Thursday, 27 August 2015
Ucapan Pengerusi YPPM Dato’ Dr Mashitah Di Ijtimak Ulama Pondok 2014
Program Ijtimak Pondok Malaysia 2014, yang diadakan di di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Perasmian Penutup di sempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, berkakhir dengan sangat berjaya dan mencapai matlamat.
Program berkenaan mendapat pujian peserta dari dalam dan luar negara kerana ia berdasarkan untuk menjadikan sistem pengajian pondok sebagai satu daripada sistem pendidikan klasik yang perlu diperkasakan dan dimurnikan.
Berikut adalah ucapan Ucapan Yang Berbahagia Dato Dr Mashitah Binti Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia Pada Majlis Perasmian Penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014, Di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah Pada 24 April 2014, dengan tajuk – ‘Mentransformasi Institusi Pondok’
Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia
1. Pertama sekali, saya ingin merafak rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita berjaya mengadakan Ijtimak Pondok Malaysia 2014, yang sudahpun sampai ke acara kemuncak dan penutupannya. Kita juga bertuah dan sangat berbesar hati dengan kehadiran Perdana Menteri YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Menteri Besar Kedah YAB Dato Seri Hj Mukhriz bin Tun Mahathir dan dif-dif kehormat yang lain.
2. Kita cukup menghormati tugas dan tanggungjawab guru-guru pondok melahirkan generasi pelajar yang mendalami ilmu agama, yang hafal Al-Quran, mahir dalam bahasa Arab dan cekap berdakwah. Di atas pengorbanan inilah dan bagi meneruskan tradisi pengajian pondok, maka kita raikan warga pondok dengan menganjurkan ijtimak yang julung-julung kali diadakan oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia. Kehadiran ramai tok guru, mudir, warga emas dan para pelajar bukan sahaja memeriahkan majlis malah memberi makna kepada tujuan ijtimak ini diadakan, iaitu untuk meraikan warga pondok. Kita juga telah membincangkan kedudukan, cabaran dan masa depan institusi pengajian pondok di negara kita.
3. Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz yang bersetuju menjadi tuan rumah. Ini cukup signifikan berdasarkan sejarah Kedah dan peranannya sebagai pusat pengembangan pengajian pondok sejak ratusan tahun. Kedah juga melahirkan ramai ulama terkenal dan tokoh pondok yang hebat. Terdapat ratusan pondok di negeri ini satu ketika dulu, dan ramai ulama pondok Kedah yang menyebarkan ilmu hingga ke negeri-negeri lain di Semenanjung, juga ke negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Timur Tengah. Hari ini, masih terdapat puluhan pondok yang aktif di Kedah.
Hadirin yang saya hormati
4. Ada beberapa pandangan mengenai asal usul pondok di Malaysia. Ramai pengkaji bersetuju bahawa ia muncul seawal pertapakan Islam di Tanah Melayu. Di Kedah, lebih kurang 10 pondok sudah ada sekitar 1870an termasuk di Yan, Pulau Pisang Daerah Kubang Pasu, Langgar dan Titi Gajah. Pelopor terkenal ialah Tuan Husin, yang mendirikan 6 pondok di Kedah sekitar 1897 dan 1929. Di mana pondok didirikan, tempat itu cepat berkembang sebagai perkampungan – satu keadaan yang menyerupai perkembangan ‘pekan universiti’ seperti Oxford dan Cambridge.
5. Bila ada sokongan pemimpin masyarakat dan pihak istana, lebih cepatlah sesuatu pondok itu berkembang. Sejarah kedah mencatatkan bahwa kelas pengajian agama yg berasaskn system pndok telah wujud sejak abad ke 19. “LANGGAR” Sebuah tempat di kedah bkn shj terkenal kerana wujudnya MakaM Diraja yg masih digunakan hingga sekarang tetapi kerana terdapat dipersekitaran pekan kecil itu sebuah kompleks pengajian agama yng berasaskan pondok. Langgar berkembang sebagai penempatan kerana adanya pondok terkenal iaitu Pondok Tasak yang diasaskan oleh Haji Mohamad Nor. Begitu juga dengan Pondok Haji Ahmad Janggut dan Pondok Haji Husin yang menawarkan pendidikan sepanjang hayat dengan adanya perlindungan dan rumah untuk warga tua yang datang belajar. Kodiang asalnya semak tetapi bertukar menjadi perkampungan dengan adanya Pondok Lebai Mat Kutan Palas, yang ditubuhkan pada 1946.
6. Di zaman kegemilangannya antara pertengahan abad ke-19 dan abad ke-20, institusi pondok sangat berpengaruh. Bukan sahaja bilangannya banyak, malah penerimaan masyarakat sangat baik manakala pengiktirafan kepada ulama dan guru pondok juga tinggi, termasuk dari pihak istana. Pendek kata, pondok wujud sebagai organisme sosial yang boleh berdiri sendiri dan mampu mencorakkan persekitarannya, menjadi tarikan serta mempengaruhi dan mengembangkan nilai Islam sebenar. Institusi pondok menjadi pembentuk dan pewarna kepada pengembangan ilmu agama, pendidikan dan kehidupan berpaksikan kepejalan kandungan tradisionalnya dan kekentalan iltizam sebagai benteng mempertahan Islam aliran Ahli Sunnah wal Jamaah.
7. Hubungan antara guru pondok dan pelajar adalah atas dasar sami’na waatha’na (mendengar dan taat setia), sangat menghormati, tunduk dan tidak membantah kata-kata guru. Malah, guru dianggap ulama yang menjadi tokoh panutan, pemberi inspirasi, memberi rasa bangga dan keyakinan diri, pemberi harapan dan rasa aman kepada pelajar, serta memainkan peranan sebaggai mau’izahhasanah (pemberi nasihat yang baik) dan qudwah hasanah (penunjuk keadaan yang baik).
8. Bagaimanapun, keadaan berubah dengan kedatangan kuasa Eropah ke Nusantara. Di Indonesia misalnya, aktiviti Kompeni Hindia Belanda mendominasi pusat kehidupan dan perniagaan di kawasan pesisir sehingga menyebabkan pesantren terpaksa berpindah ke pedalaman. Di negara kita, keadaan juga lebih kurang sama. Apabila semakin banyak sekolah moden dan madrasah dibuka, berlaku penyusutan bilangan pelajar ke pondok sehingga ada yang terpaksa ditutup. Akhirnya, bilangan pondok yang masih ada dan beroperasi hari ini, adalah separuh daripada jumlah pondok yang ada pada pertengahan abad ke-20.
Hadirin sekalian
9. Hari ini, institusi pondok berada di persimpangan. Pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi memerlukan perhatian serius daripada semua pihak untuk memastikan institusi pondok tidak hilang ditelan zaman atau menguncup dari segi peranan dan pengaruhnya. Antara isu yang mengekang pembangunan dan pengembangan institusi pondok tradisional ialah soal pengurusan dan pewarisannya. Ada pandangan bahawa masa depan institusi pondok di Malaysia bergantung kepada kemampuan pihak pentadbirnya mengurus dengan baik dan lestari. Faktor kecekapan berorganisasi, persekitaran yang kondusif dan kurikulum yang relevan dilihat sebagai penting untuk memastikan sistem pondok berterusan.
10. Oleh kerana kebanyakan pondok dibentuk dan dinaungi oleh personaliti tuan gurunya, ada yang menghadapi masalah apabila pengurusan dan pentadbiran pondok-pondok itu perlu diganti ekoran pengasas atau tuan guru sudah tua, uzur atau meninggal dunia. Penyambungan pengurusan ditentukan oleh pewaris. Andainya tiada pewaris atau tiada persetujuan dalam kalangan ahli keluarga tuan guru tadi, maka ada risiko pondok tersebut menghadapi masalah untuk diteruskan. Kita dapati ada keadaan di mana pondok yang kurang mendapat sambutan, mempunyai bilangan pelajar yang sangat sedikit atau hampir tutup terpaksa dibantu dengan cara pemindahan murid dan pelajar daripada pondok-pondok lain. Lazimnya, pondok-pondok yang lebih besar dan kuat memberi pertolongan moral, meminjamkan guru atau menyediakan kelas lanjutan bagi membantu pondok-pondok yang menghadapi keadaan sebegitu.
11. Ada juga kes di mana pondok tidak berapa terurus, mungkin kerana kurang dana untuk menyediakan prasarana yang cukup dan sesuai kepada pelajar. Ada pondok yang letaknya agak jauh di pedalaman, manakala ada juga segelintir yang tidak mahu menerima bekalan letrik atau air paip kerana berpendapat cara belajar di pondok secara berkesan dan sebenar semestinya dalam suasana yang sebegitu.
Tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati
12. Seperti yang berlaku satu abad lalu, pertembungan pemikiran dan pendekatan antara ulama pondok tradisional dan reformis masih berterusan. Antara 1920an hingga selepas Merdeka terutamanya, ada sebilangan ulama, kiyai dan guru pondok membuat keputusan untuk memasukkan beberapa elemen daripada sistem pendidikan Barat yang difikirkan perlu untuk pembaikan dan kemajuan pondok dan pesantren masing-masing. Mereka mempelopori sistem pendidikan integrasi yang dipanggil pondok moden dan madrasah.
13. Tokoh-tokoh islah, yang kebanyakannya belajar dan pulang dari Timur Tengah atau terpengaruh dengan pemikiran pembaharuan di sana, telah membuka madrasah yang menarik ramai pelajar. Antara mereka termasuk Sheikh Daud al-Fatoni, Sheikh Abdul Samad al-Palembani, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalauddin dan Sheikh Abdullah Maghribi. Manakala pelopor pondok moden di Kedah ialah Ustaz Hj Wan Sulaiman, yang mengasaskan Madrasah Hamidiah di Limbong Kapal.
14. Hari ini, masih banyak pondok yang mahu meneruskan kaedah tradisional, manakala banyak juga yang sudah menjadi pondok moden atau sekolah agama. Kedua-dua entiti ini sebenarnya mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Pondok tradisional mahu mempertahankan ciri-ciri dan uslub pondok termasuk silibus, sistem pengajian, cara pengajaran dan segala amalan tradisinya. Dalam kalangan ulama dan guru pondok yang muda pula, mereka lebih terbuka menerima ide baru, berkongsi sumber serta lebih receptive yakni terbuka dan boleh menerima kaedah pembelajaran yang lebih interaktif dan ilmu tambahan seperti komputer, kemahiran, keusahawanan, teknologi maklumat, sains, matematik dan bahasa tambahan seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Ini bukan sahaja akan memberi kelebihan kepada pelajar malah boleh menjadikan pondok lebih menarik dan relevan dengan suasana semasa.
15. Pandangan begini lahir daripada pengalaman pondok dan pesantren di Indonesia, Thailand dan Malaysia sendiri. Terbukti banyak pesantren di Indonesia berkembang sehingga mempunyai bilangan pelajar berjumlah puluhan ribu kerana adanya gabungan pendidikan tradisi Islam dengan matapelajaran kemahiran, aktiviti kerjasama dan penglibatan dalam pembangunan sosial. Apa yang mereka modenkan ialah pendekatan, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan serta penekanan kepada elemen kebersihan dan disiplin manakala jiwa, roh dan semangat pondok tetap dipertahankan. Elok jika pengalaman pesantren di Teburing, Gontor, Demanyar dan Tagalrajo yang mampu lestari sehingga tercipta pondok university spt kolej university.
Begitu juga beberapa pondok moden di Thailand seperti di wilayah Patani dan Nakhon Sithammarat patut dikaji lebih mendalam untuk dimanfaatkan.bagaimana mrk mampu bertahan dalam suasana Negara minority islam namun pengajian pondok kekal puluhan tahun.
Hadirin sekalian
16. Dalam konteks yang telah saya jelaskan di atas, Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu transformasi pondok di Malaysia. Dua tahun lalu, YPPM mula telah membuat kaji selidik dan menerbitkan sebuah direktori pondok yang memaparkan keterangan ringkas 110 pondok berdaftar seluruh negara. Usaha seterusnya ialah untuk mengemaskini direktori ini. YPPM akan bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia untuk membuat kajian yang lebih menyeluruh dan saintifik tidak lama lagi. Dalam hal ini, kita juga akan mendapat khidmat dan kerjasama Malaysian Multimedia Development Corporation (MDec) yang bersedia membantu menjayakan usaha memprofil pondok-pondok di Malaysia. Maklumat yang lengkap dengan data empiris boleh membantu YPPM menyediakan laporan yang lebih realistik dan meyakinkan bagi mendapat komitmen kerajaan untuk membantu serta menyokong pembangunan dan pengembangan institusi pondok.
17. Satu inisiatif yang sedang diusahakan oleh YPPM ialah kerjasama strategik dan pelaksanaan program Digital Malaysia untuk komuniti pondok. Di bawah pelan ini, YPPM dan MDeC akan mengenalpasti program-program digital yang boleh dilaksanakan bagi tujuan memartabat dan mengarus perdanakan pondok menjelang 2020. Program ini akan menggunakan kaedah Social Crowd Funding. Kita akan merangka dan melaksanakan pelan yang membolehkan penyertaan dan penglibatan orang ramai – baik individu atau pihak swasta – untuk membantu menyelesaikan permasalahan, kekangan dan keperluan pondok terutama kemudahan prasarana menerusi kaedah digital. Kaedah Social Crowd Funding juga akan digunakan bagi menggalakkan individu dan syarikat melabur dalam pembangunan modal insan yakni pelajar-pelajar pondok yang cemerlang dan boleh melanjutkan pelajaran.
18. Sementara pelan ini dirangka dan dilaksanakan, bagi pihak YPPM dan seluruh warga pondok negara ini, saya dengan rendah hati ingin merayu dan memohon jasa baik YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Kedah mempertimbangkan alternatif dn ruang yang lebih terbuka untuk disediakan kepada pelajar-pelajar pondok yang baik pencapaian mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam negeri.
Buat masa ini, ramai pelajar pondok yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, seperti ke Pakistan, India, Mesir , Syria, Jordan dan negara-negara Timur Tengah. Namun, kerana pergolakan politik dan pelbagai masalah sosio-ekonomi di negara-negara tersebut, ramai terpaksa berfikir 2kali… maka jika adalah sedikit ruang untuk pelajar-pelajar pondok yang berpotensi ..belajar di kolej atau universiti tempatan yang sesuai…dimana lebih menjimatkan dan lebih selamat ..mungkin boleh dipertimbangkan YAb DAto seri utk pelajar2 ni.. jika boleh Dato seri
19. Begitu juga dengan guru-guru pondok. Selaras dengan rancangan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti profesion guru, pihak YPPM juga ingin mohon keprihatinan dan tindakan kerajaan untuk memberi peluang lebih besar bagi melatih guru-guru pondok. Bln depan masuk bln Mei dan negara merayakan Hari Guru pada Mei ini,
Maka sudilah apa kiranya pihak kerajan melihat jg nasib dan masa depan guru2 di pondok…sebarang keputusan yang positif daripada kerajaan bukan sahaja akan menggembirakan guru-guru pondok malah pastinya akan menjadikan perayaan Hari Guru tahun ini lebih bermakna utk warga pondok.
20. Selain kementerian, universiti dan agensi seperti MDeC, pihak YPPM juga telah mengorak langkah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pemegangtaruh (stakeholders) dalam usaha kita melihat institusi pengajian pondok mengambil tempatnya dalam arus perdana transformasi negara. Kami telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri, agensi-agensi pusat dan negeri, Majlis dan Jabatan Agama Negeri, pihak swasta serta institusi mufti, para agamawan, golongan profesional dan tokoh akademik.
21. Satu lagi maklumbalas ialah kurangnya ulama dan guru pondok yang tekun menulis kitab atau karya-karya besar seperti ulama pondok terdahulu. Institusi pondok di negara kita melahirkan ramai tok guru yang bukan sahaja berdakwah melalui lisan tetapi melalui penulisan, mereka pemikir yang hebat menulis kitab , hashiah dan buku, malah. Sheikh Wan Ahmad al-Fatoni, Abdul Rauf Fansuri, Sheikh Ahmad Bajuri, Sheikh Yusof Makasar, Kiyai Haji Muhammad Ali Qaribun bin Suriyan al-Mentarami, Dato Laksamana Haji Muhammad, Mufti Hj Wan Muhammad dan adindanya Mufti Hj Wan Musa, Tok Kemuning, Tok Bachok dan Tok Pulai Condong adalah antara beberapa tokoh pondok yang dikenali ramai kerana hasil-hasil karya mereka.
22. Tok Kenali atau nama sebenarnya Haji Mohamad Yusof bin Ahmad, Tuan Tabal atau Haji Abdul Samad Tabal dan Tok Ali Wan Kutan juga tergolong dalam senarai ulama pondok dan pengarang yang tersohor. Manakala Sheikh Daud al-Fatoni, Sheikh Muhammad Arshad Banjar atau Tuan Husein Kedah, Haji Omar Sungei Keladi dan Sheikh Uthman Jalaluddin pula boleh digolongkan sebagai ulama pondok sasterawan. Tok Selehor adalah seorang ulama pendekar yang gemar bersuluk dan dikenali juga sebagai seorang penyair romantis.
Pesan Rasululah saw “dihari akhirat darah shuhadak akan ditimbang bersebelahan tinta ulamak, nescaya akan lebih beratlah dakwat dan tinta dari darah’
23. Justeru, untuk menggalakkan lebih ramai ulama dan tok guru pondok menghasilkan kitab dan karya yang baik, YPPM ingin menawarkan khidmat sebagai pusat kajian dan rujukan. Usaha menubuhkan sebuah pusat sumber atau Baitul Hikmah bermula kecil-kecilan namun YPPM amat berharap proses ini dapat direalisasikan jika ada suntikan dana yang mencukupi.
Sekali lagi, bagi pihak YPPM, saya memohon jasa baik YAB Perdana Menteri untuk mempertimbangkan bagaimana dapat membantu merealisasikan matlamat ini. Kita ada rancangan untuk mencari dan mengumpul kitab kuning atau kitab thurath, kitab lama yang muktabar serta teks dan jurnal yang bernilai tinggi. Selain di pondok-pondok dan perpustakaan, banyak juga bahan ini berada dalam simpanan keluarga atau individu tertentu. Pihak YPPM bercadang memperoleh dan memiliki kitab dan teks lama ini – ada yang sudah lusuh atau berkeadaan buruk – dengan cara berunding dengan pemilik serta menggunakan khidmat kepakaran Arkib Negara untuk membaik pulih kitab dan teks lama yang bernilai ini.
Hadirin yang saya muliakan
24. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi penghargaan kepada YAB Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak yang tidak pernah menolak undangan Yayasan untuk berdamping dan mendengar luahan warga pondok,
Sekalung budi kepada YAB Dato Seri Hj Mukhriz bin Tun Mahathir, dif-dif kehormat, semua tok guru dan warga pondok yang hadir di ijtimak ini. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pembentang kertas kerja dan ahli panel yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka. Penghargaan khas ditujukan kepada Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan dari Oxford University, Dato Dr Muhammad Afifi Al-Akiti juga dari Oxford University, Dr Amal Fathullah Zarkasyi dan Kiyai Hassan Abdullah Sahal dari Indonesia, Dr Muhamatayuding Samah dari Thailand yang datang dari jauh. Juga peserta dari majlis dan jabatan agama negeri, kementerian pendidikan,agensi kerajaan negeri kedah, MDeC, pasukan pelapor dari KUIN serta wakil pelbagai pertubuhan dan pihak media. Sekalong penghargaan juga kepada Hj Ezilan Basar dari Astro Oasis. Insyalah selepas Bicara Pondok disiarkan nanti di Astro Oasis, saya percaya ramai yang akan mencari dn menghargai pondok.
25. Kepada semua pemenang anugerah Warga Emas Pondok Contoh, Pelajar Pondok Contoh serta pondok yang akan dinobatkan sebagai Pondok Progresif dan menerima Anugerah Kasih daripada YAB Perdana Menteri, saya ucapkan tahniah dan syabas. Semoga anugerah dan kehadiran di ijtimak ini memberi hasil terbaik, meninggalkan kesan yang mendalam dan dapat memberi impak besar kepada perkembangan, pembangunan dan kemajuan institusi pondok di negara kita.
Sehingga bertemu di ijtimak seterusnya di Terengganu pada 2016 nanti, saya akhiri dengan wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment