Tuesday, 8 December 2015

Didik Hati Agar Hidup Dalam Ketakwaan


Ramai orang hanya celik mata fizikal atau mata zahir, iaitu melihat sesuatu kejadian Allah SWT di dunia ini dengan menggunakan kedua-dua belah mata sebagai pancaindera sahaja. Tetapi, tidak ramai yang celik mata hati, iaitu kita melihat sesuatu dengan perasaan.

Mata hati itu nur, iaitu cahaya hati kita yang dapat memberikan pencerahan kepada fikiran yang diterjemahkan melalui tindakan. Mata fizikal melihat makhluk, objek dan sebagainya dari sudut fizikal seperti besar, kecil, cantik, hodoh, banyak atau sedikit.

Mata hati melihat rahsia Allah SWT yang terselindung daripada apa yang kita nampak secara zahirnya. Maknanya, jika biasanya kita melihat peringkat kehidupan dengan pandangan biasa, kita nampak apa yang di hadapan mata sahaja, celik mata hati memandang dengan perasaan, jiwa, emosi dan roh.

Setiap apa yang kita pandang memberikan nilai dan kesan perasaan kepada diri. Banyakkan berdoa supaya mata zahir tidak menutup mata hati sehingga hilang keyakinan kepada Allah SWT, sebaliknya hanya yakin kepada manusia serta sanggup memperhambakan diri kepada manusia.

Doa adalah tanda pengharapan, permohonan dan pergantungan kita hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada ibadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Mencari hidayah Allah SWT

Orang yang sombong dan takbur, mata hatinya tertutup untuk mengingati akhirat. Orang yang mata hatinya sentiasa berzikir bagaikan pernafasan yang tidak terhenti kecuali mati, adalah orang yang mencari hidayah Allah SWT.

Didik hati supaya merasakan Allah SWT segala-galanya dan semua makhluk nampak tidak ada apa-apa kelebihannya serta hentikan memuja makhluk. Baik atau buruk perangai manusia itu bergantung kepada hatinya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

Jika buta mata hati, kita tidak akan nampak kesalahan dan kelemahan diri sendiri. Perubahan diri ke arah kebaikan, daripada amalan hidup negatif kepada positif bergantung kepada hati. Kesedaran membuat perubahan diri akan timbul apabila hati kita bersih.

Oleh itu, kita perlu bersihkan hati daripada 10 penyakit hati dan jiwa yang menyerlahkan perasaan negatif dalam diri. Pertama, perasaan iri hati dan dengki. Selalunya orang akan mengata atau mengumpat orang yang mereka dengki.

Kedua, ujub iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri, berasa diri kita terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Ubatlah penyakit hati ini dengan bermuhasabah mencari kekurangan serta berusaha menambah ketakwaan.

Elakkan daripada menjadi pemerhati orang lain dengan tujuan menilai, menghukum dan membuat perbandingan dengan diri sendiri. Ikhlaskan diri dalam segala amalan kerana Allah SWT dan jangan mengharapkan penghargaan manusia.

Perasaan sombong

Ketiga, perasaan sombong iaitu tinggi hati, angkuh, riak dan bongkak. Berasa segala kejayaan kerana kehebatan diri hingga melupakan kuasa Allah Yang Tinggi. Berani melakukan dosa dan meninggalkan suruhan-Nya.

Menurut al-Bukhari, orang yang jahat akan melihat dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangannya. Adapun orang Mukmin melihat dosanya bagaikan dia duduk di bawah kaki gunung yang akan menghempapnya.

Keempat, bersangka buruk. Orang yang bersih hatinya akan hidup penuh ikhlas dan memperbanyak kasih sayang kepada dirinya serta orang lain. Membuang semua perasaan negatif dan tidak sekali-kali berfikir negatif terhadap sesiapa. Sibuk memperbaiki diri hingga tidak nampak keburukan orang lain.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang setiap umat tidak terlepas daripadanya iaitu hasad dengki, buruk sangka dan berselisih faham. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu jalan keluar daripada tiga perkara itu? Apabila hasad, janganlah bertindak kejam, apabila berburuk sangka, janganlah kamu kuatkan buruk sangkamu itu, dan apabila engkau berselisih faham, maka janganlah engkau menyakiti.”

Kelima, perasaan ego. Orang yang ego sebenarnya ada perasaan rendah diri yang tersembunyi dalam dirinya. Oleh itu, bina keyakinan diri dengan mencari reda Allah SWT, supaya dapat menghilangkan rasa ego dan sombong.

Keenam, perasaan marah. Orang yang hebat bukanlah orang yang dapat membandingkan diri dengan kekuatan. Orang yang hebat ialah orang yang mampu mengendalikan nafsu marahnya ketika marah.

Ketujuh, perasaan takut dan risau. Lebih takut dan risau kepada peraturan manusia daripada hukum Allah SWT. Risau dengan dunia adalah kegelapan hati dan risau dengan akhirat adalah cahaya bagi hati. Ramai orang tersalah jalan tetapi berasa tenang kerana ramai teman yang sama-sama salah.

Perasaan dendam

Beranilah untuk menjadi benar walaupun kita bersendirian mengikut jalan yang lain. Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah.

Kelapan, perasaan dendam yang berpanjangan akan menjadi racun, menjejaskan secara perlahan-lahan kesihatan diri. Sabar, reda dan maafkan semua kesalahan orang, itulah jalan keluar daripada penyakit hati dendam. Sabar itu pahit tetapi buahnya manis.

Kesembilan, bakhil dan kikir. Salah satu kunci syurga ialah murah hati dan baik budi. Sikap pemurah hati meluaskan rezeki, memanjangkan silaturahim dan menghindarkan musibah. Ke-10, terlalu mengikut perasaan. Segala tindakan tidak berlandaskan fikiran, bukan atas penilaian mata hati.

Oleh itu, rawatan hati mesti melalui lima perkara iaitu mengawal apa yang kita dengar melalui telinga, mengawal apa yang kita fikirkan melalui minda, mengawal apa yang kita perkatakan melalui mulut dan lidah serta mengawal apa yang kita bicarakan dalam hati.

Sesungguhnya otak mempengaruhi emosi kita dan apa yang kita lihat dan dengar semua masuk pada mata kita. Maka jagalah lima pancaindera ini dengan ketakwaan dan amalan iman sebagai makanan rohani yang akan menyihatkan fizikal supaya lebih kuat dan rajin beribadah.

Oleh : Dr Muhaya Mohamad
Penulis ialah Pengarah Perkembangan Peribadi dan Profesional ACMS dan Pengarah Pusat Mata, Prince Court Medical Centre

No comments:

Post a Comment