Setiap Muslim hendaklah menguatkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Memandangkan ibadat haji adalah wajib bagi setiap Muslim, apabila sudah ada kemampuan iaitu perbelanjaan cukup, tubuh badan sihat, tiada sebarang gangguan dalam perjalanan yang perlu dibimbangi, ilmu cukup di dada, maka hendaklah segera menunaikannya tanpa berlengah-lengah lagi.
Pesan Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarie sehingga dia meninggal dunia) maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.” ? (Hadis At-Tirmizi dan Al-Baihaqi)
Walaupun begitu, masih ada juga segelintir masyarakat Islam yang sudah ada kemampuan namun enggan menunaikan haji. Mereka beralasan ‘belum sampai seru’, umur masih terlalu muda, banyak urusan bersifat duniawi yang perlu diselesaikan seperti perniagaan, penternakan dan sebagainya.
Alasan mereka sebenarnya sangat mengelirukan. Pada hal manusia tidak sedikitpun diberi pengetahuan mengenai apakah yang akan berlaku pada masa akan datang, mungkin dirinya jatuh sakit, boleh jadi akan mengalami kekurangan harta atau tidak mustahil meninggal dunia sehingga terhalang daripada menunaikan ibadat haji.
Rasulullah SAW memberi peringatan agar tidak bertangguh jika ada kesempatan untuk melakukan kebajikan. Daripada ibnu Umar katanya, Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda: “Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan”. Ibnu Umar berkata: “Jika kamu berada di waktu petang janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati.” ? (Hadis Bukhari)
Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, mengakibatkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.
Seharusnya jiwa padat dengan kesabaran yang kuat, reda dengan ketentuan Allah di samping senantiasa berdoa kepada-Nya agar haji dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan memperoleh haji mabrur dan ganjarannya sangat besar sebagaimana sabda junjungan besar Nabi SAW bermaksud: “Haji yang mabrur itu tidak ada ganjarannya melainkan syurga.” ? (Hadis Bukhari)
Sesungguhnya ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal, mental dan material. Orang yang ingin mengerjakan haji perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan ujian. Lantaran sekiranya tiada keazaman tinggi dan iman kental, menyebabkan seseorang mudah kecewa, putus asa dan menganggap ibadat haji sukar dilaksanakan.
Kunjungan ke Baitullah akan mendapat pelbagai manfaat bagi muslimin sebagaimana dijelaskan Allah: “Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka”. ? (Surah al-Hajj: 28)
Antara manfaatnya ialah menunjukkan kecintaan dan ketaatan tidak berbelah bagi, mengabdikan diri ikhlas semata-mata kepada Allah, mengikrarkan tauhid bersama-sama, menyuburkan keimanan dan ketakwaan.
Hal ini terjelma melalui lafaz doa, zikir, takbir, tahmid dengan keras sehingga didengar oleh orang yang dekat atau jauh, menjiwai maknanya, merealisasikan dalam setiap amalan sehari-hari.
Dalam perhimpunan besar umat Islam di tanah suci, tidak ada lagi timbul perbezaan taraf, bangsa dan budaya. Semuanya sama di sisi Allah sebagai hamba-Nya seperti bentuk dan warna pakaian ihram yang dipakai oleh setiap yang mengerjakan haji.
Di samping itu, muslimin boleh saling kenal-mengenal, berwasiat, nasihat-menasihati atas dasar kebenaran, bantu membantu, membimbing tata cara mengerjakan haji, berdakwah dan sebagainya. Ini semua manfaat diperoleh melalui ibadat haji.
Demi mencari keredaan dan kebenaran serta keselamatan di dunia dan di akhirat, setiap Muslim hendaklah menguatkan azam agar suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam Kelima, dengan giat bekerja mengumpul harta secara halal dan selalu berdoa kepada-Nya.
Sumber : BHonline
No comments:
Post a Comment