Thursday, 25 July 2019

Seni Pengurusan Bangsa Melayu Dalam Ibadat Haji

Sebelum abad ke 20 ratusan tahun dahulu orang Melayu telah pergi menunaikan ibadat haji. Sukar dibayangkan adakah orang Melayu pergi menunaikan haji bersendirian atau berkumpulan. Namun yang lebih penting orang Melayu tidak pernah menafikan untuk menunaikan haji walaupun sesukar mana ia dilaksanakan. Orang Melayu menerima Islam secara menyeluruh sama seperti kaum muslimin yang lain termasuk melaksanakan ibadat haji.
Misteri bagaimana orang Melayu pergi menunaikan ibadat haji ratusan tahun dahulu menimbulkan tandatanya pihak kolonial. Para pegawai eropah khususnya Inggeris dan Belanda merasa kagum dengan populasi orang Melayu dan orang Jawa yang ramai di Makkah dan Madinah dalam setiap musim haji. Secara geografinya mustahil masyarakat Alam Melayu ini dapat sampai ke Tanah Arab dengan mudah. Malahan langsung tidak memiliki sempadan darat dengan Tanah Arab seperti Irak dan Damsyik pada masa itu yang memudahkan mereka ini untuk pergi menunaikan haji. Apa yang lebih menghairankan dari keseluruhan kaum muslimin seluruh dunia yang menunaikan haji kebanyakannya adalah orang Melayu dan orang Jawa dari kepulauan Melayu.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Zulfadli Maarof pelajar Sejarah UKM 2009 mendapati orang Melayu memiliki sistem pengurusan haji yang terbaik didunia Islam sehingga membolehkan kaum muslimin Melayu mengerjakan haji setiap tahun dengan jayanya. Sepanjang ratusan tahun yang lalu tidak ditemui sebarang catatan tragedi akibat kegagalan pengurusan haji dari kalangan orang Melayu. Mereka berjaya menguruskan pemergian setiap jemaah haji dengan cekap dan teratur.
Sebagai gambaran asas orang Melayu yang dimomokan sebagai lemah dan bodoh ratusan tahun dahulu sebelum abad ke 20 telah mampu mengendalikan urusan yang rumit. Walaupun abad terdahulu dibelengu kekurangan fasiliti perhubungan dan pengangkutan yang moden. Tiada jaringan jalan raya yang sempurna menyukarkan migrasi masyarakat Melayu untuk memudahkan mereka mengerjakan haji. Namun masalah ini diatasi oleh orang Melayu dengan merekrut ajen Syeikh Haji dari kalangan tenaga pengajar agama mahupun bekas jemaah haji itu sendiri.Syeikh Haji boleh dikatakan Local Genius masyarakat Melayu dalam mewujudkan sebuah kerjaya yang tiada dalam masyarakat lain.
Ini bermakna setiap kelompok masyarakat Melayu di setiap ceruk perkampungan memiliki ejen Syeikh haji. Mereka membantu menguruskan orang Melayu mengerjakan haji malah mempromosi perkhidmatan mereka secara meluas. Ejen Syeikh Haji ini turut memberi tunjuk ajar cara mengerjakan haji disurau-surau dan masjid dikawasan mereka. Pelbagai dakyah kebaikan menunaikan haji disebarkan antaranya ganjaran harta yang akan melimpah ruah setelah menunaikan haji, bersih suci dari dosa seperti bayi yang baru dilahirkan dan tidak kurang juga dianggap tidak mati sebagai Yahudi dan Nasrani kerana telah menunaikan haji. Walaupun pendekatan promosi ini ada unsur komersial dan manipulasi namun sedikit sebanyak masih boleh diterima oleh masyarakat Melayu pada masa itu.
Ejen Syeikh Haji tadi kemudiannya membantu bakal haji dari sudut pembiayaan dan perbelanjaan menunaikan haji. Ada antaranya menerima pajakan harta seperti tanah dan ternakan dan ada pula yang mengambil pakej pembiayaan dari ejen Syeikh Haji sebelum membayarnya dengan pekhidmatan sebagai buruh dengan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui. Ajen Syeikh haji kemudiannya membawa setiap bakal jemaah haji ini ke pelabuhan utama sama ada pelabuhan Singapura mahupun pelabuhan Pulau Pinang.
Menurut Zulfadli Maarof UKM 2009 jemaah haji pantai timur khususnya Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan menggunakan pelabuhan Singapura untuk menaiki kapal bagi mengerjakan haji. Begitu juga jemaah haji dari Johor, Melaka dan Selangor turut menggunakan pelabuhan Singapura. Manakala bagi jemaah haji di pantai barat khususnya Perak, Kedah dan Perlis akan menggunakan pelabuhan Pulau Pinang untuk bertolak memulakan pelayaran. Di lokasi dua pelabuhan ini juga lahirnya gelaran Haji Singapura dan Haji Pulau Pinang. Mereka yang mendapat gelaran ini biasanya terdiri dari bakal jemaah yang terkandas di pelabuhan dan tidak dapat menunaikan haji seperti dirancang. Setelah tidak dapat belayar mereka kembali ke kampung halaman memakai gelar Haji Singapura atau Haji Pulau Pinang.
Sepanjang pelayaran mengerjakan haji para kakitangan Syeikh Haji sentiasa berada dalam setiap kumpulan jemaah haji yang diiringinya. Pelayaran yang panjang dan bertambah panjang akibat cuaca yang tidak menentu diisi dengan pelbagai aktiviti. Para kakitangan Syeikh Haji biasanya memberikan latihan dan kursus intensif kepada setiap bakal jemaah haji yang dalam pelayaran. Dalam masa tidak kurang 6 bulan atau 8 bulan jemaah haji yang berjaya menjejakkan haji di pelabuhan Jeddah biasanya telah benar-benar memahami setiap rukun haji dan semua bacaan doa yang berkaitan dengan ibadat haji. Pendek kata jemaah haji yang mengikuti pelayaran mengerjakan haji berubah menjadi manusia baru yang penuh keinsafan dan alim dalam hal agama. Perubahan sikap mereka seolah-olah disucikan oleh angin lautan yang kadang kala menggerunkan dan adakalanya mendamaikan.
Setibanya para bakal jemaah haji di Jeddah mereka akan diserahkan kepada kakitangan Syeikh Haji yang datang dari Mekkah dan Madinah. Mereka ini adalah orang Melayu dan Jawa yang telah bermastautin menetap di Tanah Arab kerana melanjutkan pengajian agama. Dengan kemahiran bahasa arab yang baik dan kebolehan memahami budaya tempatan mereka membantu jemaah haji Melayu menunaikan ibadat dengan sempurna. Segala kemudahan penginapan dan  makan minum turut mereka  sediakan sehinggakan para jemaah hanya menumpukan sepenuhnya untuk menyempurnakan ibadat haji sahaja.
Golongan Syeikh Haji sebelum abad ke 20 tidak terlalu ramai. Walau bagaimanapun mereka biasanya terbahagi kepada Syeikh Haji Pulau Pinang dan Syeikh Haji Singapura. Dua kumpulan ini memiliki pecahan tersendiri mengikut jumlah kakitangan semasa yang mereka miliki. Walaupun menawarkan perkhidmatan yang mulia mereka turut mengenakan upah bayaran yang tertentu. Walaupun harganya tidak membebankan bakal jemaah namun kegiatan ini berjaya menjadikan Syeikh Haji seorang yang kaya raya. Salah seorang Syeikh Haji berjaya dan menjadi jutawan sekitar abad ke 17 dan 18 ialah Syeikh Haji Al Sagoff. Kekayaan yang dimiliki menyebabkan Sultan Johor sendiri bersetuju menganugerahkan konsesi Kukup di Pontian kepadanya untuk dimajukan. Malah Syiekh Haji Al Sagoff mampu mencetak wangnya sendiri
Walau apa sekalipun kemahiran orang Melayu mengendalikan perkhidmatan pengurusan memang antara yang terbaik. Masyarakat Melayu yang dikatakan buta huruf tulisan rumi, mundur ekonomi dan tidak tahu berbahasa Arab dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna. Model pengurusan Syeikh Haji ini kemudiannya diambil oleh Prof Diraja Ungku Aziz untuk menubuhkan Lembaga Urusan Dan  Tabung Haji. Ia sebenarnya lebih kepada konsep penggabungan fungsi Syeikh Haji itu sendiri dalam sebuah organisasi yang lebih moden dan teratur. Syeikh Haji masih wujud hari ini dalam bentuk baru selepas penjenamaan semula yang dikenali agensi pengerjaan umrah.
Rujukan.
· Mohd Zulfadli Bin Md Maarof, Sheikh Haji Tanah Melayu: Aktiviti dan Operasi 1900-1950.
· Fadhil Bin Zakaria, Sejarah Ringkas Kapal Haji Sri Mekah Dan Sri Juddah
· KEDAH.1957. Single Passage To Pilgrims Taking Course Of Study In Mecca- Satu Bayaran Tambang Kepada Orang-Orang Haji Yang Pergi Belajar Di Mekah [Versi Melayu-Jawi] No Fail 2069/1347
· Mohammad Hosyn Farahani Edit Michael Wolfe, From A Shi’ite Pilgrimage To Mecca 1885-1886
· Yahaya Awang, Kapal Haji Dalam Kenangan
· TERENGGANU. Pemberitahu Kepada Orang-Orang Haji Di Dalam Kapal
· Joseph Pitts, Edit Michael Wolfe, Joseph Pitts England One Thousand Road To Mecca
· John Lewis Burcjhardt edit Michael Wolfe, Travel In The Hijjaz Of Arabia, One Thousand Roads To Mecca,
· Mohd Saleh b Hj Awang, Haji Di Semenanjung Malaysia Sejarah Dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405 H (1890-1985M

Tuesday, 23 July 2019

Sejarah Majlis Tilawah Al-Quran

Setiap tahun atau lebih tepat beberapa bulan sebelum menjelangnya bulan Ramadan, negara kita menjadi tuan rumah kepada Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan dan Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa. Antara nama-nama yang pernah menjadi juara ialah Ustaz Ahmad Tarmizi Ali, Ustaz Abdullah Fahmi Che Nor dan Ustaz Radzi Kamarul Hailan. Tatkala ramai lebih mengenali pertandingan seperti Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak, tidak ramai tahu bagaimana musabaqah tilawah Al-Quran ini bermula.
Sejarah
Sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, musabaqah Al-Quran pertama di negara ini diadakan di Johor pada tahun 1947 atas titah DYMM Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Penganjur pertandingan ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR/UMNO) dan ia diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada tanggal 4 September 1947. Pertandingan ini dirasmikan oleh Ketua Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Se-Malaya ketika itu, Encik Ahmad Yaakob. Ketika itu, hanya peserta dari kaum Adam saja yang dibenarkan menyertai pertandingan tersebut.
Pada malam penutup pertandingan, para peserta diraikan oleh Sultan Ibrahim dalam satu majlis jamuan teh yang diadakan di Istana Besar Johor pada 5 September 1947. Tiga pemenang pertama pertandingan ini ialah johan Encik Abdul Rahman (Pulau Pinang), naib johan Tuan Haji Mahyudin (Perak) dan Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari (Selangor). Aktiviti pertandingan bagaimanapun tidak tertumpu di negeri Johor sahaja. Pada tahun 1951, YTM Tunku Abdul Rahman juga mengusahakan penganjuran pertandingan membaca al-Quran di Kedah sehingga ia menjadi satu tradisi yang diadakan di Kedah pada setiap kali datangnya bulan Ramadan.
Selepas baginda menjadi Perdana Menteri pada 1957, Tunku Abdul Rahman mula menggerakkan usaha menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran dengan menyatukan semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. Antara sebab mengapa baginda berbuat demikian bukan saja menghormati kemuliaan Ramadan tetapi juga selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Tunku Abdul Rahman turut berharap penganjuran pertandingan ini juga menjadi satu program yang hebat dan dikenali di peringkat antarabangsa.
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, permulaan ke arah Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan dimulakan dengan Pertandingan Membaca Al-Quran Antara Johor Dan Kedah pada tahun 1959. Ketika itu, pertandingan ini masih belum diletakkan di bawah kerajaan dan ini membabitkan kerjasama dua negeri iaitu Kedah dan Johor. Tetapi para peserta datang dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu, sama seperti peserta yang menyertai pertandingan sama di Johor 12 tahun sebelumnya. Musabaqah Tilawah Al-Quran Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 18 Mac 1960 (20 Ramadan 1379) di Stadium Merdeka.
Tetapi ia tidak terhenti di situ saja. Setahun selepas itu, negara menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa pertama dengan tujuh negara menyertainya. Negara-negara itu ialah tuan rumah Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand, Singapura, Sarawak (sebelum penyertaan dalam Malaysia) dan Indonesia dengan 13 peserta mengambil bahagian. Pada tahun 1964, penyertaan turut dibuka kepada qariah wanita dengan Filipina, Brunei, Kemboja dan Thailand menghantar empat peserta. Untuk tahun-tahun seterusnya, bilangan penyertaan dari negara luar juga semakin bertambah.
Beberapa negara Afrika menyatakan keinginan untuk menyertainya tetapi ditolak penganjur atas satu sebab. Pihak jawatankuasa penganjuran pusat berpendapat bahawa penyertaan majlis ini tidak akan dibuka sehinggalah mutu bacaan peserta dari negara-negara bukan Arab dapat menyaingi bacaan para qari dari negara-negara Arab atau melebihi mereka. Pada tahun 1976, sejarah tercipta apabila apabila penyertaan buat negara-negara Arab ini telah dibuka. Dan pada tahun 1978, Mesir buat pertama kalinya menghantar peserta menyertai pertandingan ini. Setelah menganjurkannya dari tahun ke tahun sehinggalah ke tahun 2007, seramai 45 buah negara termasuk Malaysia telah menyertai pertandingan ini dengan jumlah seramai 75 orang qari dan qariah.
Pada tahun-tahun awal pertandingan, konsep pemarkahan tidaklah terlalu ketat dengan seorang hakim mengendalikan pemarkahan suara dan lagu sementara seorang lagi hakim menilai dari segi tajwid dan fasahah. Tetapi selepas jawatankuasa membawa masuk dua pakar taranum dari Mesir iaitu Mustafa Ismail dan Thaha Al Fashni, barulah pemecahan penilaian dibuat membabitkan suara, fasahah, lagu dan tajwid. Ini berdasarkan pengalaman awal Allahyarham Tan Sri Hassan semasa menjadi anggota jawatankuasa pemarkahan.
Semasa ia dianjurkan pada tahun 1961, dua musabaqah ini diadakan secara serentak di Stadium Merdeka dan ia diteruskan sehingga tahun 1981. Tetapi pada tahun berkenaan, Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan diadakan di luar Kuala Lumpur di mana negeri-negeri dipilih secara bergilir-gilir setiap tahun sebagai tuan rumah. Sementara Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa pula kekal di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pihak jawatankuasa juga mengalihkan tempoh pertandingan di luar bulan Ramadan.
Pada tahun 1985, nama pertandingan ditukar dari Musabaqah Tilawah Al-Quran kepada Pertandingan Tilawah Al-Quran dan lokasi Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ditukar dari Stadium Merdeka ke Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Selepas beberapa tahun, nama pertandingan diubah sekali lagi kepada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Objektif pertandingan juga turut diubah iaitu mengeratkan lagi hubungan ukhwah Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain dan mencari qari dan qariah yang berkualiti sebagai contoh tauladan kepada masyarakat.
Mungkin ada yang sukar percaya tapi hakikatnya, majlis tilawah Al-Quran ini turut mencetuskan fenomena sehebat pertandingan-pertandingan realiti hari ini. Ini didedahkan oleh Ustaz Radzi semasa menceritakan pengalamannya semasa kecil berkenaan sambutan pertandingan dalam kalangan umat Islam ketika itu. Beliau bercerita, “Saya lahir dalam lingkungan tahun 1970-an, dan sejak tahun 1980-an, saya sudah mula memahami fenomena Tilawah al-Quran yang berlaku di kalangan masyarakat. Sambutannya pada ketika itu sangat baik.
Saya dapat merasakan situasi itu di mana masyarakat ingin mendengar bacaan al-Quran pada setiap tahun diadakan. Semangat kenegerian dan semangat persaingan yang baik cukup mendapat tempat di hati masyarakat. Segala yang berlaku pada malam pertandingan, akan menjadi buah mulut orang ramai pada keesokan harinya. Pada masa itu, saya mengikuti keadaan ibu bapa saya yang menggemari mengikuti pertandingan ini. Sambutan yang hebat di kalangan masyarakat menyebabkan para peserta tilawah al-Quran pada masa itu meraih populariti yang setanding dengan artis Akademi Fantasia (AF) pada masa kini.”
Legasi
Selepas lebih 40 tahun, Majlis Tilawah Al-Quran turut mengalami evolusi dalam pelbagai aspek dan menjadi inspirasi kepada negara-negara luar. Terima kasih kepada penganjuran majlis itu, ini mendorong mereka menganjurkan pertandingan sama di negara asal mereka. Hadiah pertandingan juga turut berubah di mana pemenang qari dan qariah diberi imbuhan khas RM2,000 sepanjang hayat yang dimulakan pada tahun 2010 dan hadiah wang tunai dinaikkan dari $4,000 (RM13,000) kepada $10,000 (RM32,500).
Sementara dari segi penyertaan pula, peserta yang menjadi juara sebanyak dua kali tidak lagi dibenarkan bertanding. Dari segi sistem pertandingan pula, para peserta tidak lagi diberi bacaan surah-surah tertentu. Bermula tahun 2011, petikan ayat atau surah yang diberi kepada peserta melalui pilihan juri atau sistem pengundian yang menentukan surah mana yang diberi kepada peserta.

SUMBER
Yusof, Abdullah dan Mohd Tawel, Siti Norfariza. (2017). PENGANJURAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA: SEJARAH DAN PERKEMBANGANNYA. Universiti Malaya.
Penulis: Ibrahim Jauhari

Friday, 31 May 2019

Ramadan Satu Rahmat


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
Ramadan datang saban tahun bagi membuka peluang kepada umat Islam melipat gandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya.
Apabila diri kita dipilih untuk berada dalam bulan Ramadan, ia sesuatu perkara yang perlu disyukuri.
Sehubungan itu, rasa syukur itu perlu dizahirkan dengan melaksanakan amal ibadat wajib dan sunat sepanjang Ramadan.
Usah jadi orang yang rasa biasa dengan kehadiran Ramadan. Ia seolah-olah Ramadan datang bagi memenuhi kalendar Hijri pada setiap tahun.
Lebih malang lagi jika ada yang menganggap keadiran Ramadan membebankan diri kerana perlu menahan daripada makan dan minum sepanjang waktu siang.
Ramadan perlu disambut dengan penuh kegembiraan. Orang yang berasa gembira dengan kehadiran Ramadan membuktikan dirinya tahu kelebihan bulan Ramadan berbanding bulan lain.
Ramadan dipilih Allah SWT sebagai bulan yang difardukan padanya ibadat puasa. Puasa pula dikaitkan dengan takwa.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Terdapat larangan ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia. Mereka dilarang mencuri, mengaibkan orang lain, bersengketa sesama manusia, makan riba, membunuh nyawa yang tidak berdosa, berzina dan sebagainya.
Larangan itu jelas dinyatakan dalam al-Quran dan sunah. Namun, pada bulan Ramadan, manusia dilarang melakukan sesuatu yang hukumnya halal pada bulan selain Ramadan.
Manusia boleh makan dan minum pada waktu siang sepanjang 11 bulan, tetapi perbuatan itu dilarang pada bulan Ramadan.
Itulah yang membuktikan ketakwaan diri seseorang apabila berjaya meninggalkan perkara yang biasanya halal, tetapi diharamkan pada bulan Ramadan.
Bukankah itu menunjukkan ketakwaan seorang hamba terhadap perintah Allah SWT?
Ramadan juga dimuliakan Allah SWT kerana ia menjadi bulan pilihan diturunkan al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Ibnu Kathir dalam Tafsir menafsirkan ayat 185 Surah al-Baqarah mengatakan: “(Dalam ayat ini) Allah SWT memuliakan bulan puasa iaitu bulan Ramadan daripada bulan-bulan yang lain. Allah SWT memuliakan Ramadan kerana memilihnya sebagai bulan untuk diturunkan al-Quran daripada bulan-bulan lainnya. Sebagaimana pada bulan Ramadan ini juga Allah menurunkan kitab-kitab yang lain kepada para nabi.”
Bukan itu sahaja, Ramadan juga dimuliakan kerana padanya ditetapkan satu malam lebih baik beramal padanya daripada seribu bulan.
Rasulullah SAW turut menjelaskan keistimewaan bulan Ramadan menerusi sabdanya yang bermaksud: “Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis itu sepatutnya dijadikan motivasi oleh setiap Muslim untuk menggandakan amalan mereka.
Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya dengan gandaan pahala ditawarkan kepada mereka yang melakukan kebaikan dalam bulan Ramadan.
Sebarang bentuk kemungkaran perlu dijauhi kerana umat Islam perlu memberi fokus kepada pelaksanaan amal ibadat yang disyariatkan dalam Islam sepanjang Ramadan.
Ibadat fardu seperti solat dan zakat fitrah perlu ditunaikan dalam bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan sunat seperti tadarus al-Quran, zikir dan doa, solat Tarawih, qiamullail, sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadan.
Ulama salaf sentiasa teruja ingin berada dalam bulan Ramadan. Mereka memahami keistimewaan yang disediakan Allah SWT dalam bulan Ramadan kepada hamba-Nya.
Salaf as-soleh berdoa kepada Allah SWT enam bulan sebelum datangnya Ramadan agar mereka dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.
Kemudian setelah berakhirnya Ramadan, mereka berdoa agar amalan yang mereka kerjakan sepanjang bulan Ramadan diterima Allah SWT.
Begitulah sifat salaf as-soleh yang mendahului kita. Mereka memandang tinggi terhadap bulan Ramadan kerana memahami hakikat bulan Ramadan adalah satu rahmat besar daripada Allah SWT kepada manusia.
Ayuh kita zahirkan kegembiraan ketibaan Ramadan dengan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan puasa dan ibadat lain yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.
Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 9:03 AM


Thursday, 30 May 2019

Keunikan Negara Islam Menyambut Ramadhan (Bahagian 2)

1. Liberia

Masyarakat muslim Liberia menyambut bulan suci Ramadan dengan memainkan alat muzik yang dibuat dari kayu. Alat muzik ini dimainkan selama beberapa jam sebelum memasuki bulan suci Ramadan. Selama bulan Ramadan, Liberia memiliki petugas untuk membangunkan umat muslim saat waktu sahur yang disebut PapallPapall ini bertugas mulai jam tiga pagi dengan cara menyanyikan lagu-lagu keagamaan setiap rumah yang disinggahi.


2. Sweden
Umat muslim di Sweden, mengadakan suatu kegiatan yang disebut Feeding Fasting Palestin untuk menyambut Ramadan. Kegiatan ini merupakan kegiatan amal untuk mengumpulkan sumbangan yang akan diberikan kepada warga Palestin yang memerlukan. Tidak dapat dipastikan bila tradisi ini bermula, yang pasti kegiatan ini masih dilakukan sehingga kini.

3. Qatar

Di Qatar selepas berbuka puasa dan solat Maghrib setiap tanggal 13, 14, dan 15 bulan Ramadan, berlangsung sebuah festival khusus anak yang bernama Garangaou. Di festival ini anak lelaki akan tampil dengan baju arab hitam berkopiah merah bersulam emas. Sementara, anak perempuan akan berbalut pakaian tradisional disdaashas berwarna cerah lengkap dengan ikat kepala bukhnig atau hijab hitam  berhias benang emas. Mereka kemudian akan menari dan menyanyi di sepanjang jalan sekaligus berkunjung ke rumah-rumah penduduk untuk meminta juadah dan kuih muih.


4. Jepun

Saat Ramadan, umat Islam di Jepun akan saling berkongsi kebahagiaan dengan sesama Muslim. Tempat yang cukup ramai dan popular untuk melihat suasana itu adalah Japan Islamic Centre . Umat Islam di Jepun akan membentuk sekumpulan kecil jawatankuasa bulan puasa yang bertugas menyusun kegiatan yang akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan, mulai dari dialog keagamaan, majlis taklim, solat terawih berjemaah, hingga penerbitan buku-buku keislaman, dan masih banyak lagi. Jawatankuasa juga membuat jadual puasa dan diedarkan ke masjid, rumah keluarga Muslim, dan restoran halal yang ada di seluruh Jepun.


5. Singapura
Pusat kemeriahan Ramadan di Singapura berada di kawasan Masjid Sultan yang sejak tahun 1960-an selalu menyediakan Ramadan Bazaar Masjid Sultan. Masjid ini selalu ramai dikunjungi oleh penduduk muslim di Singapura mahupun pelancong dari berbagai belahan dunia. Di Bazaar ini, pengunjung boleh membeli aneka makanan dari pelbagai negara untuk berbuka puasa. Ada makanan ala Timur Tengah, India, hingga Malaysia. Peniaga bazar memulakan jualan dari pukul 3.00 petang - 8.00 malam waktu Singapura. Puncak kemeriahan adalah menjelang berbuka puasa, iaitu sekitar pukul 7.00 petang waktu setempat. Harga makanannya pun berpatutan.
Singapura menyambut datangnya bulan suci Ramadhan dengan keadaan bercahaya. Caranya, negara ini telah memasang lebih dari 50  lampu hias yang menerangi Jalan Sims Avenue, Jalan Geylang dan Jalan Changi di Singapura. Lampu hias ini dipasang sepanjang 2.25 km.


6. Russia

Umat Muslim di Rusia umumnya berpuasa selama 17 jam penuh dan ini merupakan salah satu durasi puasa terlama di dunia. Di Rusia kini terdapat sekitar 8000 masjid dan 20 juta umat Muslim serta dua juta diantaranya tinggal di Kota Moscow. Selain berbuka puasa dengan kurma dan buah-buahan lain, umat Muslim di Rusia juga berbuka puasa dengan makanan berupa roti yang diperbuat dari tepung yang diisi berbagai aneka masakan. Jika isinya labu atau keju, maka disebut khingalsh dan jika diperbuat dari gandum, maka disebut galnash. Sementara untuk penghilang dahaga, biasanya orang memberikan kvass, iaitu sebuah minuman tradisional Rusia tanpa alkohol yang dihasilkan dari proses fermentasi yang dicampur dengan perasa buah.
MOSKOW memiliki tradisi Ramadhan yang unik. Setiap tahun Dewan Mufti Rusia dan Pemerintah Kota Moskow mendirikan "Tenda Ramadhan" di kawasan taman Poklonnaya Hill, dekat Memorial Mosque, selama sebulan penuh hingga aidilfitri. Tenda dibuka setiap petang menjelang waktu berbuka puasa tiba. Makanan-makanan khas setempat disajikan secara besar-besaran dan siapa saja dapat menikmatinya, termasuk warga bukan muslim.



7. Perancis
Di Couronne, Perancis, yang merupakan daerah yang banyak didiami oleh penduduk asal Arab terdapat tradisi berbelanja berbagai macam kuih manisan untuk menyambut kehadiran bulan Ramadan. Anda dapat menemui banyak penjual pkuih manisan ini di Jalan Pierre Tumbot.
Masyarakat Muslim di Prancis juga banyak menghabiskan waktu 10 hari terakhir mereka dengan beriktikaf untuk meraih malam penuh kemuliaan atau lailatul qadar. Banyak masjid membuat jadual untuk membantu kumpulan jemaah berdoa dengan khusyuk sehingga terbebas dari godaan duniawi pada perburuan malam seribu bulan itu.
Iktikaf adalah ibadah sunah dengan cara berdiam diri di masjid. Kegiatan ini selalu dilakukan Nabi Muhammad SAW pada 10 hari terakhir Ramadhan


8. Bangladesh

Ramadan adalah perayaan penting bagi warga Bangladesh kerana ini kesempatan mereka saling mengunjungi sanak saudara dan makan bersama. Makanan khas buka puasa di negara ini adalah jilapi (sejenis manisan). Sering juga masyarakat menyediakan bazar menjelang buka puasa untuk menjual pelbagai jenis makanan.Di Dhaka, bazar bertempat di Old Dhaka atau di Chakbazar. Sebahagian besar makanan yang dijual adalah makanan tradisional seperti kebab, domba panggang, chicken bhunna curry, dan menu lain yang umumnya terbuat dari daging domba dan kambing dicampur nasi dan kacang.


9. Jerman

Sebahagian besar dari umat Islam di Jerman berasal Turki. Oleh kerana itu, tanah air Turki akan sangat terasa saat Ramadan. Tradisi unik saat Ramadan di Jerman berupa hadirnya suus (minuman berbahan gula hitam), dschellab (gula dan sirap kurma), qamruddin(jus aprikot), qata’ef (kuih kering yang direndam sirap gula), dan kalladsch (adunan isi kekacang).
Selain itu, di Jerman juga terdapat kebiasaan bagi wanita dan anak-anak yang akan melaksanakan ibadah puasa pertamanya berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatannya sebelum memulakan puasa.



Sumber: