Wednesday, 14 October 2015
Pondok Terbakar : Sidang Meja Bulat Wajar Diadakan
Satu perjumpaan meja bulat wajar diadakan secara bersama melibatkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan para mudir atau pentadbir bagi membincangkan soal keselamatan di institusi pondok dalam negara.
Pengarah Operasi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Hj Juhaidi Yean Abdullah berkata, kejadian seperti kebakaran sering berlaku dalam skala besar akibat daripada kelemahan langkah-langkah pencegahan.
"Apa yang kita selalu bangkitkan adalah mengenai isu keselamatan di pondok-pondok. Kebanyakkan daripada mereka (mudir) berasa sukar untuk mendapatkan kelulusan bangunan daripada pihak PBT. Ini kerana, mereka membina infrastruktur pondok mengikut acuan sendiri tanpa menerima khidmat profesional di bidang pembinaan."
Beliau berkata demikian ketika melawat ke tapak Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Pasir Mas, Kelantan yang terbakar pada 6 Oktober lalu.
Tambah Juhaidi, akibat daripada kegagalan mendapatkan kelulusan daripada pihak PBT, mudir atau pentadbir seterusnya berasa tawar hati untuk mendaftarkan pondok mereka di JAIN.
"Sebab itu kita (YPPM) sering berkempen kepada mudir dan pihak pentadbiran pondok agar segera berdaftar. Pondok-pondok yang berdaftar berupaya memperoleh pelbagai manfaat termasuk suntikan dana dan sebagainya. Lihat sahaja Bajet 2013 apabila kerajaan persekutuan memperuntukkan RM25 juta kepada institusi pondok dan ia sudahpun disalurkan pada bulan Julai baru-baru ini.
"Pondok ini ibarat anak yang tidak mempunyai surat beranak (sijil kelahiran) sekiranya tidak berdaftar. Bagaimana kerajaan mahu salurkan bantuan kepada mereka jika tidak mengetahui siapa ibubapa (mudir), tarikh kelahiran, tempat lahir, bilangan adik beradik (pelajar) dan sebagainya." ujar beliau.
Sementara itu, dalam lawatan ke tapak Madrasah Ad-Diniah Yusufiah atau Pondok Gelang Mas yang terbakar 6 Oktober lalu, Juhaidi sempat bertemu dengan beberapa pelajar di pondok terbabit.
Seorang pelajar Nik Muhammad Nik Rosli, 21, ketika ditemui YPPM memberitahu, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke pondok lain bagi meneruskan pengajiannya.
"Keputusan ini dibuat selepas berbincang dengan ibu bapa saya," katanya yang berasal dari Tanah Merah dan baharu menuntut di sini sejak sebulan lepas.
Seorang lagi pelajar, Abdul Halim Che Harun, 22, sebaliknya mahu kekal menetap di pondok ini.
"Bagi jangka masa terdekat, saya menumpang di pondok rakan yang terselamat daripada kejadian kebakaran tersebut. Dalam masa sama, saya dan rakan-rakan lain akan membaikpulih beberapa pondok usang di sini bagi menggantikan pondok kami yang terbakar itu," katanya.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.15 malam pada 6 Oktober itu telah memusnahkan lebih 40 buah pondok kediaman pelajar. Ketika itu, para pelajar sedang khusyuk mengikuti kuliah agama bersama mudir mereka di sebuah masjid berdekatan.
Seramai 24 anggota Bomba dan Penyelamat dari tiga buah balai berdekatan iaitu Pasir Mas, Kota Bharu dan Tunjong yang melibatkan 4 buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dalam usaha memadamkan kebakaran serta kerja-kerja menyelamat. Api kemudiannya berjaya dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment