Wednesday, 9 December 2015

Istiqamah Dalam Amalan


Sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan. Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah Taala dan RasulNya dalam Surah Fusilat Ayat 6 yang bermaksud “Katakanlah ( Wahai Muhammad ): “Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanya”.

Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah. Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT.

Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

Perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci di redhai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat. Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa. Firman Allah Taala didalam Surah Yusof Ayat 87 ertinya “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.

Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh seseorang itu,tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian. Ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang teguh. Apabila kita diberikan kekuatan melakukan sesuatu kebaikan keimanan dan ketakwaan akan memberikan kita kekuatan dan motivasi untuk melaksanakannya secara konsisten. Walaupun adakalanya amalan tersebut nampak kecil, tetapi kebaikan yang dilaksanakan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan. Menurut Ustaz Muhamad, mereka yang membuat amalan yang istiqamah akan diberikan ganjaran pahala walaupun pada satu-satu ketika mereka tidak mampu melaksanakannya lagi.

Daripada Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaubagaimanapun, sebagai insan yang lemah kita memerlukan syarat-syarat dalam melaksanakan amalan kebaikan agar ianya dapat sentiasa memandu kita dalam jalan yang benar. Ustaz Muhamad berkata ini kerana dalam beristiqamah akan ada cabaran-cabaran yang akan menggangu kita, justeru itu Allah SWT juga memberikan panduan dalam memohon doa-doa untuk beristiqamah untuk memotivasikan diri.

Terdapat tiga syarat dalam Istiqamah. Yang pertama adalah Niat. Niat adalah memasukkan dalam hati untuk beristiqamah. Teguhkan dan ajarkan hati untuk berniat melakukan perkara-perkara baik setiap hari. Ini kerana setiap amalan itu bermula dengan niat dan kita akan diberi ganjaran bersadarkan niat kita. Selain meniatkan hati untuk membuat amalan baik sematkanlah niat untuk beristiqamah juga. Mudahkanlah hati dan fikiran untuk berniat membuat kebaikan dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada diri dan orang lain terutamanya pasangan dan keluarga.

Syarat kedua adalah mengurangkan pilihan dalam membuat amalan. Beliau menjelaskan bahawasanya lumrah manusia sekiranya berhadapan dengan banyak pilihan tugasan, ia akan membuat pilihan yang paling ringan atau mudah sahaja. Maka utamakanlah perkara-perkara yg ‘utama’ dalam membuat amalan. Elakkanlah memilih benda yang ringan sahaja, tetapi pilihlah yang paling utama. Tidak ada manusia yang terlalu sibuk untuk sesuatu, iaadalah satu pilihan seseorang dalam memberi keutamaan terhadap apa yang dilakukannya. Oleh itu tentukanlah keutamaan dalam hidup kita dan ini akan menghasilkan istiqamah dalam amalan-amalan.

Seterusnya syarat yang ketiga adalah memperbanyakkan Doa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman, ia adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar oleh Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada hambaNya yang tidak pernah memanjatkan doa. Ini jelas berdasarkan firmanNya “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”. Surah Al-Mu’min Ayat 60. Justeru dalam usaha beristiqamah melakukan ibadah dan kebaikan, mintalah bantuan dari Allah agar diberi kekuatan dan kesabaran.

Setelah berusaha menunaikan syarat-syarat beristiqamah, seterusnya terdapat beberapa perkara yang boleh membantu kita untuk memudahkan amalan yang istiqamah. Perkara yang pertama adalah memiliki Sahabat Baik. Sahabat yang baik adalah yang mengajak kepada kebaikan. Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya.” Sabda Baginda lagi : “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” [Hadis riwayat aTirmizi dan Abu Dawud].

Maka carilah teman baik yang dapat membantu. Teman paling baik juga ialah apabila kita melihat wajahnya, kita akan teringat kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kita akan mengingati mati. Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Yang kedua yang dapat memandu kita dalam beristiqamah adalah suasana yang bagus. Ini penting kerana suasana sekeliling akan membentuk dan mempengaruhi kita. Bentuk suasana bahagia di dalam rumahtangga kita. Selain memilih sahabat yang baik, dekatkanlah juga ahli keluarga dengan orang yang kita lihat boleh menjadi contoh tauladan yang baik agar dapat bersama-sama berusaha melakukan istiqamah. Melakukan perkara-perkara baik secara berjemaah lebih mudah dan bersemangat daripada berseorangan.

Perkara yang ketiga membantu usaha beristiqamah adalah Ilmu. Sudah seringkali Rancangan Pesona D’Zahra mengingatkan tentang pentingnya ilmu dalam kehidupan seseorang. Seseorang itu akan dibentuk dengan apa yang ada di fikiran mereka. Hanya dengan ilmu, ia merupakan instrument sokongan dalam kita membezakan apa yang baik dan yangg buruk. Hanya dengan ilmu sahajalah kita akan dapat membuat pilihan-pilihan baik. Kerana itulah amat penting untuk sentiasa mencari ilmu dan belajar dengan hadir dimajlis-majlis ilmu. Dengan mengetahui sebab, hikmah dan ganjaran setiap perintah Allah SWT, akan memudahkan kita melakukan perkara kebaikan, ibadah dan menjauhi amalan atau perbuatan yang buruk.

Kita juga perlu sentiasa berwaspada dengan cabaran dalam usaha beristiqamah. Pertamanya adalah Bisikan Syaitan. Bisikan syaitan adalah suara yang berbisik-bisisk didalam hati manusia yang datang dari golongan jin dan manusia. Sudah diketahui bahawasanya dalam kehidupan ini kita mempunyai musuh yang akan sentiasa menggoda kita untuk menjauhi amalan baik dan membuat perkara yang dimurkai Allah SWT. Sifat bisikkan syaitan ialah ‘merancang’. Itulah kerja syaitan yang telah berjanji dengan Allah untuk menyesatkan manusia. Bisikan itu akan membuatkan kita untuk malas membuat amalan, menghilangkan ikhlas dalam hati, dan membuatkan rasa payah dalam membuat amalan. Maka kuatkanlah hati dengan memintalah perlindungan dari Allah supaya dijauhi dari ganguan syaitan.

Cabaran yang kedua adalah nafsu . Jika bisikan syaitan itu bersifat merancang, sifat nafsu pula adalah ‘merengek-rengek’. Ustaz Muhamad berkata Nabi Muhamad SAW bersabda “’NAFSU’ itu duduk diantara dua lambung kamu dan merupakan sebesar-besar musuh kamu. Nafsu itu mengajak kearah kejahatan.”

Yang terakhir disebut sebagai cabaran beristiqamah adalah Mazmumah iaitu kelemahan diri kita. Bagi menghadapi cabaran ini hendaklah kita sentiasa berusaha memperbaiki diri sepertimana kita sering diperingatkan untuk bermuhasabah dari masa ke masa. Berdoalah agar sentiasa diberikan hidayah untuk menilai diri dan memohon kekuatan dalam melaksanakan ketaatan. Ustaz Muhamad turut menganjurkan agar setiap dari kita memperbanyakkan zikir dalam mengingati Allah seperti lafaz “La haulawala quwwataillah billahil aliyyil adzim – dan semoga diberi dua perkara iaitu kekuatan untuk berbuat baik dan kedua diberi pula kekuatan utk Istiqamah.

Oleh : Hajah Mazlina Ismail.
Penulis merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).

No comments:

Post a Comment