Wednesday, 21 October 2015

Jerebu : Jaga kesihatan, segera dapat rawatan jika penyakit berlarutan


Orang ramai dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menjaga kesihatan sebaik mungkin bagi mengelakkan mudarat pada musim jerebu ketika ini. Antara langkah pencegahan awal adalah dengan mengurangkan aktiviti luar dan mengunakan topeng apabila berada di kawasan terbuka.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut menyarankan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan dipusat-pusat perubatan sekiranya mengalami gejala atau tanda penyakit berlanjutan.


"KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu termasuklah mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.Sila pastikan udara di dalam rumah / bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.

"Apabila memandu, gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman. Banyakkan minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari). Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.

"Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan bertambah teruk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jerebu yang kembali melanda negara sejak Sabtu lalu menyebabkan udara tidak sihat apabila 27 kawasan direkodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras 101 - 200. Sementara 23 kawasan direkodkan bacaan IPU sederhana (51-100) dan tiada (0) kawasan direkodkan bacaan IPU sihat (kurang 50). Bacaan IPU Pelabuhan Klang adalah yang tertinggi dengan bacaan (181).

Dalam perkembangan lain, KKM turut menjawab dakwaan yang menjadi viral di media sosial berkaitan jerebu kuning yang mengandungi racun berbahaya.

"Isu mengenai mengenai jerebu kuning di kawasan Shah Alam dan Klang semalam yang telah diviralkan mengatakan ia beracun walaupun IPU masih di bawah 200. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengeluarkan kenyataan media semalam mengenai isu “jerebu kuning”.

"Hasil pemantauan JAS sepanjang musim jerebu ini mendapati bacaan kepekatan karbon monoksida (CO) adalah rendah dan kurang dari “Recommended Malaysia Air Quality Guidelines” iaitu di bawah 30 ppm (1 jam) atau 35 mikrogram per meter padu (1 jam). Oleh itu, ia tidak menyebabkan fenomena jerebu berwarna kuning," ujar beliau.

Sehubungan itu, KKM menasihati netizen supaya peka dengan keadaan semasa dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari media massa dan laman sesawang mengenai bacaan IPU.Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my (info kesihatan).

No comments:

Post a Comment