Di negara-negara Arab khususnya di Timur Tengah yang dihuni bijak pandai agama khasnya ulama-ulama besar, masih menerima-pakai undang-undang dan peraturan manusia yang diistilahkan “man made law”, seolah-olah ia wajar dan tidak bercanggah dengan Islam. Persoalannya mengapa di Malaysia timbul suara yang menuntut undang-undang Islam dilaksanakan?
Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukur dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu. Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.
Oleh kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar.
Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.
Perlu kita fahami bahawa negara umat Islam suatu ketika dahulu semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w memerintah Madinah. Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini.
Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka ditubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabi’en yang digelar Khulafa’ ur-Raashidin, Daulah Umayyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.
Semuanya kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam. Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular.
Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan, undang-undang Islam diketepikan dan undang undang ciptaan manusia diterima pakai. Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat.
Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka.
Sejak daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal. Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.
Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mcngembalikan pcrundangan Islam asal. Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dahulu dimenangi oleh Parti Pcnyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat.
Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat.
Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikchendaki Allah Taala. Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah mcnerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana.
Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya), “Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran.”
Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah. Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a’lam.
Biodata Penulis
Oleh : Prof. Datuk Dr. Haron Din.
Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cemerlang daripada Universiti Darul Ulum Kaherah (1972-1974). Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.
Sumber :IslamItuIndah
No comments:
Post a Comment