Tuesday, 22 October 2019

Sejarah Muqaddam, Qiraati Dan Iqra'

Sejarah Muqaddam, Qiraati Dan Iqra

Sebenarnya, banyak silibus yang digunakan bagi mempelajari al-Quran sepanjang sejarah. Namun terdapat tiga silibus yang popular di Nusantara khususnya Malaysia iaitu Muqaddam, Qiraati dan Iqra. Saya secara peribadi belajar ketiga-tiga silibus ini.

MUQADDAM (PERMULAAN)
    Dulu, sewaktu kami sekeluarga masih menetap di Segambut Kuala Lumpur, saya dihantar oleh ibu bapa untuk mengaji Muqaddam dari Ustaz Mad Janggut. Itu nama gelaran dia. Nama sebenar tak ingat. Entah masih ada atau tak beliau ni. Semoga Allah mengurniakan ganjaran Syurga buatnya.
    Muqaddam ini diasaskan oleh Abu Mansur Hafzul Fikri al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Oleh itu, silibus beliau ini juga dikenali sebagai Qā’idah Al-Baghdadiyyah. Teknik ini bermula sejak zaman Bani Abbasiyyah dan mula masuk ke Nusantara sejak lama dahulu. Tidak banyak sejarah tertulis tentang tokoh ini atau silibusnya. Majoriti orang Melayu dahulu amat sinonim dengan tradisi Muqaddam ini. Kini pengajian Muqaddam sudah tidak ada lagi kerana tulisannya (khaṭ) tidak mengikut Rasm Uthmāni hingga menyukarkan bacaan.
    Asalnya dalam Muqaddam, pelajaran ilmu Tajwid tidak diberi penekanan sangat sebaliknya menekankan teknik mengeja dan membunyikan ejaan. Ianya juga menekankan aspek mengenal huruf, tanda baris dan bunyi yang terhasil melalui cara mengeja melalui beberapa peringkat iaitu :-

1) Pelajar akan mengenal huruf-huruf hijaiyah dari Alif hingga Ya.
2) Mempelajari huruf berbaris di atas (fatḥah), di bawah (kasrah) dan di hadapan (ḍammah)
3) Mempelajari huruf tanwin (baris dua)
4) Mengenal huruf mad (bacaan panjang)
5) Mengenal mim mati dan mim sabdu
6) Bila sudah mahir, baru mula membaca Quran juzuk Amma secara terbalik iaitu dari Surah an-Nas hingga an-Naba disamping baru mula mengenal Tajwid.

    Untuk khatam Muqaddam secara TERTIB, selalunya ia mengambil masa 3-6 tahun. Ramai yang tidak sempat khatam atau menjadi jemu kecuali jika mereka melangkaui silibus ini dengan mempelajarinya secara ekspres. Faktor kelambatan ini berlaku adalah kerana teknik mengejanya. Sebagai contoh, untuk membaca Basmalah sahaja, pelajar perlu mengeja satu persatu huruf dan barisnya seperti, “Ba’ Sin mati bawah Bis, Mim Alif Lam Lam sabdu bawah Mil, Lam fataḥ Lā, Ha’ Alif Lam Ra’ sabdu bawah Hir, Ra’ Ha’ mati atas Rah, Mim fataḥ Mā, Nun Alif Lam Ra’ bawah Nir, Ra’ atas Ra, Ha’ Ya’ mati bawah Hi, Mim bawah Mi = Bismillāhirraḥmānirraḥīm.”

QIRAATI (BACAANKU)
    Setelah berpindah ke Kedah, ketika darjah satu, ibu bapa saya hantar mengaji Qiraati pula kepada ustazah yang telah saya lupa namanya. Semoga Allah mengurniakan ganjaran Syurga buatnya.
    Qiraati diasaskan oleh Kiyai Haji Dahlan Salim Zarkasyi pada tahun 1963 dari Jakarta, Indonesia. Beliau semasa kecil juga mempelajari al-Quran mengikut cara Muqaddam. Namun beliau mendapati kanak-kanak di pondok nusantara lambat untuk mahir membaca al-Quran. Oleh itu beliau mengasaskan silibus Qiraati. Beliau memperkenalkan 10 jilid buku Qiraati sebagai silibus baru. Kemudian, silibus ini diperkemaskan hingga menjadi 8 jilid, 6 jilid dan akhir sekali menjadi hanya 5 jilid.
    Silibus Qiraati memasuki Malaysia pada tahun 1991 oleh Ustaz Mohamad Masruh bin Ahmad. Tuan Guru Haron Din dilantik sebagai penasihat Qiraati Malaysia. Silibus ini lebih laju dari Muqaddam kerana pelajar mampu membaca huruf Hijāiyyah yang berharakat tanpa mengeja.

IQRA (BACALAH)
    Setelah setahun mempelajari Qiraati, saya bertukar pula ke pengajian Iqra dibawah bimbingan Ustaz Azhar atau lebih dikenali sebagai Cik An. Semoga Allah mengurniakan ganjaran Syurga buatnya. Malam pertama pengajian, saya membawa naskhah Qiraati lalu ditegur Cik An, “Esok bawa buku Iqra. Kita pakai silibus yang ni”. Saya jadi pelik dan bermonolog, “Apa beza Qiraati dengan Iqra? Tengok sama ja”. Namun kini baru tahu apa perbezaan antara keduanya.
    Iqra diasaskan oleh Kiyai Haji As’ad Humam yang merupakan Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musolla Yogyakarta. Beliau mengajar al-Quran sejak tahun 1950-an dengan menggunakan Muqaddam. Kemudian beliau beralih menggunakan Qiraati selama 3 tahun. Namun, beliau mendapati masih ada beberapa lagi kekurangan dalam silibus itu lalu beliau pergi menemui Kiyai Haji Dahlan Salim Zarkasyi, pengasas Qiraati. Beliau memberitahu untuk melakukan beberapa penambahbaikan dalam sistem silibus Qiraati namun hal ini tidak dipersetujui oleh pengasasnya. 
    Oleh itu, beliau mengasaskan sistem silibus baharu yang dikenali sebagai Iqra pada tahun 1988 bersempena ayat al-Quran pertama diturunkan. Iqra mempunyai 6 jilid yang disatukan dalam satu naskhah. Penyusunannya lebih kurang Qiraati dan turut menggunakan khat Rasm Uthmani serta menekankan aspek Tajwid. Kanak-kanak didapati lebih pantas menguasai bacaan al-Quran melalui silibus Iqra lalu menjadikan silibus ini tersebar luas di Nusantara. Silibus ini masuk ke Malaysia pada tahun 1992 dan menjadi silibus rasmi pada tahun 1995.

PENUTUP
Beginilah pengajian al-Quran zaman saya sekolah rendah di Kedah. Kami pergi menuntut di rumah tok guru sendiri pada setiap malam. Kami tiada Sekolah Agama (Sogame) pada waktu petang sepertimana yang rakan-rakan saya dari Selangor dan Johor hadiri. Tapi sekarang, di Kedah sudah ada J-QAF, PAFA dan KAFA sepertimana negeri-negeri lain setelah ianya diseragamkan oleh Kementerian bagi seluruh Persekutuan.

Penulis: Ibn Jawi
26 Julai 2019


Wednesday, 16 October 2019

Rotan Antara Kaedah Mendidik Anak Dalam Islam

IBN KHALDUN menyatakan bahawa kehebatan Tamadun Islam 1400 tahun yang lepas dalam menangani kejahilan dalam kalangan masyarakat Arab jahiliyyah. Di mana telah menyaksikan kehebatan Nabi Muhammad S.A.W membentuk umat Islam kalangan para Sahabat R.A.
Ketika itu, Nabi S.A.W telah berupaya dengan izin Allah S.W.T mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya sehingga melahirkan satu generasi berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Mereka itu mendapat pengiktirafan dari Allah S.W.T. sebagai khair al-ummah.

    Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 110:
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Suruhlah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan beriman kepada Allah S.W.T.”

    Menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibu bapa yang beragama Islam untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan kepada anak-anak itu berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan.

    Dalam kaedah mendidik anak-anak, salah satu cara yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W ialah kaedah rotan (Abdullah Nasih Ulwan). Kaedah ini diekstrak daripada Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
“Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka untuk sekiranya mereka solat ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu. (Riwayat Abu Daud)

    Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa dalam aspek pendidikan, kaedah rotan adalah dibenarkan. Hukuman rotan boleh dilaksanakan atas dasar untuk mendidik dan merupakan pilihan terakhir. Hukuman dengan cara merotan ini tidak boleh dilaksanakan pada kali pertama kesalahan anak atau murid.

    Setiap kesalahan itu haruslah terlebih dahulu dijelaskan kedudukannya. Kemudian, penekanan kepada tindakan atau tingkah laku yang betul perlu diberikan. Peluang untuk memperbaiki kesalahan juga perlu diberikan.

    Pendekatan untuk menggunakan rotan ini dapat diambil daripada hadis Nabi S.A.W yang disebut di atas tadi. Tempoh tiga tahun ditetapkan dalam hadis tadi sebagai tempoh tarbiyyah atau tempoh mendidik bagi ibadat solat (Abdullah Nasih Ulwan).

    Dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu-bapa atau para guru. Antaranya ialah:
1. Ibu bapa atau pendidik mestilah meletakkan niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak/pelajar tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan. Dengan ini ia dapat mengelakkan ibu-bapa atau guru daripada merotan mengikut hawa nafsu sehingga cedera.
2. Selain itu, hukuman ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal hukuman dari aspek emosi boleh dilakukan, seperti mengasingkan anak atau murid tersebut daripada rakan-rakannya. Sekiranya cara ini tidak berkesan, barulah ibu-bapa atau guru menggunakan hukuman fizikal.
3. Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara-cara didikan lain digunakan.
4. Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu-bapa atau para guru dalam keadaan waras dan tenangkan diri seketika sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
5. Dilarang sama sekali untuk merotan anak-anak di bahagian muka dan bahagian-bahagian yang merbahaya seperti dekat dengan kepala, perut, dada dan kemaluan. Merotan bukannya bertujuan untuk mendera sampai tinggal lebam pada badan dan sebagainya. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa baginda bersabda:
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ
“Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka.” (Riwayat Muslim)
Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.
6. Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak/pelajar seperti luka atau patah tulang. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).
7. Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi S.A.W bersabda:
لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلَّا فِي حَدِّ مِنْ حُدُودِ اَللَّهِ
“Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah S.W.T.” (Riwayat al-Bukhari)
8. Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.

    Sebagai pendidik, saya menyarankan agar melengkapkan diri kita dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan generasi anak muda kini bagi membantu proses pendidikan dan pembinaan insan. Disamping itu, sistem dan falsafah pendidikan juga perlu ditambahbaik agar penekanan dapat diberikan kepada aspek nilai dan akhlak selain akademik dan pemikiran kritis.

    Subjek seperti moral dan sivik yang pernah ada suatu ketika perlu diwujudkan semula. Subjek sejarah juga perlu diberikan nafas baru agar ia mampu membentuk jati diri generasi muda serta meningkatkan rasa milik (self belonging) kepada negara dan memperkukuh perpaduan serta rasa hormat antara satu sama lain.

    Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa merotan anak/pelajar dengan cara yang melampau dan menyebabkan kecederaan yang serius sehingga pengsan atau patah tulang adalah haram. Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudharat.

    Anak-anak merupakan satu amanah daripada Allah S.W.T untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibubapa/guru. Malah mereka akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak di bawah tanggungan mereka. Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul.

    Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi ransangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak/pelajar.


Artikel dari:
Ketua Pemuda PAS, IR Haji Khairil Nizam Khirudin

www.thepatriots.asia

Friday, 11 October 2019

Muslimah Abad Ke-10: Pencipta “GPS” Zamannya

BINTANG-BINTANG di cakerawala telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan bersejarah manusia. Sama ada ia melibatkan pencarian personaliti mereka dalam tanda-tanda zodiak, memandu manusia mencari arah di daratan dan di laut untuk mencari dunia baru atau dijadikan sumber ilham kepada mereka yang menggunakan akal untuk mengapai kehidupan yang lebih baik.

Dengan tercetusnya ilmu astronomi, manusia sentiasa bermimpi mencari jalan bagaimana cara mudah untuk mereka menavigasi perjalanan dari menemui kesesatan. Sehinggalah pada abad ke-10 di Syria, terdapat seorang wanita Muslim yang mencari jalan hidup dengan mengkaji bintang-bintang diangkasa.

Terdapat ramai wanita cerdas di masa lalu yang menjadi sumber inspirasi dan berjaya mengubah dunia. Dari ramainya wanita tersebut, seorang Muslimah bernama MARIAM AL-IJLIYA, muncul dengan penemuannya yang sehingga kini sangat bermanfaat kepada kehidupan manusia.

Boleh dikatakan jika tidak kerana penemuan beliau, barangkali manusia tidak akan sampai ke bulan, umat Islam masih mencacakkan batang kayu untuk mendapatkan arah kiblat. Beliau dijadikan lagenda merupakan pakar astronomi yang menemukan instrumen astronomi bernama astrolabe.

Nama penuh beliau Mariam Al-Ijliya al-Astrulabi, hidup pada abad ke-10 di Aleppo. Kemampuan Mariam diturunkan dari ayahanda beliau. Beliau adalah anak perempuan pengkaji astronomi yang dikenali sebagai al-‘Ijliyy al-Asturlabī. Tidak dapat dipastikan tarikh dan tahun sebenar Mariam al-Astrulabi dilahirkan.

Cuma didalam kebanyakan catatan sejarah merekodkan bahawa beliau diperkirakan sudah wujud pada abad ke-10 atau sekitar tahun 944 M. Menurut ibn Al-Nadim beliau juga mendapat bimbingan dan menjadi perantis kepada Muhammad ibn’Abd Allāh Nasṭūlus atau dikenali sebagai Bastulus oleh pengkaji barat.

Dengan bimbingan ayahnya dan astronomi terkenal tersebut, Mariam dapat memahami dan menjadi pakar dalam mengkaji ilmu astronomi dengan lebih mendalam. Mariam menjadi terkenal setelah beliau menemui kaedah penciptaan alat pandu arah yang dinamakan astrolab. Ciptaannya mengemparkan dunia astronomi termasuklah majikan beliau dari tahun 967 M hingga 994 M, Emir Aleppo, Sayf-Al-Dawla.

Reka bentuk buatan tangan Mariam adalah sangat rumit dan inovatif. Mariam membuat astrolab dengan kompleks, ia umpama alat GPS pada masa sekarang. Dengan alat tersebut, kita dapat menentukan arah kiblat yang tepat, membantu pelayar dan pengembara dalam navigasi, ketepatan waktu dan sudah tentu digunakan secara meluas oleh pakar astronomi untuk membantu menentukan posisi matahari dan planet-planet.

Mariam al-Astrulabi merupakan sebutir bintang yang menyinar dari berjuta bintang, tidak banyak sumber maklumat yang menceritakan tentangnya. Kisah seorang wanita yang bekerja di bidang ilmu pengetahuan disaat awal peradaban Islam boleh dijadikan teladan bagi muslimah untuk terus selalu mencari, mempelajari dan mengkaji ilmu pengetahuan serta mempraktikannya.

Ciptaan beliau dan sumbangan beliau benar-benar meninggalkan kesan kepada tamadun dunia. Bukan sahaja terhad kepada era zaman emas tamadun Islam, malah membantu tamadun eropah mengenal pasti kedudukan geografi sempadan negara mereka.

Pada tahun 2016, penulis buku sains fiksyen, Nnedi Okorafor mendedahkan bahawa Mariam Al-Astrolabi adalah inspirasi untuk watak protagonisnya dalam buku beliau yang memenangi banyak anugerah antarabangsa dalam kategori sains fiksyen berjudul “novella Binti”.

Beliau mendedahkan mendapat ilham menulis buku ini sewaktu berkunjung ke Emiriah Arab Bersatu untuk menghadiri pesta buku disana. Disitu beliau tertarik dengan kisah Mariam Al-Astrolabi dan amat teruja dengan kisah muslimah ini yang tidak didendangkan dengan sewajarnya.


RUJUKAN:

1. Mariam Al-Astrolabi: A Female Scientist or a Wish Upon a Star?. 
https://mvslim.com/mariam-al-astrolabi-a-female-scientist-or-a-wish-upon-a-star/


Penulis: Norman Dasuki
Tarikh: 4 Julai 2019

Wednesday, 9 October 2019

Asimilasi Seni Khat & Jawi Satukan Budaya Malaysia


Malaysia terbentuk daripada gabungan pelbagai budaya dan etnik. Kepelbagaian ini membentuk keunikan ideologi, fahaman dan pengetahuan baharu. Keunikan satu budaya adalah pengetahuan baharu untuk satu budaya lain dan bagi memahaminya, proses asimilasi berkesan merungkai keunikan.
Bagi masyarakat majmuk proses asimilasi ini biasa berlaku bagi mewujudkan perpaduan antara kaum majoriti dan minoriti. Proses ini mempunyai pelbagai jenis termasuklah asimilasi bahasa.
Pengenalan seni khat dan tulisan Jawi oleh kerajaan perlu dilihat dari perspektif positif yang membuka ruang dan peluang kaum Cina serta India mengenali kedua-dua seni itu, sekali gus melestarikan perpaduan kaum yang dipertahankan.
Sesuatu ilmu daripada suatu budaya lain tidak wajar dipandang asing, malah perlu dilihat dalam konteks ekplorasi ilmu baharu. Mempelajari ilmu baharu tidak merugikan, malah membawa manfaat untuk mempelbagaikan kemahiran seseorang individu.
Pengenalan seni khat dan Jawi dalam sistem pendidikan nasional oleh kerajaan membuka ruang dan peluang kepada murid Cina dan India mempelbagaikan kemahiran pembelajaran.
Seni ini tidak wajar dilihat dalam konteks agama, kaum dan politik. Terdahulu, murid mempelajari seni mempertahankan diri daripada pelbagai budaya dan seni tarian pelbagai etnik, begitulah juga seni khat dieksplorasi dari sudut kepelbagaian seni tulisan.
Kepelbagaian kemahiran dipelajari murid di sekolah perlu dilihat dari skop pembangunan dan pembentukan persona personaliti, kemahiran berfikir dan membentuk daya kreativiti seseorang murid.
Dalam proses pertumbuhan dan perkembangan murid, kemahiran ekplorasi seni khat dan tulisan Jawi dijangka membentuk pusat kreativiti dalam pemikiran anjal yang tidak jumud.
Penggunaan alatan seni khat dan Jawi pastinya menjadikan proses pembelajaran murid lebih menyeronokkan dan mencipta suasana pembelajaran lebih efektif serta mampu meningkatkan kemahiran komunikasi murid dalam pelbagai bahasa.
Justeru, eksplorasi seni khat dan tulisan Jawi membawa impak positif bukan sahaja kepada pembentukan persona personaliti murid, malah meningkatkan keupayaan dalam menguasai ilmu baharu.
Kemerdekaan Malaysia unik berbanding negara lain. Kejayaan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan etnik tinggal sebumbung sebagai satu negara menjadi model perpaduan rujukan dunia. Bagaimana ini dicapai?
Ini kerana kaum minoriti negara ini mampu mengasimilasi budaya kaum majoriti. Penerimaan budaya majoriti adalah praktis gaya dan cara hidup kaum minoriti melalui asimilasi budaya. Begitu juga halnya asimilasi seni khat dan tulisan Jawi kepada masyarakat Cina dan India, yang memberi ruang untuk mengenali seni dalam mempelbagaikan kemahiran.
Di samping kemahiran, pengenalan seni khat dan Jawi mampu mengukuhkan perpaduan kaum yang berbilang bangsa dan sekali gus mencipta kelainan dalam kebiasaan.
Sebagai contoh, seni khat dan Jawi dalam premis masyarakat Cina dan India seumpama ucapan selamat datang kepada kaum Melayu untuk mengunjungi premis itu, Begitu juga apabila orang Melayu mampu bertutur bahasa Mandarin, sudah pasti memudahkan urusan antara kedua-dua belah pihak.
Saranan kerajaan memperkenalkan seni khat dan Jawi dalam sistem pendidikan negara usah dipandang serong atau diprotes. Proses asimilasi ini sudah sebati dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Di negara ini asimilasi budaya terbentuk dalam pelbagai jenis seperti perkahwinan campur budaya yang pastinya menuntut pemahaman nilai satu budaya dengan budaya lain. Asimilasi ini juga dilihat dalam seni bina. Sebagai contoh di kebanyakan masjid di Melaka seperti Masjid Cina yang unik dengan reka bentuk pagoda serta kaligrafi tulisan Cina.
Asimilasi perkahwinan dan seni reka bentuk rumah ibadah, asimilasi budaya di negara ini secara langsung melestarikan perpaduan kaum. Nilai indah budaya Melayu, Cina dan India dikongsi bersama sebagai rutin dan gaya hidup.
Contoh, masakan Melayu yang boleh dirasai masyarakat Cina dan India, manakala roti canai serta teh tarik turut dijamu kaum Melayu dan Cina.
Justeru, disarankan seluruh masyarakat majmuk di Malaysia berfikiran terbuka dan memberi ruang kepada minda untuk mengeksplorasi seni khat dan Jawi bagi mempelbagaikan kemahiran serta mengukuhkan perpaduan.

Penulis: Siti Nurshahidah Sah Allam
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Sumber:
Berita Harian - Ogos 2019 

Thursday, 3 October 2019

e-Wallet Patuh Syariah?

Ledakan revolusi industri 4.0 menyaksikan pelbagai teknologi terkini menggantikan urusan tradisional. Ia bukan hanya menyentuh aspek teknologi pengkomputeran dan komunikasi, bahkan menyerap dalam semua aspek kehidupan termasuk kejuruteraan, perubatan, sosial, ekonomi, kewangan serta politik.
    Istilah ‘fintech’ merujuk kepada teknologi kewangan terkini dengan blok rantai (blockchain), teknologi lejar teragih, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IOT), analisis data raya adalah sebahagian teknologi sedang mengadaptasi kewangan konvensional dan tradisional. Industri kewangan dan perbankan tidak lagi dilihat eksklusif dalam menyediakan produk kewangan komprehensif.
    Apabila konsep pembayaran elektronik (e-payment) diperkenalkan, ia mempercepatkan banyak transaksi tradisional. Pengguna tidak perlu beratur panjang untuk tujuan pembayaran bil, yuran dan pemindahan, sebaliknya cukup melayari aplikasi atau web pembayaran bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
    Namun inovasi itu tidak terhenti begitu sahaja. Penggunaan e-payment masih ada kekangan kerana belum cukup pantas dan prosesnya memiliki birokrasi tersendiri kerana masih dipegang sektor perbankan. Pemain teknologi belum berpuas hati dengan sistem itu, sebaliknya mahu lebih cepat dan terus kepada pengguna.
    E-dompet (E-wallet) diperkenalkan pemain teknologi yang menjadikan sebarang bentuk pembayaran semakin mudah. Pengguna perlu memiliki kod tersendiri dan pemindahan kepada pihak lain hanya menggunakan kod. Pengguna dan pedagang hanya perlu satu imbasan untuk memindahkan wang, sekali gus berperanan seperti dompet tradisional. Apabila pengguna membeli barang di kedai, pengguna memindahkan wang daripada dompet mereka ke dompet pekedai dalam bentuk maya.
    Kecanggihan teknologi e-wallet memungkinkan inovasi masa hadapan. Tidak mustahil, kita tidak lagi memerlukan aplikasi dalam telefon bimbit, tetapi cukup cap jari atau retina mata untuk pemindahan wang. Teknologi blockchain menggunakan retina mata sebagai identiti sudah digunakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar bantuan kemanusiaan bagi memastikannya telus, selamat dan sampai kepada pihak sepatutnya.
Namun, sejauh manakah teknologi e-wallet mematuhi prinsip syariah?
Islam tidak pernah menghalang sebarang bentuk teknologi baharu, bahkan mengiktiraf dan menggalakkan penggunaan akal pada tahap maksimum untuk kemaslahatan manusia. Islam memandu prinsip akal agar tidak bercanggah dengan kehidupan manusiawi. Apapun jenis teknologi dicipta, ia mesti bertujuan kebaikan kehidupan manusia, bukannya mencabar kekuasaan Tuhan.
    Prinsip syariah dalam mualamat dan transaksi moden hari ini ialah halal selagi tidak mempunyai unsur riba, gharar (penipuan), judi, haram dan zalim. Ia tidak semestinya terikat akad seperti zaman dahulu. Evolosi dan inovasi manusia tetap perlu diraikan sesuai zamannya. Imam Malik RA menyatakan: “Setiap perkara yang dianggap jual beli oleh manusia adalah dikira jual beli.”
Apakah transaksi melalui e-wallet memiliki unsur boleh membawa kepada pengharamannya?
Sebelum membahaskan unsur itu, kita wajar meletakkan beberapa prinsip sebagai panduan. Pertama, setiap aplikasi e-wallet unik dan memiliki ciri tersendiri. Sudah pasti tahap sekuriti, kaedah pemindahan dan pengeluaran serta had berbeza.
    Kedua, sejarah dan objektif kewujudannya juga berbeza. Tidak dinafikan asal penggunaan aplikasi terhad tetapi semakin berkembang dan keluar daripada maksud asal. Contohnya, Touch n Go asalnya terhad kepada pembayaran tol tetapi kini kaedah pembayaran meluas. Lazada asalnya platform jual-beli tetapi berkembang kepada e-wallet yang bukan sahaja untuk pembelian di platform terbabit.
    Ketiga, e-wallet sejenis penyedia perkhidmatan prabayar. Untuk menggunakan e-wallet, kita perlu mengisinya dengan sejumlah wang dan akan terbit dengan nilai untuk membuat pembayaran. Umum mengetahui model perniagaan prabayar bukan baharu di negara ini, sebaliknya bermula lebih 30 tahun lalu.
    Keempat, e-wallet tidak sama dengan deposit perbankan, meskipun masih menggunakan perkhidmatan perbankan bagi tujuan perekodan dan pembayaran. Bank Negara Malaysia (BNM) juga membezakan senarai bank dan syarikat dibenarkan untuk pengoperasian e-money (termasuk e-wallet).
    Syarikat penyedia e-wallet tidak dibenarkan menggunakan wang deposit e-wallet untuk apa jenis tujuan melainkan transaksi dilakukan pengguna sahaja. Contohnya, A mendepositkan RM100 ke e-wallet tetapi tidak berbuat apa-apa, jumlah itu tidak boleh digunakan syarikat penyedia e-wallet untuk apa-apa tujuan. Ia perlu kekal dalam akaun khas milik pelanggan.
    Sekiranya A melakukan transaksi pemindahan kepada B sebanyak RM100, barulah syarikat penyedia melakukan pemindahan deposit itu. Di situ mungkin syarikat penyedia e-wallet akan mengenakan caj pemindahan sebagai upah perkhidmatan transaksi.
    Umumnya, perkhidmatan e-wallet tidak dilihat mempunyai unsur bercanggah dengan prinsip syariah selagi barangan dan perkhidmatan dibeli patuh syariah. Adaptasi Fiqh (takyif fiqhi) mungkin menimbulkan persoalan namun ia masih tidak terkeluar daripada prinsip dibenarkan syariah. Ia boleh dikira akad moden yang diterima syariah.
    Bagaimanapun, ada beberapa isu dibangkitkan sebagai peringatan kepada syarikat penyedia e-wallet. Pertama, promosi bonus isi semula. Ada syarikat menawarkan bonus bagi setiap isian semula sebagai promosi menggunakan e-wallet mereka, contohnya isi RM100 dan dapat bonus tambahan RM5. Apakah itu termasuk riba?
    Ia perlu diperhalusi, iaitu apakah RM100 isian semula adalah bentuk pinjaman pelanggan kepada syarikat penyedia e-wallet? Sekiranya ya, maka bonus dikira faedah ke atas pinjaman dan sudah pasti menjadi riba yang diharamkan.
    Bagaimanapun, e-wallet tidak dilihat sebagai satu bentuk pinjaman kerana syarikat penyedia e-wallet tidak mempunyai apa-apa hak penggunaan terhadap isian semula. Ia tidak sama seperti bank yang mempunyai hak melakukan pelaburan dan aktiviti dibenarkan.
    Kebanyakan syarikat penyedia e-wallet mensyaratkan pembelian bagi menggunakan bonus itu. Ini kerana biasanya mereka menggunakan keuntungan caj transaksi pembelian bagi membayar bonus itu kepada pelanggan. Dengan kata lain, bonus itu diambil daripada keuntungan caj pembelian, bukan wang pelanggan.
    Kedua, syarikat penyedia e-wallet menyediakan peruntukan khas bagi memasarkan e-wallet mereka untuk menarik ramai pelanggan. Maka, kebarangkalian ia akad pinjaman agak jauh.
    Namun, jika syarikat penyedia e-wallet menggunakan wang milik pelanggan bagi aktiviti selain yang dibenarkan dan memberi bonus kepada pelanggan, ia termasuk bentuk pinjaman dan terdedah kepada riba. Sekiranya berlaku, mereka melanggar peraturan sebagai penyedia e-wallet dan boleh ditarik ‘lesen’.
    Kedua, promosi yang bercanggah syariat. Ada syarikat penyedia e-wallet menawarkan cabutan bertuah kepada pelanggan yang menggunakan e-wallet mereka yang bertujuan menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan itu.
    Contohnya, mereka perlu membayar RM1 dari e-wallet untuk menyertai cabutan bertuah yang sekiranya menang, mereka akan menerima hadiah berupa gajet bernilai ribuan ringgit. Mereka yang tidak berjaya akan dipulangkan kembali wang masing-masing.
    Komitmen RM1 itu adalah satu bentuk perjudian walaupun dipulangkan kembali jika tidak berjaya kerana ia sama seperti menyertai perjudian tetapi tidak mengeluarkan duit sendiri.
    Kesimpulannya, perkhidmatan e-wallet tidak melanggar prinsip syariah, apatah lagi ia membantu manusia memudahkan urusan harian. Bagaimanapun, terdapat proses teknikal dan kaedah promosi perlu diteliti sekiranya syarikat penyedia e-wallet ingin memastikan perkhidmatan patuh syariah.

Sumber:

Berita Harian, Slot Agama Julai 2019
Penulis :Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)