Wednesday, 30 December 2015

Syarat Menyambut Tahun Baru



Antara syarat-syarat menyambut Tahun Baru Masihi :

1. Tidak menganggap ianya adalah satu upacara keagamaan dan tidak dianggap dianggap sebagai ibadat.

Ini adalah kerana perayaan tersebut sempena kelahiran Tuhan Jesus (pegangan Kristian) dan mereka menganggap merayakannya adalah salah satu daripada upacara ibadat dan penggagungan kepada Tuhan mereka.Ini adalah kerana Allah melarang kita menyembah dan beriktiqad sebagaimana iktiqad-iktiqad yang songsang dan batil.

Ini adalah kerana mereka (Kristian) walaupun daripada agama samawi yang dirunkan Allah namun telah dipesongkan. Tapi andainya sekadar menyambut dengan ber mujamalah (dalam bab kesopanan dan kebaikan dalam pergaulan). Firman Allah :“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah !dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah ! dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah ! dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah apa yang aku sembah ! untukmu agamamu dan untukku agamaku”. (Surah al-Kafirun : 1-6)

Lima Tahun Penjara Jika Orang Islam Sambut Krismas Di Brunei



Orang Islam dilarang menyambut Krismas, termasuk menghias atau mengenakan sebarang simbol perayaan tersebut, di Brunei mulai tahun ini.

Mereka yang melanggar larangan tersebut, yang diumumkan hujung tahun lalu, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, lapor AFP hari ini.

“Menggunakan simbol-simbol keagamaan [Kristian] seperti salib, menyalakan lilin, pokok Krismas dan menyanyikan lagu-lagu agama, menghantar kad ucapan … bertentangan dengan akidah Islam,” agensi berita itu memetik khutbah Jumaat seperti disiarkan dalam akhbar tempatan.

Bengkel Imam Anjuran YPPM Terima Reaksi Positif Ibu Bapa



Bengkel Imam – Malahirkan Qurratu’ Ain Ibu Bapa anjuran bersama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan pihak Masjid Negara dapat reaksi positif daripada ibu bapa peserta yang hadir.

Mereka berharap agar bengkel seperti ini dapat diteruskan bagi mengisi masa anak-anak mereka sekaligus dapat memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai kepentingan mempelajari ilmu fardu kifayah.

Mohd.Razali Harun,bapa kepada Abdul Hafiz,10, berkata, bengkel yang dianjurkan YPPM ini merupakan satu insiatif bagi memberi pengetahuan dalam usaha melahirkan golongan imam pada masa akan datang.

Tuesday, 29 December 2015

Bengkel Imam Jadi Tarikan Golongan Remaja



KUALA LUMPUR - Kira-kira 80 orang peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun menyertai Bengkel Imam - Malahirkan Qurratu' Ain Ibu Bapa anjuran bersama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan pihak Masjid Negara sebagai pendedahan untuk menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang.

Bengkel itu diadakan sebagai satu inisiatif untuk memberi pengetahuan dalam usaha melahirkan golongan imam pada masa akan datang, cabaran selain pendedahan kepada para peserta.

Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, bengkel yang dianjurkan ini diharap dapat memupuk para peserta untuk menjadi seorang imam bukan sahaja di dalam mengerjakan solat, bahkan mampu menjadi pemimpin dalam keluarga.

Tuesday, 22 December 2015

Enggan taja program Maulidur Rasul. Syarikat korporat buat-buat masuk keranda?


Kita mengukir senyuman apabila wujud sebuah syarikat penerbangan yang patuh syariah dalam negara.

Penerbangan Rayani, diambil daripada gabungan nama pemiliknya, Ravi Alagendrran dan isterinnya Datuk Karthiyani Govindan.

Ya, kedua-dua daripada mereka bukan Islam, maaf, belum Islam. Mana tahu suatu masa nanti mereka mendapat hidayah Allah berikutan tindakannya yang lebih Islam daripada orang Islam.

Sepertimana tajuk, artikel ini bukanlah mengenai syarikat penerbangan Rayani.

Apa sudah jadi dengan syarikat-syarikat korporat dalam negara Malaysia terutama sekali melibatkan orang-orang Islam dan Melayu?

Ke mana hilangnya roh Islam di dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan?

Menjelang sambutan Maulidur Rasul diperingkat nasional Khamis ini, 24 Disember 2015... Apakah rasa cinta, kasih dan rindu pada Rasulullah s.a.w semakin pudar dikalangan ummah?

Sebelum ini, pantang ada program hiburan di Istana Budaya, maka berduyun-duyun syarikat korporat berebut menjadi penaja.

Bila sampai saja program berkaitan Maulidur Rasul, mereka seolah-olah buat-buat tak nampak, buat-buat tidur, buat-buat masuk keranda - mati.

Mungkin program-program sempena sambutan Maulidur Rasul ini kelihatan mundur, kolot dan tidak menguntungkan. Iyalah, sekarang sudah tahun 2015. Era moden dan canggih yang hanya berkiblatkan barat barangkali.

DARI kiri ; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman; penyanyi rock negara, Amy Search; pelukis tempatan, Saiful Kadir dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Professor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su'ud bergambar bersama salah sebuah lukisan khat karya Saiful Kadir semasa majlis perasmian pameran 'Cahaya Jiwa' semalam. - Foto BERNAMA

Merujuk kenyataan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani, pihaknya terpaksa mengeluarkan dana sendiri sehingga RM80,000 bagi membiayai program Malam Kalimah Cinta Opick dan Hafiz Hamidun yang dijadualkan berlangsung esok, 23 Disember 2015.

Ini berikutan keengganan syarikat-syarikat korporat untuk bekerjasama dalam program berbentuk Islamik. Bahkan program keagamaan seperti ini disifatkan tidak mencapai standard bagi melayakkan menerima penajaan.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama berlaku penolakan mentah-mentah daripada badan korporat untuk program sempena Maulidur Rasul.

Badan-badan korporat ini kelihatan lebih berminat menaja persembahan artis luar yang lebih berpengaruh.

Sedih.

Monday, 21 December 2015

Tanda-tanda Kematian Mulia



Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik ‘husnul khatimah’?

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.
Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).
Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Kehidupan Ini Untuk Apa?



Mak ayah,

Aku menulis khas buat mak ayah yang disayangi. Banyak persoalan yang terbuku dihati. Untuk berterus terang, aku tak punya kekuatan. Untuk berbicara, lidahku kelu dengan kata-kata. Untuk bersemuka, berat untuk ku aturkan sebuah langkah. Yang mampu aku lakukan hanyalah menulis sebuah coretan yang ku hadiahkan khas buat mak ayah tersayang.

Mak ayah,

Aku tertanya-tanya. Daripada masa kecilku, seringkali ku dimarahi. Terkadang bukan atas silapku sendiri. Kesilapan adik-adik, aku yang dipersalahkan. Aku yang dihukum. Aku yang dipukul dengan rotan itu. Rotan yang sama. Dengan alasan aku yang paling sulung. Sedangkan ketika itu aku hanyalah berusia 8 tahun. Masih anak kecil yang membutuhkan perhatian. Apakah silapku menjadi anak pertama? Yang akhirnya jiwa kecilku memberontak. Dari sehari ke sehari aku berkata pada diriku sendiri. Aku ingin menutup telingaku daripada mendengar kata-kata mak ayah. Oleh sebab mak ayah sendiri tak pernah mendengar kata-kataku walaupun yang benar. Jadilah aku seorang anak yang degil.

Mak ayah,

Pada usiaku menginjak 13 tahun, aku dihantar ke sekolah berasrama penuh. Di situ, kami disuruh untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mulanya aku liat. Terasa amat payah lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Di rumah, tak pernah pula aku diajak untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Mak ayah sekadar bertanya sama ada aku sudah solat atau belum. Di sini untuk minggu pertama, selalu aku terlambat untuk memulakan solat berjemaah bersama. Jadi, bila jemaah sudah masuk ke rakaat kedua, ketiga, keempat, aku tinggal terpinga-pinga. Bagaimana aku mahu masuk solat jemaah? Kerana mak ayah tak pernahpun mengajarku berkenaan “makmun masbuk”. Sehinggalah aku perlu belajar sendiri di sekolah.

Mak ayah,

Setelah tamat pelajaran di sekolah menengah, aku berjaya masuk ke universiti tempatan. Aku mula bergaul dengan teman-teman yang datang daripada berlainan latar belakang. Di sini aku sudah tidak di”paksa” untuk solat berjemaah lagi. Semua orang hidup dengan cara tersendiri. Pada awalnya aku masih rajin untuk pergi ke surau kolej kediaman. Tapi, lama kelamaan aku sangat sibuk dengan assignments yang bertimbunan. Solat pun makin aku lambat-lambatkan. Terkadang aku cepat-cepat solat untuk mengejar waktu menghadiri kuliah. Bila menelefon mak ayah, mak ayah tak pernah bertanyakan tentang solatku. Jadi tinggallah aku untuk menentukan cara hidupku sendiri. Solatku tetap tak pernah ku tinggalkan, namun hatiku sedikitpun tak terasa bertaut dengan ibadahku. Aku lakukan hanya sekadar untuk melengkapkan rutin harian.

Mak ayah,

Makin lama aku terasa diriku makin kosong. Aku seperti hilang arah tujuan. Aku penat dengan studyku. Aku penat dengan kehidupanku. Aku tiba-tiba bertanya kepada diriku sendiri. Sebenarnya, untuk apa aku hidup di dunia ini? Adakah semata-mata untuk study? Adakah semata-mata untuk mengumpul kekayaan? Adakah semata-mata untuk bekerja? Adakah semata-mata untuk berkahwin, mempunyai anak? Dan selepas tu??

Mak ayah,

Pada suatu hari, aku bertanya kepada seorang kakak yang rapat denganku kerana aku bingung tentang apa makna sebuah kehidupan. Dia yang tersenyum mesra terus menyebut bait-bait ayat Al-Quran yang selalu aku baca, tapi tak pernah sedikitpun aku tahu maksudnya,

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat:56)

“Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya kecuali dengan Haq” (Al-Hijr:85)

“Bukankah Aku telah mengambil perjanjian (perintahkan) kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan):hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus“ (Yasin:60-61)

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)

Mak ayah,

Aku kan anakmu. Aku kan adalah amanah Allah untukmu. Tapi adakah kalian telah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadamu. Di mana janjimu pada Allah tika mana Dia menganugerahkan aku pada kalian berdua? Di mana janjimu pada Allah untuk menunjukkan kepadaku jalan mana yang sepatutnya aku ikuti? Jalan yang akan mendekatkan aku dengan Yang Maha Esa. Aku dibiarkan hanyut dalam gelombang kehidupan, ibadah yang diringan-ringankan, pergaulan lelaki dan perempuan yang tiada batasan, pakaianku yang membalut aurat dibiarkan, cukuplah selagi aku masih bertudung. Adakah sehelai tudung cukup untuk mendefinasikan kehidupan sebenar seorang Muslimah?

Mak ayah,

Aku tak tahu. Tolong, ajarilah aku apa makna sebenar sebuah kehidupan. Dalam neraca Islam.

Salam sayang,

Anakmu.

“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Anak adalah anugerah Allah. Yang dilahirkan suci bersih ibarat kain putih. Ibubapalah yang mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mencorakkannya.

Nota yang ditulis di atas adalah sekadar satu rekaan. Tapi jika kita perhatikan secara realitinya, tidak mustahil untuk ada dikalangan anak-anak yang mungkin ingin meluahkan hal yang sama dengan tulisan di atas. Anak-anak yang tertanya-tanya, adakah ibubapa sudah melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah kepada mereka. Tanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak tentang ilmu agama yang secukupnya, tentang Islam yang sebenar-benarnya, tentang matlamat kita hidup di dunia.

Dan jika soalan ini tidak ditanyakan di sini, mungkin bakal dipersoalkan di akhirat nanti.

Cukupkah sekadar menyuruh solat lima waktu? Cukupkah sekadar mengajar bagaimana membaca Al-Quran? Cukupkah sekadar mengajak puasa bersama-sama? Cukupkah sekadar menghantar anak-anak menghadiri kelas-kelas agama? Tanpa kita sendiri yang menunjukkan tauladan yang sebenarnya kepada anak-anak. Tanpa diberikan penjelasan yang mendalam tentang Islam, tanpa memberikan kefahaman sejelas-jelasnya kepada anak-anak bahawa Islam itu bukan sekadar sebuah agama semata-mata. Sedangkan Islam yang sebenar-benarnya adalah satu cara hidup. Islam is the way of life.

Saya teringat pertanyaan seorang kakak kepada saya pada awal tahun ini. Persoalannya tentang apakah yang membezakan kita seorang manusia sebagai ibu kepada seorang anak jika hendak dibandingkan dengan seekor buaya yang merupakan ibu kepada anaknya.

Kelu untuk memberikan jawapan selain daripada perbezaan manusia dan seekor buaya, kakak itu tersenyum sambil berkata bahawa perbezaannya adalah di mana seekor ibu buaya hanya mengajar anaknya cara untuk survive di dunia. Cara untuk mencari bekalan untuk hidup supaya tidak mati kelaparan dan juga cara bagaimana untuk melarikan diri daripada pemangsa dan pemburu untuk meneruskan kehidupan.

Berbeza dengan seorang manusia sebagai ibu. Seorang manusia bukan hanya mengajar anaknya bagaimana mencari bekalan untuk meneruskan hidup di dunia, tapi juga bagaimana caranya untuk mencari bekalan yang cukup untuk dibawa ke akhirat sana.

Ini mungkin hanyalah sekadar sebuah perumpamaan untuk membuatkan kita benar-benar berfikir. Untuk kita imbas kembali perjalanan sebuah kehidupan.

Bagi yang sudah mempunyai anak, sebanyak mana sudah ilmu agama telah kita ajarkan kepada anak-anak. Adakah benar cara kita membesarkan anak-anak sudah selari dengan apa yang dituntut Islam?

Bagi yang belum mempunyai anak, sebanyak mana pula persiapan yang ada pada diri sendiri untuk mengajarkan tentang Islam kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Sebanyak mana guidelines yang mampu kita berikan kepada anak-anak untuk menuntun diri mereka dalam misi mencari bekalan secukupnya sebelum pulang ke kediaman yang abadi di akhirat nanti. Jangan kita menyamakan diri sendiri dengan ibu buaya, menunjukkan anak-anak jalan untuk mendapatkan bekalan sekadar cukup untuk hidup di dunia saja.

Benar, jika terdapat kekurangan di mana-mana, kesalahan bukanlah terletak sepenuhnya ke atas ibubapa yang mungkin masih belum menyedari hakikat kehidupan yang sebenar. Namun, bagi kita yang sudah disapa hidayah kesedaran, yang tahu makna sebenar sebuah kehidupan, biarlah kita yang meletakkan diri sebagai peneraju untuk menjadi ibubapa contoh dalam membina generasi harapan seterusnya. Biar si kecil itu tahu apa matlamat hidupnya di dunia. Biar si kecil itu sedar apa agenda yang perlu dia bawa sepanjang hidupnya.

Jadi, dengan waktu yang masih tersisa, mari kita sama-sama memperbaiki diri sendiri untuk memimpin cahaya mata penyejuk hati. Moga mampu kita tersenyum bangga di kemudian hari sambil berkata, “Itulah anak kami.” Satu kata yang bakal dirindui untuk disebut di syurga nanti.

“Hak seorang anak adalah kamu hendaklah menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya berkait dengan kamu. Kamu bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak-anak yang taat. Kamu wajib melakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya, kamu akan mendapat seksaan…” (Imam As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib)

Sumber :Islamituindah