Tuesday, 20 October 2015

Sekolah Agama lancar kempen bantah pemaju, majlis perbandaran


Sebuah sekolah pengajian agama berusia lebih 50 tahun iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang menghidupkan semula kempen membantah projek mewah pembinaan 36 tingkat bangunan kondominium dan unit kedai di Jalan Sungai Ramal Luar.

Laman rasmi Facebook 'Selamatkan Maahad Hamidiah Kajang' dalam status yang dimuatnaik semalam memaklumkan bahawa protes berkenaan terpaksa diadakan berikutan aduan yang dilakukan sebelum ini hanya dipandang sepi.


"Satu demonstrasi bantahan terhadap pembinaan 36 tingkat 'servis apartment' (pangsapuri perkhidmatan) berhampiran satu-satunnya sekolah agama di Kajang iaitu SMKA Maahad Hamidiah Kajang yang telah diasaskan pada 1963 akan diadakan.

"Mohon uar-uarkan demonstrasi bantahan pembinaan pangsapuri perkhidmatan (menempatkan hampir 500 buah kondo dan 30 lot kedai) dalam bentuk apa sekalipun kepada semua yang dikenali atau tidak. Aduan kami tidak diendahkan. Mari kita sama-sama bangkit pertahankan hak Pendidikan Islam demi agama dan anak bangsa.

"Kami amat menghargai sokongan padu tuan puan dari segi mendoakan (sedekahkan Al-fatihah, bacaan surah yang sesuai), hadir beramai-ramai atau menghantar wakil sekalipun tuan tidak dapat hadir dalam memastikan projek yang bakal menempatkan penjualan arak, spa, pub, disko dan lain-lain, betul-betul di hadapan sekolah agama dibatalkan," petikan daripada kenyataan di laman Facebook 'Selamatkan Maahad Hamidiah Kajang'.

Menurut 'Fan Page' itu, demonstrasi bantahan tersebut akan diadakan pada 13 November ini selepas menunaikan solat Jumaat, di jalan utama Maahad Hamidiah Kajang. Bagaimanapun segala perkembangan berkaitan demonstrasi tersebut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Maahad Hamidiah pernah mengadakan bantahan sama pada 26 April 2015. Bahkan mereka telahpun menghantar memorandum bantahan kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada 2 April 2015 dan tempoh 14 hari bagi mengadakan pertemuan empat mata dan perbincangan.

Kebangkitan dan kemarahan warga Maahad Hamidiah ini dilihat mula memuncak selepas berlakunya insiden rempuhan treler yang membawa muatan bahan binaan sehingga menyebabkan kerosakan pintu pagar utama sekolah berkenaan pada 23 Mac tahun sama.

Sehubungan dengan itu, pihak MPKj kemudiannya menghantar surat jemputan bertarikh 29 April 2015 kepada pihak PIBG Maahad Hamidiah bagi tujuan mengadakan mesyuarat dan perbincangan pada keesokkannya, 30 April 2015.

Namun pertemuan berkenaan gagal diadakan berikutan kelewatan surat yang sampai ke tangan pihak PIBG Maahad Hamidiah serta pertindihan jadual melibatkan Yang Dipertua PIBG dan sebahagian ibubapa. Selain itu, pihak PIBG Maahad Hamidiah memohon ia diadakan pada tarikh lain tanpa penyertaan wakil pemaju.

Mereka (PIBG Maahad Hamidiah) tetap berpendirian bahawa projek yang dijalankan itu wajar dibatalkan serta-merta. Ia berikutan kegagalan pemaju mematuhi Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor.

Sementara MPKj dalam kenyataan akhbarnya sekitar bulan Mei lepas membenarkan semula aktiviti pembinaan yang dihentikan akibat kegagalan pemaju mematuhi beberapa syarat pembangunan yang ditetapkan termasuk membayar kompaun yang dikenakan.

Dalam pada itu, pihak PIBG Maahad Hamidiah pada dasarnya melahirkan rasa bimbang mereka dengan situasi tapak pengajian agama yang berada dalam keadaan tersepit dicelah-celah pembangunan mewah. Mereka khuatir tapak SMKA Maahad Hamidiah akan dialihkan ke tempat lain berikutan berlakunya lonjakan nilai hartanah dalam jangka masa panjang.

Situasi demikian disifatkan tidak mustahil terjadi memandangkan tapak balai bomba, pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tapak lama MPKj sebelum ini diserahkan kepada pemaju untuk memberi laluan kepada projek mewah.

"Adakah tuan sanggup melihat sekolah agama ditenggelamkan atau dipindahkan dek arus pembangunan (kerakusan pemaju) berbanding sekolah aliran lain yang tetap utuh tanpa diganggu gugat walau terletak di ceruk bandar mana sekalipun. Pelbagai masalah sosial, kesesakan jalan raya bakal mengundang keresahan penduduk sekitarnya dan umat Islam keseluruhannya."

Dalam perkembangan sama, 'Selamatkan Maahad Hamidiah Kajang' turut membangkitkan beberapa perkara yang disifatkan mencurigakan.

"Telah terbukti dengan jelas dan diakui oleh MPKj bahawa pemaju telah menipu kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mendapat kelulusan infrastruktur. Tiada tindakan Pembatalan Kelulusan dibuat. Sekadar hanya minta pemaju ikut semula kelulusan yang sebenar oleh LLM.

"Sekiranya pemaju tidak membuat penipuan tersebut, pasti kelulusan infra tidak diperolehi dan KM akan lupus. Mungkin atas dasar tersebut, pemaju perlu menipu dahulu, atau MPKj sememangnya tahu dari awal dan bersekongkol.

"Mungkin MPKj tidak sangka akan ada pihak yang akan mengorek rahsia mereka!."

Projek yang cuba dibangunkan pemaju ini terletak kira-kira 100 meter daripada SMKA Maahad Hamidiah. Seramai 1000 pelajar dan kakitangan SMKA Maahad Hamidiah dikatakan terjejas dengan pembangunan yang dijalankan itu.

No comments:

Post a Comment