Friday, 23 October 2015

Membudayakan amalan lestari ; Amalan murni


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kehidupan ini dengan nikmat, taufik dan hidayah yang berpanjangan serta beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sempena sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia yang diadakan pada setiap 21 hingga 27 Oktober 2015, mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah yang bertajuk: “MEMBUDAYAKAN AMALAN LESTARI; AMALAN MURNI”.



SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Memelihara alam sekitar bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada kerajaan semata-mata, malahan setiap rakyat turut terbabit demi keselamatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, kita perlu memastikan diri, keluarga dan masyarakat tidak menyumbang ke arah kerosakan dan bahaya terhadap sumber alam yang ada. Kita wajib mensyukuri dan menghargai segala nikmat tersebut sebaik mungkin kerana khazanah bumi ini adalah amanah Allah SWT.

Namun, persoalan besar yang timbul ialah bagaimanakah kita dapat memastikan sumber alam ini terpelihara dan mengisi keperluan kita pada masa hadapan?. Menurut pemerhatian mimbar, antara langkah penting bagi mencapai tujuan tersebut adalah dengan memastikan masyarakat membudayakan amalan lestari iaitu tingkah laku atau perbuatan seharian individu atau masyarakat yang menitikberatkan penjagaan alam sekitar sepanjang masa.

Amalan ini dapat menjamin amanah yang diberi dijaga dengan sempurna untuk jangka masa yang panjang. Jika sebaliknya, ia dianggap telah mengkhianati amanah Allah SWT, bersifat tamak dan gagal untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Araf ayat 10:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Hubungan manusia dengan alam sekitar adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Apa yang menakjubkan ialah keistimewaan yang dimiliki oleh manusia telah menjadi asbab mengapa mereka terpilih menjadi peneraju dalam menjalankan tanggungjawab bagi makhluk lain di bumi ini. Namun itu tidak bermakna, kita boleh sesuka hati memanipulasi segala sumber yang ada dengan rakus dan tamak. Justeru, tidak hairanlah Allah SWT menerusi Al-Quran berkali-kali mengingatkan manusia dan melarang mereka bersifat melampaui batas. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 165:

Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Allah SWT mengajak manusia berfikir tentang kejadian alam dan dikaitkan dengan implikasinya jika penjagaan alam sekitar ini diabaikan. Lebih-lebih lagi, mereka yang terlalu mengejar kekayaan dan pembangunan sehingga sanggup menggadai dan mengenepikan soal menjaga pemuliharaan alam sekitar. Kita sering mendengar berita mengenai pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia umpamanya pembakaran terbuka, pembuangan sampah sarap, tumpahan minyak, pelepasan kumbahan/industri, pembalakan haram dan pembukaan tanah bagi tujuan pembangunan yang tidak terkawal.

Natijah daripada kerosakan ini, terjadilah musibah dan bencana, banjir lumpur, jerebu tebal, tanah runtuh, penularan wabak penyakit, kekurangan sumber bumi dan sebagainya. Kini, pencemaran udara dan jerebu boleh menjejaskan kesihatan masyarakat, sekali lagi melanda negara kita sehingga menyebabkan beberapa sekolah di negeri-negeri terpaksa ditutup. Hal demikian bukan sahaja meresahkan para ibu bapa dan murid, bahkan menimbulkan kesulitan pihak pentadbir sekolah dalam menjalankan peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan besar seperti Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Mimbar yakin, situasi ini dapat dielakkan jika kita mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan menjalankan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Semoga dengan itu, alam sekitar kembali seimbang dan ancaman terhadap masyarakat seperti kehilangan nyawa, kemusnahan tempat tinggal dan kehilangan pendapatan dapat diminimakan. Bahkan, kos tersebut boleh disalurkan kepada program pembangunan rakyat.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mimbar berasa bimbang, jika kita lambat menginsafi dan membentuk satu budaya positif ke arah melestarikan penjagaan alam sekitar ini, lambat-laun kemusnahan dan pencemaran alam sekitar semakin serius. Saat itu, apa lagi yang akan tinggal untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang?. Di kesempatan yang ada ini, marilah kita sama-sama beriltizam untuk memastikan negara ini terus sihat dan sejahtera dengan keindahan alam sekitarnya tetap terpelihara.

Sesungguhnya sedikit amalan nilai murni yang kita sumbangkan itu merupakan sedekah jariah yang sangat dicintai oleh Allah SWT. Sebagai langkah permulaan ke arah membudayakan gaya hidup lestari, marilah kita melakukan tindakan seperti bergotong-royong menjaga persekitaran seperti rumah, sekolah dan rumah ibadat; membuang sampah di bekas yang disediakan mengikut jenis sisa pepejal; berjimat cermat dalam penggunaan air dan elektrik; mencipta hobi baru seperti menanam pokok dan tumbuhan berasaskan makanan seperti herba dan sayuran di halaman rumah; menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan; dan amalkan 3R (reuse, recycle, reduce) iaitu guna semula, kitar semula dan kurangkan.

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Hari ini, 23 Oktober 2015 YAB Perdana Menteri  akan membentangkan Belanjawan Negara 2016 di Parlimen Malaysia.  Mimbar berharap semoga bajet kali ini akan mencerminkan segala kehendak dan harapan seluruh rakyat Malaysia. Juga semoga ekonomi negara akan pulih segera. Semoga kerajaan memberi perhatian utama dan peruntukan khusus kepada sektor pendidikan dan kesihatan. Buku-buku wajar mendapat pelepasan cukai, demi mengurangkan bebanan pelajar-pelajar. Begitu juga dengan perbelanjaan rawatan dan perubatan untuk rakyat sewajarnya mendapat pertambahan pelepasan cukai untuk tahun 2016 demi kesejahteraan hidup rakyat.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kesimpulannya, mimbar ingin menarik perhatian para jemaah sekalian untuk sama-sama memainkan peranan dalam memastikan bumi Allah SWT ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan juga negara. Berdasarkan khutbah pada hari ini, beberapa pengajaran yang dapat diambil:

Pertama : Kesedaran menjaga kelestarian dan keselamatan alam sekitar hendaklah dipupuk di peringkat awal usia lagi demi kehidupan yang sihat dan selamat.

Kedua : Hendaklah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kerosakan dan kemusnahan alam sekitar semasa melaksanakan amanah Allah SWT dalam memakmur dan mengimarahkan bumi dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ketiga : Hendaklah mengguna dan mengurus sumber alam secara bijaksana sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT; dan

Keempat : Menjaga hak-hak makhluk secara adil bagi memastikan keseimbangan alam sekitar terpelihara.

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”. (Surah Hud: 61)

No comments:

Post a Comment