Friday, 10 May 2019

Menelusuri Pensyariatan Puasa Ramadan


Penulis: Hassanal Haris


PUASA di bulan Ramadan diwajibkan bagi umat Islam di seluruh pelosok dunia untuk melaksanakannya. Puasa Ramadan dalam perjalanan se jarahnya sangat menarik jika di kaji secara mendalam.
    Berbagai-bagai pertanyaan mung kin saja terlintas di benak dan fikiran anda tentang bilakah ibadah puasa Ramadan mulai disyariatkan? Bagaimana model puasa yang dilakukan umat Islam pertama kali? Apa yang membezakan puasa Islam dengan ahli kitab? Atau mungkin pertanyaan lain yang berkisar tentang puasa di bulan Ramadan.

    Puasa Ramadan mula disyariatkan pada 10 Syaaban tahun kedua Hijriah atau satu setengah tahun setelah umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, atau setelah umat Islam diperintahkan untuk memindahkan kiblatnya dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram.
Perintah puasa Ramadan ini didasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang beriman telah disyariatkan ke atas kamu berpuasa seperti mana umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa.”

    Daripada ayat tersebut dapat difahami bahawa puasa telah dilakukan sebelum masa kerasulan Muhammad SAW. Hanya saja praktiknya tidak seperti yang kita lakukan sekarang ini.
Setelah turun ayat tersebut, puasa Ramadan menjadi kewajipan yang harus dilaksanakan oleh umat Muslim selama satu bulan dengan memenuhi syarat dan dan rukun yang disyariatkan dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang terdaya berpuasa (lalu mereka meninggalkan puasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu), kalau kamu mengetahui.”

    Terdapat perbahasan terperinci berkaitan maksud ayat ini dalam kalangan ulama, namun secara ringkasnya Ibn Katsir mengambil pandangan beberapa sahabat seperti Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas yang merumuskan bahawa di peringkat permulaan disyariatkan puasa Ramadan, sesiapa dalam kalangan umat Islam yang mampu berpuasa diberi dua pilihan sama ada ber puasa atau menggantikan puasa dengan membayar fidyah sahaja.
    Sebaliknya orang yang sakit ataupun bermusafir pula boleh berbuka pada bulan Ramadan dan menggantikannya selain bulan Ramadan.

    Selepas itu Allah mewajibkan puasa untuk setiap orang yang mampu berpuasa (tidak sakit dan musafir) dan mereka tidak dibenarkan menggantikan puasa dengan membayar fidyah lagi. Hukum musafir dan orang sakit dikekalkan seperti asal.

    Puasa kali pertama dilaksanakan Rasulullah SAW adalah puasa bulan Asyura, iaitu puasa yang dilakukan masyarakat Quraisy ketika itu dan setibanya di Madinah, Nabi pun memerintahkan berpuasa pada bulan Ramadan.

    Setelah turun perintah berpuasa pada bulan Ramadan, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa bagi siapa saja yang mengkehendakinya. Saat itu, umat Islam boleh berpuasa dan boleh juga tidak. Bagi mereka yang tidak berpuasa diwajibkan untuk membayar fidyah.
Selanjutnya puasa Ramadan menjadi kewajipan bagi setiap Muslim, kecuali bagi mereka yang mempunyai uzur syarie. Yang membezakan puasa umat Islam dengan umat yang lain antaranya adanya perintah makan sahur sebelum terbit fajar.

    Di dalam hadis riwayat Amr bin Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah pada makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim).

    Selain itu, puasa yang dilakukan kaum Muslimin pada bulan Ramadan berlangsung selama satu bulan penuh, berbeza de ngan ahli kitab yang melaksanakan puasa di luar bulan Ramadan.
Dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh telah datang bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah telah memerintahkan kepada kalian untuk berpuasa di dalamnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasa’i).

    Persamaan puasa umat Islam dengan umat-umat terdahulu adalah dalam hal kewajipan, bukan pada tatacaranya.

PENULIS ialah Felo Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Sumber:
Akhbar Utusan Online
17 Jun 2015

No comments:

Post a Comment