Monday, 21 September 2015

Infrastruktur Maahad Tahfiz Bakal Dinaik Taraf


Maahad tahfiz bakal menikmati perkembangan yang lebih baik khususnya dari segi infrastruktur dalam Belanjawan Selangor 2016.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, langkah progresif itu selaras dengan kekuatan ekonomi negeri dan hasrat pihaknya untuk memantapkan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, selain menambah baik pusat pengajian itu, beberapa bangunan baharu akan dibina berdasarkan keperluan semasa.

"Kita mempunyai rizab agak kukuh pada tahun ini yang dapat kita gunakan untuk membangunkan maahad tahfiz di beberapa kawasan pedalaman dalam negeri ini sebab banyak yang uzur dan perlukan diganti.

"Beberapa blok baharu bukan sekadar akan dinaik taraf atau dibaik pulih bahkan ada keperluan untuk blok baru dan asrama pelajar ditambah," ujarnya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Aidil Adha di Bangunan Sultan Idris Shah.

Dalam majlis itu, lebih seribu ekor lembu diserahkan untuk masjid dan surau seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa turut menyatakan komitmen untuk membangunkan semula surau di kampung tradisi dengan reka bentuk yang sesuai dengan pembiayaan penuh kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment