Thursday, 8 October 2015

Jejak Islam dan Melayu di 'Pondok Sala Anak Ayam'


Pondok Ahmadiah Islamiah yang terletak di Bacho, Narathiwat, selatan Thailand mungkin lokasi yang ideal sekiranya anda mahu membuat penyelidikan atau mengumpul pengetahuan berkaitan khazanah serta sejarah Islam. Di sini, pengunjung berupaya melihat secara dekat pelbagai manuskrip yang kini berusia antara 200 hingga 700 tahun.


Antara khazanah yang terdapat di Pondok Ahmadiah Islamiah ini adalah seperti Al-Quran tulisan tangan oleh Ibnu Almarhum Al-Marfu Maula Muhammad Al-Bassari pada tahun 1579 yang berukuran 17cm x 11cm dengan tebal 2cm dan Al-Quran tulisan Haji Muhammad Husin bin Abdul Latif bin Mu'min Zainul Abidin (tahun 1893) yang berukuran 19cm x 15cm setebal 5cm.

Selain itu, terdapat juga Al-Quran berukuran 32cm x 20cm setebal 5cm yang ditulis pada tahun 1590 oleh Imam Muhammad Arikularessy, Al-Quran berukuran 19cm x 24cm setebal 7cm hasil tulisan tangan Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris Al-Jawi Al-Fathoni (tahun 1835) dan Tafsir Al-Jalalain dengan ukuran 30cm x 22cm setebal 5cm tanpa nama penulisnya.

Kesemua khazanah yang ditulis pada atas kulit binatang dan kertas lama ini dikatakan berasal dari Andalusia (Sepanyol), Arab, Yaman, Turki, Indonesia, Thailand dan Tanah Melayu (Malaysia).

Sebab itu pondok ini turut menyimpan manuskrip Melayu dengan tulisan Jawi. Manuskrip tersebut antara lain menceritakan tentang ilmu pembuatan keris, perahu, ilmu pelayaran, perubatan dan lain-lain.

Pondok Ahmadiah Islamiah ini bukanlah berpegang kepada fahaman 'Ahmadiah' atau kelompok Mirza Ghulam Ahmad sepertimana yang ditafsirkan sesetangah pihak. Tetapi secara tepatnya, nama pondok ini diambil daripada nama pengasasnya iaitu Ustaz Ahmad bin Haji Usman. Ketika ini, pondok ini dikepalai oleh Mohd Lutfe Smae sebagai pengurus yang juga berkelulusan daripada salah satu perguruan tinggi Islam di Jordan.

Terdapat kira-kira 800 orang pelajar menuntut di pondok ini sambil dipimpin oleh 74 orang guru. Masyarakat tempatan menggelarkan pondok ini dengan nama, ‘Pondok Sala Anak Ayam’ berikutan lokasinya yang terletak di Desa Sala Anak Ayam di Bacho.

Pondok yang berdiri di atas sebidang tanah seluas 15 hektar ini pernah ditimpa bencana alam tsunami pada tahun 2004. Namun pondok bersama isi perutnya kembali bersinar dan mendapat perhatian terutamanya dimata dunia Islam setelah mendapat bantuan baikpulih serta kerjasama daripada kerajaan Turki.

Aktiviti baikpulih dan jalinan kerjasama ini mula tercetus ketika pihak daripada kerajaan Turki turun membantu mangsa tsunami dalam misi bantuan kemanusiaan. Khazanah dan barangan purba bernilai tinggi itu dibaikpulih serta dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.

Kini, pastinya wujud pelbagai versi cerita mengenai pengembangan Islam terutamanya di Nusantara apatah lagi ia mendapat minat dikalangan ahli sejarah dari Barat.

Oleh yang demikian, pihak pengurusan Pondok Ahmadiah Islamiah secara terbuka memberi peluang kepada penjejak sejarah atau mahasiswa Malaysia untuk membuat penyelidikan terhadap manuskrip dan khazanah yang terdapat dalam simpanan mereka.

No comments:

Post a Comment