Wednesday, 2 September 2015

Wanita Dalam Tempoh Edah Harus Tinggal Di Rumah Suami



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri hendaklah isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan 10 hari. 

Kemudian apabila telah habis masa edahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh syarak). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa juga yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 234) 



Pada zaman jahiliah, wanita sering berkabung dengan cara yang sangat buruk dan tercela jika kematian suami. Selama setahun mereka tidak menyentuh wangi-wangian, berdandan dan bercampur gaul dengan masyarakat. Selepas tempoh itu, barulah mereka keluar rumah. 

Setelah kedatangan Islam, keadaan itu diperbaiki di mana masa edah ditetapkan hanya satu pertiga daripada yang diamalkan pada zaman jahiliah sementara isteri yang kematian suami hendaklah menyempurnakan tiga perkara iaitu edah, ihdad dan menetap di rumah suami. 

Tempoh edah kematian suami 

Perempuan yang kematian suami hendaklah menjalani tempoh edah empat bulan 10 hari. Ayat berkenaan menjelaskan kewajipan itu termaktub kepada perempuan tua atau muda, telah disetubuhi atau belum disetubuhi oleh suaminya.

Beberapa hadis lain juga menetapkan tempoh edah bagi perempuan ialah empat bulan 10 hari. Antaranya hadis yang panjang daripada Zainab puteri Ummu Salamah yang menceritakan, "Aku masuk menemui Zainab binti Jahsh ketika saudaranya meninggal dunia, kemudian dia meminta wangi-wangian lalu dia menyentuhnya, kemudian berkata: Aku tidak memerlukan wangi-wangian ini, bagaimanapun aku dengar Rasulullah SAW bersabda ketika di atas mimbar: Tidak harus berkabung bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melebihi tiga hari kecuali terhadap suaminya yang diwajibkan selama empat bulan 10 hari." (Riwayat al-Bukhari) 

Jika isteri itu mengandung, maka edahnya menurut jumhur ulama ialah setelah melahirkan kandungannya, sekalipun satu saat selepas kematian suaminya. 

Elak percampuran benih 

Hikmah pensyariatan edah kepada wanita adalah bagi memastikan rahim perempuan kosong daripada benih suami yang menceraikannya atau yang sudah meninggal dunia. Ini mengelak terjadi percampuran benih antara suaminya dahulu dan suami yang baharu jika dia berkahwin sebelum tempoh edah selesai.

Ia juga bagi memberi ruang kepada suami isteri untuk berfikir mengenai tindakan yang sudah dibuat dan peluang kepada kedua-duanya kembali bersatu, khusus untuk edah talak raj'ie. 

Perempuan yang kematian suami, selain memastikan rahimnya kosong daripada benih suami, edah juga adalah tempoh ihdad (berkabung) kerana kepergian suami untuk selama-lamanya. Ini sebagai tanda menjaga hak suami dan menyatakan kesetiaan isteri kepada suaminya. 

Hikmah edah juga untuk menunjukkan perkahwinan tidak sempurna tanpa pemantapan jiwa suami isteri bagi mengukuhkan ikatan perkahwinan. Jika berlaku sesuatu yang membawa kepada terlerainya ikatan perkahwinan, maka hendaklah diberi masa secukupnya supaya tidak berat untuk menghadapi situasi itu. 

Ihdad dari segi bahasa bermaksud tegahan atau larangan kerana perempuan berihdad ditegah daripada berhias dan berwangi-wangian. Menurut pengertian syarak, ihdad bermaksud meninggalkan berwangi-wangian dan berhias. 

Perempuan yang kematian suami diwajibkan ihdad (berkabung) empat bulan 10 hari jika dia tidak hamil. Jika hamil, maka wajib ihdad sehingga dia melahirkan anak. 

Kewajipan ihdad dan larangan yang terdapat padanya disebutkan dalam hadis daripada Ummu 'Athiyyah, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak berkabung seorang perempuan ke atas orang yang meninggal dunia lebih daripada tiga hari kecuali ke atas suaminya, (dia berkabung) empat bulan 10 hari, dan dia dilarang memakai pakaian yang dicelupkan warna kecuali pakaian yang sederhana dan dilarang memakai celak mata dan memakai wangian kecuali untuk bersuci (selepas membersihkan darah haid), iaitu diusap sedikit sahaja daripada haruman atau wangian." (Riwayat Muslim) 

Boleh tinggal di rumah suami 

Menghabiskan tempoh edah di rumah didiami bersama suami dulu lebih sesuai dengan keadaan perempuan yang sedang berkabung untuk menyelamatkan daripada fitnah. Perempuan diharuskan keluar dengan alasan mendesak seperti ke klinik, membeli barang keperluan atau ke tempat kerja (bagi yang bekerja).

Jika tugasnya boleh dilakukan pada siang hari, maka tidak harus baginya memilih untuk bertugas pada waktu malam kerana pada waktu malam boleh menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah. Larangan itu dalam tempoh edah. 

Setelah selesai edah, wanita itu boleh menentukan kehidupan yang mematuhi garisan undang-undang Allah SWT serta syariat agama. Dia diharuskan menghiaskan dirinya mengikut syarat dibenarkan kepada wanita Islam, boleh menerima pinangan dan berkahwin dengan sesiapa yang disukainya.

Sumber : BHOnline (Shukri Yusof)

No comments:

Post a Comment