Friday 28 August 2015

Perbincangan Meja Bulat UPSI Capai 33 Resolusi


Oleh Ibrahim Muhamad

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), buat julung kalinya menganjurkan Perbincangan Meja Bulat mencapai kejayaan yang sangat memberangsangkan dengan yang dihadiri oleh lebih 50 orang ahli panel terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri, Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, wakil-wakil IPTA/IPTS, wakil beberapa buah Institusi Pondok dalam dan luar negara dan wakil NGO.




Perbincangan meja bulat ini diadakan di Kampus UPSI Tanjung Malim, bertujuan membahaskan Transformasi Sistem Pendidikan Pondok dalam pelbagai skop. Di samping itu, perbincangan ini juga bersandarkan kepada perkembangan dan pencapaian semasa institusi-institusi pondok serantau.

Perbincangan itu juga berasaskan kepada Ucaptama oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, yang juga merasmikan perbincangan meja bulat berkenaan.


Beberapa resolusi pada Perbincangan Meja Bulat yang bertemakan Tranformasi Sistem Pondok di Malaysia telah dicapai dan ia akan diusulkankepada pihak berkenaan untuk tindakan:

1. Konsep Transformasi Sistem Pondok

1.1. Mengintegrasikan ilmu-ilmu turath berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dan ilmu-ilmu mu`asir, naqli dan `aqli, teori dan amali dalam pemupukan budaya ilmu.

1.2. Mewujudkan kesinambungan pengajian pondok di peringkat pengajian tinggi sebagai kelangsungan pembelajaran di peringkat pondok sedia ada.

1.3. Mewujudkan perkongsian pintar antara institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi yang berkaitan dengan pondok sedia ada.

1.4. Melestarikan pengajian yang berteraskan aliran Ahlu Sunnah wa al-Jamaah dan mazhab Syafi’e di samping pendedahan terhadap aliran-aliran pemikiran Islam yang muktabar.

1.5. Mengarusperdanakan sistem nilai yang wujud di pondok.

1.6. Menjadikan pondok sebagai pusat komuniti.

1.7. Memperkukuh teras utama sistem pondok:

1.7.1. Meneruskan tradisi pembelajaran berpusatkan masjid.

1.7.2. Meneruskan tradisi pengajian secara talaqqi (pengajian berguru).

1.7.3. Memperkasa sahsiah pelajar berteraskan adab serta mempraktikkan bi’ah solehah (amalan beragama secara bersepadu).

1.7.4. Membangunkan modal insan secara strategik melalui proses Irsyad dan Ta’dib.

1.7.5. Menerapkan nilai tafaqquh (mendalam dan menghalusi) dan itqan (menekuni) dalam diri pelajar.

1.7.6. Membentuk kekuatan berhujah dalam kalangan pelajar melalui aktiviti munazoroh dan mujadalah (dialog dan perbahasan) bagi melahirkan pendakwah progresif.

1.7.7. Menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat.

1.7.8. Meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris melalui aktiviti penulisan dan komunikasi.

2. Kurikulum

2.1. Memperkasa kurikulum pondok untuk melahirkan modal insan yang holistik dan sesuai dengan konteks pembangunan negara dan ummah.

2.2. Membina jaringan antara pelbagai agensi untuk membentuk kurikulum yang bersepadu agar perkongsian dan integrasi ilmu dapat dilaksanakan.

2.3. Keselarasan dan kesinambungan isi kandungan kurikulum perlu diadakan di semua peringkat supaya tidak terdapat kelompangan dalam kesediaan pelajar untuk pengajian yang lebih tinggi.

2.4. Memperkukuh kemahiran berdialog dan berdebat melalui pelaksanaan kurikulum dan ko-kurikulum secara teori dan amali.

2.5. Pengiktirafan dan Persijilan

2.5.1. Menubuhkan satu badan bebas untuk memantau pencapaian matlamat institusi pondok.

2.5.2. Institusi pondok hendaklah berusaha mendapatkan pengiktirafan di dalam dan luar negara.

3. Guru

3.1. Memperkukuh sahsiah keguruan meliputi 5M (Mu’allim, Muaddib, Murabbi, Muwajjih dan Mursyid)

3.2. Memperkasa pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada guru melalui latihan profesional keguruan.

3.3. Menjalani latihan pengurusan dan pentadbiran secara berterusan selari dengan keperluan semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

4. Pengurusan dan Pentadbiran

4.1. Mewujudkan Institusi Penyelidikan Pondok.

4.2. Mewujudkan Kursi Ilmu Turath di UPSI.

4.3. Melestarikan pondok menerusi penubuhan Institusi Waqaf.

4.4. Mempelbagai penjanaan sumber kewangan institusi pondok melalui aktiviti penerbitan, perniagaan, pelaburan dan pertanian.

4.5. Memperkasakan kepimpinan pondok melalui pelan penggantian yang sistematik.

4.6. Meningkatkan kemahiran dalam bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan melalui latihan-latihan yang berkaitan.

4.7. Membentuk penilaian pengurusan dan pentadbiran melalui jawatankuasa khas.

4.8. Mewujudkan pengkalan data Pondok-pondok di Nusantara bagi membentuk jaringan yang bersepadu.

4.9. Memanfaatkan teknologi ICT dalam pengurusan dan pentadbiran.




No comments:

Post a Comment