Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah (Pondok Pak Ya) GUAR CHEMPEDAK
Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih terkenal dengan nama Pondok Pak Ya Junid telah ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Yahaya Junid. Terletak di Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak, pondok moden ini telah didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri.
Tuan Guru Hj. Yahaya Junid pernah menulis sebanyak 18 buah kitab rujukan serta menjadi AJK Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Zakat Negeri Kedah, dan ahli Majlis Fatwa Kedah.
Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1964, pengurusan pondok diambil alih oleh Tuan Guru Hj. Azahari Abd Razak (1964 – 1983), Ustaz Manan Hj. Yahaya (1983 – 2007) dan Ustazah Hajah Azizah Hj Yahaya bermula tahun 2007.
Ustazah Hajah Azizah mendapat tauliah 4 Senawi sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (1961 – 1966) dan memperoleh Diploma Pendidikan Islam. Beliau berpengalaman sebagai guru di SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan SMK Gurun. Pada tahun 1994, beliau menerima Anugerah Sijil Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ketika Pondok Pak Ya ditubuhkan, seramai 194 pelajar telah mendaftar. Pada tahun 2012, Pondok Pak Ya mempunyai 608 pelajar remaja dan dewasa. Sistem pembelajaran yang ditawarkan ialah pengajian Umumi dan Nizami. Antara subjek yang diajar ialah Feqah, Tafsir, Hadis, Tasawwuf, Nahu, Balaghah, Qiraat, Mantiq dan subjek pondok yang lain.
Pondok Pak Ya berjaya melahirkan beberapa tokoh termasuk YB Senator Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sheikh Fisol Omar, Pegawai Agama Majlis Agama Islam Kedah juga merupakan bekas pelajar Pondok Pak Ya. Bantuan kewangan bagi pondok ini diterima daripada Kerajaan Persekutuan, kutipan derma, sumbangan badan korporat dan orang perseorangan.
Untuk dihubungi:
Tel: 04-748 1357
Subscribe to:
Posts (Atom)
No comments:
Post a Comment