Thursday 28 January 2016

Sultan Abdul Hamid Halim Shah Perluas Institusi Pondok di Kedah



Sehingga penghujung tahun 2015, rekod direktori Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menunjukkan negeri Kedah merupakan negeri yang mempunyai bilangan pondok terbanyak dalam negara iaitu sebanyak 63 buah pondok.

Angka itu termasuklah pondok-pondok yang berdaftar dengan pihak Jabatan Agama Negeri (JAIN) dan selebihnya, tidak berdaftar. Pondok-pondok ini juga  merangkumi pondok daripada kategori tradisional, moden, akademik, tahfiz dan warga emas.


Sebelum abad ke 17 Masihi, institusi pondok dikatakan masih belum bertapak di Tanah Melayu. Walaupun di negeri Kedah pada ketika itu sudahpun diIslamkan sekitar abad ke 12 Masihi, amalan-amalan keagamaanya (Islam) masih belum mantap.

Kehidupan masyarakat pada ketika itu juga dikenali sebagai era para wali yang bergantung kepada ketokohan ahli sufi atau ahli tarekat.

Mungkin ramai tidak tahu, Sultan Kedah yang ke 26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (21 Januari 1882 - 13 Mei 1943) merupakan Sultan yang memainkan peranan utama terhadap memperluaskan institusi pengajian pondok di negeri jelapang padi itu.

Sejarah menyaksikan Kedah dikenali sebagai wilayah yang popular dengan pengajian Islam menerusi pertumbuhan pondok-pondok dan kelahiran para ulama sekitar abad ke 18 - 19 Masihi.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UTM) berjudul 'Senario Pondok di Negeri Kedah Masakini : Permasalahan dan Cabaran' pada tahun 2014 ada menyebut, tokoh- tokoh seperti Wan Muhammad Idris bin Jamal atau Syeikh Jarum, Derga (1849 - 1911), Hussain bin Muhammad Nasir atau tuan Hussein Kedah (1863 - 1936) adalah antara ulama termahsyur di Kedah yang mewakili ulama-ulama seluruh Tanah Melayu.

Sejak perlantikkan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (ditabal pada 23 Mac 1882) itu maka bermulalah era baharu dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai “Pengasas Kedah Moden" dan "Sultan Berdaulat Bertaraf Ulama".

No comments:

Post a Comment