Monday, 19 October 2015

KUIM sedia tempat untuk pelajar lepasan pondok



Para pelajar tahfiz di Melaka kini berupaya melangkah dengan lebih jauh apabila berpeluang melanjutkan pengajian mereka sehingga ke menara gading.

Ini berikutan persetujuan kerajaan negeri Melaka menjadikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang terletak di Kuala Sungai Baru, Melaka, sebagai pusat pengajian pelajar tahfiz.

KUIM bakal menyediakan kursus pengajaran dan pengajian asas kepada para pelajar lepasan maahad tahfiz di Melaka sebagai persediaan memasuki pusat pengajian tinggi.


"Kita maklum anak tahfiz ini lazimnya tidak duduki SPM dan berdepan dengan situasi tidak dibenar masuk mana mana universiti. KUIM telah mencari jalan dan dengan itu dua subjek akan diduduki anak-anak (pelajar tahfiz) ini sebelum diterap sebagai mahasiswa dan mahasiswi di KUIM."

Demikian kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron selepas menghadiri Majlis Tautan Mahabbah Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Melaka Bukit Pegoh sesi 1990-2000 baru-baru ini.

Tambah Idris, seramai 20 orang pelajar maahad tahfiz akan diambil untuk mengikuti pengajian selama lapan bulan di KUIM dalam pelan permulaan. Manakala sebanyak RM120,000 peruntukkan disediakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bermula semester depan.

Cadangan yang dikemukakan oleh Lembaga Pengarah KUIM untuk memberi peluang kepada pelajar tahfiz bagi mendapatkan kursus-kursus asas seterusnya dapat menambah baik bidang pembelajaran mereka ternyata disambut baik kerajaan negeri.

Ia selari dengan seruan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang memaklumkan bahawa Melaka mempunyai ramai lepasan maahad tahfiz namun tidak dapat menyertai kerjaya dalam bidang lain selain agama.

Datuk Seri Idris Haron

“Saya tidak menyamakan pelajar lepasan tahfiz ini sama seperti lepasan peperiksaan lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya tetapi kita mengambil kira kelayakan mereka untuk lulus enam mata pelajaran sebelum diterima mengikuti pengajian kursus asas di KUIM selama lapan bulan.

“Selepas tamat pengajian kursus asas itu nanti, mereka yang berjaya akan diberi peluang untuk mengikuti pengajian di KUIM sebagai mahasiswa atau mahasiswi,” ujar Idris.

Memetik laporan Utusan Malaysia bertarikh 15 Oktober, kira-kira 200 orang bekas pelajar bagi tahun 1990 - 2000 berjaya dikumpulkan dalam majlis yang diadakan di Restoran Melayu Melaka pada hari itu. Antara bekas pelajar maahad tersebut yang hadir ialah, Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim dan Imam 2 Masjid Negara, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim.

Sehubungan dengan itu, Idris mengharapkan ramai golongan profesional dapat dilahirkan oleh KUIM sebagai sebuah kilang ilmu dimasa hadapan.

“Kita harap selepas ini akan ada anak-anak huffaz yang berkerjaya seperti juruteknik, jurutera, jurugali minyak atau jurumasak tetapi pada masa yang sama beliau merupakan seorang yang hafiz Al-Quran,” katanya.

No comments:

Post a Comment