Monday, 16 November 2015
Pertahan akidah jangan ikut musim
Isu yang melibatkan akidah umat Islam di Malaysia hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak menjadikan ia mengikut musim semata-mata.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Kedah, Ustaz Abdullah Din berkata, musuh sebaliknya menyerang Islam setiap masa tanpa mengikut musim-musim tertentu.
"Ini soal ancaman akidah. Musum Islam sentiasa mengerumuni umat Islam. Orang (ekstremis) Yahudi dan Krsitian tidak pernah redha dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W sehinggalah kita (umat Islam) mengikut jejak dengan menganuti ajaran mereka.
"Kita sekarang ini disibukkan dengan hal-hal dunia sehingga terlupa pada tanggungjawab sebagai pembela akidah ummah."
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Seminar Pendedahan Ancaman Rencana Kristianisasi (SPARK) : 'Mendedahkan Gerakan Pemurtadan Ummah' di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak baru-baru ini.
Tambah Abdullah, umat Islam sewajarnya mendalami Al-Quran sebaik mungkin supaya ilmu dan keimanan terhadap Allah S.W.T menjadi lebih kuat dan mantap sekaligus berupaya berdepan dengan ancaman akidah yang semakin berleluasa dewasa ini.
"Allah S.W.T tidak membenarkan kita lupa pada dua agama itu (Yahudi dan Kristian). Kita malangnya sekadar membaca Al-Quran tanpa memahami maksud kandungannya, hatta surah Al-Fatihah," tegas beliau.
Dalam masa sama beliau sempat menyiarkan satu sedutan klip video tentang hujah sesat seorang pelajar Sekolah Menengah Agama yang murtad bahkan menjadi paderi mewakili kaum
Melayu. Pelajar ini dahulunya hebat tetapi menjadi murtad hanya kerana potongan ayat daripada surah Al-Fatihah.
Video itu memaparkan seorang lelaki sedang menjelaskan kepada audien mengenai sebab-sebab beliau keluar daripada Islam dan memeluk Kristian. Katanya, di dalam surah Al-Fatihah, ada sepotong ayat yang bermaksud, 'tunjukkan kami ke jalan yang lurus'.
Merujuk terjemahan itu, 'membuktikan' Nabi Muhammad S.A.W masih memerlukan Allah supaya menunjukkan jalan yang lurus kepada umat Islam.
"Kata dia (paderi Melayu), 'tunjukkan' ini maksudnya kita tidak tahu lagi kemana hendak dituju. Kononnya Nabi Muhammad juga tidak pasti samada Islam ini adalah ajaran yang lurus. Inilah kekeliruan yang timbul. Surah Al-Fatihah yang diterjemah paderi itu sebenarnya tidak diperjelaskan secara menyeluruh.
"Ini masalah masyarakat kita, hanya membaca Al-Quran, membaca surah Al-Fatihah dengan baik tetapi tidak faham apa yang dibacanya. Allah mengingatkan kita supaya sentiasa berwaspada dengan dua agama ini iaitu Yahudi dan Kristian," tegas Abdullah.
Dalam perkembangan sama, Abdullah memberitahu bahawa penyebaran kristianisasi atau gerakan memurtadkan umat Islam di Malaysia semakin rancak dijalankan.
"Bible dicetak dalam pelbagai bahasa sehingga mencecah 2,000 bahasa seluruh dunia, termasuklah bahasa Arab."
Namun yang demikian, Abdullah menolak pendapat yang mengatakan bahawa orang Islam murtad disebabkan membaca Bible semata-mata. Tetapi ia disebabkan oleh perkara-perkara seperti terperangkap dalam jerat percintaan, dakwah kristianisasi dan lain-lain faktor.
Selain itu, kumpulan kristianisasi juga kelihatan menayangkan 'kehebatan' mereka di setiap pelusuk kawasan sekalipun di pedalaman bagi menarik perhatian atau minat masyarakat lain. Di beberapa negeri Sabah misalnya, terdapat papan-papan tanda gereja yang cukup besar di merata tempat. Ia kelihatan seolah-olah gereja ini cukup hebat, sedangkan ia hanya sebuah gereja yang bersaiz kecil sahaja.
Sehubungan itu, masyarakat Islam seharusnya memperhebatkan lagi usaha memerangi kegiatan kristianisasi ini bagi memelihara generasi muda yang mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara.
Ia termasuklah memperbanyakkan lagi aktiviti dakwah dan mengukuhkan perpaduan sesama Islam. Apabila organisasi itu mantap maka usaha memelihara kesucian Islam daripada diracuni pemikiran sesat dapat ditangani.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment