Friday, 11 September 2015

Kelebihan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah



Tidak berapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Zulhijjah, insya-Allah. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan haji dan sinonim dengan ibadat korban. Bagi jemaah haji, apabila tiba bulan ini semakin hampir mereka dengan kemuncak ibadat itu iaitu wukuf di Arafah.

Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang 10 hari pertama Zulhijjah dengan melakukan pelbagai ibadat sunat.



Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)

Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.

Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

• Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

• Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”.
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.

• Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini sabit dari Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak menunaikan haji.

• Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.
Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Oleh : Mohd Radzi Mohd Zin (Utusan Online)

No comments:

Post a Comment