Tuesday, 27 October 2015
Waspada dengan media sosial - Mufti Kelantan
Kandungan di dalam media sosial hari ini dilihat mengundang lebih banyak perkara negatif berbanding hal-hal yang membawa manfaat dan kebaikan.
Sebab itu ummah disifatkan berada dalam keadaan kritikal apabila berita-berita fitnah, aib dan penyebaran video negatif menjadi trend terkini masyarakat.
"Sepatutnya ia (media sosial) menjadi platform untuk perkara-perkara yang mendatangkan faedah, bukan mudarat. Misalnya memudahkan urusan harian namun ada segelintir yang tidak berakhlak menggunakannya ke arah keburukan."
Demikian kesal Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad apabila menyentuh mengenai media sosial dikalangan masyarakat.
Sedia maklum, dewasa ini wujud pelbagai versi video dan penyebaran perkara-perkara negatif seperti fitnah dan mengaibkan orang lain di laman sosial sekalipun jelas ia perbuatan yang salah di sisi Islam.
Tambah Mohamad Shukri, ia mengambarkan bahawa masih ada masyarakat yang belum terdidik dengan baik sementara akhlak berada pada paras yang rendah.
"Namun ia bukanlah masalah yang dikaitkan dengan kenegerian. Mana-mana negeri tidak akan terlepas dalam isu ini sekiranya ada yang tidak berdisplin dan beretika," ujar beliau.
Justeru itu beliau mengajak ummah supaya bersama-sama membendung dan membanteras gejala serta anasir-anasir yang tidak baik ini seterusnya berupaya melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment