Thursday, 28 January 2016

Mukhriz Mahathir kongsi peristiwa menarik bersama Tok Guru Pondok di Kedah


Institusi pondok pada suatu ketika dahulu begitu sukar untuk didekati oleh orang-orang politik termasuklah dikalangan pemimpin parti pemerintah.

Ia berikutan, pondok-pondok ini dilabel sebagai kubu kuat parti pembangkang atau lebih tepat, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sekaligus menyukarkan penerimaan dikalangan mereka yang berbeza ideologi politik.


Pernah berlaku satu insiden melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang diludah ketika mahu cuba memasuki sebuah pondok.

Menceritakan sejarah pondok di negeri Kedah, Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan ia sebagai satu institusi yang cukup berpengaruh.


"Begitu banyak (bilangan pondok) dan ramai (pengikut). Sepertimana kata Tan Sri Sanusi Junid (veteran UMNO) dulu, dimana ada padi, disitu ada pondok dan di situ juga ada PAS. Padi, pondok dan PAS.

"Sementara kita (UMNO), bila tengok saja bendang, dah tahu ada pondok, secara automatik rasa hendak tak nak, segan-segan untuk datang dekat. Ini disebabkan kita sudah cop pondok ini sebagai 'hijau' (PAS)." katanya dalam satu ucapan awal Ogos 2015 lalu.

Suasana itu bagaimanapun mula berubah sejak tahun 2010 apabila pemimpin dikalangan parti pemerintah sudah 'diterima' masuk ke institusi-institusi pondok dalam negara.

Bagi Mukhriz, beliau secara peribadi begitu akrab dengan pentadbiran di Pondok Pak Ya (Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah) yang terletak di Guar Chempedak.

Paling menarik apabila beliau berkongsi peristiwa yang ramai tidak tahu.

"Saya pergi melawat pada waktu malam, sekitar jam 12 malam dengan menaiki sebuah kereta, tiga orang dan berjumpa dengan Tok Guru di sana. Tok Guru tersebut mempelawa kami makan malam. Saya masih ingat, mereka jamu (menghidangkan) nasi briayani ayam pada ketika itu.

"Apa yang memeranjatkan saya ialah apabila Tok Guru itu, Haji Rahim berkata, 'Baguslah mai (datang) waktu malam-malam begini, sama seperti bapa (Tun Mahathir) dulu. Beliau dulu datang melawat pondok pada waktu malam sekitar tahun 90an iaitu ketika menjadi Perdana Menteri."

Jelas Mukhriz, Tok Guru tersebut mengatakan bahawa kunjungan bapanya ke pondok adalah bagi mendapatkan pandangan atau pendapat daripada para ulama.

"Macam-macam isu. Sebelum membuat keputusan besar, hendak bubarkan dewan misalnya. Dia pergi ke pondok tanya pandangan ulama. Ulama ini pastinya ada yang 'hijau' namun beliau tetap pergi juga. Mereka beri pandangan dari segi tarikh yang sesuai, sebab-sebabnya serta isu-isu yang berhubung kait dengan Melayu dan Islam. Rupanya bapa saya sudah buat dahulu lagi." ujar beliau.

Rekod dalam direktori Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menunjukkan negeri Kedah sebagai negeri paling tinggi bilangan pondoknya iaitu sebanyak 63 buah pondok. Angka itu mengatasi negeri Kelantan di tempat kedua dan Terengganu pada kedudukan ketiga.

No comments:

Post a Comment