Tuesday, 19 January 2016

Qarin : Wujudkah Sebagai Pendamping Manusia?



Qarin yang bermaksud ‘pendamping’ adalah makhluk dari kalangan jin dan juga malaikat yang dicipta oleh Allah untuk mendampingi manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah dari jin kafir telah diislamkan. Manakala pada manusia yang lainnya Qarinnya masih kafir.

Dari Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidaklah seorang pun dari kalian melainkan dikuasai satu Qarin (pendamping) dari kalangan jin dan malaikat.” Mereka bertanya: “Kepada engkau juga, wahai Rasulullah??” Beliau menjawab: “Aku juga, tetapi Allah membantuku mengalahkannya lalu dia masuk Islam, hingga dia tidak menyuruhku selain terhadap kebenaran.”


Dari Urwah bin Az-Zubair, dia menceritakan bahawa Aisyah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah menceritakan kepadanya: “Rasulullah keluar dari kediamannya pada suatu malam. Aku merasa cemburu pada beliau, lalu beliau datang dan melihat yang aku lakukan.” Beliau bertanya: “Kamu kenapa, wahai Aisyah?” Aku menjawab: “Mengapa orang sepertiku tidak cemburu terhadap orang seperti tuan?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apa syaitanmu (Qarin) mendatangimu?” Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ada syaitan (Qarin) menyertaiku? Beliau menjawab: “Ya.” Aisyah bertanya: “Juga menyertai semua manusia?” Beliau menjawab: “Ya.” Aku bertanya: “Menyertai tuan juga?” Beliau menjawab: “Ya, tetapi Rabbku menolongku mengalahkannya hingga dia masuk Islam.”

Dalam hadith lain, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam ‘alaihissalam dengan dua perkara, iaitu yang pertama syaitanku (Qarin) kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia masuk Islam. Kedua, para isteriku membantu akan aku berbuat kebenaran. Tetapi syaitan (Qarin) Nabi Adam tetap kafir dan isterinya (Hawa) membantu dia membuat kesalahan (di syurga).” (Riwayat Al-Baihaqi)
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, memberatkannya membaca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Firman Allah Taala: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf, 43:36)

Untuk mengimbangi usaha Qarin kafir ini, Allah utuskan Qarin dari kalangan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarin jahat lemah tidak berdaya dengan memperbanyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Dari Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesunguhnya syaitan memiliki bisikan was-was kepada anak cucu Adam, dan Malaikat pun memiliki bisikan. Adapun bisikan syaitan selalu menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran, sedangkan bisikan para Malaikat selalu menjanjikan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Barangsiapa mendapatkan demikian (bisikan malaikat) maka ketahuilah, sesungguhnya itu dari Allah dan pujilah Allah, namun barangsiapa mendapatkan yang lainnya (bisikan syaitan), maka berlindunglah kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan bacalah ayat: ‘Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (Al-Baqarah:268)’.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2914, sahih)

Qarin akan berpisah dengan manusia hanya apabila manusia itu meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili.

No comments:

Post a Comment