Pelajar Tamhidi Sains dan Teknologi (Prauniversiti), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Putri Nur Nadia Bakri, 18, mengharumkan nama negara apabila muncul johan Musabaqah Menghafaz al-Quran Serta Pemahamannya peringkat negara anggota Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims).
Putri Nur Nadia yang bertanding bagi kategori menghafaz Juz 10 al-Quran serta pemahaman Juz tujuh berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,045 (BND4,000), piala dan sijil penghargaan.
Seramai lapan peserta, masing-masing empat lelaki dan empat perempuan daripada negara-negara anggota Mabims menyertai pertandingan yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Brunei.
Menurut Putri Nur Nadia, dia tidak menyangka berjaya merangkul kemenangan selain bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas kemenangan tersebut.
“Ini kali pertama saya mewakili Malaysia dalam pertandingan hafazan antarabangsa dan gembira apabila dapat mengharumkan nama negara. Terima kasih kepada kedua ibu-bapa kerana banyak membantu semasa latihan hafazan.
“Petua yang saya amalkan supaya mudah dan menjaga hafazan adalah sentiasa konsisten mengulang hafalan dan ikhlaskan hati untuk membaca al-Quran. Ibu juga amat menjaga pemakanan saya antaranya mengelakkan makanan berunsur syubhah," katanya.
Majlis penyampaian hadiah dan penutup Musabaqah ini telah disempurnakan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Selain itu, seorang lagi peserta Malaysia iaitu pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Farihah Zulkifli, 20, berjaya mengungguli kategori Menghafaz Juz 30 Serta Pemahaman Juz 20.
Musabaqah ini bertujuan merealisasikan matlamat Mabims menyemai penghayatan generasi muda terhadap al-Quran di samping mewujudkan kerjasama dalam kalangan negara anggotanya.
Sumber :Utusan Online.
No comments:
Post a Comment