Thursday, 5 September 2019

Sejarah Perkembangan Sekolah Pondok Sebelum Merdeka

Sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya telah wujud sejak zaman kegemilangan Empayar Melaka lagi. Pendidikan pada zaman tersebut adalah berteraskan Islam hasil daripada kedatangan agama suci tersebut ke rantau Asia yang kemudiannya merebak ke Melaka. Sejarah menyebut bahawa pendidikan Islam pada awal usianya mula diajar di rumah-rumah guru, kemudian berpindah ke masjid, surau, madrasah sebelum berpusat sepenuhnya di sekolah pondok.
    Institusi pengajian pondok adalah institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Namun, tidak ada sebarang bukti atau catatan yang jelas yang menyatakan tarikh sebenar kewujudan institusi ini. Apa yang pasti, sekolah pondok muncul tanpa dirancang. Ia berkembang dek kerana sambutan orang ramai yang dahagakan ilmu yang datang ke satu-satu tempat untuk belajar dengan Tok Guru mereka.

Beberapa Pendapat Tentang Asal-usul Sekolah Pondok:
Walau bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan bahawa institusi pengajian pondok berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Pendapat ini adalah bertunjangkan bahawa Pattani merupakan Pusat Pelajaran Agama dan Kebudayaan Melayu yang terkenal pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Alasan lain yang menjadi asas kepada pendapat ini adalah kerana ramai ulama’ Pattani menyusun kitab-kitab Jawi yang digunakan di pondok-pondok. Kebanyakan mereka menggunakan dialek Pattani sewaktu menyampaikan pengajaran di sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negeri Kedah dan Perak.
    Pendapat kedua menerangkan bahawa Pondok berasal dari Kelantan, Indonesia berdasarkan beberapa buah kitab Jawi terjemahan ulama’ Banjar dan Jawa yang dibawa dan dijadikan rujukan di pondok-pondok. Di utara Semenanjung Malaysia terdapat beberapa orang Tok Guru yang mendapat pendidikan dari Pattani dan Indonesia. Antara ulama’ yang mendapat pendidikan di Pattani adalah Haji Zainal atau Tuan Minal dari pondok Sungai Dua (1875), Haji Mahmud Taib dari pondok Kubang Semang, Seberang Prai Tengah (1920).
    Contoh ulama’ yang mendapat pendidikan di Indonesia ialah Haji Mahmud Taha dari Pondok Alor Belat, Butterworth (1880), mendapat pendidikan awalnya di Sumatera. Manakala tokoh-tokoh ulama’ lain adalah seperti Ibrahim Acheh dan Tok Sheikh Acheh dari pondok Permatang Jagus, Kepala Batas (1885), Fakih Daim dari pondok Sungai Deraka, Seberang Prai Tengah (1880) dan Haji Salleh al-Misri dari pondok al-Misriyyah (1906).

Maksud Perkataan "Pondok".
Perkataan “pondok” adalah perkataan bahasa Arab, فندوق yang bermaksud khemah, hotel, tempat menginap ataupun tempat persinggahan sementara bagi para pengembara. Istilah ini lebih terkenal sebagai tempat tinggal yang dihuni oleh para penuntut ilmu. Kamus Dewan pula memberi erti “pondok” sebagai madrasah atau tempat belajar agama. Di Indonesia, terdapat beberapa nama yang diberikan kepada pondok, umpamanya “pesantera”. Ia membawa maksud pelajar agama. Pesantera merupakan tempat berkumpul dan penginapan bagi para santri di mana ia membentuk sekumpulan rumah yang mengelilingi masjid atau rumah tuan guru. Di Madura, istilah “Penjentren” digunakan sebagai gantian istilah “pondok”. Istilah “Rangrang” pula digunakan oleh penduduk di Acheh, perkataan “surau” untuk penduduk di Minangkabau, manakala di Sumatera pula, penduduknya menggunakan istilah “Langgar”. Walaupun istilah yang digunakan adalah berbeza, namun ia tetap membawa erti yang sama iaitu deretan rumah-rumah kecil yang menjadi tempat menginap bagi pelajar-pelajar pengajian agama.

Rupa Bentuk Sekolah Pondok.
Rupa bentuk pondok di Tanah Melayu tidak banyak bezanya dengan pondok yang terdapat di Indonesia. Ia dibina menggunakan buluh. Terdapat juga pondok-pondok di kampung-kampung yang diperbuat daripada bahan kayu, mempunyai tiang dan bertangga. Tangga-tangga pondok ini dihubungkan ke perigi oleh deretan batu-batu titian. Ia memudahkan pelajar untuk bersuci tanpa bersepatu sebelum terus menuju ke pondok masing-masing. Sebilangan besar sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu dibina di kawasan penanaman padi misalannya di negeri Kedah dan Kelantan.

Sistem Pendidikan di Sekolah Pondok.
Jika dilihat dari sudut struktur pendidikan, pembelajaran pondok adalah berbentuk tradisional. Tiada had umur, jantina atau kebolehan tertentu yang diselaraskan bagi calon-calon pelajar yang berkeinginan belajar di institusi ini kecuali dua perkara, iaitu boleh membaca tulisan Jawi dan boleh membaca al-Quran. Setiap orang sama ada lelakki atau perempuan, tua ataupun muda berhak belajar di institusi ini. Tidak ada sebarang yuran pengajian yang dikenakan sama ada bayaran bulanan ataupun tahunan. Tempoh pengajian pula bergantung kepada keupayaan pelajar itu sendiri. Jangka masa minimum adalah dua tahun, manakala jangka masa yang paling maksimum adalah sepuluh tahun.
    Sistem penilaian seperti peperiksaan tidak diwujudkan sebaliknya seseorang pelajar dibolehkan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan kemampuannnya memahami pelajaran atau kitab yang baru dipelajari. Kebolehan akan dinilai dan akuan guru merupakan syahadah yang tidak ternilai dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun. Bagi membuktikan kebolehan tersebut, pelajar hendaklah mempraktik dan mengamalkan setiap titis ilmu yang dipelajari. Bagi pelajar-pelajar yang agak lemah, mereka dikehendaki mengulangi semula pelajaran tersebut sehinggalan mereka boleh menguasainya dengan baik sebelum menyambung ke peringkat seterusnya. Jadi, jelaslah menunjukkan, bahawa tiada istilah keciciran dan tiada pula konsep mengejar gred dan mata dalam memperoleh sebutir “syahadah” dalam sistem pengajian pondok.
    Waktu pembelajaran di semua institusi pondok adalah hampir serupa. Para belajar belajar tiga kali sehari; pagi, petang dan malam. Waktu pembelajaran untuk sesi pagi ialah seusai solat Fajar sehingga jam 12.00 tengahari. Waktu untuk sesi petang pula adalah sebaik menunaikan solat Zohor sehingga masuknya waktu solat Asar. Manakala waktu pembelajaran pada sebelah malam bermula selepas menunaikan solat Maghrib sehinggalah waktu Isyak.
    Walaupun nampak tidak sistematik, para pelajar di institusi ini masih mampu meningkatkan pengetahuan dan menguasai pelajaran agama yang diperolehi daripada para tok guru mereka berbekalkan semangat juang dan cintakan ilmu yang tinggi. Melalui perolehan ilmu ini, mereka semua layak mendapat gelaran alim ulama dan mampu untuk memegang jawatan sebagai muazzin atau bilal, tok imam, ustaz, kadi, ketua kampung, penggawa ataupun penghulu mukim. Apa yang pasti,masyarakat setempat sentiasa memandang tinggi terhadap golongan yang mempunyai ilmu agama yang tinggi seperti mereka sebagai penyambung warisan alim ulama yang kian uzur dimamah usia.

Rujukan:
Tetuang TV- Laman Warisan Seantero Nusantara

Friday, 30 August 2019

Hijrah Adalah Universal

Sekali lagi kita menyambut ketibaan awal Muharram yang menandakan peristiwa bersejarah Hijrah berlaku pada 622 Masihi. Tarikh ini mungkin berbeza dalam sumber-sumber yang berlainan. Hijrah amat besar maknanya kepada umat Islam kerana ia membawa pengertian tersurat dan tersirat.
    Apabila Hijrah itu diselami secara telus, kita akan dapati maknanya memenuhi semua umat manusia di dunia tanpa mengira bangsa dan agama.
    Semua umat manusia perlu memandang Hijrah secara objektif tanpa prejudis dan menyedari faedahnya kepada kesejahteraan umat manusia sejagat.
    Fikiran terbuka tentang semua tamadun dunia dan sumbangan mereka dapat membentuk sahsiah mithali sebagai umat dunia. Apabila kita mengajar Sejarah Islam kepada pelajar, kita menggalakkan mereka berfikir secara terbuka dan menghormati dan menghayati tamadun sebagai salah satu penyumbang dalam pembentukan kemanusiaan. Mereka perlu dibimbing untuk melihat kecantikan tamadun Islam seiring dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Hijrah adalah universal, milik semua umat manusia. Maaf jika golongan ulama mempunyai pendapat lain.
    Hijrah sebagaimana kita tahu adalah perkataan Arab yang membawa takrifan berpindah atau perpindahan.
    Dalam konteks tamadun Islam, Hijrah membawa pengertian lahiriah dan rohaniah. Secara lahiriah atau fizikal, Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah bagi tujuan meneguhkan kedudukan Islam. Peristiwa Hijrah berlaku apabila Nabi Muhammad SAW dan pengikut Islam berhijrah ke Kota Madinah apabila mereka menghadapi pelbagai rintangan dalam penyebaran syiar Islam.
    Hijrah secara rohaniah juga berlaku pada masa sama. Ia juga membawa maksud perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan meninggalkan segala keburukan. Hijrah melambangkan semangat ingin berubah dari segi sikap, cara berfikir dan amalan. Hijrah pada ketika itu memberikan keberanian, kesabaran, keyakinan, keterbukaan, fikiran positif, aspirasi dan cita-cita untuk kemajuan dan keselamatan penduduk Islam. Hijrah inilah yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Islam pertama di Madinah dan menjadi tiang utama dalam tamadun Islam.
    Sejauh manakah kita menghayati Hijrah ini dalam kehidupan di Malaysia? Kita membina Malaysia dengan satu impian negara bangsa yang terdiri daripada masyarakat majmuk pada 1957. Kira-kira 1338 tahun sebelum negara kita diasaskan, Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan kerajaan Islam di Madinah dengan pengistyiharaan Piagam Madinah. Piagam ini merupakan Perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah dunia digubal lebih awal daripada Perlembagaan Amerika Syarikat (1787) dan Perlembagaan Peranchis (1795).
    Apabila kita teliti, negara kita dibina atas dasar semangat Piagam Madinah. Menurut piagam ini masyarakat Madinah bebas menganuti agama dan budaya mereka masing-masing. Kehidupan masyarakat bukan Islam terjamin dari segi kedudukan dan keselamatan selagi Piagam Madinah tidak dicerobohi. Perlembagaan negara kita juga telah memberikan hak dan kebebasan yang sama kepada masyarakat majmuk yang berkorban bersama-sama dalam membina negara kita yang tercinta.
    Piagam Madinah mengajar kita supaya hidup bersama dan bersatu padu memajukan negara. Teladan sudah pun ditunjukkan kepada kita lebih seribu tahun lalu.
    Adalah menjadi tanggungjawab masyarakat supaya perpaduan negara dipelihara daripada segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan negara. Semangat Hijrah perlu disemaikan di sanubari keseluruhan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Masyarakat kita perlu meninggalkan segala prasangka dan hidup bagai aur dan tebing demi negara yang kita kasihi. Kesederhanaan harus dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan ke arah negara yang harmoni. Ini telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW apabila Hijrah dilakukan.
    Baginda mengajar semangat persahabatan antara kaum sebagai tunggak kemajuan negara.
    Adakalanya rasa sedih melihat bagaimana semangat Hijrah ini semakin pudar dalam masyarakat kita. Kita sanggup mencela, mencemuh dan merendahkan sesuatu bangsa tanpa berfikir panjang. Kita juga berpecah-belah kerana fahaman politik yang berbeza. Kita juga melakukan penipuan, penyelewengan dan pembohongan untuk kepentingan sendiri. Kepentingan bersama yang disarankan oleh Hijrah juga ditelan oleh ketamakan dan kerakusan sehingga nasib masyarakat dilupakan. Kita ingin melihat gelombang reformasi di negara kita menjelma sebagai satu produk Hijrah.
    Bersama-sama kita menghasilkan Hijrah dalam pendidikan, perkembangan sains dan teknologi, kemajuan ekonomi dan kemajuan sosial. Kita perlu Hijrah dalam sains penerokaan angkasa, sains nuklear, sains kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan sains robotik setanding negara-negara maju. Kita juga perlu Hijrah ke arah industri pembuatan kereta api, kapal terbang, dan industri berat yang lain.
    Hijrah juga telah lama dilupakan dalam struktur antarabangsa. Semangat Hijrah seperti keamanan, kedamaian, dan perpaduan umat manusia semakin terpadam. Apa yang kita lihat pada hari ini adalah segala fikiran negatif yang boleh meruntuhkan umat manusia. Hilang perpaduan dalam kalangan negara-negara Islam.

Penulis asal: Dr. Nor Aishah Hanifa (Pensyarah)



Rujukan:

Thursday, 1 August 2019

Tahap Kefahaman Jemaah Haji Malaysia Terhadap Pelaksanaan Ibadat Haji: Satu Penilaian Kuantitatif

PENDAHULUAN

Elemen penting dalam memastikan jemaah haji mendapat haji yang mabrur adalah melalui pelaksanaan ibadat haji yang sempurna. Kesempurnaan ibadat itu tidak akan tercapai melainkan dengan adanya penerapan ilmu dan pemahaman yang jelas terhadap pelaksanaan ibadat tersebut (Al-Ghazali: 1998). Jemaah haji Malaysia tidak terkecuali dalam memperkasakan ilmu mengenai ibadat haji sebelum mereka menunaikan ibadat tersebut di tanah suci Makkah. Bimbingan ibadat haji jemaah haji Malaysia telah dikelola sepenuhnya oleh Tabung Haji di bawah Bahagian Bimbingan mengikut peruntukan Akta Tabung Haji 1995.

Kajian kuantitatif yang berfokus kepada tahap kefahaman pelaksanaan ibadat haji dalam kalangan jemaah haji Malaysia ini dilakukan ke atas jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji bersama pakej Nilam Tabung Haji Travel & Services pada musim haji 1433H/2012M. Ia berteraskan kepada objektif seperti berikut:

(1) Mengkaji pemahaman jemaah haji Malaysia mengenai pelaksanaan ibadat haji di Mekah.

(2) Mengenal pasti tahap kepuasan jemaah dalam melaksanakan ibadat haji di Mekah.

(3) Mengetahui kesediaan jemaah haji untuk menerima pendekatan visual dalam bimbingan haji.

Melalui kajian ini, jemaah haji didapati mengalami masalah dari sudut gambaran sebenar pelaksanaan ibadat tersebut. kegagalan untuk mendapat gambaran yang jelas ini menyebabkan mereka menimbulkan banyak permasalahan ibadat dan akhirnya menyumbang kepada rasa was-was dan tidak puas dalam melaksanakan ibadat tersebut. Oleh yang demikian, kaedah penerapan ilmu mengenai pelaksanaan ibadat haji perlu dipertingkatkan dengan mengambil kira perkembangan semasa suasana dan teknologi masa kini.

JEMAAH HAJI MALAYSIA DAN PELAKSANAAN IBADAT HAJI: SATU PERKEMBANGAN 

Pelaksanaan ibadat haji dalam kalangan masyarakat Melayu telah bermula sejak kedatangan Islam di tanah Melayu pada awal kurun ke-7 (Ibrahim et al., 1987). Bermula dari perjalanan haji yang dikelola oleh syeikh-syeikh haji sehinggalah ia berkembang dengan tertubuhnya badan rasmi yang mengurus pemergian haji jemaah haji Malaysia. Perbincangan mengenai perkembangan pelaksanan ibadat haji dilihat dari kurun ke-18 hingga kurun ke-20.

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-18

Di Tanah Melayu, perbincangan terhadap ilmu ibadat haji telah bermula seawal tahun 1880-an. Beberapa penulisan awal telah menceritakan kisah perjalanan ibadat haji orang Melayu yang menjadi sumber pembelajaran haji pada ketika itu (Aiza, 2009). Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fatani adalah di antara ulama nusantara yang terawal memuatkan perbincangan mengenai ibadat haji berdasarkan panduan dalam mazhab Syafie. Beliau yang pernah menuntut selama 30 tahun di Makkah telah mencurah ilmu melalui pengamatan pelaksanaan ibadat haji selama berada di tanah suci Makkah (McDonnell, 1986). Haji Wan Abdul Samad Bin Muhammad Salih atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal turut menyumbang kepada perkembangan ilmu fiqh mazhab Syafie di Kota Bharu, Kelantan setelah menamatkan pengajiannya di Makkah. Beliau bertapak di perkampungan Tok Semian yang akhirnya diberi gelaran ‘Mantiqah ‘Ilm’ menjadi sumber rujukan masyarakat Melayu setempat dalam pengajian hukum-hakam termasuk aspek ibadat haji (Ahmad Zaki dan Mohd Roslan, 2009).
     Raja Ahmad iaitu putera raja dari kesultanan Riau pula berkongsi pengalaman mengerjakan haji ketika mengetuai rombongan haji sekitar tahun 1860-an dan telah menggunakan khidmat Syeikh Mushafi sebagai agen untuk mengurus perjalanan haji. Semasa di Makkah, Raja Ahmad dan rombongan telah berpeluang berjumpa dengan syeikh-syeikh Makkah dan Mufti Shafie di Makkah. Beliau juga telah membeli dua buah rumah dan sebidang tanah kebun untuk diwaqafkan untuk keperluan jemaah haji yang akan datang. Tindakan ini dilihat sebagai signifikan perjalanan haji Raja Ahmad dalam tradisi haji masyarakat Melayu (Matheson dan Milner, 1982). Munshi Abdullah turut berkongsi pengalaman mengerjakan haji melalui karyanya Pelayaran Ka-Judah. Munshi Abdullah telah memberi satu pendekatan baru dalam pelaksanaan ibadat haji dimana beliau menekankan unsur pengorbanan, ketaatan dan ketulusan dalam beribadat khususnya dalam ibadat haji (Matheson dan Milner, 1982). Selain Raja Ahmad dan Munshi Abdullah, nama-nama yang pernah dicatat sebagai orang Melayu terawal menunaikan haji sekitar kurun ke-18 adalah Syed Muhammad Bin Zainal Abidin Al-Idris, Mohamad Yusuf Bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Kenali’ dan Wan Hussain Bin Mohd Nasir Bin Mohd Taib Al-Mas’uud Al-Banjari (Ibrahim et al., 1987). 

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-19

Menjelang tahun 1930-an, perjalanan haji dalam kalangan masyarakat Melayu mula dipelopori oleh syeikh haji melalui perjalanan kapal laut. Melihat kepada peluang perniagaan, perjalanan haji mula dieksploitasi oleh syeikh-syeikh haji sehingga mereka tidak mengutamakan kebajikan bakal jemaah haji termasuk dari sudut bimbingan (Sharifah, 2005)
Fenomena ini mendapat tentangan dari kalangan guru-guru agama yang perihatin terhadap kebajikan bakal jemaah haji seperti Sayyid Sheikh Al-Hadi dari Singapura dan Haji Abdullah Ahmad dari Makkah. Mereka melalui penulisan masing-masing sekitar tahun 1936 telah mengkritik pengurusan perjalanan haji yang dikelola oleh syeikh haji pada ketika itu (Sharifah, 2005).
Dalam kemelut pengelolaan pengurusan haji dalam kalangan bakal haji nusantara, Salih Muhammad Jamal (1949H) telah menyumbang penulisan mengenai panduan ibadat haji mengikut perkembangan semasa dengan mengambil kira penambahbaikan dalam penulisan-penulisan sarjana Islam terdahulu. Penulisan beliau melalui kitab Dalil al-Hajj al-Musawwar Wa Manasik al-Hajj adalah di antara penulisan awal yang menggabungkan kaedah tekstual dan ilustrasi.
Pada tahun 1949, sebuah jawatankuasa penasihat bagi lembaga haji pada taraf bersekutu ditubuh. Ia yang bertujuan untuk menyusun kembali pentadbiran dalam penyelenggaraan bakal-bakal haji. Di antara peranan jawatankuasa tersebut adalah melantik guru-guru agama untuk memberi tunjuk ajar dan penerangan kepada bakal-bakal haji semasa dalam perjalanan (Ibrahim et al., 1987). Namun begitu, jawatankuasa penasihan bagi lembaga haji telah gagal mengurus pentadbiran haji dan akhirnya urusan pemergian haji bakal jemaah haji tanah Melayu diserah kepada kerajaan negeri dan pejabat daerah masing-masing pada tahun 1951. Ini kerana memandangkan wujud kesukaran dari sudut penetapan harga perjalanan haji kapal laut pada ketika itu (Ibrahim et al., 1987).
Ketidakstabilan pengurusan haji pada ketika itu tidak menghalang Harun Aminurrashid untuk mengerjakan haji pada tahun 1960. Beliau turut menyumbang pengalaman dalam mengerjakan haji melalui karyanya Chatetan Ka-Tanah Suchi. Beliau berkongsi pengalaman pahit dan manis semasa berada di atas kapal laut yang diberi nama Ashnun semasa menuju ke Jeddah. Ketika menunaikan haji, beliau turut mencatat pengalaman semasa berada di padang Arafah dari sudut kemasyarakatan dan sosio-ekonomi (Matheson dan Milner, 1982)
Kaedah pengajaran ibadat haji berbentuk satu hala (one way communication) melalui perkongsian pengalaman ini berterusan sehinggalah tertubuhnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1963 (Akta 535, 2006). Pada peringkat awal, bimbingan ibadat haji masih mewarisi kaedah lama iaitu pengajaran berdasarkan kitab-kitab yang terkenal oleh Guru-Guru Agama Haji. Sehinggalah apabila tertubuhnya Bahagian Bimbingan Tabung Haji yang bertanggungjawab mengurus pembelajaran ibadat haji jemaah haji Malaysia, kaedah pengajaran mula dipertingkatkan. Bakal jemaah haji diberi penerangan mengenai ibadat haji selama 2 jam sehari untuk tempoh 2 hari. Sebulan sebelum perjalanan bakal-bakal haji, surat khabar, televisyen dan stesyen-stesyen radio juga diarah untuk menerbit dan menyiarkan artikel dan program mengenai ibadat haji yang ditulis dan diterbitkan oleh pegawai-pegawai Lembaga Tabung Haji (Ibrahim et al., 1987).

Pelaksanaan Ibadat Haji Kurun Ke-20

Sebagai sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia, Tabung Haji melalui Bahagian Bimbingan telah mengemaskini kaedah bimbingan ibadat haji dalam kalangan jemaah haji Malaysia. Selain kursus bimbingan haji kepada jemaah haji, Bahagian Bimbingan turut mengadakan kursus-kursus pengukuhan kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) (Lembaga Tabung Haji, 2012). Bagi menyelaras hukum-hakam dalam kalangan PEKTA dan PIHTAS, Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan diterbitkan pada setiap tahun. (Lembaga Tabung Haji, 2012)
Melalui penyelarasan ini, Bahagian Bimbingan Tabung Haji telah menggariskan secara jelas konsep-konsep haji dari sudut rukun, wajib dan kaedah pelaksanaan ibadat haji melalui penulisan Panduan Ibadat Haji Umrah Dan Ziarah (2009). Mahamad Che Ngah & Md Daud Che Ngah (2008/1938) memberi sumbangan melalui kaedah adaptasi dari penulisan Syeikh Hassan Mohammad Nur Fatani dan Syeikh Adam Abdullah Kelantan. Muhd Najib Abdul Kadir dan Abdul Salah Yussof (2012) menambah amalan-amalan sunat serta fadilat-fadilat dalam ibadat haji seperti penekanan amalan tolong-menolong dalam mengerjakan haji, sebaik-baik doa di hari Arafah, hari haji Akbar dan amalan Sahabat ketika menunaikan haji.
Selain kefahaman berbentuk konsep ibadat haji, perbincangan berbentuk soal jawab ibadat turut mendapat tempat dalam kaedah pelaksanaan ibadat haji. Ia bersifat menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukakan oleh jemaah haji semasa mengerjakan haji. Bahagian Bimbingan Tabung Haji (1984), Muhammad Najmuddin Zuhdi dan Muh. Luqman Arifin (2008), Zahazan Mohamed (2008), Mohammad Nidzam Abdul Kadir (2010) dan Prof Dr Nasaruddin Umar telah berkongsi lebih 100 permasalahan ibadat haji yang diutarakan oleh jemaah haji Malaysia semasa mereka menunaikan ibadat tersebut.
Pelaksanaan ibadat haji turut mendapat tempat dalam kalangan sarjana sains dan teknologi. Setyawan dan Muhammad Shafie (2007) memperkenalkan kaedah pelancongan visual (Visual Tours) sebagai persediaan awal untuk mendapatkan gambaran suasana ketika melakukan ibadat melontar jamrah. Ossy (2010) pula mengetengahkan kaedah kelakuan pemanduan (steering behavior) semasa mengerjakan ibadat tawaf. Pendekatan teknologi terus diperluaskan oleh Nur Zuraifah, Mohd Shafry dan Mashitah (2011) melalui pendekatan haji maya (virtual hajj) yang sebagai persediaan awal jemaah haji untuk mendapatkan gambaran sebenar dalam ibadat tawaf. Cadangan membangunkan V-Hajj diutarakan dalam penulisan ini. Mohd Shafry, Ahmad Zakwan Azizul, Ahmad Hoirul, Arief Salleh, Tamar Jaya & Farah Wahida (2011) pula menyumbang idea membangunkan sistem
  
        V-Hajj dengan nilai tambah dari sudut pembangunan sistem simulasi 3 dimensi (3D) dalam ibadat tawaf. Curtis, Guy, Zafar dan Manocha (2011) menyokong idea dalam pembangunan Virtual – Tawaf melalui satu kajian kes ke atas insrumen simulasi semasa tawaf. Mereka mendapati bahawa beberapa keadaan semasa tawaf adalah bersifat kritikal iaitu semasa melakukan pusingan tawaf, mencium batu al-Hajr al-Aswad, ketika istilam dan ketika jemaah hendak keluar dari kawasan tawaf. Zarita dan Aik (2012) pula mengemukakan teori pengelolaan simulasi tawaf melalui teknik Cellular Automata (CA) yang lebih memfokus kepada pendekatan neural. Cetusan-cetusan idea berbentuk pendekatan visual menunjukkan bahawa peranan pendekatan ini dilihat sebagai agen penting untuk pembangunan bimbingan haji. Ia perlu kepada kombinasi idea-idea pendekatan visual secara total agar ibadat haji dapat dilihat dan dihayati dari dimensi yang lebih luas.

Rujukan

1. Akta Tabung Haji 1995. 10.
2. Ahmad Zaki Berahim@Ibrahim & Mohd Roslan Mohd Nor. 2009. Tuan Tabal (M.1891) Dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Islam Di Tanah Melayu. Jurnal Universiti Malaya. 139.
3. Aiza Maslan. 2009. Dari Tabung Buluh Ke Tabung Haji; Sejarah Pengerjaan Haji Orang Melayu 1850-1984. Kuala Lumpur. Universiti Malaya. Tesis Doktor Falsafah.
4.  https://www.researchgate.net/publication/270854468
5. Farahwahida Mohd Yusof - Universiti Teknologi Malaysia

Thursday, 25 July 2019

Seni Pengurusan Bangsa Melayu Dalam Ibadat Haji

Sebelum abad ke 20 ratusan tahun dahulu orang Melayu telah pergi menunaikan ibadat haji. Sukar dibayangkan adakah orang Melayu pergi menunaikan haji bersendirian atau berkumpulan. Namun yang lebih penting orang Melayu tidak pernah menafikan untuk menunaikan haji walaupun sesukar mana ia dilaksanakan. Orang Melayu menerima Islam secara menyeluruh sama seperti kaum muslimin yang lain termasuk melaksanakan ibadat haji.
Misteri bagaimana orang Melayu pergi menunaikan ibadat haji ratusan tahun dahulu menimbulkan tandatanya pihak kolonial. Para pegawai eropah khususnya Inggeris dan Belanda merasa kagum dengan populasi orang Melayu dan orang Jawa yang ramai di Makkah dan Madinah dalam setiap musim haji. Secara geografinya mustahil masyarakat Alam Melayu ini dapat sampai ke Tanah Arab dengan mudah. Malahan langsung tidak memiliki sempadan darat dengan Tanah Arab seperti Irak dan Damsyik pada masa itu yang memudahkan mereka ini untuk pergi menunaikan haji. Apa yang lebih menghairankan dari keseluruhan kaum muslimin seluruh dunia yang menunaikan haji kebanyakannya adalah orang Melayu dan orang Jawa dari kepulauan Melayu.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Zulfadli Maarof pelajar Sejarah UKM 2009 mendapati orang Melayu memiliki sistem pengurusan haji yang terbaik didunia Islam sehingga membolehkan kaum muslimin Melayu mengerjakan haji setiap tahun dengan jayanya. Sepanjang ratusan tahun yang lalu tidak ditemui sebarang catatan tragedi akibat kegagalan pengurusan haji dari kalangan orang Melayu. Mereka berjaya menguruskan pemergian setiap jemaah haji dengan cekap dan teratur.
Sebagai gambaran asas orang Melayu yang dimomokan sebagai lemah dan bodoh ratusan tahun dahulu sebelum abad ke 20 telah mampu mengendalikan urusan yang rumit. Walaupun abad terdahulu dibelengu kekurangan fasiliti perhubungan dan pengangkutan yang moden. Tiada jaringan jalan raya yang sempurna menyukarkan migrasi masyarakat Melayu untuk memudahkan mereka mengerjakan haji. Namun masalah ini diatasi oleh orang Melayu dengan merekrut ajen Syeikh Haji dari kalangan tenaga pengajar agama mahupun bekas jemaah haji itu sendiri.Syeikh Haji boleh dikatakan Local Genius masyarakat Melayu dalam mewujudkan sebuah kerjaya yang tiada dalam masyarakat lain.
Ini bermakna setiap kelompok masyarakat Melayu di setiap ceruk perkampungan memiliki ejen Syeikh haji. Mereka membantu menguruskan orang Melayu mengerjakan haji malah mempromosi perkhidmatan mereka secara meluas. Ejen Syeikh Haji ini turut memberi tunjuk ajar cara mengerjakan haji disurau-surau dan masjid dikawasan mereka. Pelbagai dakyah kebaikan menunaikan haji disebarkan antaranya ganjaran harta yang akan melimpah ruah setelah menunaikan haji, bersih suci dari dosa seperti bayi yang baru dilahirkan dan tidak kurang juga dianggap tidak mati sebagai Yahudi dan Nasrani kerana telah menunaikan haji. Walaupun pendekatan promosi ini ada unsur komersial dan manipulasi namun sedikit sebanyak masih boleh diterima oleh masyarakat Melayu pada masa itu.
Ejen Syeikh Haji tadi kemudiannya membantu bakal haji dari sudut pembiayaan dan perbelanjaan menunaikan haji. Ada antaranya menerima pajakan harta seperti tanah dan ternakan dan ada pula yang mengambil pakej pembiayaan dari ejen Syeikh Haji sebelum membayarnya dengan pekhidmatan sebagai buruh dengan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui. Ajen Syeikh haji kemudiannya membawa setiap bakal jemaah haji ini ke pelabuhan utama sama ada pelabuhan Singapura mahupun pelabuhan Pulau Pinang.
Menurut Zulfadli Maarof UKM 2009 jemaah haji pantai timur khususnya Kelantan, Terengganu, dan Pahang akan menggunakan pelabuhan Singapura untuk menaiki kapal bagi mengerjakan haji. Begitu juga jemaah haji dari Johor, Melaka dan Selangor turut menggunakan pelabuhan Singapura. Manakala bagi jemaah haji di pantai barat khususnya Perak, Kedah dan Perlis akan menggunakan pelabuhan Pulau Pinang untuk bertolak memulakan pelayaran. Di lokasi dua pelabuhan ini juga lahirnya gelaran Haji Singapura dan Haji Pulau Pinang. Mereka yang mendapat gelaran ini biasanya terdiri dari bakal jemaah yang terkandas di pelabuhan dan tidak dapat menunaikan haji seperti dirancang. Setelah tidak dapat belayar mereka kembali ke kampung halaman memakai gelar Haji Singapura atau Haji Pulau Pinang.
Sepanjang pelayaran mengerjakan haji para kakitangan Syeikh Haji sentiasa berada dalam setiap kumpulan jemaah haji yang diiringinya. Pelayaran yang panjang dan bertambah panjang akibat cuaca yang tidak menentu diisi dengan pelbagai aktiviti. Para kakitangan Syeikh Haji biasanya memberikan latihan dan kursus intensif kepada setiap bakal jemaah haji yang dalam pelayaran. Dalam masa tidak kurang 6 bulan atau 8 bulan jemaah haji yang berjaya menjejakkan haji di pelabuhan Jeddah biasanya telah benar-benar memahami setiap rukun haji dan semua bacaan doa yang berkaitan dengan ibadat haji. Pendek kata jemaah haji yang mengikuti pelayaran mengerjakan haji berubah menjadi manusia baru yang penuh keinsafan dan alim dalam hal agama. Perubahan sikap mereka seolah-olah disucikan oleh angin lautan yang kadang kala menggerunkan dan adakalanya mendamaikan.
Setibanya para bakal jemaah haji di Jeddah mereka akan diserahkan kepada kakitangan Syeikh Haji yang datang dari Mekkah dan Madinah. Mereka ini adalah orang Melayu dan Jawa yang telah bermastautin menetap di Tanah Arab kerana melanjutkan pengajian agama. Dengan kemahiran bahasa arab yang baik dan kebolehan memahami budaya tempatan mereka membantu jemaah haji Melayu menunaikan ibadat dengan sempurna. Segala kemudahan penginapan dan  makan minum turut mereka  sediakan sehinggakan para jemaah hanya menumpukan sepenuhnya untuk menyempurnakan ibadat haji sahaja.
Golongan Syeikh Haji sebelum abad ke 20 tidak terlalu ramai. Walau bagaimanapun mereka biasanya terbahagi kepada Syeikh Haji Pulau Pinang dan Syeikh Haji Singapura. Dua kumpulan ini memiliki pecahan tersendiri mengikut jumlah kakitangan semasa yang mereka miliki. Walaupun menawarkan perkhidmatan yang mulia mereka turut mengenakan upah bayaran yang tertentu. Walaupun harganya tidak membebankan bakal jemaah namun kegiatan ini berjaya menjadikan Syeikh Haji seorang yang kaya raya. Salah seorang Syeikh Haji berjaya dan menjadi jutawan sekitar abad ke 17 dan 18 ialah Syeikh Haji Al Sagoff. Kekayaan yang dimiliki menyebabkan Sultan Johor sendiri bersetuju menganugerahkan konsesi Kukup di Pontian kepadanya untuk dimajukan. Malah Syiekh Haji Al Sagoff mampu mencetak wangnya sendiri
Walau apa sekalipun kemahiran orang Melayu mengendalikan perkhidmatan pengurusan memang antara yang terbaik. Masyarakat Melayu yang dikatakan buta huruf tulisan rumi, mundur ekonomi dan tidak tahu berbahasa Arab dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna. Model pengurusan Syeikh Haji ini kemudiannya diambil oleh Prof Diraja Ungku Aziz untuk menubuhkan Lembaga Urusan Dan  Tabung Haji. Ia sebenarnya lebih kepada konsep penggabungan fungsi Syeikh Haji itu sendiri dalam sebuah organisasi yang lebih moden dan teratur. Syeikh Haji masih wujud hari ini dalam bentuk baru selepas penjenamaan semula yang dikenali agensi pengerjaan umrah.
Rujukan.
· Mohd Zulfadli Bin Md Maarof, Sheikh Haji Tanah Melayu: Aktiviti dan Operasi 1900-1950.
· Fadhil Bin Zakaria, Sejarah Ringkas Kapal Haji Sri Mekah Dan Sri Juddah
· KEDAH.1957. Single Passage To Pilgrims Taking Course Of Study In Mecca- Satu Bayaran Tambang Kepada Orang-Orang Haji Yang Pergi Belajar Di Mekah [Versi Melayu-Jawi] No Fail 2069/1347
· Mohammad Hosyn Farahani Edit Michael Wolfe, From A Shi’ite Pilgrimage To Mecca 1885-1886
· Yahaya Awang, Kapal Haji Dalam Kenangan
· TERENGGANU. Pemberitahu Kepada Orang-Orang Haji Di Dalam Kapal
· Joseph Pitts, Edit Michael Wolfe, Joseph Pitts England One Thousand Road To Mecca
· John Lewis Burcjhardt edit Michael Wolfe, Travel In The Hijjaz Of Arabia, One Thousand Roads To Mecca,
· Mohd Saleh b Hj Awang, Haji Di Semenanjung Malaysia Sejarah Dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405 H (1890-1985M

Tuesday, 23 July 2019

Sejarah Majlis Tilawah Al-Quran

Setiap tahun atau lebih tepat beberapa bulan sebelum menjelangnya bulan Ramadan, negara kita menjadi tuan rumah kepada Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan dan Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa. Antara nama-nama yang pernah menjadi juara ialah Ustaz Ahmad Tarmizi Ali, Ustaz Abdullah Fahmi Che Nor dan Ustaz Radzi Kamarul Hailan. Tatkala ramai lebih mengenali pertandingan seperti Akademi Fantasia dan Maharaja Lawak, tidak ramai tahu bagaimana musabaqah tilawah Al-Quran ini bermula.
Sejarah
Sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, musabaqah Al-Quran pertama di negara ini diadakan di Johor pada tahun 1947 atas titah DYMM Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar. Penganjur pertandingan ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR/UMNO) dan ia diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada tanggal 4 September 1947. Pertandingan ini dirasmikan oleh Ketua Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Se-Malaya ketika itu, Encik Ahmad Yaakob. Ketika itu, hanya peserta dari kaum Adam saja yang dibenarkan menyertai pertandingan tersebut.
Pada malam penutup pertandingan, para peserta diraikan oleh Sultan Ibrahim dalam satu majlis jamuan teh yang diadakan di Istana Besar Johor pada 5 September 1947. Tiga pemenang pertama pertandingan ini ialah johan Encik Abdul Rahman (Pulau Pinang), naib johan Tuan Haji Mahyudin (Perak) dan Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari (Selangor). Aktiviti pertandingan bagaimanapun tidak tertumpu di negeri Johor sahaja. Pada tahun 1951, YTM Tunku Abdul Rahman juga mengusahakan penganjuran pertandingan membaca al-Quran di Kedah sehingga ia menjadi satu tradisi yang diadakan di Kedah pada setiap kali datangnya bulan Ramadan.
Selepas baginda menjadi Perdana Menteri pada 1957, Tunku Abdul Rahman mula menggerakkan usaha menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran dengan menyatukan semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. Antara sebab mengapa baginda berbuat demikian bukan saja menghormati kemuliaan Ramadan tetapi juga selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Tunku Abdul Rahman turut berharap penganjuran pertandingan ini juga menjadi satu program yang hebat dan dikenali di peringkat antarabangsa.
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, permulaan ke arah Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan dimulakan dengan Pertandingan Membaca Al-Quran Antara Johor Dan Kedah pada tahun 1959. Ketika itu, pertandingan ini masih belum diletakkan di bawah kerajaan dan ini membabitkan kerjasama dua negeri iaitu Kedah dan Johor. Tetapi para peserta datang dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu, sama seperti peserta yang menyertai pertandingan sama di Johor 12 tahun sebelumnya. Musabaqah Tilawah Al-Quran Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 18 Mac 1960 (20 Ramadan 1379) di Stadium Merdeka.
Tetapi ia tidak terhenti di situ saja. Setahun selepas itu, negara menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa pertama dengan tujuh negara menyertainya. Negara-negara itu ialah tuan rumah Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand, Singapura, Sarawak (sebelum penyertaan dalam Malaysia) dan Indonesia dengan 13 peserta mengambil bahagian. Pada tahun 1964, penyertaan turut dibuka kepada qariah wanita dengan Filipina, Brunei, Kemboja dan Thailand menghantar empat peserta. Untuk tahun-tahun seterusnya, bilangan penyertaan dari negara luar juga semakin bertambah.
Beberapa negara Afrika menyatakan keinginan untuk menyertainya tetapi ditolak penganjur atas satu sebab. Pihak jawatankuasa penganjuran pusat berpendapat bahawa penyertaan majlis ini tidak akan dibuka sehinggalah mutu bacaan peserta dari negara-negara bukan Arab dapat menyaingi bacaan para qari dari negara-negara Arab atau melebihi mereka. Pada tahun 1976, sejarah tercipta apabila apabila penyertaan buat negara-negara Arab ini telah dibuka. Dan pada tahun 1978, Mesir buat pertama kalinya menghantar peserta menyertai pertandingan ini. Setelah menganjurkannya dari tahun ke tahun sehinggalah ke tahun 2007, seramai 45 buah negara termasuk Malaysia telah menyertai pertandingan ini dengan jumlah seramai 75 orang qari dan qariah.
Pada tahun-tahun awal pertandingan, konsep pemarkahan tidaklah terlalu ketat dengan seorang hakim mengendalikan pemarkahan suara dan lagu sementara seorang lagi hakim menilai dari segi tajwid dan fasahah. Tetapi selepas jawatankuasa membawa masuk dua pakar taranum dari Mesir iaitu Mustafa Ismail dan Thaha Al Fashni, barulah pemecahan penilaian dibuat membabitkan suara, fasahah, lagu dan tajwid. Ini berdasarkan pengalaman awal Allahyarham Tan Sri Hassan semasa menjadi anggota jawatankuasa pemarkahan.
Semasa ia dianjurkan pada tahun 1961, dua musabaqah ini diadakan secara serentak di Stadium Merdeka dan ia diteruskan sehingga tahun 1981. Tetapi pada tahun berkenaan, Musabaqah Tilawah Al-Quran Kebangsaan diadakan di luar Kuala Lumpur di mana negeri-negeri dipilih secara bergilir-gilir setiap tahun sebagai tuan rumah. Sementara Musabaqah Tilawah Al-Quran Antarabangsa pula kekal di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pihak jawatankuasa juga mengalihkan tempoh pertandingan di luar bulan Ramadan.
Pada tahun 1985, nama pertandingan ditukar dari Musabaqah Tilawah Al-Quran kepada Pertandingan Tilawah Al-Quran dan lokasi Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ditukar dari Stadium Merdeka ke Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Selepas beberapa tahun, nama pertandingan diubah sekali lagi kepada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Objektif pertandingan juga turut diubah iaitu mengeratkan lagi hubungan ukhwah Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain dan mencari qari dan qariah yang berkualiti sebagai contoh tauladan kepada masyarakat.
Mungkin ada yang sukar percaya tapi hakikatnya, majlis tilawah Al-Quran ini turut mencetuskan fenomena sehebat pertandingan-pertandingan realiti hari ini. Ini didedahkan oleh Ustaz Radzi semasa menceritakan pengalamannya semasa kecil berkenaan sambutan pertandingan dalam kalangan umat Islam ketika itu. Beliau bercerita, “Saya lahir dalam lingkungan tahun 1970-an, dan sejak tahun 1980-an, saya sudah mula memahami fenomena Tilawah al-Quran yang berlaku di kalangan masyarakat. Sambutannya pada ketika itu sangat baik.
Saya dapat merasakan situasi itu di mana masyarakat ingin mendengar bacaan al-Quran pada setiap tahun diadakan. Semangat kenegerian dan semangat persaingan yang baik cukup mendapat tempat di hati masyarakat. Segala yang berlaku pada malam pertandingan, akan menjadi buah mulut orang ramai pada keesokan harinya. Pada masa itu, saya mengikuti keadaan ibu bapa saya yang menggemari mengikuti pertandingan ini. Sambutan yang hebat di kalangan masyarakat menyebabkan para peserta tilawah al-Quran pada masa itu meraih populariti yang setanding dengan artis Akademi Fantasia (AF) pada masa kini.”
Legasi
Selepas lebih 40 tahun, Majlis Tilawah Al-Quran turut mengalami evolusi dalam pelbagai aspek dan menjadi inspirasi kepada negara-negara luar. Terima kasih kepada penganjuran majlis itu, ini mendorong mereka menganjurkan pertandingan sama di negara asal mereka. Hadiah pertandingan juga turut berubah di mana pemenang qari dan qariah diberi imbuhan khas RM2,000 sepanjang hayat yang dimulakan pada tahun 2010 dan hadiah wang tunai dinaikkan dari $4,000 (RM13,000) kepada $10,000 (RM32,500).
Sementara dari segi penyertaan pula, peserta yang menjadi juara sebanyak dua kali tidak lagi dibenarkan bertanding. Dari segi sistem pertandingan pula, para peserta tidak lagi diberi bacaan surah-surah tertentu. Bermula tahun 2011, petikan ayat atau surah yang diberi kepada peserta melalui pilihan juri atau sistem pengundian yang menentukan surah mana yang diberi kepada peserta.

SUMBER
Yusof, Abdullah dan Mohd Tawel, Siti Norfariza. (2017). PENGANJURAN TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA: SEJARAH DAN PERKEMBANGANNYA. Universiti Malaya.
Penulis: Ibrahim Jauhari