“Imam tu bacaan fatihahnya tak betul, membaca surah terlalu panjang, imam solat cepat sangat, isteri imam tu tak menutup aurat, imam tak pandai tarik remaja ke masjid”. Demikian antara rungutan yang sering kedengaran di masjid dan surau berkenaan imam dan solat berjemaah.
Pendek kata, tugas imam bukan semudah yang disangka. Banyak cabaran dan ragam jemaah yang perlu dihadapi. Sehinggakan adakalanya timbul polemik, membaca surah pendek pun salah, membaca surah panjang juga dicemuh. Begitulah asam garam apabila berkhidmat dalam masyarakat. Selalunya, imam sahajalah yang silap. Makmum sentiasa betul.
Imam adalah seorang pemimpin. Beliau adalah individu yang dilantik memimpin jemaah ketika melakukan ibadah solat atau amal kebaikan. Mereka juga yang akan diberikan kepercayaan menjadi pemimpin untuk memimpin ke jalan yang benar.
Dari segi bahasa, imam adalah penunjuk jalan atau seseorang yang berada di hadapan. Sementara dari segi istilah pula, imam adalah pemimpin rohani yang membantu dan membimbing ke aras mencapai keredaan Allah. Imam adalah orang yang sangat dekat dengan masyarakat Islam terutamanya di kampung. Selain lebih arif dalam bidang agama, mereka menjadi pakar rujuk kepada hampir semua masalah berkaitan hidup seharian.
Bermula daripada kematian, kenduri- kendara, khatam al-Quran, menyelesaikan pergaduhan suami isteri sehinggalah mengendalikan pengurusan jenazah. Tugas imam boleh dikatakan 24 jam sehari. Bukan seperti pegawai agama, ustaz atau ustazah di pejabat-pejabat kerajaan yang biasanya bermula pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.
Perkataan imam disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 124)
Kini, tugas imam adalah lebih luas bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta profesionalisme jawatan tersebut. Pendek kata, para imam kini tidak boleh lagi hanya bergantung kepada ilmu fardu ain dalam bab fikah, tauhid dan tasawuf.
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menganjurkan Kursus Imam Profesional Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Institut Latihan dan Dakwah Selangor (Ildas), Sabak Bernam pada 28 hingga 30 Ogos lalu. Kursus tiga hari itu disertai oleh 44 imam dari daerah berkenaan.
Pengurus Ildas, Moghni Asrori dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Imam Profesional’ menekankan tentang tugas setiap orang sebagai pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.
Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpin. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya.
Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bagi maksud mengetuai solat, kata beliau, antara ciri-ciri imam berwibawa adalah yang faqih (ahli dalam ilmu fikah), orang yang qari, yang warak, imam yang lebih dahulu hijrah dan menunaikan haji serta orang yang terkenal suka melakukan perkara-perkara baik.
“Selain itu para imam perlu memelihara tingkah laku dan perbuatan. Selain meninggalkan segala yang dilarang mereka juga perlu mengelak sedaya upaya terlibat dalam perkara-perkara syubhat,” katanya.
Dalam masa yang sama, Moghni menegaskan, oleh sebab itu, lantikan imam tidak boleh dibuat secara demokrasi sebagai mana pelantikan ahli jawatankuasa masjid.
“Saya mengesyorkan agar pelantikan itu dibuat secara syura kerana ia mesti dirujuk kepada syarak sama ada seseorang calon itu sesuai atau tidak menjadi imam.
“Jika masjid itu sedikit bilangan jemaahnya tetapi imamnya seorang yang berilmu, warak dan elok qiraatnya, maka berjemaah mengikutnya adalah lebih afdal berbanding imam yang kurang ilmu sekalipun bilangan jemaahnya ramai,” jelas beliau.
Oleh : Mohd. Radzi Zin.
Sumber : Utusan Online.
No comments:
Post a Comment