Musim haji telah tiba lagi. Ini bermakna sebahagian besar umat Islam dari pelosok dunia amnya dan dari Malaysia khasnya akan ke tanah suci Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
Sudah semestinya dengan kemajuan Malaysia maka orang yang mampu untuk menunaikan haji pun semakin bertambah. Tetapi ujian Allah tidak mengenal waktu di mana pada waktu haji inilah Wabak MERS-CoV telah menyerang jemaah haji seluruh dunia.
Penyakit ini berlaku di Asia Barat, jauh dari negara kita. Bagi sebilangan orang, tiada apa perlu dirisaukan kerana beranggapan jarak yang jauh mungkin menyukarkan penyakit itu untuk merebak ke negara kita.
Namun seperkara yang perlu diingat, Novel Coronavirus juga dikenali sebagai Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) mungkin boleh berjangkit melalui udara. Ini kerana manusia dari seluruh dunia bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jemaah haji atau umrah juga perlu dipantau dan langkah pencegahan harus diambil bagi mengelak terkena jangkitan.
Ketika musim melakukan umrah dan menjelang ketibaan bulan Ramadan, Julai lalu, orang ramai yang berkunjung ke negara-negara Timur Tengah dan Eropah diminta supaya sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk menjaga kesihatan dengan lebih rapi terhadap penularan wabak penyakit MERS-CoV.
Negara Timur Tengah yang melaporkan kes MERS-CoV adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia, manakala negara-negara Eropah ialah Denmark, Jerman, Perancis dan United Kingdom.
Pihak berkuasa Arab Saudi tidak akan mengadakan perubahan pada syarat ke atas para jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima itu di Mekah. MERS-CoV adalah satu daripada ahli keluarga (strain) dari kumpulan coronavirus. Ia adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan meliputi pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan.
Pada manusia tanda-tanda jangkitan virus MERS-CoV boleh bermula dari selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak dan sakit otot sehinggalah menyebabkan mengalami demam panas, radang paru-paru dan jangkitan mata. Kandungan gula dalam darah juga menjadi rendah (boleh menyebabkan koma) selain gangguan dan masalah pernafasan yang teruk.
Seterusnya menyebabkan beberapa masalah kesihatan yang serius, termasuk kegagalan fungsi ginjal serta menyebabkan koma secara tiba-tiba. Jika tidak dirawat akan menyebabkan pelbagai komplikasi lain yang boleh membawa maut.
MERS-CoV mula dikesan di Arab Saudi tahun 2012 dan sehingga kini lebih 500 daripada 700 orang yang disahkan menghidapnya di seluruh dunia meninggal dunia dengan hampir 500 kes jangkitan dilaporkan di Arab Saudi. Kes ini adalah kejadian kecemasan kesihatan awam yang kritikal bukan hanya bagi negara terbabit tetapi juga terhadap masyarakat dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenai wabak ini pada September 2012. Sehingga kini WHO tidak mengeluarkan sekatan perjalanan pelancong antarabangsa ke mana-mana negara terlibat dan vaksin untuk jangkitan penyakit itu juga belum ditemui.
Bagaimanapun, perlu diingatkan para jemaah atau pelancong yang berkunjung di sana memerlukan pemantauan dan pencegahan.
Pemantauan bagi jemaah haji yang akan pulang ke tanah air tidak lama lagi adalah penting untuk memastikan wabak tersebut tidak akan merebak di negara kita. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan pemeriksaan mengesan suhu badan jemaah yang pulang. Bagi yang didapati demam hendaklah diminta berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada penyakit tersebut.
Walaupun tiada jangkitan MERS dikesan dalam negara ketika ini, namun Kementerian Kesihatan telah meningkatkan keupayaan makmalnya dalam usaha mengesan sebarang tanda-tanda jangkitan dalam kalangan pesakit dengan lebih pantas dan saringan lebih rapi.
Maka adalah menjadi tanggungjawab jemaah haji yang pulang yang tidak demam tetapi mengalami batuk yang berasal dari Arab Saudi berpanjangan untuk juga mendapatkan rawatan di pusat kesihatan kerajaan atau klinik-klinik swasta yang berdekatan supaya boleh dirawat dengan rawatan awal bagi mengelak kesan buruk terjadi jika menghidap MERS.
Memang tidak ada vaksin untuk MERS, sebab itu jemaah yang pergi ke Arab Saudi dinasihatkan menjaga kebersihan, dapatkan panduan anggota pasukan kesihatan, sekiranya menghadapi masalah dapatkan rawatan segera.
Rawatan segera adalah penting untuk memastikan MERS dapat dicegah daripada melarat ke peringkat yang boleh membawa maut.
Begitu juga mereka yang baru pulang dari umrah, umpamanya, memang simptom batuk biasa berlaku sekembali dari umrah, tetapi sekiranya batuk dan demam berlarutan dan ditambah dengan masalah pernafasan, segera ke klinik. Maklumkan mengenai sejarah perjalanan supaya pihak hospital atau klinik dapat melakukan pemeriksaan lebih teliti.
Oleh: Dr. Norzaidi Zakaria. PENULIS ialah Ketua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia
(Perdim) Selangor.
Sumber : Utusan Online.
No comments:
Post a Comment