Friday, 16 October 2015
Berita baik buat pelajar pondok lanjut pengajian
Berita baik buat para pelajar pondok yang berhasrat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi termasuk di luar negara. Bukan sahaja menjurus kepada bidang akademik bahkan juga di bidang kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan.
Sedia maklum, para pelajar pondok dalam negara cukup hebat dalam pengajian mereka terutamanya berkaitan pengajian kitab-kitab Allah. Minda para pelajar ini juga cukup kuat dengan daya ingatan di bidang hafazan.
Namun yang demikian, kekangan beberapa faktor misalnya melibatkan kewangan menyebabkan pelajar ini gagal melangkah lebih jauh. Sekaligus menghalang cita-cita untuk melahirkan pelapis cerdik pandai dan berkemahiran tinggi.
Ketika ziarah YPPM ke tapak Madrasah Ad-Diniah Yusufiah atau Pondok Gelang Mas di Kelantan baru-baru ini, kelihatan beberapa pelajar sedang 'bertukang' membaiki pondok mereka sendiri. Pastinya, 'arkitek muda' ini juga wujud di mana-mana insitusi pondok dalam negara.
Sehubungan dengan itu, usahasama Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) bersama Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) merupakan antara inisiatif mengetengahkan para pelajar pondok yang berkelayakan supaya dapat dijulang ke peringkat yang lebih tinggi.
Ini dapat diterjemahkan dalam kunjungan dan sesi penerangan kedua-dua yayasan ini ke Negeri Sembilan pada 22 September lalu. Program anjuran bersama Pejabat Mufti Negeri Sembilan ini mendapat sambutan baik dikalangan mudir-mudir pondok di negeri berkenaan.
Tiga program utama YPPB kelihatan berupaya menjawab kekangan serta faktor penyebab yang menghalang pelajar ini daripada melangkah lebih jauh. Program yang terarah kepada pembiayaan pengajian ini dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.
Peneraju Tunas
Program pembiayaan pendidikan untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi yang berpotensi, berpendapatan isi rumah rendah (RM 4,000 ke bawah) dan dari latarbelakang yang mencabar bagi mendapatkan pendidikan berkualiti.
Peneraju Skil
Program Pembangunan Kemahiran bagi meningkatkan skil vokasional dan teknikal ke peringkat pengiktirafan antarabangsa. Program ini mempunyai dua segmen iaitu Peneraju Skil Iltizam (pelajar keciciran) dan Peneraju Skil (pekerja mahir) yang meliputi pelbagai sektor. Antaranya minyak & gas, elektrik & elektronik, komunikasi, communication content & infrastructure (CCI), penjagaan kesihatan, perkhidmatan perniagaan dan lain-lain.
Peneraju Profesional
Program Pembangunan bagi pensijilan profesional dan program spesialis. Peningkatan kepakaran dalam bidang-bidang profesional seperti perakaunan, kewangan, kejuruteraan dan lain-lain.
Orang ramai boleh rujuk terus ke YPPB melalui alamat sesawang http://www.yayasanpeneraju.com.my/ bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan program yang dianjurkan. Manakala pihak YPPM berharap para mudir supaya dapat mengusulkan beberapa nama pelajar pondok yang difikirkan layak untuk menyertai program tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment