Wednesday 6 March 2019

Sejarah Islam Abad Pertama Hingga Ketiga Hijrah

Sambungan Sejarah Ahli Sunnah Wal Jamaah Bahagian 1 
(Sebelum Kemunculan Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah)
Ketika Rasulullah masih hidup, umat Islam tidak mengalami polemik iktikad yang serius kerana sebarang permasalahan dapat terus diajukan kepada baginda dan diselesaikan segera. Kesepaduan ummah terjamin melalui kesepakatan di hadapan Rasulullah. Akan tetapi, keadaan berubah apabila Nabi Muhammad wafat. Kaum munafiq, gerakan murtad dan nabi palsu mula berani menampakkan taring setelah ketiadaan baginda.
Seawal-awal salah faham di kalangan ummah ialah tentang siapakah yang paling layak menjadi khalifah menggantikan Rasulullah. Segelintir pihak mendakwa bahawa Saidina Ali yang paling layak. Setelah bermesyuarah, para sahabat memutuskan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Ketegasan Saidina Abu Bakar meredakan beberapa konflik yang melanda.
Di zaman Saidina Uthman, berlaku pembunuhan khalifah ke-3 itu yang didalangi oleh orang munafiq. Peristiwa ini mencetuskan kontroversi apabila ummah menuntut agar pembunuh sebenar dihukum mati. Ketika Saidina Ali menjadi khalifah ke-4, fitnah semakin marak apabila gerakan dari Syam menekan pembelaan Saidina Uthman. Salah faham yang ditiup oleh kaum munafiq akhirnya mencetuskan Perang Siffin & Perang Jamal.
Di zaman ini munculnya firqah Syiah, Khawarij & Murjiah.
Syiah ialah firqah yang melampau dalam memuja Saidina Ali. Mereka menolak kepemimpinan Saidina Abu Bakar, Umar & Uthman. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Saba’.
Khawarij ialah firqah yang melampau dalam membenci Saidina Ali. Mereka mulanya menyokong Saidina Ali tetapi kemudian menolak kepimpinannya selepas majlis Tahkim dalam Perang Siffin. Golongan ini mula terbentuk pada akhir abad ketujuh Masehi di selatan Iraq. Pemimpinnya ialah Abdullah bin Wahab Ar-Rashidi.
Murjiah ialah firqah yang beriktikad bahawa perbuatan maksiat tidak memberi mudarat kalau sudah beriman, sepertimana membuat kebaikan tidak bermanfaat kalau kafir. Pemimpinnya ialah Hasan bin Bilal Muzni, Abu Sallat Samman, dan Diror bin ‘Umar.
Selepas ketiadaan Khulafa’ Rasyidin ke-4, Saidina Hasan yang menggantikan ayahnya Saidina Ali, telah menyerahkan takhta khilafah kepada Saidina Muawiyah bagi mencegah perpecahan ummah yang lebih parah. Maka bermulalah Khilafah Umayyah yang membuka wilayah Islam dengan lebih luas.
Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman asing. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Jajahan baru membawa bersama pelbagai fahaman luar yang memasuki negeri Islam. Bangsa arab kini menempuh cabaran baru iaitu serangan pemikiran. Falsafah greek tanpa disaring telah mencetuskan kerancuan pemikiran. Ditambah lagi dengan beberapa sarjana yang telah terpesong akibat membelakangi sanad keilmuan.
Munculnya perpecahan tersebut akibat penafsiran yang berbeda pada apa yang telah disampaikan Rasulullah. Mereka mengambil satu nas dari al-Quran atau Hadits dan meninggalkan nas yang lain, sehingga apa yang mereka faham tidak sama dengan apa yang para Sahabat faham daripada Rasulullah. Oleh kerana ini, sanad talaqqi begitu penting.
Di zaman ini munculnya firqah Muktazilah, Qadariah, Jabbariyah, Najariah dan Musyabbibah Mujassimah.
Muktazilah ialah firqah yang berfahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahawa manusia membuat pekerjaannya sendiri, bahawa Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata dalam syurga, bahawa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara syurga dan neraka, dan mikraj Nabi hanya dengan roh sahaja dan lain-lain. Pemimpinnya ialah Wasil bin ‘Ata dan ‘Umar bin ‘Ubaid.
Qadariah ialah firqah yang beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa Allah. Pemimpinnya ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi.
Jabariyah ialah firqah yang beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh Allah, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan Allah dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin. Segala buruk dan baik itu Allah yang melakukannya ke atas manusia. Pemimpinnya ialah Jaham ibn Safuan dari Khurasan.
Najariah ialah firqah yang beriktikad kuasa perbuatan yang dinamakan makhluk boleh memberi bekas, menafikan rukyah Allah dengan nyata di hari akhirat, menganggap al-Quran itu baharu dan mendakwa iman cukup dengan pengakuan sahaja. Pemimpinnya ialah Abil Khusein bin Muhammad al Najar.
Musyabbibah Mujassimah ialah firqah yang beriktikad Tuhan juga bersifat seperti manusia, ada tangan, mata, kaki, duduk di atas kerusi dan sering turun naik di antara langit dan bumi secara fizikal. Mengatakan bahwa Tuhan itu bertempat dan menyerupai sifat-sifat makhluk-Nya. Pemimpinnya ialah Abu Abdillah al-Hasan bin Hamid bin Ali al-Baghdadi al-Warraq, Muhammad bin al Husain bin Muhammad bin Khalaf bin Ahmad al-Baghdadi al-Hanbali dan Abu al-Hasan Ali bin Abdullah bin Nashr az-Zaghuni al-Hanbali.
Di zaman Khalifah al-Ma’mun, al-Mu`tasim dan al-Wathiq, kerajaan memayungi firqah Muktazilah. Mereka memaksa rakyat mengakui al-Quran sebagai makhluk dan memenjarakan sesiapa yang ingkar.
bersambung...

No comments:

Post a Comment