitu Muhamad Taib sebelum berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di Pondok Uala. Beliau turut berguru di serata tempat termasuk di Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor dan Melaka sebelum menyambung pengajian di Mekah. Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan untuk berguru dengan ulama terkenal termasuk Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat dan Tuan Syeikh Umar Bali. Di sana, Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat, antaranya Tok Kenali, Haji Wan Sulaiman Sidi, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah.
       Sekembalinya dari Mekah kira-kira pada 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan. Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Abdul Rahman Abdullah, Ismail Sulaiman, Omar Merbok, dan Ghazali Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya. Selain itu, sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah Pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

Berpandangan Tegas
Tuan Hussain amat tegas dalam pendirian, terutama dalam perkara halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis tanpa kompromi. Pendirian yang sedemikian kadangkala kurang disenangi pihak pemerintah yang mahukan beliau bertolak ansur. Antara pendirian beliau adalah mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama, manakala wang zakat mesti diterima oleh golongan yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati.
       Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya. Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.
       Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun. Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di Makam Diraja Kedah yang terletak di Langgar. Bagaimanapun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Mariam, supaya jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya di Titi Gajah.


– Dilahirkan pada 2 November 1863 di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah
– Berasal daripada keluarga ulama Kalimantan
– Datuknya, Haji Mas’ud merupakan antara yang memainkan peranan penting membantu 
   kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam sebelum terkorban dalam perang
   tersebut
– Bapanya, Muhamad Taib mengambil keputusan untuk menetap di Kedah
– Meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada antara tanah
   tersebut diwakafkan untuk tujuan dakwah



Rujukan:

Thursday, 5 September 2019

Sejarah Perkembangan Sekolah Pondok Sebelum Merdeka

Sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya telah wujud sejak zaman kegemilangan Empayar Melaka lagi. Pendidikan pada zaman tersebut adalah berteraskan Islam hasil daripada kedatangan agama suci tersebut ke rantau Asia yang kemudiannya merebak ke Melaka. Sejarah menyebut bahawa pendidikan Islam pada awal usianya mula diajar di rumah-rumah guru, kemudian berpindah ke masjid, surau, madrasah sebelum berpusat sepenuhnya di sekolah pondok.
    Institusi pengajian pondok adalah institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Namun, tidak ada sebarang bukti atau catatan yang jelas yang menyatakan tarikh sebenar kewujudan institusi ini. Apa yang pasti, sekolah pondok muncul tanpa dirancang. Ia berkembang dek kerana sambutan orang ramai yang dahagakan ilmu yang datang ke satu-satu tempat untuk belajar dengan Tok Guru mereka.

Beberapa Pendapat Tentang Asal-usul Sekolah Pondok:
Walau bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan bahawa institusi pengajian pondok berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Pendapat ini adalah bertunjangkan bahawa Pattani merupakan Pusat Pelajaran Agama dan Kebudayaan Melayu yang terkenal pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Alasan lain yang menjadi asas kepada pendapat ini adalah kerana ramai ulama’ Pattani menyusun kitab-kitab Jawi yang digunakan di pondok-pondok. Kebanyakan mereka menggunakan dialek Pattani sewaktu menyampaikan pengajaran di sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negeri Kedah dan Perak.
    Pendapat kedua menerangkan bahawa Pondok berasal dari Kelantan, Indonesia berdasarkan beberapa buah kitab Jawi terjemahan ulama’ Banjar dan Jawa yang dibawa dan dijadikan rujukan di pondok-pondok. Di utara Semenanjung Malaysia terdapat beberapa orang Tok Guru yang mendapat pendidikan dari Pattani dan Indonesia. Antara ulama’ yang mendapat pendidikan di Pattani adalah Haji Zainal atau Tuan Minal dari pondok Sungai Dua (1875), Haji Mahmud Taib dari pondok Kubang Semang, Seberang Prai Tengah (1920).
    Contoh ulama’ yang mendapat pendidikan di Indonesia ialah Haji Mahmud Taha dari Pondok Alor Belat, Butterworth (1880), mendapat pendidikan awalnya di Sumatera. Manakala tokoh-tokoh ulama’ lain adalah seperti Ibrahim Acheh dan Tok Sheikh Acheh dari pondok Permatang Jagus, Kepala Batas (1885), Fakih Daim dari pondok Sungai Deraka, Seberang Prai Tengah (1880) dan Haji Salleh al-Misri dari pondok al-Misriyyah (1906).

Maksud Perkataan "Pondok".
Perkataan “pondok” adalah perkataan bahasa Arab, فندوق yang bermaksud khemah, hotel, tempat menginap ataupun tempat persinggahan sementara bagi para pengembara. Istilah ini lebih terkenal sebagai tempat tinggal yang dihuni oleh para penuntut ilmu. Kamus Dewan pula memberi erti “pondok” sebagai madrasah atau tempat belajar agama. Di Indonesia, terdapat beberapa nama yang diberikan kepada pondok, umpamanya “pesantera”. Ia membawa maksud pelajar agama. Pesantera merupakan tempat berkumpul dan penginapan bagi para santri di mana ia membentuk sekumpulan rumah yang mengelilingi masjid atau rumah tuan guru. Di Madura, istilah “Penjentren” digunakan sebagai gantian istilah “pondok”. Istilah “Rangrang” pula digunakan oleh penduduk di Acheh, perkataan “surau” untuk penduduk di Minangkabau, manakala di Sumatera pula, penduduknya menggunakan istilah “Langgar”. Walaupun istilah yang digunakan adalah berbeza, namun ia tetap membawa erti yang sama iaitu deretan rumah-rumah kecil yang menjadi tempat menginap bagi pelajar-pelajar pengajian agama.

Rupa Bentuk Sekolah Pondok.
Rupa bentuk pondok di Tanah Melayu tidak banyak bezanya dengan pondok yang terdapat di Indonesia. Ia dibina menggunakan buluh. Terdapat juga pondok-pondok di kampung-kampung yang diperbuat daripada bahan kayu, mempunyai tiang dan bertangga. Tangga-tangga pondok ini dihubungkan ke perigi oleh deretan batu-batu titian. Ia memudahkan pelajar untuk bersuci tanpa bersepatu sebelum terus menuju ke pondok masing-masing. Sebilangan besar sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu dibina di kawasan penanaman padi misalannya di negeri Kedah dan Kelantan.

Sistem Pendidikan di Sekolah Pondok.
Jika dilihat dari sudut struktur pendidikan, pembelajaran pondok adalah berbentuk tradisional. Tiada had umur, jantina atau kebolehan tertentu yang diselaraskan bagi calon-calon pelajar yang berkeinginan belajar di institusi ini kecuali dua perkara, iaitu boleh membaca tulisan Jawi dan boleh membaca al-Quran. Setiap orang sama ada lelakki atau perempuan, tua ataupun muda berhak belajar di institusi ini. Tidak ada sebarang yuran pengajian yang dikenakan sama ada bayaran bulanan ataupun tahunan. Tempoh pengajian pula bergantung kepada keupayaan pelajar itu sendiri. Jangka masa minimum adalah dua tahun, manakala jangka masa yang paling maksimum adalah sepuluh tahun.
    Sistem penilaian seperti peperiksaan tidak diwujudkan sebaliknya seseorang pelajar dibolehkan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan kemampuannnya memahami pelajaran atau kitab yang baru dipelajari. Kebolehan akan dinilai dan akuan guru merupakan syahadah yang tidak ternilai dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun. Bagi membuktikan kebolehan tersebut, pelajar hendaklah mempraktik dan mengamalkan setiap titis ilmu yang dipelajari. Bagi pelajar-pelajar yang agak lemah, mereka dikehendaki mengulangi semula pelajaran tersebut sehinggalan mereka boleh menguasainya dengan baik sebelum menyambung ke peringkat seterusnya. Jadi, jelaslah menunjukkan, bahawa tiada istilah keciciran dan tiada pula konsep mengejar gred dan mata dalam memperoleh sebutir “syahadah” dalam sistem pengajian pondok.
    Waktu pembelajaran di semua institusi pondok adalah hampir serupa. Para belajar belajar tiga kali sehari; pagi, petang dan malam. Waktu pembelajaran untuk sesi pagi ialah seusai solat Fajar sehingga jam 12.00 tengahari. Waktu untuk sesi petang pula adalah sebaik menunaikan solat Zohor sehingga masuknya waktu solat Asar. Manakala waktu pembelajaran pada sebelah malam bermula selepas menunaikan solat Maghrib sehinggalah waktu Isyak.
    Walaupun nampak tidak sistematik, para pelajar di institusi ini masih mampu meningkatkan pengetahuan dan menguasai pelajaran agama yang diperolehi daripada para tok guru mereka berbekalkan semangat juang dan cintakan ilmu yang tinggi. Melalui perolehan ilmu ini, mereka semua layak mendapat gelaran alim ulama dan mampu untuk memegang jawatan sebagai muazzin atau bilal, tok imam, ustaz, kadi, ketua kampung, penggawa ataupun penghulu mukim. Apa yang pasti,masyarakat setempat sentiasa memandang tinggi terhadap golongan yang mempunyai ilmu agama yang tinggi seperti mereka sebagai penyambung warisan alim ulama yang kian uzur dimamah usia.

Rujukan:
Tetuang TV- Laman Warisan Seantero Nusantara

Friday, 30 August 2019

Hijrah Adalah Universal

Sekali lagi kita menyambut ketibaan awal Muharram yang menandakan peristiwa bersejarah Hijrah berlaku pada 622 Masihi. Tarikh ini mungkin berbeza dalam sumber-sumber yang berlainan. Hijrah amat besar maknanya kepada umat Islam kerana ia membawa pengertian tersurat dan tersirat.
    Apabila Hijrah itu diselami secara telus, kita akan dapati maknanya memenuhi semua umat manusia di dunia tanpa mengira bangsa dan agama.
    Semua umat manusia perlu memandang Hijrah secara objektif tanpa prejudis dan menyedari faedahnya kepada kesejahteraan umat manusia sejagat.
    Fikiran terbuka tentang semua tamadun dunia dan sumbangan mereka dapat membentuk sahsiah mithali sebagai umat dunia. Apabila kita mengajar Sejarah Islam kepada pelajar, kita menggalakkan mereka berfikir secara terbuka dan menghormati dan menghayati tamadun sebagai salah satu penyumbang dalam pembentukan kemanusiaan. Mereka perlu dibimbing untuk melihat kecantikan tamadun Islam seiring dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Hijrah adalah universal, milik semua umat manusia. Maaf jika golongan ulama mempunyai pendapat lain.
    Hijrah sebagaimana kita tahu adalah perkataan Arab yang membawa takrifan berpindah atau perpindahan.
    Dalam konteks tamadun Islam, Hijrah membawa pengertian lahiriah dan rohaniah. Secara lahiriah atau fizikal, Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah bagi tujuan meneguhkan kedudukan Islam. Peristiwa Hijrah berlaku apabila Nabi Muhammad SAW dan pengikut Islam berhijrah ke Kota Madinah apabila mereka menghadapi pelbagai rintangan dalam penyebaran syiar Islam.
    Hijrah secara rohaniah juga berlaku pada masa sama. Ia juga membawa maksud perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan meninggalkan segala keburukan. Hijrah melambangkan semangat ingin berubah dari segi sikap, cara berfikir dan amalan. Hijrah pada ketika itu memberikan keberanian, kesabaran, keyakinan, keterbukaan, fikiran positif, aspirasi dan cita-cita untuk kemajuan dan keselamatan penduduk Islam. Hijrah inilah yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Islam pertama di Madinah dan menjadi tiang utama dalam tamadun Islam.
    Sejauh manakah kita menghayati Hijrah ini dalam kehidupan di Malaysia? Kita membina Malaysia dengan satu impian negara bangsa yang terdiri daripada masyarakat majmuk pada 1957. Kira-kira 1338 tahun sebelum negara kita diasaskan, Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan kerajaan Islam di Madinah dengan pengistyiharaan Piagam Madinah. Piagam ini merupakan Perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah dunia digubal lebih awal daripada Perlembagaan Amerika Syarikat (1787) dan Perlembagaan Peranchis (1795).
    Apabila kita teliti, negara kita dibina atas dasar semangat Piagam Madinah. Menurut piagam ini masyarakat Madinah bebas menganuti agama dan budaya mereka masing-masing. Kehidupan masyarakat bukan Islam terjamin dari segi kedudukan dan keselamatan selagi Piagam Madinah tidak dicerobohi. Perlembagaan negara kita juga telah memberikan hak dan kebebasan yang sama kepada masyarakat majmuk yang berkorban bersama-sama dalam membina negara kita yang tercinta.
    Piagam Madinah mengajar kita supaya hidup bersama dan bersatu padu memajukan negara. Teladan sudah pun ditunjukkan kepada kita lebih seribu tahun lalu.
    Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat supaya perpaduan negara dipelihara daripada segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan negara. Semangat Hijrah perlu disemaikan di sanubari keseluruhan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Masyarakat kita perlu meninggalkan segala prasangka dan hidup bagai aur dan tebing demi negara yang kita kasihi. Kesederhanaan harus dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan ke arah negara yang harmoni. Ini telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW apabila Hijrah dilakukan.
    Baginda mengajar semangat persahabatan antara kaum sebagai tunggak kemajuan negara.
    Adakalanya rasa sedih melihat bagaimana semangat Hijrah ini semakin pudar dalam masyarakat kita. Kita sanggup mencela, mencemuh dan merendahkan sesuatu bangsa tanpa berfikir panjang. Kita juga berpecah-belah kerana fahaman politik yang berbeza. Kita juga melakukan penipuan, penyelewengan dan pembohongan untuk kepentingan sendiri. Kepentingan bersama yang disarankan oleh Hijrah juga ditelan oleh ketamakan dan kerakusan sehingga nasib masyarakat dilupakan. Kita ingin melihat gelombang reformasi di negara kita menjelma sebagai satu produk Hijrah.
    Bersama-sama kita menghasilkan Hijrah dalam pendidikan, perkembangan sains dan teknologi, kemajuan ekonomi dan kemajuan sosial. Kita perlu Hijrah dalam sains penerokaan angkasa, sains nuklear, sains kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan sains robotik setanding negara-negara maju. Kita juga perlu Hijrah ke arah industri pembuatan kereta api, kapal terbang, dan industri berat yang lain.
    Hijrah juga telah lama dilupakan dalam struktur antarabangsa. Semangat Hijrah seperti keamanan, kedamaian, dan perpaduan umat manusia semakin terpadam. Apa yang kita lihat pada hari ini adalah segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan umat manusia. Hilang perpaduan dalam kalangan negara-negara Islam.

Penulis asal: Dr. Nor Aishah Hanifa (Pensyarah)



Rujukan:

Thursday, 1 August 2019

Tahap Kefahaman Jemaah Haji Malaysia Terhadap Pelaksanaan Ibadat Haji: Satu Penilaian Kuantitatif

PENDAHULUAN

Elemen penting dalam memastikan jemaah haji mendapat haji yang mabrur adalah melalui pelaksanaan ibadat haji yang sempurna. Kesempurnaan ibadat itu tidak akan tercapai melainkan dengan adanya penerapan ilmu dan pemahaman yang jelas terhadap pelaksanaan ibadat tersebut (Al-Ghazali: 1998). Jemaah haji Malaysia tidak terkecuali dalam memperkasakan ilmu mengenai ibadat haji sebelum mereka menunaikan ibadat tersebut di tanah suci Makkah. Bimbingan ibadat haji jemaah haji Malaysia telah dikelola sepenuhnya oleh Tabung Haji di bawah Bahagian Bimbingan mengikut peruntukan Akta Tabung Haji 1995.

Kajian kuantitatif yang berfokus kepada tahap kefahaman pelaksanaan ibadat haji dalam kalangan jemaah haji Malaysia ini dilakukan ke atas jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji bersama pakej Nilam Tabung Haji Travel & Services pada musim haji 1433H/2012M. Ia berteraskan kepada objektif seperti berikut:

(1) Mengkaji pemahaman jemaah haji Malaysia mengenai pelaksanaan ibadat haji di Mekah.

(2) Mengenal pasti tahap kepuasan jemaah dalam melaksanakan ibadat haji di Mekah.

(3) Mengetahui kesediaan jemaah haji untuk menerima pendekatan visual dalam bimbingan haji.

Melalui kajian ini, jemaah haji didapati mengalami masalah dari sudut gambaran sebenar pelaksanaan ibadat tersebut. kegagalan untuk mendapat gambaran yang jelas ini menyebabkan mereka menimbulkan banyak permasalahan ibadat dan akhirnya menyumbang kepada rasa was-was dan tidak puas dalam melaksanakan ibadat tersebut. Oleh yang demikian, kaedah penerapan ilmu mengenai pelaksanaan ibadat haji perlu dipertingkatkan dengan mengambil kira perkembangan semasa suasana dan teknologi masa kini.

JEMAAH HAJI MALAYSIA DAN PELAKSANAAN IBADAT HAJI: SATU PERKEMBANGAN 

Pelaksanaan ibadat haji dalam kalangan masyarakat Melayu telah bermula sejak kedatangan Islam di tanah Melayu pada awal kurun ke-7 (Ibrahim et al., 1987). Bermula dari perjalanan haji yang dikelola oleh syeikh-syeikh haji sehinggalah ia berkembang dengan tertubuhnya badan rasmi yang mengurus pemergian haji jemaah haji Malaysia. Perbincangan mengenai perkembangan pelaksanan ibadat haji dilihat dari kurun ke-18 hingga kurun ke-20.

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-18

Di Tanah Melayu, perbincangan terhadap ilmu ibadat haji telah bermula seawal tahun 1880-an. Beberapa penulisan awal telah menceritakan kisah perjalanan ibadat haji orang Melayu yang menjadi sumber pembelajaran haji pada ketika itu (Aiza, 2009). Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fatani adalah di antara ulama nusantara yang terawal memuatkan perbincangan mengenai ibadat haji berdasarkan panduan dalam mazhab Syafie. Beliau yang pernah menuntut selama 30 tahun di Makkah telah mencurah ilmu melalui pengamatan pelaksanaan ibadat haji selama berada di tanah suci Makkah (McDonnell, 1986). Haji Wan Abdul Samad Bin Muhammad Salih atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal turut menyumbang kepada perkembangan ilmu fiqh mazhab Syafie di Kota Bharu, Kelantan setelah menamatkan pengajiannya di Makkah. Beliau bertapak di perkampungan Tok Semian yang akhirnya diberi gelaran ‘Mantiqah ‘Ilm’ menjadi sumber rujukan masyarakat Melayu setempat dalam pengajian hukum-hakam termasuk aspek ibadat haji (Ahmad Zaki dan Mohd Roslan, 2009).
     Raja Ahmad iaitu putera raja dari kesultanan Riau pula berkongsi pengalaman mengerjakan haji ketika mengetuai rombongan haji sekitar tahun 1860-an dan telah menggunakan khidmat Syeikh Mushafi sebagai agen untuk mengurus perjalanan haji. Semasa di Makkah, Raja Ahmad dan rombongan telah berpeluang berjumpa dengan syeikh-syeikh Makkah dan Mufti Shafie di Makkah. Beliau juga telah membeli dua buah rumah dan sebidang tanah kebun untuk diwaqafkan untuk keperluan jemaah haji yang akan datang. Tindakan ini dilihat sebagai signifikan perjalanan haji Raja Ahmad dalam tradisi haji masyarakat Melayu (Matheson dan Milner, 1982). Munshi Abdullah turut berkongsi pengalaman mengerjakan haji melalui karyanya Pelayaran Ka-Judah. Munshi Abdullah telah memberi satu pendekatan baru dalam pelaksanaan ibadat haji dimana beliau menekankan unsur pengorbanan, ketaatan dan ketulusan dalam beribadat khususnya dalam ibadat haji (Matheson dan Milner, 1982). Selain Raja Ahmad dan Munshi Abdullah, nama-nama yang pernah dicatat sebagai orang Melayu terawal menunaikan haji sekitar kurun ke-18 adalah Syed Muhammad Bin Zainal Abidin Al-Idris, Mohamad Yusuf Bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Kenali’ dan Wan Hussain Bin Mohd Nasir Bin Mohd Taib Al-Mas’uud Al-Banjari (Ibrahim et al., 1987). 

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-19

Menjelang tahun 1930-an, perjalanan haji dalam kalangan masyarakat Melayu mula dipelopori oleh syeikh haji melalui perjalanan kapal laut. Melihat kepada peluang perniagaan, perjalanan haji mula dieksploitasi oleh syeikh-syeikh haji sehingga mereka tidak mengutamakan kebajikan bakal jemaah haji termasuk dari sudut bimbingan (Sharifah, 2005)
Fenomena ini mendapat tentangan dari kalangan guru-guru agama yang perihatin terhadap kebajikan bakal jemaah haji seperti Sayyid Sheikh Al-Hadi dari Singapura dan Haji Abdullah Ahmad dari Makkah. Mereka melalui penulisan masing-masing sekitar tahun 1936 telah mengkritik pengurusan perjalanan haji yang dikelola oleh syeikh haji pada ketika itu (Sharifah, 2005).
Dalam kemelut pengelolaan pengurusan haji dalam kalangan bakal haji nusantara, Salih Muhammad Jamal (1949H) telah menyumbang penulisan mengenai panduan ibadat haji mengikut perkembangan semasa dengan mengambil kira penambahbaikan dalam penulisan-penulisan sarjana Islam terdahulu. Penulisan beliau melalui kitab Dalil al-Hajj al-Musawwar Wa Manasik al-Hajj adalah di antara penulisan awal yang menggabungkan kaedah tekstual dan ilustrasi.
Pada tahun 1949, sebuah jawatankuasa penasihat bagi lembaga haji pada taraf bersekutu ditubuh. Ia yang bertujuan untuk menyusun kembali pentadbiran dalam penyelenggaraan bakal-bakal haji. Di antara peranan jawatankuasa tersebut adalah melantik guru-guru agama untuk memberi tunjuk ajar dan penerangan kepada bakal-bakal haji semasa dalam perjalanan (Ibrahim et al., 1987). Namun begitu, jawatankuasa penasihan bagi lembaga haji telah gagal mengurus pentadbiran haji dan akhirnya urusan pemergian haji bakal jemaah haji tanah Melayu diserah kepada kerajaan negeri dan pejabat daerah masing-masing pada tahun 1951. Ini kerana memandangkan wujud kesukaran dari sudut penetapan harga perjalanan haji kapal laut pada ketika itu (Ibrahim et al., 1987).
Ketidakstabilan pengurusan haji pada ketika itu tidak menghalang Harun Aminurrashid untuk mengerjakan haji pada tahun 1960. Beliau turut menyumbang pengalaman dalam mengerjakan haji melalui karyanya Chatetan Ka-Tanah Suchi. Beliau berkongsi pengalaman pahit dan manis semasa berada di atas kapal laut yang diberi nama Ashnun semasa menuju ke Jeddah. Ketika menunaikan haji, beliau turut mencatat pengalaman semasa berada di padang Arafah dari sudut kemasyarakatan dan sosio-ekonomi (Matheson dan Milner, 1982)
Kaedah pengajaran ibadat haji berbentuk satu hala (one way communication) melalui perkongsian pengalaman ini berterusan sehinggalah tertubuhnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1963 (Akta 535, 2006). Pada peringkat awal, bimbingan ibadat haji masih mewarisi kaedah lama iaitu pengajaran berdasarkan kitab-kitab yang terkenal oleh Guru-Guru Agama Haji. Sehinggalah apabila tertubuhnya Bahagian Bimbingan Tabung Haji yang bertanggungjawab mengurus pembelajaran ibadat haji jemaah haji Malaysia, kaedah pengajaran mula dipertingkatkan. Bakal jemaah haji diberi penerangan mengenai ibadat haji selama 2 jam sehari untuk tempoh 2 hari. Sebulan sebelum perjalanan bakal-bakal haji, surat khabar, televisyen dan stesyen-stesyen radio juga diarah untuk menerbit dan menyiarkan artikel dan program mengenai ibadat haji yang ditulis dan diterbitkan oleh pegawai-pegawai Lembaga Tabung Haji (Ibrahim et al., 1987).

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-20

Sebagai sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia, Tabung Haji melalui Bahagian Bimbingan telah mengemaskini kaedah bimbingan ibadat haji dalam kalangan jemaah haji Malaysia. Selain kursus bimbingan haji kepada jemaah haji, Bahagian Bimbingan turut mengadakan kursus-kursus pengukuhan kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) (Lembaga Tabung Haji, 2012). Bagi menyelaras hukum-hakam dalam kalangan PEKTA dan PIHTAS, Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan diterbitkan pada setiap tahun. (Lembaga Tabung Haji, 2012)
Melalui penyelarasan ini, Bahagian Bimbingan Tabung Haji telah menggariskan secara jelas konsep-konsep haji dari sudut rukun, wajib dan kaedah pelaksanaan ibadat haji melalui penulisan Panduan Ibadat Haji Umrah Dan Ziarah (2009). Mahamad Che Ngah & Md Daud Che Ngah (2008/1938) memberi sumbangan melalui kaedah adaptasi dari penulisan Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan. Muhd Najib Abdul Kadir dan Abdul Salah Yussof (2012) menambah amalan-amalan sunat serta fadilat-fadilat dalam ibadat haji seperti penekanan amalan tolong-menolong dalam mengerjakan haji, sebaik-baik doa di hari Arafah, hari haji Akbar dan amalan Sahabat ketika menunaikan haji.
Selain kefahaman berbentuk konsep ibadat haji, perbincangan berbentuk soal jawab ibadat turut mendapat tempat dalam kaedah pelaksanaan ibadat haji. Ia bersifat menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan oleh jemaah haji semasa mengerjakan haji. Bahagian Bimbingan Tabung Haji (1984), Muhammad Najmuddin Zuhdi dan Muh. Luqman Arifin (2008), Zahazan Mohamed (2008), Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2010) dan Prof Dr Nasaruddin Umar telah berkongsi lebih 100 permasalahan ibadat haji yang diutarakan oleh jemaah haji Malaysia semasa mereka menunaikan ibadat tersebut.
Pelaksanaan ibadat haji turut mendapat tempat dalam kalangan sarjana sains dan teknologi. Setyawan dan Muhammad Shafie (2007) memperkenalkan kaedah pelancongan visual (Visual Tours) sebagai persediaan awal untuk mendapatkan gambaran suasana ketika melakukan ibadat melontar jamrah. Ossy (2010) pula mengetengahkan kaedah kelakuan pemanduan (steering behavior) semasa mengerjakan ibadat tawaf. Pendekatan teknologi terus diperluaskan oleh Nur Zuraifah, Mohd Shafry dan Mashitah (2011) melalui pendekatan haji maya (virtual hajj) yang sebagai persediaan awal jemaah haji untuk mendapatkan gambaran sebenar dalam ibadat tawaf. Cadangan membangunkan V-Hajj diutarakan dalam penulisan ini. Mohd Shafry, Ahmad Zakwan Azizul, Ahmad Hoirul, Arief Salleh, Tamar Jaya & Farah Wahida (2011) pula menyumbang idea membangunkan sistem
  
        V-Hajj dengan nilai tambah dari sudut pembangunan sistem simulasi 3 dimensi (3D) dalam ibadat tawaf. Curtis, Guy, Zafar dan Manocha (2011) menyokong idea dalam pembangunan Virtual – Tawaf melalui satu kajian kes ke atas insrumen simulasi semasa tawaf. Mereka mendapati bahawa beberapa keadaan semasa tawaf adalah bersifat kritikal iaitu semasa melakukan pusingan tawaf, mencium batu al-Hajr al-Aswad, ketika istilam dan ketika jemaah hendak keluar dari kawasan tawaf. Zarita dan Aik (2012) pula mengemukakan teori pengelolaan simulasi tawaf melalui teknik Cellular Automata (CA) yang lebih memfokus kepada pendekatan neural. Cetusan-cetusan idea berbentuk pendekatan visual menunjukkan bahawa peranan pendekatan ini dilihat sebagai agen penting untuk pembangunan bimbingan haji. Ia perlu kepada kombinasi idea-idea pendekatan visual secara total agar ibadat haji dapat dilihat dan dihayati dari dimensi yang lebih luas.

Rujukan

1. Akta Tabung Haji 1995. 10.
2. Ahmad Zaki Berahim@Ibrahim & Mohd Roslan Mohd Nor. 2009. Tuan Tabal (M.1891) Dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Islam Di Tanah Melayu. Jurnal Universiti Malaya. 139.
3. Aiza Maslan. 2009. Dari Tabung Buluh Ke Tabung Haji; Sejarah Pengerjaan Haji Orang Melayu 1850-1984. Kuala Lumpur. Universiti Malaya. Tesis Doktor Falsafah.
4.  https://www.researchgate.net/publication/270854468
5. Farahwahida Mohd Yusof - Universiti Teknologi Malaysia