Wednesday, 13 January 2016

Jangan lupa, kita sedang diperhatikan!


Jika kita berada di dalam agensi kerajaan, pihak Ketua Audit akan memantau perjalanan sesuatu perbelanjaan.

Jika kita di dalam sebuah syarikat, setiap yang dilakukan pekerja akan dipantau majikan.

Jika kita seorang pelajar, pengawas dan guru akan menjadi tukang pemerhati.

Tidak cukup dengan tangan manusia, mesin seperti kamera litar tertutup (CCTV) terpaksa digunakan bagi membantu operasi pemantauan baik dari aspek tingkahlaku dan seumpamaannya.


Sementara sebagai seorang manusia apatah lagi penganut agama Islam, kita perlu sedar bahawa segala perbuatan di atas muka bumi ini sedang dipantau oleh Allah SWT.

Aktiviti pemantauan ini dijalankan setiap detik tanpa ada waktu rehat atau operasi terhenti akibat bateri lemah. Setiap perlakuan akan diperhatikan sehingga kita melangkah ke alam sakaratulmaut seterusnya ke alam barzakh iaitu kubur.

Firman Allah di dalam Surah Al-Taghabun ayat 1 – 5 bermaksud ;

“Apa yang ada dilangit dan apa yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada Allah; milikNya semua kerajaan dan bagiNya (pula) segala puji; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah yang menciptakan kamu, lalu di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu (juga) ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

“Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, Dia membentuk rupamu, lalu memperelokkan rupamu dan kepadaNya tempat kembali. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

“Apakah belum sampai kepadamu (orang kafir) berita orang kafir dahulu? Maka mereka telah merasakan akibat buruk daripada perbuatan mereka dan mereka perolehi azab yang pedih.”

Sehubungan dengan itu, apakah kita masih lagi mahu melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan soal baik buruk, betul salah atau pahala dosa?

‘What you give you get back’ (apa yang kamu buat, kamu akan dapat balasannya samada baik atau buruk) merupakan perumpamaan popular dikalangan ‘mat saleh’. Dalam masa sama Al-Quran sudah ‘memandu’ umat sejak sekian lama dengan memberi petunjuk-petunjuk ke arah kebaikan.

Mudah-mudahan firman Allah di dalam Surah Al-Taghabun seperti di atas dapat memberi peringatan bersama kepada penulis dan ummah pembaca sekalian. Bukan sekadar peringatan tetapi juga sebagai amalan dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment