Tuesday, 20 October 2015

Bank-bank Islam bersatu pasar produk pelaburan


Satu konsortium diperkenalkan dengan nama Raeed Holdings Sdn Bhd (Raeed) dimiliki secara sama rata oleh empat buat bank Islam iaitu Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Maybank Islamic Bhd.

Keempat-empat buah bank tersebut bergabung membentuk konsortium bagi membangunkan platform pelbagai bank untuk memasarkan produk akaun pelaburan.


Menurut kenyataan Pengerusi Raeed, Datuk Zamani Abdul Ghani, penubuhan konsortium tersebut merupakan inisiatif penting dalam industri kewangan Islam Malaysia.

"Ini merupakan kali pertama bank-bank Islam di Malaysia bersatu dan menubuhkan entiti untuk melaksanakan aktiviti perniagaan berkepentingan bersama," kata Zamani yang juga merupakan Pengerusi Bank Islam dan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.

Raeed pada peringkat awalnya menubuhkan anak syarikat milik penuh IAP Integrated Sdn Bhd, bagi membangunkan dan mengurus platform pelbagai bank yang dikenali sebagai Platform Akaun Pelaburan (IAP) yang diumumkan dalam Bajet 2015.

Memetik laporan agensi berita Bernama, IAP akan berperanan sebagai platform pelbagai bank berpusat yang membolehkan pelabur berpotensi mengkaji dan memilih pelbagai projek teroka keempat-empat bank berkenaan.

IAP akan menyediakan pembiayaan baharu untuk usahawan yang mempunyai projek yang baik dan berdaya maju serta peluang untuk sektor swasta dan pelabur awam dan institusi untuk membiayai projek masing-masing.

No comments:

Post a Comment