Friday 27 November 2015

Kedah komited bela pondok, maahad tahfiz


Dewasa ini kewujudan pusat-pusat pengajian pondok termasuk maahad tahfiz dilihat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Begitu banyak pusat-pusat pengajian agama Islam dibuka dan ia merupakan satu fenomena yang cukup baik buat ummah yang sememangnya dahagakan ilmu Allah.

Bukan sahaja kerajaan persekutuan bahkan di peringkat kerajaan negeri seperti Kedah juga menzahirkan iltizam mereka untuk terus membela pusat-pusat pengajian pondok dan maahad tahfiz tersebut.


Semangat keprihatinan itu dilahirkan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negerinya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dalam sesi lawatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) di Pusat Pengajian Darussolihin, Padang Terap semalam.

Kata Mohd Rawi, sumbangan secara konsisten berupa bantuan zakat diberikan kepada mana-mana pusat pengajian yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan ia sememangnya menjadi dasar kerajaan negeri.

Tiada sebab lain melainkan bertujuan melahirkan pelapis-pelapis agamawan dan pendakwah yang kekal mantap dan berkualiti baik dalam mahupun di peringkat antarabangsa.

Pengembangan pusat pengajian pondok dan maahad tahfiz di Kedah serta disokong pula oleh kerajaan negeri sebegini sewajarnya menjadi suntikan kepada usaha-usaha memartabatkan institusi pengajian Islam sekaligus membawa manfaat berguna buat ummah.

MTS merupakan institusi pengajian Islam yang berpengkalan di negara Turki. MTS di Padang Terap yang juga cawangan tunggal di Kedah ini dihuni oleh 30 orang pelajar tahfiz berusia 12 tahun ke atas.

Seramai 40 orang pelajar pernah dihantar ke Turki sebelum ini untuk melanjutkan pengajian mereka. Segala kos perbelanjaan pula dibiayai sepenuhnya oleh Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turki.

No comments:

Post a Comment