Friday, 9 October 2015

Hijrah Mengukuh Solidariti Ummah


SIDANG JUMU’AH YANG DI RAHMATI ALLAH,
Di kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “HIJRAH MENGUKUH SOLIDARITI UMMAH”.


SIDANG JUMU’AH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Kita sudah berada di penghujung tahun 1436 Hijrah dan Tahun Baharu 1437 Hijrah pula bakal tiba pada 1 Muharram nanti. Cepat sungguh masa berlalu dan meninggalkan pelbagai peristiwa yang berlaku, sama ada yang mengembirakan atau yang menyedihkan. Saat ini pun, kita masih lagi dilanda masalah jerebu yang menyebabkan beberapa institusi tertentu ditangguhkan operasinya bagi memastikan kesihatan warganya tidak terganggu dan selamat. Mimbar mengingatkan sidang jemaah sekalian, agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari masa ke masa dan tidak menyampaikan maklumat yang tidak tepat mengenainya. Di samping itu, bersama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT, semoga masalah jerubu di negara kita pulih seperti sediakala dan kita dapat meneruskan rutin seharian dengan selesa.

SIDANG JUMU’AH YANG DI RAHMATI ALLAH,
Setiap kali menjelang Maal hijrah, kita sering memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kedatangannya telah membawa begitu banyak perubahan kepada diri kita. Namun, persoalan besar yang timbul ialah apakah sebenarnya yang ingin kita hijrahkan dalam hidup ini?. Mimbar berpendapat bahawa sesiapa yang ingin melakukan hijrah, dia perlu menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong di samping kesempurnaan ilmu agar ia menjadi orang yang berjaya dalam hidup ini. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 20:

Maksudnya: “Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang yang berjaya”.

MUSLIMIN YANG DI RAHMATI ALLAH,
Maal Hijrah adalah antara bukti ingatan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang menjadi salah satu langkah yang amat strategik dalam memperluaskan syiar Islam. Ternyata, hijrah yang bersandarkan keimanan dan ketakwaan yang padu telah berjaya mengubah lanskap pegangan akidah, amalan ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH,
Hari ini kita hidup dalam sebuah dunia yang sering menimbulkan pelbagai konflik baharu yang mengancam kedaulatan agama Islam dan keselamatan negara. Ancaman ini jika tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan kemusnahan atas apa yang kita nikmati hari ini. Apa yang membimbangkan, terdapat kelompok tertentu yang berusaha melebarkan ideologi sesatnya untuk membangkitkan perasaan benci dan permusuhan.

Menyedari hakikat ini, langkah penting seperti pengukuhan sifat sebenar Islam perlu disampaikan kepada masyarakat melalui penjelasan yang berterusan terhadap fahaman-fahaman yang bertentangan dengan prinsip Maqasid Syariah. Secara tidak langsung, kita mendidik diri dengan penggayaan ilmu pengetahuan dalam memastikan kesucian Islam terpelihara serta mengekalkan perpaduan sesama kita.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH,
Aspek pendidikan adalah sangat penting di dalam membina masa depan ummah. Namun, peredaran zaman telah memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir. Bagi memastikan Maal Hijrah tahun ini lebih bermakna, maka marilah kita sehati sejiwa menjana kualiti diri dengan ilmu agar menjadi benteng keutuhan iman.
Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi menyatakan, “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.

Kita yakin, umat Islam yang berilmu serta terbangun rohaninya tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat. Mimbar bimbang, umat Islam yang lemah ilmu dan rohaninya akan menyebabkan kepincangan dalam pelbagai perkara seperti krisis akidah, akhlak, institusi keluarga dan masyarakat. Marilah kita mengatur semula urusan kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh syarak demi kebaikan bersama. Hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta, masa dan tenaga. Apalah ertinya hijrah tanpa pengorbanan kerana pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.

MUSLIMIN YANG DI RAHMATI ALLAH,
Salah satu aspek pendidikan yang perlu diberi penekanan juga ialah penjagaan kesihatan yang merangkumi fizikal, mental dan psikologi. Langkah-langkah seperti bersukan, sebaik-baiknya dipupuk semenjak dari awal lagi supaya menjadi budaya. Bahkan bersukan dapat mengurangkan tekanan yang ada semasa bekerja dan belajar. Mimbar menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan yang menganjur dan mengisytiharkan 10 Oktober setiap tahun sebagai Hari Sukan Negara. Semoga program ini menjadi permulaan dalam menguatkan semangat dan nilai ingin bersukan sebagai gaya hidup bagi masyarakat Malaysia serta dijalankan secara berterusan.

Mimbar ingin menegaskan bahawa membudayakan gaya hidup sihat saling berkait rapat antara kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan sihat jasmani dan rohani akan menentukan prestasi dan tempoh hayat seseorang. Sebab itu, kesihatan menjadi harta yang amat bernilai kepada kita, dan Islam menuntut untuk menjaganya. Antara yang ditekankan oleh Islam adalah bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman kerana amalan ini mampu mengelakkan kita daripada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya.  Justeru terdapat beberapa aktiviti bersukan atau beriadah yang menjadi sunnah Rasulullah SAW seperti yang diberitahu oleh Saidina Umar RA bahawa:

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN ALLAH,
Hidup sihat dan kedatangan tahun baharu hijrah, memberi banyak pengajaran dan ujian kepada kita supaya sentiasa kuat, bersabar dan bersaing dalam menjadi yang terbaik. Kunci kepada kekuatan tersebut adalah disebabkan sikap kesederhanaan yang kita amalkan. Kesederhanaan yang dimaksudkan adalah keberanian dan menunjukkan kekuatan untuk menegakkan keamanan dan meletakkan kepentingan ummah sebagai keutamaan. Justeru, tuntutan hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi ianya adalah suatu tranformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang berteraskan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 26:

Maksudnya: " Maka Lut membenarkannya dan Ibrahim berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan ummah lebih cemerlang dengan mengambil usaha-usaha seperti berikut:

Pertama: Melakukan penghijrahan dengan memperkasa ilmu yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara;

Kedua: Membuat kajian dari masa ke masa tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan ancaman yang dihadapi dalam membina ummah yang cemerlang; dan

Ketiga: Merancang dan menyediakan pelan tindakan supaya matlamat membina masa depan ummah yang cemerlang memenuhi keperluan dunia dan akhirat.

Maksudnya: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah al-Zalzalah: 7-8)

No comments:

Post a Comment