Wednesday, 28 October 2015
Malaysia, ajaran sesat dan penguatkuasaan undang-undang
Ramai yang sudah mengetahui bahawa umat Islam akan berpecah belah dalam skala yang besar menjelang hari kiamat. Umat Muhammad S.A.W akan berpecah kepada 73 puak. Daripada kesemua jumlah itu, hanya satu puak sahaja akan mendiami syurga yang indah sementara yang lain akan dicampakkan ke dalam api neraka.
Mungkin ramai juga sedia maklum, siapa golongan yang berada di dalam kelompok satu puak istimewa ini. Sudah tentu golongan yang dimaksudkan adalah golongan yang berada di atas jalan Rasulullah dan sahabat-sahabat.
“Berpeganglah kamu sekalian kepada sunnahku dan sunnah Khalifah ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku, pegang dan gigitlah dengan gigi geraham, berjaga-jagalah kamu dari benda-benda yang baru maka sesungguhnya setiap yang baru itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat.” (Hadith ibnu Majah)
Ini sudah cukup jelas kepada kita namun masih ada segelintir daripadanya yang tergelincir daripada pegangan sunnah Rasulullah S.A.W. Kewujudan pelbagai fahaman-fahaman baharu dewasa ini mengakibatkan kecelaruan dikalangan masyarakat. Jika ada yang memutuskan tali persaudaraan sesama keluarga akibat berbeza fahaman politik, begitu juga dalam soal fahaman agama sehingga ada yang sanggup mengkafirkan sesama saudara Islam.
Dahsyatnya 'peperangan' ini semata-mata mahu menentang ajaran Rasulullah S.A.W yang sebenar. Fahaman-fahaman baharu ini sudah jelas menjuruskan kepad bid'ah sementara setiap yang bid'ah itu adalah sesat.
Malaysia pernah digemparkan dengan pelbagai fahaman baharu yang menyesatkan. Ramai dikalangan mereka yang berpegang kepada ajaran sesat ini berjaya dihapuskan. Mungkin tidak secara total namun ia membuktikan sikap peka dan cakna pihak berwajib membanteras ajaran sesat ini.
Kesukaran mengesan dan membongkar gerakan ajaran sesat ini merupakan antara cabaran yang sedang dihadapi. Antara lain, faktor 'persamaan' fizikal atau penampilan luaran yang digunakan pengikut ajaran sesat ini tidak ada beza dengan masyarakat yang lain. Pertuturan mereka yang kelihatan lemah lembut dan bersopan santun turut mengaburi mata orang ramai. Mereka yang sesat ini sedang berada disekeliling masyarakat dan berusaha 'merekrut' anggota baharu.
Tidak perlu lagi untuk diadakan forum atau debat. Kata-kata Rasulullah S.A.W sudah jelas dan tidak perlu diperdebatkan. Tinggal lagi, bagaimana Malaysia yang menjadikan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dalam menangani perkara ini. Kejayaan-kejayaan menguburkan pelbagai ajaran sesat terdahulu merupakan antara simbolik kepada usaha pihak berkuasa ke arah memartabatkan kesucian Islam.
Usah dihalakan jari bertujuan menuding kepada mana-mana pihak. Ia sewajarnya menjadi tanggungjawab bersama sebagai ummah yang bersatu padu. Tidak perlu berasa takut kepada mana-mana pihak atau negara kuasa besar kerana ketakutan itu seharusnya diletakkan kepada Allah S.W.T.
Terdahulu, agensi-agensi agama peringkat negeri telah memainkan peranan mereka sebaik mungkin. Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan kenyataan amaran berhubung fahaman ajaran sesat atau secara tepatnya, fahaman Syiah.
Penganut ajaran yang secara jelas menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar itu akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati mengamalkannya di negeri Selangor.
Ia satu tindakan yang tepat selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 17 Oktober 2013 lalu bahawa fahaman berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sehubungan dengan itu, peranan seterusnya perlu dimainkan oleh masyarakat secara keseluruhannya. Badan-badan penguatkuasaan pasti dahagakan maklumat berkaitan penyebaran ajaran sesat ini. Sebagaimana yang disebutkan tadi mengenai gerakan pengikut ajaran sesat yang bergerak licik dalam kalangan masyarakat.
Sesungguhnya musuh yang paling berbisa adalah musuh di dalam selimut. Masyarakat pemelihara kesucian Islam pastinya akan berganding bahu memerangi musuh agama yang berselindung disebalik topeng Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment