Friday 28 August 2015

Misi Bantuan Banjir : Kenyataan Pengerusi Eksekutif YPPM


HARI INI, saya dan beberapa staf Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YYPM) akan menjalankan misi bantuan ke beberapa pondok yang terjejas teruk akibat banjir sekitar Temerloh, Pahang. Mengikut perancangan, kami akan ke Madrasah An-Najjah atau Pondok Bukit Keledang di Bera dan Madrasah Raudhah Al-Muhubbin atau Pondok Pak Kob, di Seberang Chenor.


Kedua-dua pondok ini ditenggelami air ketika banjir melanda pantai timur beberapa minggu lalu, dan tidak boleh berfungsi sehingga  memaksa lebih 300 pelajar pondok dan guru menghentikan semua aktiviti.

Atas dasar keprihatinan dan kewajipan membantu mangsa bencana, YPPM dengan kerjasama beberapa pihak lain, termasuk Yayasan Salam, Kolej Vokasional Auto Prima (Shah Alam) dan sebuah masjid di Kuala Lumpur, telah menghantar beberapa sukarelawan untuk meninjau keadaan di Pahang dan Kelantan pada Januari lalu, bagi mengenal pasti dan melihat sendiri pondok yang terjejas teruk. Tersenarai dalam laporan lapangan itu adalah 32 buah pondok.

Namun, YPPM tidak berupaya, baik dari segi kewangan mahupun tenaga sukarelawan, untuk membantu kesemua pondok yang terjejas teruk akibat banjir luar biasa yang melanda negeri-negeri pantai timur.

Selepas dua kali perbincangan berkaitan dana dan isu logistik, YPPM dan pasukan sukarelawan bersetuju menghantar bantuan dalam bentuk barangan keperluan bagi kegunaan warga pondok seperti kitab, buku tulis, dapur gas, sistem PA, peti ais, khemah, atap zink, tilam, bantal, selimut dan kain pelekat kepada pelajar dan penghuni pondok berkenaan.

Kita mengharapkan bantuan ini dapat pulihkan pondok-pondok terbabit untuk berfungsi seperti sediakala. Difahamkan, pihak GiatMara telah membantu pondok-pondok tersebut memperbaiki pendawaian yang rosak.

Saya turut merayu kepada dermawan, baik syarikat, organisasi atau individu, untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi membolehkan pengagihan kepada lebih banyak pondok yang terbabit. Dalam keadaan sebegini, elok kita ingat sejenak sumbangan sekolah pondok kepada pendidikan Islam di negara kita dan membina kekuatan ummah, terutama dalam mempertahan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Peranan ulama pondok dalam memperjuang kemerdekaan negara, membina generasi al-Quran serta melahirkan para hufaz dan pemimpin sangatlah besar dan tinggi nilainya. Justeru, dalam keadaan mereka memerlukan, bantulah mereka dengan ikhlas. Saya amat mengalu-alukan sumbangan derma yang boleh disalurkan melalui YPPM dengan cara menghubungi talian 03-22016711, www.yppm.org.my atau www.facebook.com/YayasanPembangunanPondokMalaysia.

Musibah banjir yang melanda baru-baru ini, telah mencetus fikiran untuk kami melihat lebih terkedepan khususnya meningkat keupayaan dan keberkesanan YPPM sendiri, menjadi lebih self-sufficient, lebih mampu melaksana tanggungjawab dan memenuhi aspirasi warga pondok.

Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah YPPM semalam, kita sebulat suara bersetuju untuk meneroka penubuhan sebuah koperasi yang terbuka kepada semua pondok di Malaysia. Lembaga Pengarah YPPM akan mengkaji cadangan ini secara mendalam, serta mendapatkan nasihat dan pandangan kementerian berkaitan.

Matlamat penubuhan koperasi ini ialah untuk membolehkan pembabitan YPPM dalam sektor komersil bagi kepentingan ahli koperasi. Jika ada keuntungan daripada penyertaan dalam bidang keusahawanan dan pelaburan, ia boleh disalurkan kepada semua ahli dalam bentuk dividen.

Selain itu, YPPM juga akan memulakan kaji selidik ke atas pondok seluruh negara tidak lama lagi bagi memenuhi dua matlamat utama.

Pertama, untuk mengemas kini direktori pondok yang dihasilkan pada julung kalinya tiga tahun lalu. Kedua, bagi memenuhi keperluan satu laporan lengkap mengenai status pondok di Malaysia untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab menyalurkan dana RM25 juta kepada sekolah-sekolah pondok seperti yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Penaung YPPM Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sewaktu membentang Belanjawan 2015 Oktober lalu.

Laporan ini dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan, dan boleh dianggap kajian paling komprehensif yang pernah dijalankan ke atas sekolah pondok dan sistem pengajiannya di Malaysia.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

No comments:

Post a Comment