Thursday 27 August 2015

Mencetak Direktori Pondok


Aktiviti awal yayasan ialah mewujudkan pangkalan data mengenai pondok-pondok di Malaysia. Justeru, pada Ogos dan September 2012, satu bancian telah diadakan di seluruh negara bagi mengumpul maklumat terkini mengenai pondok. Jumlah pondok yang berdaftar di Malaysia ialah sebanyak 110 buah dan semuanya dimasukkan dalam sebuah direktori bergambar yang dicetak. Pondok yang tidak berdaftar tidak dimasukkan dalam direktori ini. Di dapati semua negeri ada pondok yang masih aktif kecuali Perlis, Sabah dan Sarawak.


Direktori ini dilancarkan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak dalam satu majlis khas sempena pelancaran YPPM pada 8 November 2012 di Masjid Taman Bukit Indah, Ampang, Selangor, jam 4 petang. Pada majlis itu, YAB. Perdana Menteri turut melancarkan logo dan website YPPM.

Pada hari pelancaran itu, YAB. Perdana Menteri beramah mesra dengan ratusan warga pondok yang dijemput khas dari seluruh negara. Turut dijemput ialah penduduk setempat, pelajar sekolah maahad tahfiz dan penuntut-penuntut universiti. Semua dijemput hadir solat Asar berjemaah dengan YAB. Perdana Menteri pada hari itu.

Sempena majlis yang julung kali diadakan itu, YAB. Perdana Menteri menyampaikan beberapa anugerah istimewa bagi menobatkan para ulama dan tok guru yang banyak berjasa serta pondok yang dianggap berjaya melahirkan modal insan berkualiti dalam bidang pengajian agama dan Al-Quran. Tiga orang tokoh dipilih menerima ANUGERAH TOKOH PONDOK 2012 dan tiga pondok dipilih untuk memenangi ANUGERAH PONDOK CONTOH 2012.

Selain itu, YAB. Perdana Menteri turut menyampaikan ANUGERAH KASIH YAB. PERDANA MENTERI 2012 kepada 11 pondok yang layak menerima bantuan segera daripada pihak yayasan untuk memperbaiki prasarana dan melengkapkan lagi pondok masing-masing.

Antara aktiviti masa depan YPP1M yang dicadangkan termasuk:


  1. Membina pangkalan data dan bahan multimedia yang lengkap mengenai sejarah, operasi dan hasil kajian institusi pondok.
  2. Menobatkan individu dan institusi yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan dan perkembangan institusi pondok.
  3. Mengadakan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sumbangan, pengendalian dan masa depan institusi pondok.
  4. Mengadakan program turun padang untuk membantu pondok dari segi prasarana dan seumpamanya.
  5. Menjalin hubungan dan jaringan dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan YPP1M dan membantu institusi pondok.

No comments:

Post a Comment