Thursday, 27 August 2015

Dato’ Dr Mashitah Beri Ucaptama Perbincangan Meja Bulat UPSI


Pengerusi Eksekutif YPPM, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, telah menyampaikan ucaptama dam merasmikan Perbincangan Meja Bulat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Khamis (22 Mei), di Dewan Konvensyen, Aras 5,  Bangunan E-Learning Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak.


Naib Canselor UPSI, Dato Dr Zakaria Kasa, pada ucapan alu-aluan berkata persidangan berkenaan berkata berbincangan bertajuk ‘Transformasi Sistem Pendidikan Pondok Di Malaysia: Cabaran Dan Halatuju’ bertujuan mendapatkan info dan maklumat mutakhir dalam usaha UPSI mewujudkan satu pendidikan tradisional berasaskan pondok (Islam klasik) di univeriti berkenaan.

Persidangan berkenaan dihadari pakar dari universiti dalam dan luar negara terutama pusat pengajian yang sudah berpengalaman dalam memberi pendidikan pondok seperti Indonesia (gontor), Acheh dan Fatoni, Kedah, Kelantan dan Johor.

Berikutkan adalah ucaptama Dato’ Dr Mashitah, yang menjadi teras kepada perbincangan berkenaan:

Bismillahi Rahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, wabihi nasta’in wa’ala umuuridunniya waddin, washalatu wassalamuala asrafil anbiya i wal mursalin, Sayyidina Muhammadin wa’ala alihi wasahbihi ajma’in, ‘amma ba’du.


1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi puji-pujian ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama di Majlis Perasmian Perbincangan Meja Bulat atau PMB pada hari berbahagia ini sebagai satu lagi usaha murni memartabat dan membangunkan sistem pondok. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penganjur dan UPSI atas inisiatif yang cukup baik ini. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Naib Canselor Y. Bhg Prof Dato Dr Zakaria Kasa kerana menjemput saya ke perbincangan ini untuk menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikannya. Saya amat menghargai penghormatan yang diberikan ini, semoga kita sama-sama mendapat memberi manfaat dan sedikit sumbangan bagi membangun dan mengembangkan lagi institusi pengajian pondok di negara ini.

2.   Saya ddifahamkan dari Dato Dr Zakaria di Ijtimak Pondok Malaysia 2014 yang diadakan di Alor Setar bulan lalu tentang usaha UPSI untuk membuat rancangan lebih besar bertujuan memperkasa sistem pondok. Jemputan untuk Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia terbabit dalam usaha ini sangat kami hargai dan alu-alukan. Insyaallah, dalam apa jua kapasiti dan ruang yang boleh saya dan YPPM membantu, akan kami beri kerjasama dan sokongan penuh demi kemajuan sistem pondok.

3.   Saya yakin kehadiran para agamawan, tokoh intelek dan pemikir dalam dan luar negara dalam perbincangan meja bulat ini dapat membuahkan hasil yang baik seperti yang diharapkan. Kertaskerja yang dibentangkan oleh tokoh agama dari Malaysia, Indonesia dan Thailand pastinya akan memberi manfaat dan intellectual input bagi menjana usaha seterusnya. Pastinya, perkongsian ilmu dan pengalaman dalam perbincangan meja bulat sebegini akan menghasilkan banyak ide dan saranan baru yang boleh dilaksanakan untuk memperkuat, mendaulat dan mentransformasikan sistem pondok agar terus relevan dan berperanan seperti di zaman gemilangnya.

Datuk-datuk, tuan-tuan yang saya hormati

4.   Tema PMB iaitu “Transformasi Sistem Pondok Di Malaysia” amat bertepatan dengan misi YPPM.

5.   Di zaman kegemilangannya antara pertengahan abad ke-18 dan akhir abad ke-19, institusi pondok sangat berpengaruh. Bukan sahaja bilangannya banyak, malah penerimaan masyarakat sangat baik manakala pengiktirafan kepada ulama dan guru pondok juga tinggi. Di mana pondok didirikan, tempat itu cepat berkembang sebagai perkampungan – satu keadaan yang menyerupai perkembangan ‘pekan universiti’ seperti Oxford dan Cambridge. Pendek kata, pondok wujud sebagai organisme sosial yang boleh berdiri sendiri dan mampu mencorakkan persekitarannya, menjadi tarikan serta mempengaruhi dan mengembangkan nilai Islam sebenar.

6.   Institusi pondok menjadi pembentuk dan pewarna kepada pengembangan ilmu agama, pendidikan dan kehidupan berpaksikan kepejalan kandungan tradisionalnya dan kekentalan iltizam sebagai benteng mempertahan agama Islam. Sistem yang diguna pakai bersifat pengajian ‘umumi’. Para tuan guru yang memimpin pondok berusaha dengan penuh ikhlas menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat setempat. Mereka mengajar murid dalam pelbagai ilmu agama merangkumi ilmu akidah, syariah, tasawwuf, logik, fikah, tafsir, hadis dan bahasa Arab. Pegangan aliran akidah mereka adalah jelas, iaitu akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dengan mengikut aliran Ashai’rah dan Maturidiyyah.

7.   Hubungan antara guru pondok dan pelajar adalah atas dasar sami’na waatha’na (mendengar dan taat setia), sangat menghormati, tunduk dan tidak membantah kata-kata guru. Malah, guru dianggap ulama yang menjadi tokoh panutan, pemberi inspirasi, memberi rasa bangga dan keyakinan diri, pemberi harapan dan rasa aman kepada pelajar, serta memainkan peranan sebaggai mau’izahhasanah (pemberi nasihat yang baik) dan qudwah hasanah (penunjuk keadaan yang baik.

8.   Kehidupan para ulama pondok ketika itu begitu sederhana. Kehidupan mereka berorientasikan semangat kesufian, dengan sifat warak, zuhud, berbicara mengenai keakhiratan, takut dan khusyuk kepada Allah yang menjadi antara intisari hidup sehari-harian mereka. Para ulama terdahulu ini bukan sahaja berbicara tentang peri penting membangun akhlak, agama dan sosial masyarakat Melayu, malah mereka turut mempengaruhi suasana politik negeri masing-masing ketika itu. Mereka sebenarnya menjadi penasihat kepada raja dalam aspek agama. Mereka sentiasa mendapat sokongan raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu juga menyokong usaha agama mereka. Mungkin inilah antara sebabnya mereka tidak mahu masuk campur dalam urusan hal ehwal politik negeri kerana pada mereka, Islam ketika itu telahpun dianggap dilindungi dengan baik oleh raja-raja Melayu.

9.   Bagaimanapun, keadaan berubah dengan kedatangan kuasa Eropah ke Nusantara. Apabila Inggeris mula menguasai negara, ulama pondok mula bersuara. Selanjutnya suara mereka disambut oleh pelbagai golongan sama ada dari Timur Tengah dan dari Tanah Melayu sendiri. Ulama yang pulang dari Mesir misalnya, mula menyambung rasa ketidakpuasan hati mereka mengenai sikap penjajah. Mereka ini mula menulis dalam akhbar dan majalah. Suara penentangan mereka diterbitkan secara berkala dengan tajam sekali, seperti dalam majalah Seruan Azhar dan Pilehan Timur. Mereka tegas menyatakan sikap anti kepada penjajahan British. Semangat ini disemarakkan oleh Syeikh Muhammad Tahir Jalal al-Din, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd. Taha dan Salim al-Kalai. Mereka menerbitkan majalah al-Imam pada tahun 1906 di Pulau Pinang, majalah al-Ikhwan pada 1926 dan majalahSaudara pada tahun 1930 di Singapura.

10.   Begitu juga di Indonesia. Aktiviti Kompeni Hindia Belanda mendominasi pusat kehidupan dan perniagaan di kawasan pesisir sehingga menyebabkan pesantren terpaksa berpindah ke pedalaman. Di negara kita, keadaan juga lebih kurang sama. Apabila semakin banyak sekolah moden dan madrasah dibuka, berlaku penyusutan bilangan pelajar ke pondok sehingga ada yang terpaksa ditutup. Akhirnya, bilangan pondok yang masih ada dan beroperasi hari ini, adalah separuh daripada jumlah pondok yang ada pada pertengahan abad ke-20.

11.    Satu lagi punca kemerosotan sistem pondok terutama dari segi kemasukan pelajar ialah apabila sebilangan ulama, kiyai dan guru pondok membuat keputusan untuk memasukkan beberapa elemen daripada sistem pendidikan Barat yang difikirkan perlu untuk pembaikan dan kemajuan pondok dan pesantren masing-masing. Ini berlaku antara 1920an hingga selepas Merdeka. Mereka mempelopori sistem pendidikan integrasi yang dipanggil pondok moden dan madrasah.

12.    Tokoh-tokoh islah yang kebanyakannya belajar dan pulang dari Timur Tengah atau terpengaruh dengan pemikiran pembaharuan di sana, telah membuka madrasah yang menarik ramai pelajar. Antara mereka termasuk Sheikh Daud al-Fatoni, Sheikh Abdul Samad al-Palembani, Sheikh Abdullah Maghribi dan Ustaz Hj Wan Sulaiman Kedah.  Antara sebab kenapa madrasah menjadi popular dan mendapat ramai murid ialah kerana kebanyakannya terletak di bandar atau pinggir bandar, apatah lagi dikendalikan oleh tenaga pengajar yang terlatih dari Timur Tengah. Malah, di daerah di mana tidak ada pondok, maka madrasah lebih mudah dibangunkan. Realiti semasa menjadikan ramai ibubapa yang merasa perlu menghantar anak-anak mereka ke institusi begitu berbanding ke pondok.

Hadirin sekalian

13.     Hari ini – lebih 100 tahun kemudian – institusi pondok berada di persimpangan. Sebagai institusi pendidikan, sistem pondok menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak untuk memastikan ia tidak hilang ditelan zaman atau menguncup dari segi peranan dan pengaruhnya. Ada pihak yang mahu mengekalkan tradisi dan cara asal pengajian pondok, termasuk dari segi kurikulum, kitab yang diguna, cara mengajar dan belajar, malah suasana atau milieunya. Ada pula pihak yang merasa perlu untuk memodenkan kaedah dan pendekatan, menggabungkan pengajian kitab thurath dengan beberapa matapelajaran lain seperti sains, matematik dan kemahiran bahasa sambil mengekalkan jiwa, roh dan semangat pondok.

14.      Dalam beberapa siri perjumpaan yang diadakan dengan komuniti pondok di Kedah, Perak, Melaka dan Selangor serta perbincangan dengan pihak berwajib dari Kelantan, Johor, Pahang dan Terengganu sejak 2012, kami di YPPM mendapati beberapa perkara yang sering berbangkit adalah berkaitan prasarana dan kemudahan asas di pondok, masa depan lulusan pondok yang ada kaitan dengan soal kurikulum, kualiti pendidikan dan guru pondok serta soal persijilan dan piawaian.

15.     Turut dibangkitkan ialah soal pengurusan pondok, bilangan pelajar yang semakin kurang dan soal pewarisan. Ada pandangan bahawa masa depan institusi pondok di Malaysia bergantung kepada kemampuan pihak pentadbirnya mengurus dengan baik dan lestari. Faktor kecekapan berorganisasi, persekitaran yang kondusif dan kurikulum yang relevan dilihat sebagai penting untuk memastikan sistem pondok berterusan. Oleh kerana kebanyakan pondok dibentuk dan dinaungi oleh personaliti tuan gurunya, ada yang menghadapi masalah apabila pengurusan dan pentadbiran pondok-pondok itu perlu diganti ekoran pengasas atau tuan guru sudah tua, uzur atau meninggal dunia. Penyambungan pengurusan ditentukan oleh pewaris. Andainya tiada pewaris atau tiada persetujuan dalam kalangan ahli keluarga tuan guru tadi, maka ada risiko pondok tersebut menghadapi masalah untuk diteruskan.

16.    Kita dapati ada keadaan di mana pondok yang kurang mendapat sambutan, mempunyai bilangan pelajar yang sangat sedikit atau hampir tutup terpaksa dibantu dengan cara pemindahan murid dan pelajar daripada pondok-pondok lain. Lazimnya, pondok-pondok yang lebih besar dan kuat memberi pertolongan moral, meminjamkan guru atau menyediakan kelas lanjutan bagi membantu pondok-pondok yang menghadapi keadaan sebegitu.

17.     Satu lagi keadaan ialah persepsi yang sudah lama terbentuk dalam minda orang ramai dan masyarakat umum bahawa pondok adalah sistem pengajian yang mundur dan inferior berbanding sistem pendidikan di sekolah kebangsaan atau pengajian swasta, tempat ibubapa meletakkan anak-anak yang bermasalah disiplin, lulusan pelajar adalah ‘kelas dua’ dan sukar mendapat pekerjaan, serta lubuk yang membenihkan pelampau agama.

Hadirin sekalian

18.    Sebarang transformasi yang berlaku, atau boleh dilakukan, hanya akan berjaya jika mendapat kerjasama dan diterima oleh pentadbir, pengusaha dan pemilik pondok sendiri. Jika komuniti pondok tidak menerima, tiada apa yang boleh dilakukan. Transformasi dan perubahan tidak boleh dipaksa.  Kita mengakui bahawa institusi pondok pernah memberikan khidmat kepada bangsa Melayu dalam membangunkan pendidikan negara. Namun begitu, masa bernostalgia telahpun berlalu. Suasana kehidupan kita juga banyak yang telah berubah.

19.    Pentadbir dan guru pondok pada hari ini harus sedar bahawa cara fikir mengenai Islam juga turut berubah dan perlu berubah. Kita sudahpun lama merdeka dari penjajah. Kita sudahpun melangkah jauh dengan corak dan gaya pentadbiran yang sangat banyak berbeza dengan masa kita di zaman penjajah. Mereka mesti bersedia untuk membuat dan menerima perubahan. Mereka perlu terima hakikat bahawa perubahan dalam pendidikan adalah diperlukan disebabkan oleh tuntutan zaman. Kita ingin lihat para ulama dan pentadbir pondok beristiqamah membantu kerajaan dalam hal ini. Dengan kata lain: Help us to help you. Institusi pondok telah pernah mendisiplinkan masyarakat dengan sifat kesungguhan beramal, kezuhudan dengan desakan materialisme, kesungguhan mempelajari ilmu, kemampuan memahami kemaslahatan masyarakat dan keikhlasan dengan ilmu demi mencapai keredhaan Allah. Institusi ini patut untuk terus memainkan peranan tersebut pada masa akan datang.

20.     Dalam kalangan ulama dan guru pondok yang muda pula, ini bukan masalah besar. Mereka lebih terbuka menerima ide baru, berkongsi sumber serta lebih receptive yakni terbuka dan boleh menerima kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dan ilmu tambahan seperti komputer, kemahiran, keusahawanan, teknologi maklumat, sains, matematik dan bahasa tambahan seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Ini bukan sahaja akan memberi kelebihan kepada pelajar malah boleh menjadikan pondok lebih menarik dan relevan dengan suasana semasa.

21.    Keadaan ini mungkin juga lahir daripada pengalaman pondok dan pesantren di Indonesia, Thailand dan Malaysia sendiri. Terbukti banyak pesantren di Indonesia berkembang sehingga mempunyai bilangan pelajar berjumlah puluhan ribu kerana adanya gabungan pendidikan tradisi Islam dengan matapelajaran kemahiran, aktiviti kerjasama dan penglibatan dalam pembangunan sosial. Apa yang mereka modenkan ialah pendekatan, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan serta penekanan kepada elemen kebersihan dan disiplin manakala jiwa, roh dan semangat pondok tetap dipertahankan. Elok jika pengalaman pesantren di Teburing, Gontor, Demanyar dan Tagalrajo serta beberapa pondok moden di Thailand seperti di wilayah Patani dan Nakhon Sithammarat dikaji lebih mendalam untuk dimanfaatkan.

22.     Kejayaan bekas pelajar pondok seperti Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan, atau nama sebenarnya Dr Abdul Halim bin Ismail, haruslah dijadikan teladan. Di negara kita, ramai anak pondok yang berjaya dalam bidang pendidikan, kewangan dan perbankan, perundangan dan kehakiman, serta bidang ikhtisas dan politik. Tun Abdullah Ahmad Badawi misalnya membuktikan bahawa anak keluaran pondok akhirnya boleh menjadi Perdana Menteri.

Tetamu yang saya muliakan

23.      Pengumuman YAB Perdana Menteri bulan lalu untuk membuka ruang kepada 50 pelajar pondok melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan boleh dianggap satu perkembangan yang cukup signifikan dalam rangka mentransformasikan sistem pondok. Pelajar-pelajar yang dicalonkan oleh pondok masing-masing akan disaring oleh Yayasan Pembangunan Pondok. Semua pelajar yang dipilih akan diberi biasiswa penuh. Buat masa ini, ramai pelajar pondok yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, seperti ke Pakistan, India, Mesir dan negara-negara Timur Tengah. Namun, kerana pergolakan politik dan pelbagai masalah sosio-ekonomi di negara-negara tersebut, maka difikirkan lebih baik dan lebih selamat untuk pelajar-pelajar pondok yang berpotensi belajar di kolej atau universiti tempatan yang sesuai seperti USIM, UKM, UM, UIA dan KUIN.

24.     Universiti-universiti yang saya sebutkan tadi sudah pun mempunyai fakulti atau kursus yang pelbagai dan sesuai dan untuk diikuti pelajar-pelajar pondok. Namun, satu isu yang timbul ialah kelayakan minima yang ditetapkan oleh pihak universiti bertujuan mengekalkan kualiti memasukan. Bagi mengatasi perkara ini, pihak Yayasan Pembangunan Pondok bersedia bekerjasama dengan pihak universiti untuk mengkaji beberapa opsyen yang sesuai. Antara cadangan yang boleh dikaji secara terperinci termasuklah kursus bridging selama 3 atau 6 bulan atau mengadakan ujian khusus untuk pelajar pondok. Ataupun bagi kes-kes tertentu, pihak universiti boleh memberi pengecualian istimewa kepada mereka.

25.     Begitu juga 50 tempat untuk guru pondok yang berminat mendapat latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam Bangi. Mereka juga akan dicalonkan oleh pondok masing-masing tapi disaring dan dipilih oleh YPPM. Kesemua mereka yang terpilih akan dibiayai sepenuhnya pengajian mereka oleh kerajaan. Pembiayaan pelajar dan guru pondok ke universiti bukanlah satu program one-off tapi akan berterusan selaras dengan misi strategik YPPM. Pengumuman YAB Perdana Menteri, yang juga Penaung YPPM, diterima baik oleh hampir semua pihak terutama komuniti pondok kerana dilihat sebagai pengiktirafan kerajaan kepada sumbangan sistem pondok serta peranan yang boleh dimainkan pondok dan warganya kepada pembangunan pendidikan negara.

26.     Untuk melihat institusi pengajian pondok mengambil tempatnya dalam arus perdana tranformasi negara, maka kerjasama semua pemegangtaruh (stakeholders) – baik kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri, universiti, agensi pusat dan negeri, majlis dan jabatan agama negeri, pihak swasta, NGO dan pertubuhan agama serta para agamawan, golongan profesional dan tokoh akademik – sangatlah perlu malah dituntut. Sesuai dengan semangat dan tujuan YPPM ditubuhkan, iaitu menjadi saluran yang efisyen dan berkesan untuk memadukan sumber dan kapasiti yang ada dengan keperluan komuniti pondok, pihak kami akan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kelangsungan dan kerelevanan institusi pondok berterusan.

27.     Antara beberapa cadangan bidang kerjasama yang boleh dipertimbangkan oleh semua pemegangtaruh dalam usaha meneruskan legasi dan transformasi sistem pondok adalah seperti berikut:

·Pembangunan model program akademik berakreditasi

Institusi pondok boleh meneroka sistem pengajian berakreditasi di samping pembelajaran tidak formal. Sistem ini penting khususnya kepada pelajar muda (remaja) yang tidak berpeluang menyambung pelajaran ke kolej atau universiti kerana pencapaian akademik yang rendah atau faktor kewangan. Pembangunan program akademik berakreditasi penting agar tidak berlaku keciciran sumber manusia dalam negara.

·Pembangunan model penjanaan kewangan institusi pondok

Kebebasan kewangan adalah aspek penting dalam kelestarian institusi pondok. Ada keadaan di mana pentadbir, guru atau mudir pondok terpaksa meninggalkan pengajaran di pondok sendiri kerana pergi ke tempat lain untuk khidmat solat jenazah atau menjadi imam masjid bagi mendapat menampung rezeki. Di Kedah misalnya, Menteri Besar YAB Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir telah meluluskan elaun bulanan kepada mudir pondok dan pembantu, selain pemberian geran dan bantuan kewangan untuk meringankan keperluan pondok.

Kita faham ini adalah satu isu yang sensitif. Ada pondok yang tidak boleh menerima konsep ‘penjanaan kewangan’ atau bantuan kerajaan atas konsep ilmu tidak dijual beli atau pertimbangan politik. Namun hakikatnya, pondok perlu tingkatkan keupayaan untuk membolehkannya mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain.

Satu inisiatif yang sedang diusahakan oleh YPPM ialah mengadakan kerjasama strategik dan pelaksanaan program Digital Malaysia untuk komuniti pondok. Di bawah pelan ini, YPPM dan Malaysian Multimedia Development Corporation (MDec) akan mengenalpasti program-program digital yang boleh dilaksanakan bagi tujuan memartabat dan mengarus perdanakan pondok menjelang 2020. Program ini akan menggunakan kaedah Social Crowd Funding atau Waqf Jama’ie. Kita akan merangka dan melaksanakan pelan yang membolehkan penyertaan dan penglibatan orang ramai – baik individu atau pihak swasta – untuk membantu menyelesaikan permasalahan, kekangan dan keperluan pondok terutama kemudahan prasarana menerusi kaedah digital. Kaedah Social Crowd Funding atau Waqf Jama’ie juga akan digunakan bagi menggalakkan individu dan syarikat melabur dalam pembangunan modal insan yakni pelajar-pelajar pondok yang cemerlang dan boleh melanjutkan pelajaran.

·Penyediaan pangkalan data institusi pondok

Pangkalan data adalah satu keperluan utama dalam pengurusan organisasi. Dua tahun lalu, YPPM telah membuat kaji selidik dan menerbitkan sebuah direktori pondok yang julung kali diterbitkan di Malaysia. Ia memaparkan keterangan ringkas 110 pondok berdaftar seluruh negara. Usaha seterusnya ialah untuk mengemaskini direktori ini. YPPM sedang bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia untuk membuat kajian yang lebih menyeluruh dan saintifik bagi menyediakan profil pondok-pondok di Malaysia. Maklumat yang lengkap dengan data empiris boleh membantu YPPM menyediakan laporan yang lebih realistik dan meyakinkan bagi mendapat komitmen kerajaan untuk membantu serta menyokong pembangunan dan pengembangan institusi pondok

·Pembangunan laman web berinformasi

Penyampaian maklumat melalui media baru adalah penting pada zaman ini. YPPM telah membangunkan laman web sendiri iaitu www.pondok1msia.org sejak 2012 untuk menyalur pelbagai berita, laporan dan maklumat mengenai aktiviti dan programnya selain maklumat mengenai semua pondok yang ada dalam Direktori Pondok 2012.

Sistem jaringan maklumat yang canggih dan komprehensif perlu dibina untuk memenuhi keperluan masyarakat moden mendapat informasi secara cepat dan mudah mengenai pondok di negara ini.

·Pembangunan model institusi pondok contoh

Satu model institusi pondok boleh dipertimbangkan, merangkumi pembangunan fizikal dan infrastruktur, sistem pengurusan dan pentadbiran, kebebasan kewangan menerusi konsep waqf jama’ie, kebajikan dan pencapaian pelajar serta peranan pondok sebagai Pusat Pendidikan Islam Sepanjang Hayat.

Hadirin yang dihormati

28.     Kita memahami aspirasi, sentimen dan expectation komuniti pondok, justeru perlu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara serius dan berperingkat. Kita mahu melihat sistem pengajian pondok terus kekal dan menjadi pilihan, serta pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada para ulama dan guru pondok. Kita perlu menjadi jambatan yang boleh menghilangkan persepsi sesetengah dalam kalangan komuniti pondok bahawa mereka dipinggirkan atau kurang diberi perhatian.

29.      Atas dasar ini jugalah, maka YPPM melihat perlunya menubuhkan Baitul Hikmah, yakni satu usaha permulaan yang kecil untuk menjadi pusat rujukan teks dan kitab thurath. Di zaman kegemilangan pondok, para ilmuan Melayu terutama ulama pondok yang mengarang dan menyusun kitab-kitab dalam bahasa Melayu  dan bahasa Arab. Ramai yang pulang ke tanah air dan membuka pondok di seluruh Nusantara. Muncullah nama-nama besar sebagai penyumbang karya-karya jawi berbahasa Melayu seperti Abdul Samad al-Palimbangi, Muhammad Arshad al-Banjari, Daud Abdullah al-Fatoni, Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatoni, Idris al-Marbawi dan ratusan ulama Alam Melayu yang seumpama dengan mereka ini. Karangan mereka yang banyak ini tidak pula mereka simpan begitu sahaja, malah ia disebarkan untuk dibaca, dibincang dan dibahaskan dalam institusi pondok.

30.      Sejajar dengan ini, saya ingin mencadangkan agar UPSI menubuhkan Institut Kajian Pondok untuk menyemarak penyelidikan dan kajian akademik mengenai sistem pengajian pondok. Antara lain, Institut Kajian Pondok boleh berperanan menggalakkan ulama pondok menghasilkan karya utama dan primer. Ramai tokoh pondok yang hebat perlu diberi ruang dan galakan bagi menambah dan memperkayakan khazanah ilmu agama kerana ini bukan sahaja memberi manfaat kepada generasi umat hari ini malah berguna kepada generasi masa depan. Hakikatnya, siapakah diantara ulama dan guru pondok di Malaysia hari ini yang boleh diiktiraf atau dianggap setanding Tok Kenali misalnya, dari segi ilmu dan kehebatan berkarya?  Institut ini harus menggalakkan corak kajian dan penyelidikan pondok yang menekuni pengajian kitab dan penulisan jawi bagi memastikan warisan Melayu-Islam tidak hilang ditelan zaman.

31.     Jika ada penaja, sebuah Kursi Ilmu Thurath boleh juga diwujudkan di UPSI. Andai dapat diwujudkan, ia adalah yang julung seumpamanya dalam sejarah pendidikan Islam negara ini – dan mungkin juga di dunia. Tokoh yang sesuai, berkelayakan dan berwibawa boleh dipilih dan dibiayai untuk mengisi jawatan ini. Seelok-eloknya pakar thurath yang dikenali dan dihormati. Sepanjang memegang Kursi ini, tokoh yang dipilih bukan sahaja membuat penyelidikan dan penulisan akademik mengenai pondok, malah akan mengadakan program dan aktiviti akademik termasuk bertaraf antarabangsa bagi memenuhi kepentingan dan mengembangkan ilmu pengetahuan berhubung institusi dan sistem pengajian pondok.

32.      Dengan cara ini, UPSI dapat menghidupkan jaringan keintelektualan Islam yang pernah terserlah dalam kalangan cendekiawan dan agamawan Melayu apabila mereka yang belajar di Mekah dan Madinah berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain dari seluruh pelosok dunia. Kedua-dua tempat ini dinamakan sebagai Haramyn, atau dua tanah haram. Disinilah tempat “melting pot” yang membentuk pemikiran Islam bagi masyarakat Islam seluruh dunia. Jika Institut Kajian Pondok dan Kursi Ilmu Thurath ini dapat diwujudkan, UPSI bakal menjadi melting pot pengajian pondok di Malaysia dan Nusantara.

Datuk-datuk, tuan-tuan yang saya hormati

33.     Dengan kata-kata itu, saya mengakhiri ucapan ini. Semoga perhimpunan kita sepanjang tempoh yang saya kira agak terbatas ini, mendapat baraqah dan keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala hendaknya. Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Zakaria dan UPSI yang menjadi penganjur PMB ini. Juga kepada pembentang kertas kerja dan semua hadirin. Semoga cambahan minda, lontaran pandangan dan perbincangan yang terhasil dari perbincangan ini dapat meletakkan kita di landasan yang pasti dalam menuju matlamat yang satu iaitu merungkai permasalahan dan cabaran yang membenteng anjakan institusi pondok dalam zaman yang penuh dugaan.

34.      Yang kita cari adalah halatuju paling jelas dan pendekatan paling efektif dalam usaha bersama untuk memperkasa dan mentransformasikan institusi pondok. Bersandar impian dan harapan tersebut, saya dengan penuh sukacita dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, merasmikan Perbincangan Meja Bulat. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment