Friday, 9 October 2015
Pelajar pondok terbakar cekal tuntut ilmu
Tanggal 6 Oktober 2015 pasti menjadi detik hitam buat penuntut ilmu Allah di Pondok Gelang Mas, Kelantan selepas ditimpa musibah kebakaran sehingga memusnahkan lebih 40 buah pondok mereka.
Bukan sahaja tempat tinggal, tetapi mereka juga kehilangan bahan-bahan pengajian yang menjadi teman sejati pelajar setiap hari.
Namun, musibah yang menimpa itu dianggap sebagai ujian Allah Yang Maha Besar. Pelajar dan guru-guru Pondok Gelang Mas atau Madrasah Ad-Diniah Yusufiah itu tetap tabah dan cekal menghadapinya dengan tanpa rasa berputus asa berjuang menuntut ilmu. Sekalipun terpaksa menumpang tidur dan berhimpit di pondok rakan yang terselamat daripada kebakaran tersebut.
Para pelajar akan meneruskan pembelajaran mereka pada minggu hadapan selepas pihak pentadbiran pondok menangguhkan sesi pengajian buat sementara waktu.
Sementara pihak Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dijadualkan turun padang melawat Pondok Gelang Mas dan menziarahi pelajar serta tenaga pengajarnya dalam masa terdekat.
Kejadian pada jam kira-kira 8.15 malam itu berlaku ketika para pelajar sedang khusyuk mengikuti kuliah agama di sebuah masjid yang berada tidak jauh dari penempatan mereka.
Menurut laporan akhbar seramai 24 anggota Bomba dan Penyelamat dari tiga buah balai berdekatan iaitu Pasir Mas, Kota Bharu dan Tunjong yang melibatkan 4 buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dalam usaha memadamkan kebakaran serta kerja-kerja menyelamat. Api kemudiannya berjaya dipadam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment