Tuesday, 29 September 2015

Hukum Menyebut “Rest In Peace – RIP” Kepada Bukan Islam Meninggal Dunia


Apakah hukum untuk orang Islam menyebut “Rest In Peace – RIP” pada ketika mendengar seorang yang bukan Islam meninggal dunia? Adakah ia bergantung pada niat? Bagaimana jika ucapan itu hanya sebagai penghormatan sesama manusia?

PENJELASAN:

Secara dasarnya Islam membenarkan ucapan yang baik terhadap orang bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka dalam melaksanakan agama mereka. Ini dapat dikiaskan dengan penghormatan Rasulullah s.a.w apabila Baginda berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda.


Dua (2) perkara penting dalam isu memberi ucapan kepada orang bukan Islam. Pertama, niat seseorang dalam memberikan ucapan tersebut. Sekiranya sesuatu ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang. Sementara sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus.

Keduanya, latarbelakang tradisi istilah yang diucapkan. Sekiranya ia telah menjadi sebahagian dari amalan keagamaan maka ia adalah dilarang.

Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18. Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia di kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin itu ialah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’

Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat dari Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin. Sedangkan dari sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan. Ini berdasarkan ayat al-Quran, Surah al-Taubah:113, “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”

Oleh yang demikian seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam.

Walaubagaimanapun Islam tidak menghalang seseorang Islam mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti “Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda “ atau “ kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan dari keluarga anda”.

Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment