Soalan :
Kita selalu dengar orang berkata “Insya Allah” setiap kali berjanji hendak melakukan sesuatu perkara yang diminta atau menghadiri sesuatu majlis jemputan dan sebagainya. Sesetengah mereka menggunakan ucapan “Insya Allah” sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat itu malah kadangkala ucapan itu saja sudah menggambarkan bahawa janji-janji itu tidak mungkin ditunaikan. Apakah pandangan Islam terhadap perkara ini?
Jawapan :
Islam mengambil berat kesejahteraan dan keselesaan hidup umatnya. Banyak ayat al-Quran dan hadis menganjurkan supaya umat Islam hidup berbaik-baik, hormat menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain.
Menepati dan menunaikan janji adalah antara sifat yang sangat dituntut Islam seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”-(Al-Israk:34).
Malah, dalam ayat lain Allah menerangkan bahawa mereka yang sentiasa menunaikan janji adalah dianggap sebagai golongan yang beriman, yang benar dan bertakwa kepada Allah s.w.t., seperti firman-Nya yang bermaksud: “…..Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan (menepati) janjinya apabila mereka membuat janji……” – (AL-Baqarah:177).
Di samping itu, banyak pula hadis yang menuntut supaya umat Islam menjadi umat yang menghormati janji. Malah, Rasulullah sendiri pernah keluar menunggu beberapa hari kerana menunaikan janjinya hendak berjumpa seseorang. Demikian juga umat Islam dituntut supaya menjadi umat yang bertanggungjawab terhadap janji yang dibuat, kecuali ada keuzuran atau halangan yang tidak dapat dielakkan. Besar dosanya bagi orang yang suka membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakannya, kerana perbuatan itu boleh menyusahkan orang lain dan dianggap tergolong dalam golongan orang munafik.
Sebagai seorang muslim yang yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah, maka setiap kali membuat janji hendaklah menyebut “Insya Allah” yang bermaksud : “Jika dikehendaki Allah”.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ucapan itu bukanlah satu alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat.
Ucapan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan ‘azam untuk menunaikan janji itu supaya dia tidak tergolong dalam golongan orang yang munafik. Sebutan “Insya Allah” itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah, kerana kita yakin bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan izin Allah.
Allah berfirman, maksudnya : “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya-Allah”. Dan ingatlah akan tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”. – (AL-Kahfi : 23-24).
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menceritakan bahawa pada satu malam, Nabi Allah Sulaiman yang mempunyai banyak isteri,.0 bersumpah dengan menyatakan bahawa: “Pada malam ini aku akan mendatangani semua isteriku dan masing-masing akan mengandung dan melahirkan anak lelaki yang akan menjadi mujahid (pejuang) menegakkan agama Allah.”
Ucapan itu tidak disertai dengan “Insya-Allah” dan akhirnya yang mengandung hanyalah seorang isterinya. Itupun melahirkan anak yang cacat.
Sabda Rasulullah, bermaksud “Kalaulah Nabi Allah Sulaiman berkata “Insya-Allah” nescaya akan lahirlah zuriat yang akan menjadi mujahid (pejuang) pada jalan Allah”. (Fath al-Bari; jld. 6; m.s.558)
Kesimpulan ; Berdasarkan kepada hujjah dan alasan yang tersebut di atas dapat kita faham bahawa betapa pentingnya menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga manusia. Sehingga Islam mensyariatkan bahawa seseorang itu melafazkan kalimah “Insya Allah” sekiranya ia berjanji hendak melakukan sesuatu perkara yang ia tidak pasti dapat melakukannya atau tidak, tetapi janganlah pula ini dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada menyempurnakan janji yang dibuat. Kerana kalau kita tahu bahawa kita tidak akan dapat melakukan suatu perkara atau menunaikan janji itu maka seharusnya kita berterus terang sahaja, kalau tidak maka kita telah melakukan suatu pembohongan yang terancang. Wallahua’alam.
No comments:
Post a Comment