Monday 11 January 2016

TPM : Seragamkan kurikulum maahad tahfiz, tingkatkan kualiti


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru supaya kurikulum di maahad tahfiz di seluruh negara diseragamkan sekaligus meningkatkan kualiti dikalangan pelajarnya.

Katanya, penyeragaman kurikulum itu bertujuan mengelakkan keadaan ‘caca marba’ atau kucar-kacir di dalam sistem pendidikan Islam dan bagi mewujudkan satu silibus berkesan untuk pengajian maahad tahfiz di Malaysia.


“Saya selaku TPM (Timbalan Perdana Menteri) amat menggalakkan agar banyak maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara oleh kerajaan negeri, persekutuan, swasta atau orang persendirian.

“Tetapi saya menyeru kepada pengendali sekolah ini mesti mempunyai satu kurikulum khusus seluruh negara. Ada juga pondok buruk, banglo tinggal jadi maahad, bukan kita tidak mahu banyak huffaz tetapi kita mahu ada juga kualiti, ada nilai akademik dan Quranic,”


Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Graduasi Program Huffaz Aqso Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab 2015 yang berlangsung di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menggesa pihak kerajaan negeri dan mereka yang terlibat supaya bersepadu dalam membela kebajikan maahad tahfiz serta pelajarnya. Ia sekaligus mengelakkan pelajar daripada ditindas atau dizalimi ketika mereka menimba ilmu.

“Di samping mencari pahala, jangan dizalimi dan ketepikan hak anak-anak ini untuk hidup selepas jadi huffaz. Mereka harus ada nilai akademik, nilai ekonomi dan nilai terbaik,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid juga tidak mahu huffaz di negara ini hanya sekadar menjadi imam masjid atau surau semata-mata, sebaliknya menjadi tokoh profesional yang kaya dengan ayat al-Quran.


No comments:

Post a Comment