Tuesday 23 April 2019

Dadah & Peperangan

Dadah dan peperangan tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Dalam sesetengah tamadun atau organisasi, selain digunakan untuk tujuan perubatan, ada juga yang digunakan untuk menambah keberanian pahlawan atau tentera bila melawan pihak musuh. Mungkin ada yang mengatakan ia satu pembohongan tetapi ia digunakan ramai pihak dari Yunani hinggalah pengganas Daish yang mencetuskan situasi kacau-bilau di Timur Tengah.
Dadah dan dunia purba
Keberanian merupakan antara ciri penting seorang perwira dan bagi setiap tamadun dari timur dan barat, pahlawan sebegini menjadi kebanggaan masyarakat ketika itu. Maharaja-maharaja Parsi misalnya memperkenalkan diri mereka sebagai pemerintah yang adil dan berani. Sementara di China pula, Mengzi menerapkan falsafah keberanian seharusnya menjadi sebahagian daripada tujuan utama kehidupan. Keberanian dan kekuatan sebegini berpunca daripada diberi kurniaan Tuhan atau mempunyai asal-usul kayangan seperti kes Hercules dan Achilles.
Ada juga yang bergantung kepada herba atau dadah tertentu bagi membolehkan mereka menjadi pahlawan yang disegani. Dalam kisah Odyssey yang menampilkan Odysseus, pada satu ketika mereka tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah si pemakan bunga teratai’, satu wilayah yang dihuni penduduknya yang menghasilkan makanan dari bunga berkenaan. Apabila peninjau-peninjau Odysseus merasa sedikit ‘madu’ yang dihasilkan mereka, mereka merasa tidak bermaya dan khayal sehingga tidak mahu pulang ke kem mereka. Sebarang fikiran untuk kembali ke tanah air hilang sepenuhnya selepas mereka merasa makanan yang dihasilkan penduduk wilayah berkenaan.
Ubat atau dadah sebegini bukanlah asing bagi penduduk di sebelah timur lebih-lebih lagi untuk jenis tanaman yang mempunyai khasiat tertentu. Pokok kayu manis misalnya diminati oleh tamadun China, Parsi dan Mediterranean Timur kerana mempunyai khasiat merawat penyakit seperti sakit perut, sakit kepala dan penyakit jantung. Bahkan, pakar perubatan Yunani terkenal Dioscorides memberi preskripsi kayu manis kepada wanita yang mengalami masalah kitaran haid. Sementara satu buku farmasi dari Sepanyol mendedahkan minyak buah pala boleh merawat muntah-muntah dan cirit-birit manakala minyak buah pelaga pula melegakan usus dan membantu mengurangkan kentut. Semasa era pemerintahan Charlemagne, baginda mengarahkan rakyat memetik bunga mallow (sejenis tumbuhan liar di mana batang dan daunnya berbulu) kerana mempunyai khasiat merawat luka peperangan yang dialami tentera.
Selain sebagai penawar penyakit, orang-orang terdahulu juga tahu bagaimana hendak merangsang diri mereka terutama di ranjang. Satu catatan Arab menceritakan individu yang mengalami masalah saiz alat sulit perlu menyapu campuran madu dan halia pada bahagian alat sulit mereka. Tambah catatan tersebut, campuran tersebut mampu memberi kesan hebat kepada pasangan suami isteri dan sekaligus mengembalikan keharmonian rumahtangga yang terganggu akibat masalah ini.
Sementara kitab Veda pula menceritakan khasiat kanabis atau ganja sebagai sumber kegembiraan, penghapus kerisauan dan pemberi kegembiraan sehinggakan penjaga tanaman itu tidak mahu berjauhan dari tanaman mereka. Sumber-sumber China tidak mendedahkan kesan kanabis/ganja sehinggalah teks yang ditulis Pen Tsao Ching yang mendedahkan sekiranya ia diambil secara berlebihan, ia akan mengakibatkan halusinasi. Jika ia diambil secara jangka panjang, si pengambil boleh berhubung dengan roh-roh dan merasa dirinya tidak terbeban. Peranannya sebagai intoksikan sudah diketahui sejauh India, Parsi dan Timur Tengah sehinggakan ada yang menasihatkan supaya ia tidak diambil secara berlebihan dan jangka masa panjang.
Tetapi ada yang memilih untuk tidak mengendahkan lebih-lebih lagi bila direkrut oleh Hassan as-Sabah, seorang pendukung Syiah Ismailiyah dan pengasas kumpulan Hashashin. Menurut pengembara-pengembara dari Venice, beliau dikatakan menggunakan ganja dan perempuan untuk mengumpan mana-mana individu yang mudah termakan menyertai organisasinya Sebagai tukaran kepada dua perkara berkenaan, mereka menjadi pembunuh atau pengacau kepada mana-mana organisasi di Timur Tengah ketika itu sama ada Dinasti Ayubiyah yang diperintah Salahuddin al-Ayubi atau tentera Salib. Tetapi itu tidak bermakna pula ia menyumbang kepada punca kejayaan mereka dalam sesetengah operasi pembunuhan atau sabotaj.
Dadah sebegini hanyalah ganjaran bagi setiap kejayaan yang diraih dan percayalah, jika Hashashin cuba mengambilnya semasa beroperasi, mereka tidak akan mampu menjayakannya. Mungkin atas sebab itu juga, pada abad ke-14, seorang pemerintah Syria mengarahkan semua pokok ganja dimusnahkan. Jika ada yang masih mengambil hashish semasa operasi pembanterasan ganja dilakukan, gigi hadapan mereka akan dicabut sebagai amaran kepada sesiapa yang masih melakukannya. Ini kerana baginda merasakan ganja menyebabkan orangnya tidak berkemampuan untuk melawan lebih-lebih lagi bila wilayahnya diserang pihak musuh.
Dadah dan peperangan moden
Pada abad ke-19, perdagangan membabitkan dadah masih lagi dibenarkan dan salah satu tempat yang menjadi tumpuan eksport Britain ketika itu ialah candu. Dan apa yang dibimbangkan ramai sejak beribu-ribu tahun lalu berkenaan ganja menjadi kenyataan di China. Terima kasih kepada lambakan candu di pasaran, China yang merupakan antara kuasa ekonomi dunia ketika itu terjejas teruk akibat lambakan candu di pasaran dan mengakibatkan 4.12 juta penduduknya menjadi penagih. Isu sebegini yang akhirnya mencetuskan siri Perang Opium antara China dengan kuasa-kuasa Barat dan secara tidak langsung, benih permulaan kepada kejatuhan Dinasti Manchu.
Jika dadah mampu memusnahkan negara dalam konteks perang ekonomi, lihat pula dari konteks peperangan moden. Pada Perang Dunia Kedua, kita menyaksikan jentera perang Nazi melancarkan kempen perang kilat mereka pada tahun 1939 dan 1940 sehingga mampu menguasai sebahagian besar benua Eropah dari Oslo hingga ke Paris. Kempen Blitzkrieg mereka ini dijana oleh sejenis dadah yang dipanggil pervitin. Pervitin dihasilkan oleh syarikat farmasi Temmler dalam skala perindustrian yang besar menjadi kegilaan ramai di Jerman tanpa mengira sama ada orang awam atau tentera Wehrmacht. Penggunaan pervitin ini seolah-olah mengesahkan teori Ubermen yang diagung-agungkan rejim Nazi Jerman yang melihat orang Jerman sebagai orang Aryan atau bangsa super.
Pervitin menjadikan tentera di perbatasan seperti Superman dan mampu melakukan perkara yang dianggap mustahil seperti penawanan Kubu Eben Emael pada Mei 1940. Apa yang menjadikan peristiwa ini luar biasa ialah kemampuan tentera Wehrmacht seramai lebih 400 orang menawan kubu yang dikawal lebih seribu orang dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Kejayaan ini membentuk imej tentera Wehrmacht sebagai jentera perang yang harus dihormati dan digeruni. Pervitin dikatakan menambah kesedaran tentera, mampu berfungsi dalam keadaan kurang tidur, sebagai perangsang prestasi dan menambah konsentrasi mereka di perbatasan.
Satu kajian yang dibentangkan oleh penulis Jerman Norman Ohler mendedahkan pervitin membantu tentera yang berjuang di Medan Timur. Bila mereka tidak diberi dos pervitin, moral tentera amat lemah kerana dibantai suhu sejuk sebanyak -30 darjah Celsius dan tentangan sengit tentera Soviet. Bila mereka diberi pervitin, ia menambah keyakinan, kesedaran dan moral mereka. Pervitin juga menjadi kegilaan kepimpinan tertinggi Nazi Jerman terutama dalam kalangan pihak tentera. Field Marshal Erwin Rommel misalnya sentiasa mengambil pervitin sehingga menggelarnya roti harian. Pada tahun 1944 dan 1945, Nazi Jerman turut menghasilkan dadah D-IX, satu gabungan koktel kokain, morfin dan pervitin untuk kegunaan tentera mereka. Dadah sebegini diuji pada tahanan-tahanan kem di Sachenhausen di mana mereka dipaksa berjalan di atas satu laluan khas yang direka bukan saja untuk menguji kasut baru pihak tentera tetapi menguji keberkesanan D-IX di luar makmal.
Namun, bukan Nazi Jerman saja yang menggunakan dadah untuk kegunaan tentera mereka. Jepun pula menggunakan amphetamina untuk kegunaan tentera mereka semasa kempen Pasifik dalam WWII. Sementara Britain atau lebih tepat Jeneral Bernard Montgomery membekalkan tenteranya dengan Benzedrine sebelum Pertempuran El Alamein menentang Rommel dan unit Afrika Korpnya. Apa yang digunakan oleh unit Montgomery merupakan sebahagian daripada program sama yang membekalkan 72 juta Benzedrine kepada tentera British yang bertempur semasa WWII.
Jika ada merasakan kegilaan sebegini berakhir pasca-WWII, anda salah. Selepas perang, percayalah kuasa-kuasa besar sentiasa akan menguji dadah perangsang untuk kegunaan tentera mereka sendiri dari tahun 1950-an hingga sekarang. Misalnya, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) membekalkan varian amphetamina yang dipanggil dextroamphetamina kepada juruterbang-juruterbang mereka yang akan menjalani misi dengan durasi panjang. Dadah yang dibekalkan USAF ini bertujuan menjadikan mereka lebih awas semasa berada di udara dan mengurangkan keletihan. Ia turut digunakan semasa Perang Teluk di mana 65% daripadanya melaporkan ia amat berguna atau penting kepada misi mereka.
Tetapi semua ini ada harganya. Ada satu insiden di kem latihan Tarnak Farms, Afghanistan pada tahun 2002 yang mengorbankan empat tentera Kanada dan lapan lagi cedera. Insiden ini berlaku disebabkan kesilapan seorang juruterbang USAF yang tersalah tembak ketika di bawah pengaruh Dexedrine. Dan ada satu insiden di mana dua tentera Amerika mati selepas diberi dimetilamina, sejenis dadah perangsang prestasi yang diharamkan oleh Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA).
Pihak Amerika tidak keseorangan dalam bab ini. Daish juga tidak teragak-agak menggunakan Captagon dan membekalkannya kepada pejuang-pejuang mereka untuk membantu mereka merasa senang, menambah tenaga dan meningkatkan kesedaran. Secara tidak langsung, keganasan yang berlaku di Syria terutama semasa Perang Saudara Syria yang berlaku pada tahun 2014 berpunca daripada penyalahgunaan dadah yang berleluasa ketika itu membabitkan bukan saja pihak Daish tetapi juga pihak pemberontak.
SUMBER
2. Joe, Robert dan Willis, Sam. (2016). Nazi World War Weird. Episod 3: Hitler’s Meth Heads. https://www.dailymotion.com/video/x56mw17

Wednesday 10 April 2019

Kisah Keluarga Imran Dalam Al-Quran

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (Surah A’li Imran, ayat 33)
     Keluarga Imran ialah keluarga yang dimuliakan oleh Allah s.w.t setaraf dengan kemuliaan keluarga Nabi Ibrahim a.s., Nabi Nuh a.s. dan Nabi Adam a.s. kerana keimanan mereka mengatasi segala yang ada di dunia pada zaman mereka. Keluarga Imran dalam Al-Quran ialah sebuah keluarga yang wujud pada zaman dinasti Herod memerintah Kerajaan Judah di Palestin, yang menjadi sebahagian daripada Wilayah Rom.
    Dalam keagungan Dinasti Herod Yang Agung, Kerajaan Judah telah menjadi wilayah yang sangat kaya kerana menjadi pintu masuk perdagangan daripada Timur Tengah ke Laut Mediterranean. Justeru itu, Raja Herod Yang Agung telah membina Haikal Kedua (Haikal Herod) bagi menggantikan Haikal Kedua iaitu Haikal Zerubbabel yang telah usang dan sangat kecil.
     Kaum Yahudi merupakan kaum yang diturunkan sangat ramai Nabi dan Rasul dalam kalangan mereka. Hal ini kerana kedegilan mereka untuk kembali kufur kepada Allah s.w.t. selepas kewafatan nabi tersebut. Bermula dengan keingkaran mereka pada Zaman Nabi Musa a.s. dan disesatkan di Padang Tih, kaum Yahudi kembali bangkit dengan kejayaan mereka menubuhkan Negara Yahudi di bawah kepimpinan Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. dan menduduki tanah Palestin bersama-sama dengan Kaum-kaum asal di Palestin seperti Edom, Philistine dan Pheonician.
     Selepas kewafatan Nabi Sulaiman a.s., mereka kembali berpecah belah dan mendustakan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. (Kitab Taurat atau Torah), Nabi Daud a.s. (Kitab Zabur atau Psalms) dan pelbagai Suhuf yang diturunkan kepada Nabi-nabi selepasnya. Oleh sebab keingkaran mereka, kaum yahudi terbuang ke Babylon pada zaman Raja Nebuchannezar II (634 – 562 SM) dan kembali menjadi hamba seperti zaman Firaun.
     Seterusnya, Kaum Yahudi kembali ke Baitul Maqdis di bawah Penguasaan Zerubbabel, Gabenor Parsi yang ditugaskan ke Judah beserta Nabi Jeshua sebagai pendita Agung, telah membina kembali Haikal yang dirobohkan oleh Raja Nebuchadnezzar II. Selama lebih 500 tahun, pelbagai Nabi-nabi diturunkan ke Judah, namun mereka tetap mendustakan keterangan-keterangan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Kebangkitan Hasmonean juga tidak mengubah kehidupan yahudi, malahan mereka mewujudkan pelbagai aliran keagamaan untuk kepentingan mereka.
     Pada zaman Hasmonean, Yahudi terbahagi kepada tiga akidah iaitu aliran Pharisee, Sadducee dan Essene. Golongan Pharisee yang menjadi aliran utama keagamaan Yahudi telah menyeleweng daripada ajaran Nabi Musa a.s. yang asal. Sadducee pula bercampur aduk dengan kepercayaan pagan dari Rom, manakala Essene sahaja yang dikatakan masih mengikuti aliran keagamaan yang benar.
     Ali Imran (Keluarga Imran) dalam Al-Quran ialah keluarga yang berkisarkan dalam zaman Dinasti Herod memerintah Judah. Semasa isterinya mengandung, isterinya bernazar agar anak yang dikandunginya bebas. Bebas yang dimaksudkan ialah bebas daripada segala urusan dunia dan hanya berkhidmat untuk Allah semata-mata.
     Namun begitu, setelah cukup usia kandungan, lahirlah seorang anak perempuan, sedangkan mereka berhajatkan seorang anak lelaki. Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan segala sesuatu dan daripada perempuan ini, akan lahirlah seorang Rasul yang akan menyelamatkan Kaum Yahudi daripada kesesatan yang berpanjangan. Anak perempuan itu dinamakan sebagai Maryam. Kisah ini dirakamkan oleh Allah swt dalam Surah Ali Imran ayat 35 dan 36:
     (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
     Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.
     Semasa usia Maryam 3 tahun, kedua-dua ibu bapanya dihukum bunuh oleh Raja Herod Yang Agung. Maryam dipelihara oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria a.s. yang menjadi Pendita rumah ibadat Abiyah. Daripada remajanya, Siti Maryam diletakkan di atas mihrab yang tinggi dan tidak dapat dicapai oleh sesiapapun selain daripada Nabi Zakaria a.s. Menurut riwayat, terdapat 27 pintu antara Siti Maryam a.s. dengan dewan rumah ibadat tersebut. Siti Maryam a.s. dibesarkan dengan penuh keimanan hanya kepada Allah s.w.t. dan bebas daripada segala urusan dunia yang fana ini.
     Disebabkan keimanannya, Siti Maryam a.s. sering mendapat buah-buahan yang lazat tanpa diketahui siapa yang memberinya, bahkan Allah merakamkan peristiwa tersebut dalam Surah Ali Imran, ayat 37: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”
     Ada pendapat turut mengatakan bahawa kisah keluarga Imran ini juga termasuklah kisah Nabi Zakaria a.s. dan anaknya Nabi Yahya a.s.. Pada usianya yang telah lanjut dan isterinya yang mandul, Nabi Zakaria memohon agar Allah s.w.t.  mengurniakan kepadanya seorang anak. Hajat baginda dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dengan perkhabaran yang dibawa oleh Malaikat Jibril a.s. bahawa akan lahirlah seorang anak yang tidak pernah dikurniakan sepertinya sebelum ini. Anak tersebut bernama Yahya. Baginda meminta petunjuk akan kelahiran bayinya itu, maka Allah menjadikan baginda Nabi Zakaria a.s. tidak boleh berkata-kata selama tiga hari.
     Daripada peristiwa tersebut, isteri Nabi Zakaria a.s., Elizabeth selamat mengandungkan dan melahirkan Nabi Yahya a.s. dan Nabi Yahya a.s. merupakan seorang Nabi dan Rasul yang sangat cerdas. Baginda berjaya menarik ramai orang Yahudi untuk kembali ke jalan yang benar dan pengaruhnya menggerunkan Raja Herod Antipas semasa menduduki Kota Machareus sebagai ibukotanya.
     Begitu juga dengan Siti Maryam, yang mana Malaikat menyampaikan berita bahawa beliau adalah wanita yang terbaik seluruh alam, yang dipilih dan disucikan oleh Allah s.w.t.. Allah menyuruh Maryam a.s. untuk rukuk dan sujud seperti orang-orang yang rukuk. Lalu, malaikat Jibril a.s. menyampaikan berita bahawa Siti Maryam akan melahirkan seorang penyelamat (Al-Masih), yang bernama Isa bin Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, di samping baginda ialah orang yang didampingkan (dimuliakan oleh Allah sw.t).
     Maryam a.s. terkejut dengan berita tersebut dan menjelaskan bagaimana dia boleh mengandung, sedangkan dia tidak pernah disentuh oleh sesiapa pun. Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu, mengatakan bahawa jika Allah berkata jadi, maka jadilah ia. Maka, Allah s.w.t. meniupkan ruh ke dalam rahim Maryam, lalu mengandunglah Maryam a.s. dengan kuasa Allah. Maryam a.s. yang mengandung itu pun menyisihkan dirinya ke tempat yang sunyi.
     Dalam kesakitan mahu melahirkan Nabi Isa a.s., Maryam bersandar di sebatang pohon tamar dan mengeluh akan kesakitannya itu. Allah s.w.t. berfirman kepada Maryam agar jangan berdukacita. Dari tempat dia bersandar, wujudlah sebatang sungai dan Allah memerintahkannya untuk menggegar batang pohon tamar itu. Buah-buah tamar yang sangat masak dan sangat sedap berguguran serta anak sungai yang wujud menjadi makanan dan minuman Maryam a.s.
     Setelah selamat melahirkan Nabi Isa a.s., Maryam a.s. kembali ke kaumnya dan dia ditempelak kerana dituduh melakukan dosa yang besar. Kaumnya berkata,
     ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (Surah Maryam, ayat 28)
     Maryam a.s. bernazar untuk tidak berkata-kata dan hanya menunjukkan ke arah anaknya itu. Nabi Isa a.s. yang masih kecil itu tiba-tiba berkata,
     Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”. (Surah Maryam, ayat 30 -33)
     Kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan kuasa Allah s.w.t. yang maha agung dan ditunjukkan kepada kaum Yahudi supaya mereka berubah. Mereka tidak berubah, malah berselisih faham tentang kewujudan anak Tuhan, seperti dalam mitologi Greek.
     Semasa diangkat menjadi Rasul, Nabi Isa a.s. yang berasal daripada wilayah Nazareth telah berdakwah kepada kaumnya dengan pelbagai mukjizat agar kaumnya kembali beriman kepada Allah s.w.t.
     Baginda diberikan kelebihan untuk menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah liat, menyembuhkan buta dan sopak, menghidupkan orang yang mati (dengan izin Allah s.w.t), dan boleh mengetahui apa yang dimakan dan disimpan dalam rumah seseorang. Di rambutnya, sentiasa nampak basah dan peribadi Nabi Isa a.s. berjaya menarik ramai orang untuk mengikutinya kembali ke jalan yang benar. Baginda turut dibantu oleh 12 orang golongan hawariyyun.
     Namun begitu, dakwah Nabi Isa a.s. yang membersihkan Haikal Kedua daripada tipudaya golongan Pharisee dan Sanhedrin (yang dikuasai oleh golongan Sadducee) tidak disenangi oleh para rabbi. Mereka merancang untuk menangkap Nabi Isa a.s. dan menghantar kepada Pontius Polate, procurator Rom di Judah untuk dihukum bunuh. Nabi Isa a.s. berjaya ditangkap dan dihangtar kepada Pontius Pilate, di mana Pontius Pilate menghantar Nabi Isa a.s. kepada Herod Antipas kerana baginda berasal daripada wilayah Antipas.
     Antipas yang tidak mahu menangung risiko pemberontakan kerana baginda baru sahaja menghukum bunuh Nabi Yahya a.s.. Herod Antipas menghantar semula kepada Pontius Pilate dan akhirnya Nabi Isa a.s. dihukum dengan disalib setelah majoriti kaum yahudi di Baitul Maqdis yang dikuasai oleh Pharisee dan Sadducee mahu Nabi Isa a.s. dihukum bunuh.
     Allah membalas tipudaya golongan tersebut dan menukarkan baginda Nabi Isa a.s. dengan Judas Iskariot, golongan Hawariyyun yang membelot. Ajaran Nabi Isa a.s. diteruskan oleh golongan Hawariyyun ini selama lebih kurang 500 tahun sebelum diutuskan Nabi Muhammad s.a.w., Nabi dan Rasul terakhir.
     Allah s.w.t. mengangkat darjat keluarga Imran ini setaraf dengan keluarga Nabi Ibrahim a.s. disebabkan keimanan mereka dalam menjalankan perintah Allah di muka bumi. Kisah bagaimana isteri Imran bernazar kepada Allah s.w.t akan anak yang akan dilahirkan ini bebas daripada segala kemanisan dunia didengari oleh Allah s.w.t. dan diperkenankan anak yang sangat taat kepada agamanya, walaupun anak yang lahir itu seorang perempuan.
     Maryam yang sangat taat itu pula dikurniakan anak tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki menunjukkan betapa agungnya kuasa Allah s.w.t. dalam merencanakan kehidupan kita. Kisah kehebatan iman keluarga Imran ini patut dicontohi oleh semua umat Islam dalam menempuhi kehidupan yang dipenuhi dengan kemanisan dunia yang fana ini.

Sumber : Nizam GTZ

     

Wednesday 3 April 2019

Imam Ghazali – Hujjatul Islam


Penulis: Ibrahim Jauhari
Semua mengenali Imam al-Ghazali sebagai seorang ulama bukan saja dalam bidang tasawuf tetapi juga dalam bidang fiqh dan falsafah. Berikutan jasanya yang besar kepada umat Islam, beliau diberi gelaran Mujaddid dan Hujjatul Islam. Antara karyanya yang paling ulung ialah kitab Ihya Ulumuddin yang terus menjadi rujukan umat Islam hari ini. Namun, siapa sebenarnya Imam al-Ghazali pada pandangan sejarah?
    Imam al-Ghazali atau nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad al-Ghazali dilahirkan di Tabaran/Ghazalah, Tus, Iran pada tahun 1056 (pandangan sejarawan moden) atau 1058 (pandangan Ibnu Jauzi rahimahullah). Beliau diberi gelaran al-Ghazali kerana pertama, ia merujuk kepada tempat kelahirannya di Ghazalah atau merujuk kepada pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun dan penjual kain tenun. Imam al-Ghazali turut dikenali dengan nama Abu Hamid kerana pernah mempunyai seorang anak lelaki bernama Hamid yang meninggal dunia semasa kecil.
    Beliau datang dari sebuah keluarga yang miskin dari segi material tetapi kaya dari segi kasih sayang. Bapanya yang merupakan seorang ulama sufi yang warak berharap putera-puteranya iaitu Muhammad dan Ahmad menjadi seorang ulama yang arif dan soleh. Dan melihat kepada senarai guru yang didampingi Imam al-Ghazali, nyatalah tahap ilmu beliau bukan calang-calang. Beliau pernah berdamping dengan Dhiauddin Abdul Malik al-Juwaini semasa berada di Naysabur sehinggalah gurunya meninggal dunia pada 20 Ogos 1085. Selepas pemergian gurunya, Imam al-Ghazali dijemput oleh Nizam al-Mulk, seorang wazir terkemuka dari kerajaan Saljuk ke Baghdad dan dilantik menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar Madrasah Nizamiyyah yang diasaskan oleh wazir berkenaan.
    Pada satu ketika dalam kehidupannya, Imam al-Ghazali berhadapan dengan isu keyakinan sehingga memaksa beliau meletak jawatan dari Madrasah Nizamiyyah dan meninggalkan Baghdad atas alasan mahu mengerjakan haji. Menurut penulis Duncan B. Macdonald, beliau berbuat demikian kerana mahu mendapatkan pengalaman rohani dan menginginkan pemahaman lebih mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Semasa pengembaraan ini, beliau pernah singgah di Baitulmaqdis, Damsyik, Makkah dan Madinah pada tahun 1096. Sekembalinya Imam al-Ghazali dari pengembaraannya, beliau kembali ke kampung halamannya di Tus untuk beruzlah selama beberapa tahun. Walaupun beliau menolak sebarang jemputan sebagai pengajar atau pensyarah, itu tidak menghalangnya memberi syarahan, menerima kehadiran orang ramai sebagai tamu dan mengajar di institusi-institusi tertentu.
    Selepas Nizam al-Mulk meninggal dunia akibat dibunuh kumpulan Hashashin pada tahun 1092, peranan wazir digalas oleh Fakhr al-Mulk dan perkara pertama yang diingininya ialah kembalinya al-Ghazali ke Nizamiyyah di Naysabur. Bimbang akan gangguan dan kontroversi yang tercetus sekiranya beliau menolak,  al-Ghazali kembali ke Naysabur pada tahun 1106 dan menolak tawaran Dinasti Saljuk untuk kembali ke Baghdad atas jemputan wazir Sultan Muhammad I dari dinasti berkenaan pada tahun 1110. Beliau meninggal dunia pada 1111 di Tus.S
    Imam al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu hendaklah  mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana  Allah s.w.t. Dan jasanya terhadap umat Islam terlalu banyak di mana ia diterjemahkan dalam pelbagai bentuk karya. Tahafut al-Falasifah ialah sebuah kitab yang dihasilkan pada abad ke-10 Masihi sebagai satu bentuk kritikan terhadap pendukung falsafah Aristotle yang wujud dalam kalangan pemikir dan cendekiawan Islam ketika itu termasuk Ibnu Sina.
    Tetapi itu tidak boleh mengatasi karya ulungnya, Ihya Ulumuddin. Ia meliputi semua bidang yang menjadi teras agama iaitu teologi, fiqh dan sufisme. Kitab yang dihasilkan Imam al-Ghazali ini merupakan antara kitab yang paling banyak dipetik teksnya selepas al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Ia dianggap karya ulung kerana berupaya menyatukan elemen sufisme dan mazhab Ahli Sunnah Waljamaah dalam bentuk satu panduan yang bersifat menyeluruh dan berguna dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Ia juga menjadi rujukan ramai cendekiawan termasuk Imam Nawawi rahimahullah yang berpandangan, “Sekiranya semua kitab berkenaan Islam itu hilang kecuali kitab Ihya, maka itu sudah cukup untuk menggantikan semuanya.”
    Menerusi karya-karyanya termasuk Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli falsafah dan ahli kalam. Beliau menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung kepada  hipotesis-hipotesis yang tidak rasional tetapi mesti bersandarkan  kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata. Beliau juga memberikan tafsiran yang bersifat rasional tentang kepercayaan asas Islam sehingga kesahihannya atas dasar rasionalisme tidak dapat dipersoalkan lagi sepanjang zaman. Selain itu, beliau menerangkan hikmah setiap suruhan syariat dan memberikan konsep yang jelas mengenai Islam sekaligus dapat menghilangkan segala keraguan mereka
    Imam al-Ghazali juga turut meneliti kepercayaan semua kumpulan agama pada zaman itu dan perbezaan antara mereka. Beliau menjelaskan had-had antara Islam dan kufur dan had-had kebebasan pentafsiran. Usaha sebegini bukan saja mengurangkan pertelingkahan antara kumpulan mazhab atau fahaman yang bertentangan, malah ia turut membantu meluaskan pandangan alam rakyat pada sesebuah fahaman dan kumpulan. Beliau juga menolak perbuatan taklid membabi-buta, menentang gejala kejumudan dan menarik masyarakat kembali kepada Kitabullah da sunnah Rasul-Nya. Imam al-Ghazali juga dilihat berjaya menghidupkan semula semangat ijtihad dan mengkritik kumpulan-kumpulan yang membawa unsur yang bertentangan prinsip akidah tauhid.
    Beliau mengkritik sistem pendidikan yang sedang merosot ketika itu dan mencadangkan sebuah sistem yang baru sebagai ganti.  Kurikulum yang wujud ketika itu mempunyai beberapa kelemahan seperti memisahkan elemen agama dari ilmu bersifat duniawi dan memasukkan perkara-perkara yang dianggap bertentangan dengan syariat menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan. Cadangan sistem sebegini pada awalnya ditentang oleh ulama kontemporari ketika itu tetapi akhirnya menjadi antara legasi terhebat Imam al-Ghazali dalam dunia pendidikan umat Islam hari ini.
    Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap keadaan moral dan agama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untukmembuat pembaharuan. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya seperti Ihya Ulumuddin mengkritik keadaan moral masyarakat ketika itu dan menjelaskan setiap hal itu berkait dengan sebab-sebab sosial, seterusnya memberi kriteria moral Islam yang sebenarnya. Beliau juga tidak teragak-agak mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud ketika itu dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk  menahan dan mengkritik penindasan. Usaha–usaha pengislahan ini tidak  terhad  kepada pembaharuan moral masyarakat Islam semata-mata. Sebaliknya, kebanyakan falsafah dan idea yang dibawa beliau ini menjadi teras sebuah dinasti Islam di Andalusia iaitu kerajaan al-Muwahidun.
Rujukan:
Haji Yussof, Abdul Salam. (2005). Pujian dan kritikan terhadap Imam al-Ghazali. Universiti Kebangsaan Malaysia. http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_06_2005/abdul_salam_2005.pdf