Thursday 29 October 2015

Jin masuk Islam selepas dengar Al-Quran


Masih ada dikalangan masyarakat kita yang tanpa sedar telah menyekutukan Allah S.W.T Erti kata lain, menjadikan sesuatu selain Allah S.W.T sebagai tempat berlindung, memohon hajat dan perkara-perkara yang mendustakan Allah S.W.T

Contohnya, menyembah bomoh yang meminta khidmat selain Allah S.W.T adalah kegiatan 'normal' dikalangan masyarakat antara lain bertujuan melariskan perniagaan, ingin kelihatan menawan dan kekal muda. Ia adalah kegiatan yang salah disisi agama Islam. Kegiatan sedemikian berupaya memesongkan akidah umat Islam sekiranya tidak dikawal.


Mungkin tidak salah untuk menggunakan khidmat bomoh tetapi sewajarnya meneliti terlebih dahulu kaedah yang digunapakai bagi proses perubatan. Alangkah elok menggunakan khidmat para bomoh / ustaz yang menjadikan ayat Al-Quran atau mengadakan solat memohon pertolongan daripada Allah. Dengan langkah itu ia sekaligus mengelakkan kita daripada terjerumus ke lembah kesesatan.

Menyentuh tentang makhluk ciptaan Allah S.W.T iaitu jin yang sering dijadikan 'pendamping' atau pembantu dikalangan masyarakat. Sedia maklum, jin itu sendiri terbahagi kepada dua 'fahaman' iaitu jin Islam dan kafir. Mungkin kebanyakkan daripada masyarakat kita yang dekat dengan dunia ghaib menjadikan jin Islam sebagai sahabat sesama makhluk Allah S.W.T.

Kisah makhluk ini sememangnya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja akan kewujudannya. Sebab itu sebagai umat Islam yang beriman pasti akan mempercayai alam ghaib.

Mengenai jin Islam ini, ia sudah disebut di dalam kitab suci Al-Quran apabila bagaimana mereka (jin) memeluk Islam selepas mendengar ayat-ayat Al-Quran. Selain itu jin Islam turut melahirkan rasa teruja mereka terhadap keindahan Al-Quran.

Maaf, bila kali terakhir kita membaca atau menghafal atau setidak-tidaknya melihat dan menyentuh kitab suci Al-Quran ini? Cuba rujuk dan memahami Surah Al-Jin : 1-5 yang bermaksud ;

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan)," lalu mereka berkata: "Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (al-Quran). (Yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan sesuatu pun dengan Tuhan kami.

Dan sesungguhnya Maha Tinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak beranak. Dan sesungguhnya orang yang bodoh diantara kami dahulu selalu mengucapkan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah. Dan sesungguhnya kami mengira bahawa manusia dan jin itu tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah."

Surah Al-Jin ini merupakan surah yang ke 72 di dalam Al-Quran dan terdiri daripada 28 Makkiyyah (ayat). Jika jin memeluk Islam selepas hanya mendengar bacaan Al-Quran, menunjukkan betapa indahnya Al-Quran. Bagaimana pula dengan kita yang sudahpun Islam sejak dilahirkan, bagaimana 'keakraban' kita bersama Al-Quran? Sama-sama kita renungkan dan perbaiki kekurangan, itupun jika mahu diterangi cahaya di alam kubur.

No comments:

Post a Comment