Pepatah Melayu ada menyebut, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' yang membawa erti mendidik anak sedari kecil. Didikan yang dimaksudkan bukan sahaja mengenai pengajian akademik semata-mata tetapi juga kepada didikan agama.
Selain ibu bapa, masyarakat sekeliling bersama badan-badan bebas (NGO) turut menggalas tanggungjawab sama bagi memantapkan ilmu agama buat generasi muda.
“Pendidikan agama wajib diberikan kepada anak-anak sejak dari kecil sepertimana ditunjukkan oleh ibu bapa kepada 22 pelajar Madrasah al-Furqan yang khatam al-Quran sebelum berusia 12 tahun.
“Sokongan komuniti, korporat, NGO dalam bentuk kewangan serta moral menjadi nilai tambah dalam membantu melahirkan pelajar mempunyai pendidikan agama yang tinggi.”
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin dalam ucapan pada Majlis Khatam Al-Quran Madrasah Al-Furqan Kampung Bukit Bota, Chenor baru-baru ini.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan dua puteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Atho'atullah.
Kedua-dua kerabat diraja tersebut turut mengurniakan sumbangan kepada pelajar sebelum melancarkan Tabung Pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Darul Furqan.
No comments:
Post a Comment